Radio Internet FuhYooFm

Ahad, April 06, 2008

MERAIKAN LANTIKAN MENTERI PERDAGANGAN DLM NEGERI DAN HEP







Kehadiran YB Dato' Shahrir Abd Samad ke masjid BBU pada 5 April untuk mempengerusikan mesyuarat agung PDK telah mengilhamkan Pengarah-pengarah PDK untuk meraikannya atas perlantikan beliau sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Dianggarkan seramai 300 orang yang hadir terdiri dari penggiat PDK, Kelab Warga Emas, Pasukan Sukarelawan, Biro Helwa dan jemaah solat Isyak.

Di dalam ucapan balas, YB Dato' Shahrir sangat terharu atas sokongan pengundi di Johor Bahru terutama penduduk di Bandar Baru Uda. Ucapan terima kasih tidak sepatutnya datang dari pengundi, sebaliknya mesti datang dari beliau kerana keyakinan mereka kepadanya untuk terus menjadi wakil di Parlimen Johor Bahru.

Beliau juga mohon doa semoga beliau dapat menjalankan tugas yang diamanahkan oleh Perdana Menteri di dalam potfolio yang kini disandang. Tanggungjawab dan harapan yang diberi begitu tinggi dan memerlukan ide baru terutama dalam mengekang kenaikan harga barang dan inflasi.

Katanya, rakyat Malaysia sudah terbiasa dengan keadaan stabil dan apabila kenaikan harga barang berlaku pada tahun 2007 akibat tekanan serta pasaran antarabangsa, ini menjadikan kejutan dan rasa tidak selesa.

Begitupun, beliau percaya keadaan ini akan dapat dikawal sekiranya pihak-pihak tertentu tidak mengambil kesempatan.

Di akhir majlis, beliau telah dihadiahkan senaskah Al-Quran sebagai lambang keagungan kitab suci yang boleh menjadi panduan kepada umat manusia dalam semua keadaan dan zaman.

Sabtu, April 05, 2008

MESYUARAT AGUNG PUSAT DIALISIS & KESIHATAN




Hari sabtu 5hb April jam 9.00 malam akan berlangsunglah mesyuarat agung Pusat Dialisis & Kesihatan (PDK) Masjid Jamek Bandar Baru Uda. Mesyuarat ini akan dipengerusikan oleh YB Dato' Shahrir bin Abdul Samad (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Ahli Parlimen Johor Bahru).

Sebagai AJK dalam badan ini, tentulah aku merasa bangga kerana dapat memberi dan mencurahkan bakti bersama-sama rakan-rakan lain. Perasaan ini tentulah dapat kami rasai kerana khidmat ini, insyallah kami curahkan kerana inginkan keredaan dan keberkahan Allah SWT disamping memberi bantuan kepada mereka yang amat memerlukan.

Adakah ia satu kejayaan? Tidak.. Ia hanyalah satu kepuasan kepada kami sebagai pendokong usaha ini kerana tanpa sokongan dari semua pihak terutama doktor-doktor sukarela dan semua kakitangan serta pastinya dari kariah BBU, tentunya PDK ini tidak akan dapat beropersi seperti yang ada ketika ini.

Aku tidak pasti samada terdapat mana-mana masjid yang dibiayai sendiri oleh kariah di tanah air kita yang mentadbir pusat dialisis. Sekiranya ada elok juga kiranya kita dapat berhubung untuk bertukar-tukar pengalaman dan sebagainya demi kebaikan semua pihak.

Elok juga dicatatkan di sini beberapa fakta mengenai PDK di Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

PDK ini mula beroperasi pada 17.05.2004 dan didaftarkan dengan No. Syarikat: 692051-M. Mempunyai 15 orang Pengarah dari berbagai latar belakang yang menjadi komponen penting seperti pemimpin masyarakat, pesara guru, pensyarah pusat pengajian tinggi, doktor perubatan, akauntan bertauliah, pegawai dan kakitangan kerajaan, peguam, arkitek, eksekutif swasta dan lain-lain. Pengerusi PDK adalah YB Dato' Shahrir Abd Samad dan timbalannya ialah Haji Abdullah Lebai Darus.

