Radio Internet FuhYooFm

Rabu, Mei 07, 2008

KEPULAN ASAP YANG TIDAK DAPAT DILUPAKAN





Gambar yang aku paparkan bukanlah kebakaran yang mesti dilaporkan kepada pihak Bomba atau Jabatan Alam Sekitar. Aku mempotret di lokasi perkebunan nenas Jalan Felda Bukit Batu ke Parit Panjang, Pontian.

Aku mempnyai cerita yang agak melucukan yang ada kaitan dengan gambar di atas.

Pada tahun 1989, aku bertugas di Felda Bukit Batu. Hari Sabtu adalah hari bekerja separuh hari dan aku menunggu isteriku di Felda Bukit Batu kerana ingin pulang ke kampung untuk makan durian. Sekitar jam 3.00 petang isteriku sampai dan aku terus membawanya ke kampung dengan menunggang motosikal Scrambler Suzukin JAG1678. Jalan yang dilalui adalah jalan kampung dan merentasi perkebunan nenas.

Cuaca baik dengan tiupan angin yang sederhana. Perjalanan memang menyeronokkan kerana dengan keadaan jalan dan cuaca yang baik serta saling bercerita mengenai durian yang akan disediakan oleh emak di rumah.

Tetiba aku ternampak kepulan asap yang tebal di belah kiri jalan. Aku tahu asap ini adalah dari pembakaran tunggul nenas bagi tujuan tanaman baru. Aku meneruskan perjalanan kerana keadaan asap langsung tidak mengganggu perjalananku.

Aku tak pasti bila mana kepulan asap tersebut mula beralih ke kanan dan terus menyelubungiku. Pandanganku terus gelap dan tidak dapat mempastikan arah tujuan dan bagaimana harus keluar darinya. Aku sangat khuatir kiranya ada kenderaan dari arah hadapan atau berada di hadapanku. Tekaanku nyata benar kerana tidak berapa saat aku terasa berlaku perlanggaran dan pastinya kami jatuh tergolek. Aku cuba membawa isteriku mencari jalan keluar dari kepulan asap kerana kekhuatiran berlaku lagi perlanggaran.

Setelah suasana dan cuaca kembali cerah, aku begitu terkejut kerana perlanggaran yang berlaku adalah dengan sebuah motosikal yang ditunggangi oleh pemuda Pakistan yang membawa permaidani untuk jualan. Aku tak berani menunggu lama di situ kerana asap mungkin akan datang lagi mengikut tiupan angin.

Motosikalku rosak dan aku terpaksa menyorong hingga terjumpa sebuah pondok. Di situlah aku meminta bantuan dari penghuninya untuk membaiki kerosakan. Alhamdullillah, motosikal dapat dibaiki dan aku meneruskan perjalanan ke kampung.

Peristiwa ini tetap dalam ingatan dan aku tertawa kecil kerana berlaku perlanggaran dengan Pakistan penjual permaidani serta keduanya isteriku kehilangan loket emas.

Selasa, Mei 06, 2008

MESYUARAT AGUNG MAJLIS KEBUDAYAAN DAERAH JOHOR BAHRU







Pagi Ahad 4 Mei, aku terpaksa meninggalkan Kongres Permuafakatan Melayu kerana terpaksa pergi ke Hotel Sri Malaysia untuk mengikuti Mesyuarat Agung Majlis Kebudayaan Daerah Johor Bahru.

Kehadiranku didaftarkan atas perwakilan Belia 4B Johor Bahru. Aku sendiri menjadi Pengerusi Pusat Pengembangan Seni Khat dan Tulisan Jawi Masjid Jamek Bandar Baru Uda. Namun badan ini masih belum berdaftar dengan MKD Johor Bahru.

Untuk memulakan mesyuarat, aku telah diminta membacakan doa selamat dan diaminkan oleh semua yang hadir. Mesyuarat telah dirasmikan oleh Tuan Haji Mohd Jaffar bin Haji Awang, Pegawai Daerah Johor Bahru merangkap Pengerusi Majlis Kebudayaan Daerah Johor Bahru.

Di dalam agenda pemilihan, mereka yang terlantik adalah sebagaimana berikut:-

Pengerusi:
Pegawai Daerah Johor Bahru - Tuan Haji Jaffar bin Haji Awang

Timbalan Pengerusi:
Farizal bin Ismail

Naib Pengerusi:
Mohamad Nor Abidin bin Jusoh

Bendahari:
Haji Mohd Said bin Ibrahim

Jawatankuasa:
Hjh Salmah binti Sainal
Suhaimi bin Hj Ahmad
Razif bin Hj Adnan
Hjh Ellen Asniah binti Amirullah
Md Haryaf bin Bugal
Othman bin Jupri
Seth bin Hj Hassan
Misbahuddin bin Hj Karmani
Mohd Sunawan bin Hj Md Som
Faezah binti Taib

MENEMUI RAKAN-RAKAN KAKITANGAN FELDA: 1





Sebagaimana janji pada hari semalam, Raja Ismail datang ke rumah dengan tujuan untuk berjumpa dengan rakan-rakan lama yang pernah bekerja dengan Felda. Aku terus membawanya ke Taman Ungku Tun Aminah, Skudai dan mengambil Haji Md Jati Ali. Beliau berasal dari Melaka dan bekerja sebagai Juruteknik. Lama juga beliau bertugas di Johor Bahru.

Rakan pertama yang ingin kutemui adalah Haji Salehan Rohadi yang pernah bekerja sebagai Kerani di pejabat Johor Bahru. Salehan sangat peramah dan suka berterus terang. Kini berumur 59 tahun, agak uzur kerana terkena strok. Begitupun beliau sangat beruntung kerana mendapat seorang isteri yang sangat menyanyanginya dan sanggup berhenti kerja walaupun belum sampai masa untuk bersara. Begitulah, Allah membalas segala jasa dan kebajikan yang telah dicurahkan semasa beliau sihat dulu. Salehan redha kerana mempunyai seorang anak kurang upaya dan terpaksa bersusah payah mengasuh serta menghantar pergi dan balik ke Sekolah Kanak-Kanak Cacat di Jalan Gertak Merah. Bukan itu sahaja, Salehan sanggup mengabdikan diri dan menjadi penggerak serta menganggotai Jawatankuasa Badan Kebajikan Sekolah. Jawatan terakhirnya adalah Bendahari. Bukanlah mudah untuk menjadi Bendahari yang bertanggungjawab dalam soal kewangan terutama untuk bersama Ahli Jawatankuasa lainnya mencari sumber kewangan untuk menguruskan sekolah ini.

Ketibaan kami bertiga disambut dengan muka ceria yang kugambarkan sebagai betapa gembiranya bertemu dengan rakan-rakan lama. Aku teringat, Salehan ini seorang yang sangat mementingkan kesihatan. Waktu berumur 30an, beliau telah mengesan penyakitnya iaitu darah tinggi dan kencing manis. Beliau bersungguh mengikut nasihat doktor. Pada setiap petang, dia akan berjogging berbatu-batu jauhnya dari rumah di Bandar Baru Uda ke pusat bandar sekitar 16 kilometer. Kita patut mengikut contoh yang baik seperti yang ditunjukkan oleh Salehan.

Sebelum beredar, aku menasehatkannya supaya terus menjaga kesihatan. Aku juga berharap dia akan dapat bersama-sama dengan Persatuan Bekas Kakitangan Felda kerana PBKF era baru berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada ahli-ahlinya.

Rakan kedua yang dapat kami temui adalah Baba bin Hj Baid. Beliau berasal dari Melaka dan pernah bekerja sebagai tukang kebun di pejabat Johor Bahru. Kami mesra memanggilnya Pak Baba dan menemuinya di rumah bersama isterinya yang bernama Jamilah Kassim di sebuah rumah pangsa kos rendah 2 bilik. Tersentak hatiku bila melihat Pak Baba menggunakan baju kerjanya dulu berwarna biru yang jelas mempunyai logo Felda. Beliau juga uzur kerana penyakit pakinson. Isterinya pula menerima rawatan dialisis. Beliau hanya mempunyai seorang anak yang sekarang ini telah bersuami dan mempunyai rumah sendiri. Aku menasihatkannya supaya berusaha bergerak dan cergas agar otot tidak kaku. Pengalamanku melihat kakakku sendiri berkeadaan sangat uzur dan sukar bergerak. Begitupun Baba yang ku kenal sebagai rakan yang tidak berhenti bercakap, masih lagi berkeadaan demikian. Memang, pesakit pakinson nampak uzur tapi pemikiran dan cara bercakap seperti biasa. Pak Baba juga masih belum menjadi ahli persatuan dan aku berharap beliau akan dapat bersama-sama dalam harakah ini.