Kegiatan utama Pusat ini adalah sebagai badan kebajikan dan amal yang mengendalikan pusat haemodialisis dan klinik serta memberi khidmat kesihatan. Selain dari itu, pusat ini juga mengendalikan Kelab Warga Emas dan Pasukan Sukarelawan.

Tiga orang doktor sukarela diketuai oleh Dr Hj Kamarudin Hj Ahmad dan dibantu oleh Dr Hj Ibrahim Hj Aziz dan Dr Hj Katni Hj Mokmin telah menjalankan tugas tanpa sebarang imbuhan. PDK juga mempunyai 2 orang Jururawat Terlatih dan dibantu oleh 5 orang Pembantu Jururawat serta 2 orang Pembantu Tadbir.

Ketika ini PDK mempunyai 11 unit mesin dialisis (10 unit beroperasi setiap shift dan 1 unit standby) serta dapat memberi perkhidmatan kepada 54 pesakit (53 Melayu & 1 Cina).

Bayaran untuk setiap kali rawatan adalah sebanyak RM110.00 dan boleh dianggap sebagai rendah serta berpatutan. Terdapat 5 orang pesakit membayar secara tunai dan selebihnya ditaja oleh MAIJ, SOCSO, JPA dan KPD.

Memandangkan terdapat pemohon baru di dalam senarai menunggu, PDK telah menyiapkan bangunan tambahan dan sedang berusaha untuk mendapatkan penderma mesin dialisis bagi melengkapkan keperluan.

Jadi, mengapa tidak kita bersama-sama berikhtiar memberi sumbangan dalam apa juga bentuk bagi merealisasikan impian pesakit-pesakit yang sedang menunggu? Adakah mungkin dalam senarai itu nanti terdapat nama-nama kita?

Beringatlah ...........

MANA LEBIH AFDAL SOLAT JENAZAH ATAU DEMO


Seperti biasa sebelum azan di masjid BBU, bilal akan memberitahu beberapa pemberitahuan dan untuk hari Jumaat 4 Mei diantaranya adalah untuk meminta jemaah bersolat jenazah seorang wanita yang meninggal dunia di BBU.

Dianggarkan seramai 1,500 orang mengikuti solat jenazah kerana dalam perkiraanku ada 15 saf yang bersama dan diimamkan oleh Imam Haji Munadi Muhajir. Pada kebiasaanya, selepas solat Jumaat, Imam akan membawa jemaah untuk solat hajat bagi memohon kepada Allah SWT memberi kemenangan kepada Kerajaan Malaysia dalam perbicaraan perebutan Batu Putih di mahkamah antarabangsa (kebiasaannya dianggarkan 500 jemaah akan mengikutinya).

Malang sekali, ketika kami khusuk solat fardu kifayah, di luar masjid terdapat sekumpulan individu yang membawa bendera dan poster-poster yang merujuk kepada pemboikotan barangan keluaran Belanda, berucap dengan retorik bagai merekalah pejuang dan pembela agama dengan diselang-selingi jeritan 'takbir'.

Kami ingin mengucap tahniah kepada Imam Haji Munadi kerana beliau sedar apa yang berlaku di luar masjid telah mengganggu konstrasi bacaannnya sehingga beliau terpaksa menguatkan nada suaranya.

Gelagat mereka ini memang dapat menarik perhatian sebahagian jemaah yang keluar lebih awal. Soalnya adalah mana lebih afdal? Sepatutnya kepakaran mereka menarik perhatian jemaah ini digunakan untuk mengajak jemaah yang keluar awal bagi bersama-sama melakukan fardu kifayah atau adakah pada pemikiran mereka solat jenazah ini adalah fadu tak payah?.

Sebenarnya risalah yang menuntut pemboikotan barangan Belanda ini dah banyak dilekatkan di papan tanda masjid BBU.

Mungkin mereka ada agenda lain yang tersirat dengan menggunakan retorik pemboikotan sebagai alasan? Tidak adakah cara lain untuk mengajar kebiadaban Geert Wilders yang menyatakan al-Qur’an naskah ‘fasis’.

Sebagai contoh kenapa tidak mereka berusaha membuat filem bagi memberi pemahaman yang sebenar.