Seterusnya kami mencari rakan sejawatan dengan Pak Baba. Ismail bin Kulup yang mudah kami memanggilnya Pak Mail juga berasal dari Melaka. Kami berjumpa di tempat kerjanya iaitu di setesyen minyak Mobil, Jalan Skudai, Taman Skudai Baru. Beliau sangat sihat dan masih lagi mencarum KWSP. Kami juga menasihatkannya untuk memasuki Persatuan.

Kami meneruskan pencarian ke rumah Haji Zakaria Salam di Taman Skudai Baru. Pernah bertugas sebagai Pengurus Felda dan sekarang berumur 71 tahun. Begitu ceria pertemuan kami dan banyak cerita lama semasa bertugas yang diceritakannya. Diantaranya adalah beliaulah Pengurus yang pernah dikurung oleh peneroka di Felda Bukit Kuantan, Pahang. Ia adalah satu sejarah yang sangat menggemparkan negara pada ketika itu. Malang, Pak Ya juga telah dilupakan. Kami menasihatkannya untuk bersama-sama dalam Persatuan kerana beliau juga agak uzur ketika ini kerana pernah menerima serangan strok.

Aku harap catatanku di blog ini akan memberi keinsafan kepada semua pihak terutama rakan-rakan yang pernah bersama pada ketika kita sihat, bahgia, gembira dan segala-galanya, dan ketika kita bersendirian atau dalam keadaan yang memerlukan bantuan dan sokongan, janganlah kita membutakan mata, telinga dan hati kita.

Untuk menghubungi rakan yang kutemui adalah sebagaimana berikut:-

Raja Ismail bin Raja Salim
Taman Kobena, Johor Bahru.
013-7733738

Haji Md Jati bin Ali
Taman Ungku Tun Aminah, Skudai
017-7439772, 07-5574505

Baba bin Hj Baid
#01-01 Blok 6, Bandar Selesa Jaya, 81300 Skudai
07-5125163

Ismail bin Kulup
5 Jln Silat Lincah 12, Bandar Selesa Jaya, 81300 Skudai
07-5113405

Haji Zakaria bin Salam
71 Jln Tembaga, Taman Sri Skudai, 81300 Skudai
07-5577291

Isnin, Mei 05, 2008

PERSIDANGAN DEWAN RAKYAT BERJALAN TENANG


Datuk Shahrir Samad menjawab soalan Khairi Jamaluddin


Datuk Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar semasa ditemuramah oleh RTM

Seperti pada hari Rabu (30.4.2008) yang lalu, hari ini aku menunggu di hadapan kaca television pada jam 10.00 pagi untuk melihat siaran langsung Persidangan Dewan Rakyat kali kedua belas.

Telah kuduga untuk persidangan hari ini (5.5.2008) tentunya ia berada dalam suasana tenang. Ia jauh berbeza dengan persidangan yang disiarkan melalui rangkaian RTM1 selama 45 minit pada hari Rabu Ketika itu berlaku pertikaman lidah di antara Karpal Singh (Bukit Gelugur) dan Datuk Bung Mokhtar Radin (Kinabatangan) di mana Karpal Singh menggelar Datuk Bung Moktar Radin sebagai Big Foot.

Hari ini Yang di-pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah menggunakan kebijaksanaannya dan pastinya telah bersedia dengan pelbagai percubaan dari Ahli Dewan Rakyat terutama dari pembangkang. Beliau telah membuat keputusan untuk tidak melayan sebarang usaha terutama menggunakan alasan Peraturan Mesyuarat untuk melengahkan persidangan. Beliau hanya membenarkan Peraturan Mesyuarat digunakan jika ia benar-benar membantu perjalanan persidangan.