Janganlah demonstrasi menjadi budaya dan amalan kita umat Melayu yang terbilang dengan budi bahasa bahkan agama suci kita pun tidak mengajar kita begini.

Jumaat, April 04, 2008

SOLAT JUMAAT DI MASJID BBU

Hari ini Jumaat, aku akan ke masjid BBU untuk solat Jumaat dan seperti biasa rutin yang aku buat adalah menjaga kanak-kanak malah anak-anak remaja supaya mereka berdisiplin semasa khatib membaca kutbah.

Bukan mudah untuk membuat kerja ini. Aku hanya dibantu oleh Haji Awi Sapawi sementara jemaah di masjid ini adalah dianggarkan seramai 3,500 orang (Masjid ini boleh menampung seramai 5,000 jemaah). Orang dewasa juga perlu diatursusun untuk masuk saf yang betul. Walaupun setiap kali solat hendak dikerjakan, imam pada setiap minggu terpaksa menyeru kepada jemaah untuk masuk dan memenuhkan ruang kosong di hadapan tatapi ada antara mereka tidak memperdulikannya. Ini menjadikan saf terputus-putus.

Pelik tetapi benar, sebahagian jemaah ini lebih suka berada di ruang luar sedangkan di dalam masjid begitu nyaman dengan disejukkan oleh pendingin hawa (ruang ini boleh menampung 3,000 jemaah). Bukankah lebih afdal kita berada di ruang dalam dan bersama dengan jemaah lain dalam saf yang lebih di hadapan?

Mereka juga tidak ambil peduli mengenai saf yang terputus sedangkan kita telah diajar untuk memenuhi ruang yang kosong. Malah diantara mereka ada yang suka membentuk saf dari sebelah belakang, kiri atau kanan sedangkan apa yang menjadi sunnah adalah bermula saf dari hadapan dan dari kedudukan di belakang sebelah kanan imam dan diikuti sebelah kiri.

Sekiranya semua jemaah memahami peraturan yang ini pastinya kita nampak betapa berdisiplinnya umat Islam melakukan solat dengan tawaduk seolah-olah umat Islam bersatu (dianjurkan rapat bahu ke bahu) menghadap Allah yang Esa. Paling tidak pun pada masa ini mereka akan melupakan hal-hal dunia walau buat seketika.

Aku juga merasa pelik dengan tanggungjawab bapa yang tidak mengambil peduli tentang anak-anak mereka yang datang ke masjid untuk (mengerjakan?) solat. Kebanyakan mereka ingin anaknya bersolat tetapi apakah mereka tahu ada antaranya hanya datang kerana mesti datang atau untuk memenuhkan ruang sahaja.

Di hati mereka mungkin begini "Peduli apa dengan anak-anak di belakang, tentu ada Jawatankuasa yang akan melihat dan mengaturkan mereka, yang penting aku dapat mengerjakan solat dengan khusyuk".

Pernah juga aku menegur perkara ini dan diantara mereka dengan selamba menjawab "Kalau dulu semasa aku kecil, guru-guru sekolah agama yang bertanggungjawab dengan disiplin di masjid, jadi sekarang kenapa guru agama tak buat kerja ni?".

Mudahnya kita melepaskan tanggungjawab kepada orang lain. Tidakkah mereka tahun di kebanyakan sekolah agama sekarang ini guru lelaki hampir pupus. Di sekolah agama BBU hanya ada 2 orang guru lelaki berbanding 41 orang guru perempuan.

Aku harap coretan ini akan memberi kesedaran tentang tanggungjawab kita yang hanya pentingkan diri tetapi mesti bersama dengan piahk yang lain.

Khamis, April 03, 2008

KELAS TARANUM








Gambar semasa musabaqah di SMK Dato' Pnggawa Barat pada tahun 1966. Duduk di belakang adalah Sdr Hassan Karim (Kini pemimpin kanan Parti Rakyat Malaysia)


Malam tadi aku hadir ke kelas taranum Al-Quran pimpinan Ustaz Sapri di surau Taman Nesa, Skudai. Aku sepatutnya berada di Masjid BBU untuk memantau kursus untuk bakal-bakal haji dengan kerjasama Tabung Haji Johor Bahru sedang dijalankan.