Begitupun, anggota dari Bukit Gelugor, YB Karpal Singh telah membantah peraturan tersebut dengan menganggapnya sebagai diktator dan tidak adil. Beliau telah behujah bahawa penglibatannya dalam parlimen selama 26 tahun tidak melalui peraturan seperti pada kali ini. Sebaliknya Pandikar Amin Mulia tetap bertegas dengan keputusannya.

Apabila anggota Bukit Gelugor masih cuba untuk mengguggat arahannya, Pandikar Amin Mulia meminta beliau membaca dan mengikut peruntukan 43 Peraturan Mesyuarat iaitu sebagai Yang di-pertua Dewan Rakyat, keputusan yang dibuatnya adalah muktamad dan perlu dipatuhi oleh semua wakil-wakil rakyat yang bersidang.

Seterusnya Yang di-Pertua telah meminta Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) mengemukakan soalan pertama iaitu pada pukul 10.15 pagi dan dijawab oleh Datuk Shaziman Abu Mansor, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Datuk Shahrir Samad pula sebagai Menteri kedua memberi jawapan atas soalan yang dikemukakan oleh Ahli Yang Berhormat dari Rembau, YB Khairi Jamaluddin mengenai isu kepenggunaan.

Aku percaya perjalanan persidangan selepas ini akan lebih teratur dan tenang walaupun mungkin akan berlaku pertikaman lidah diantara ahli-ahli dewan dan juga Yang di-Pertua.

Selepas ini, bagaimana suara yang akan dilontarkan oleh Ahli-Ahli Parlimen seperti Mahfuz Omar, Nasharudin Mat Isa, Salahudin Ayub, Ibrahim Ali, Fong Poh Kuan, Lim Kit Siang, Gobind Singh Deo, Saifuddin Nasution, Khalid Ibrahim, Tien Chua, Gobala Krishnan dan ramai lagi. Dan di pihak Kerajaan pula tentunya MP seperti Bong Mokhtar Radin, Datuk Mohamad Aziz dan yang lain-lainnya juga pasti berfikir berkali-kali kerana pada kali ini semua suara dan telatah mereka akan dinilai oleh rakyat.

Ketika inipun telah banyak kedengaran supaya siaran tersebut dapat diperpanjangkan masanya dan tidak lagi 45 minit walaupun rakyat tahu kos operasinya boleh mencapai satu juta untuk sekali siaran.

Bagi aku, siaran ini memang berfaedah bagi semua yang mengikutinya. Pada masa yang lalu aku mengikutinya melalui laman web Parlimen Malaysia sebagaimana http://www.parlimen.gov.my. Namun biasanya ia agak lewat sedikit, seawal sehari atau mungkin lebih dari itu.

Cuma aku tertunggu-tunggu untuk melihat bagaimana pula Datuk Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar (Santubong) dan Datuk Ronald Kiandee (Beluran) sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat mengemudikannya.

Aku rasa kedua-duanya juga berkebolehan terutama Datuk Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar berdasarkan kelayakan dan pengalaman serta hujah-hujah beliau dalam wawancara di RTM sebelum berlangsungnya siaran pada hari ini.

RETORIKKAH KONGRES PERMUAFAKATAN MELAYU?











PASTI satu sejarah yang penuh bermakna bagi diriku dan juga seluruh umat yang mengaku dirinya berbangsa Melayu khususnya di Malaysia kerana aku turut sama dalam Kongres Permuafakatan Melayu yang dianjurkan oleh Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan Barisan Bertindak Perpaduan Malaysia (BBPM) yang berlangsung di Dewan Tanjung Puteri, Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru dari 2 hingga 4 Mei 2008.

Pemergianku adalah atas kesedaran bahawa keputusan pilihanraya umum ke 12 telah menunjukkan impak yang jelas kepada kekuasaan bangsa Melayu dan Islam BOLEH terhakis dan menjadikan bangsa akan hilang segala-galanya. Walaupun kenyataan ini boleh dipertikaikan, tapi aku mempunyai keyakinan bahawa sesuatu harus dilakukan bagi menghalang tindakan lebih jauh yang akan dilakukan oleh pihak tertentu hingga menyebabkan kenyataanku akan menjadi realiti.