Ini adalah hari ketiga aku ke kelas memahir dan melagukan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Setakat ini aku hanya dapat mengikuti lagu 'soba' kerana masuk pun sudah terlambat. Rakan-rakan lain sudah beberapa bulan lalu.

Aku harap akan dapat meneruskan kelas ini walaupun sudah agak terlewat dengan usia kini tetapi ini semua tidak akan melemahkan kerana mungkin ia akan menjadi pendorong kepada anak-anak dan cucu-cucuku untuk mengikutinya.

Aku masih teringat ketika berusia 11 dan 12 pada tahun 1963-1964, aku pernah mewakili Sekolah Agama Seri Senang Hati dan Sekolah Agama Bandar Pontian di pertandingan sekolah-sekolah agama daerah Pontian, Johor. Aku sekadar mendapat hadiah saguhati. Guru yang pernah mengasuh taranum adalah Ustaz Sarbini Maring dan Ustaz Nahlawi.

Pada tahun 1966 aku pernah disytihar sebagai pemenang dalam pertandingan di peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Penggawa Barat Pontian. Diantara hakim pertandingan adalah Tuan Kadi Kiyai Haji Mohd Shah yang sangat terkenal di negeri Johor.

Sekarang, setelah 44 tahun berlalu tanpa aku memikirkan untuk mengikuti kelas taranum, barulah sekarang terbuka hati. Memang sudah agak kaku dan keras kerongkongku untuk mengikut rentak dan alunan lagu-lagu yang diajar oleh Ustaz Sapri.

Aku rasa dengan ingatan yang masih ada dan segala pelajaran tajwid serta fasahah yang diajar oleh Ustaz Kamaruddin Koming Alhafiz di masjid BBU setiap hari selasa, aku rasa dapat mengikuti pelajaran walaupun tidak semudah seperti ketika kanak-kanak dahulu.

Dengan perakam video yang ada, aku gunakan untuk merakam segala tunjuk ajar dari ustaz dan di rumah aku cuba mengikutinya. InsyAllah, kiranya ada usaha yang sungguh-sungguh dan tidak patah separuh jalan, tentu usaha baik ini akan berjaya.

POSTER 'ALONG' BERLELUASA DI JOHOR BAHRU

Apa sudah jadi dengan Bandaraya Johor Bahru bila poster 'along' berleluasa di merata tempat. Apa tindakan yang telah dilakukan?

Sebagai warga Johor Bahru aku amat malu dengan keadaan ini. Poster yang ditampal dimerata tempat bahkan di 'muka' kepunyaan MBJB juga ditampal. Buktinya, mereka dengan sewenangnya menampal di tanda nama jalan dan papan-papan tanda lain kepunyaan MBJB.

Yang lebih anih dan aku jadi keliru adalah MBJB boleh pula membenar dan memberikan permit untuk memasang banner di tempat yang telah ditentukan. Dalam perkara ini aku tidak setuju permit diberi kepada mereka kerana kesalahan besar adalah mereka telah menampal, memasang dan menyebarkannya dalam bentuk poster tanpa sebarang kebenaran.

Apakah dengan memaparkan nombor telefon serta peratusan faedah yang akan dikenakan sebagai satu cara untuk menarik pelanggan itu mempunyai etika yang betul sedangkan kita tahu kebanyakan orang yang meminjam dengan along akan berakhir dengan pelbagai kebinasaan.

Contoh terbaik yang boleh kita lihat adalah di Bandar Baru Uda apabila beberapa orang penduduk berusaha sendiri membersih dan membuang segala poster ini tetapi mereka sangat terkilan apabila melihat banner terpampang di persimpangan jalan dan mendapat kebenaran dari MBJB.

Tidak malukah Datuk Bandar, Ahli-ahli Majlis dan Pegawai-Pegawai MBJB melihat kekotoran dan kebiadaban 'along-along' ini?

Apa pula yang terjadi dengan pelancaran 'rakan majlis' sebagaimana mencontohi 'rakan cop'?

Apakah mungkin perlu campur tangan dari Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru?

Jangan 'along' lebih berkuasa dari Datuk Bandar!

Fasha jadi ‘model’ along

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


JOHOR BAHRU: Terdesak untuk menarik pelanggan baru, sindiket along di bandar raya ini dikesan menggunakan poster pelakon wanita popular, Fasha Sandha sebagai bahan pelaris perkhidmatan pinjaman wang yang ditawarkan.

Ratusan poster pelakon cantik yang baru saja dinobat Pelakon Filem Popular Anugerah Bintang Popular (ABP) Berita Harian 2007, Ahad lalu, dikesan ditampal merata tempat di sebuah kawasan perindustrian di Bandar Permas Jaya, di sini.

Ini termasuk di tiang elektrik, pondok telefon serta peti kuasa elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB), terutama yang hampir dengan pusat beli-belah, pasar dan hentian bas.

Helah terbaru terbabit digunakan sindiket itu bagi menambat pelanggan biarpun menyedari perbuatan haram terbabit mampu menjejaskan nama baik artis berusia 24 tahun itu.

Peniaga, Basirudin Ariffin, berkata dia terkilan apabila melihat poster itu memaparkan gambar Fasha ditampal secara berleluasa di kawasan perindustrian berkenaan sejak kelmarin.

Katanya, secara tidak langsung, poster itu mengaibkan pelakon yang mempunyai nama besar dalam industri perfileman negara kerana seolah-olah dijadikan ‘model’ sindiket along untuk mempromosikan perkhidmatan pinjaman kewangan.

Menurutnya, apa yang dikhuatiri, taktik mereka boleh mempengaruhi lebih ramai pelanggan termasuk peminat artis itu sendiri.

“Saya tidak pernah melihat poster seumpama itu sebelum ini. Berani mereka memaparkan nama artis berkenaan.

“Bunyinya menarik apabila membaca kerana menawarkan pinjaman peribadi daripada RM5,000 sehingga RM200,000 termasuk bagi pinjaman rumah, tanah, kedai, kilang, emas, kereta, pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pertukaran cek dan menawarkan bayaran selama 24 bulan.

“Ia juga mencatatkan nombor telefon sindiket berkenaan selain mempelawa orang ramai menjadi pegawai pemasaran sindiket berkenaan kerana menawarkan komisyen,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Farhan Abdullah, 24, berkata perbuatan tidak bertanggungjawab sindiket berkenaan juga boleh mencetuskan rasa kurang puas hati di kalangan peminat pelakon berkenaan.

Katanya, persoalannya mengapa sindiket itu semakin hari semakin berani, malah kini mereka juga mengiklankan kegiatan mereka dengan menggunakan gambar artis tempatan.

“Kalau dulu mereka mengedarkan kad perniagaan secara bebas, tetapi kini taktik terbaru adalah menggunakan gambar artis.

“Saya terserempak dengan seorang lelaki dipercayai pekerja sindiket itu bebas melekat poster berkenaan di dinding depan kilang tempat saya bekerja pada tengah hari, semalam (kelmarin).

“Diharap pihak yang bertanggungjawab berusaha memberhentikan perkara terbabit termasuk Bank Negara, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,” katanya.

Rabu, April 02, 2008

Menjadi Pesara Sepenuh Masa

Hari ini aku mula melayari semula blog DUNIASUNAWAN yang sudah lama tidak dilayari. Banyak masa yang terluang sekarang apabila dah bergelar pesara sepenuh masa.

Hari semalam (1 April 2008) aku tidak lagi bekerja sebagai pembantu khas kepada bekas wakil rakyat Dato' Teo Kok Chee. Dalam pilihanraya ke 12 pada 8 Mac yang lalu beliau tewas kepada calon DAP di DUN Skudai.

Mungkin inilah masa terbaik bersama sebahagian rakyat Malaysia yang menjadikan media ini tempat mengayakan minda kita. Banyak diperkatakan bahawa diantara punca kemenangan calon-calon parti pembangkang adalah disebabkan oleh pengaruh blog.

Begitupun aku masih percaya bahawa banyak perkara lain yang menjadi faktor dan blog hanyalah sebahagian punca sahaja.

Salam untuk masa ini.