Ini bukanlah bermakna aku merasa kecewa atas kekalahan Barisan Nasional dan UMNO (yang telah mendarahdaging) hingga menyebabkan kemenangan yang tidak mutlak serta hilang kuasa di empat buah negeri. Lebih jauh dari itu adalah kehampaan atas kekalahan yang disebabkan oleh kelemahan pentadbiran serta hasutan dari bangsanya sendiri.

Mulanya aku mendaftar atas badan yang aku menjadi diantara peneraju pada masa kini iaitu Jawatankuasa Pentadbir Masjid Jamik BBU yang aku fakir ia adalah badan yang berperanan untuk umat Islam dan Melayu, sebaliknya aku terpaksa membatalkannya kerana tidak mempunyai mandat dan aku pergi atas keupayaan diriku sendiri (individu).

Alhamdullillah, aku dapat bersama-sama dengan 2000 peserta yang lain apatah lagi abang aku yang banyak menghabiskan masa dan usianya bersama pentadbiran MARA (juga hasil dari Kongres Ekonomi Bumiputera/Melayu pada awal tahun 1960an) serta Kak Nor yang turut sama dalam Kongres.

Pada malam perasmian, semangat peserta pastinya begitu meluap-luap seakan lahar yang akan memuntahkan belerang kerana ramainya peserta yang hadir lengkap berpakaian baju kebangsaan. Maklum saja mungkin mereka nak berperang, paling tidak menjadi soldadu British di Tanah Melayu atau Regimen 1 Askar Melayu Di Raja yang akan menjalani tugas sebagai jaga di "London Public Duties" atau mungkin juga mereka ingin mendengar titah DYAM Tunku Ibrahim Ismail, Tunku Mahkota Johor.

Begitupun, majlis perasmian telah dilakukan sendiri oleh Prof Tan Sri Dato’ Ismail Hussein, Ketua Satu GAPENA. Beliau menyatakan bahawa diantara matlamat Kongres ini adalah untuk mencari kata sepakat dalam menubuhkan satu Majlis Permuafakatan Melayu yang akan berperanan untuk menjaga, memantau serta memastikan hak kepentingan Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak akan terhakis untuk selama-lamanya.

Aku dapati, tanpa makluman yang jelas dari penganjur tentang ketidak hadiran DYAM TMJ, rasanya semangat peserta kian luntur. Lihat saja dari gambaran kehadiran peserta di keesokan harinya. Lengang.

Aku tahu, penganjur tetap bersemangat meneruskannya. Pembentang-pembentang kertas kerja terutama Prof Madya Dr Mohd Agus Yusoff, Tan Sri Dato’ Abdul Aziz Abdul Rahman dan Tan Sri Dato Muhammad Ali Hashim dan lain-lain berupaya meyakinkan peserta dalam tajuk yang membicarakan pelbagai sudut yang akan dijadikan bahan untuk membuat resolusi.

Tidak kurang hebatnya juga dengan pembahas dari kalangan peserta yang mengutarakan pelbagai pertanyaan, sanggahan dan usul seperti Ishak Ismail, Setiausaha Agung Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, yang berkata bahawa Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) itu adalah dasar yang salah serta gagal membentuk pelajar menguasai Bahasa Inggeris sekaligus terhadap penguasaan subjek Sains dan Matematik.

Kenyataan ini disokong pula oleh bekas Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Datuk Dr Mohd Mansor Abdullah yang turut mendesak pemansuhannya kerana pembelajaran Bahasa Melayu bukan sekadar mudah difahami oleh para pelajar bahkan selaras dengan usaha mempertahankan kedaulatan Bahasa Melayu seperti termaktub dalam perlembagaan.

Begitu juga dengan Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden TERAS yang bersuara lantang dan tidak mahu penganjur mengulangi retorik mempertahankan hak bangsa Melayu tanpa mempunyai gerakerja konkrit.

Penerbit filem popular, Shuhaimi Baba pula bercadang untuk menerbitkan sebuah filem untuk memulihkan semangat orang Melayu demi menjamin permuafakatan di kalangan kaum tersebut. Ini adalah disebabkan perpaduan dan semangat di kalangan orang Melayu itu sendiri semakin terhakis.

Tidak terlepas juga beberapa peserta yang melampiaskan amarahnya dengan pimpinan Barisan Nasional seperti wakil dari Persatuan Nelayan yang telah membuat permohonan tanah. Malangnya, setelah 34 tahun ia masih tidak diluluskan. Ucapannya hanya berhamburan dengan emosi yang tidak terkawal.

Pada pengamatanku, banyak ucapan peserta adalah retorik untuk mempengaruhi audian semata. Begitupun, kehebatan mereka tidaklah sehebat penasihat PKR, Anuar Ibrahim yang dianugerahi kepetahan berucap sehingga berupaya merobah pemikiran pengundi PRU12, lantas berlansungnya Kongres ini.

Aku sengaja mengutarakan fakta di sini kerana tidak ada seorang perseta pun, hatta Prof Madya Dr Mohd Agus Yusoff, berani menyatakannya.

Sehingga kini, aku masih lagi tertanya-tanya dimana perwakilan orang-orang muda yang akan menjadi generasi penerus? Mereka inilah yang sepatutnya melaut di dalam Kongres. Sebaliknya, peserta warga emas yang menguasai Kongres.

Begitupun, aku ingin mengucapkan tahniah untuk rakan-rakan UMNO Johor Bahru dan pendukong Datuk Shahrir Samad yang hadir dan mempunyai iltizam untuk membangunkan semula bangsanya. Mereka tidak diberi arahan oleh sesiapapun tetapi mereka hadir atas keinsafan yang tidak semua orang mempunyainya.

Syabas untuk Haji Misbah Zainuddin, Haji Mohamad Ismail, Haji Ali Mohamad, Haji Hashim Ahmad, Syed Yassin Ali, Azman Dawam, Rahmatullah Ajar, Syed Zain, Hazlan Ahmad, Azuki Ngah, Rokyddin, Razali Ibrahim,Dicky Shamsul, Malik Jazuli, Faridah Mustaffa, Hajah Fatimah Bidin dan mereka lain yang tidak dapat kutemui.

TAHNIAH juga untuk GAPENA dan Badan-Badan Melayu Bukan Kerajaan (BBK).

PIAGAM KONGRES PERMUAFAKATAN MELAYU 2008



Kongres Permuafakatan Melayu yang dianjurkan oleh Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan Barisan Bertindak Perpaduan Malaysia (BBPM) dari 2 hingga 4 Mei 2008 di Dewan Tanjung Puteri, Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru telah menghasilkan resolusi yang telahpun diserahkan kepada Istana Johor tepat jam 12.30 tengah hari setelah berakhirnya Kongres tersebut.

Kongres yang dihadiri oleh ahli-ahli yang mewakili 196 persatuan dan kelab serta individu dengan 2,000 peserta meluluskan piagam berikut:-


MUKADIMAH: Kewujudan Bangsa dan Persekutuan Malaysia adalah berpaksi dan berteraskan Kedaulatan Melayu bermaksud kuasa pemerintahan dan pembentukan Negara yang berkesinambungan, bersendikan roses sejarah yang panjang, mempunyai tradisi yang berterusan dan segala persetiaan yang menjalin perhubungan di antara kerajaan dan rakyat Melayu;

RUKUN PERJUANGAN MELAYU: Persekutuan Melaysia sebagai Negara berdaulat adalah natijah kesinambungan sejarah, tradisi dan persetiaan bangsa Melayu dan seluruhrakyat Malaysia. Demi kedaulatan dan keutahan Negara dan bangsa maka dimaktubkan prinsip-prinsip berikut:-

1. Menjunjung kedaulatan dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang muktamad dan sahih tentang kewujudan bangsa dan Persekutuan Malaysia;
2. Mempertahankan kemuliaan dan kesucian Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia dan segala natijahnya dalam kewujudan bangsa dan Negara;
3. Menjaga, memelihara dan mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu dan kedaulatannya sebagai tonggak kewujudan Persekutuan Malaysia;
4. Mempertahankan system politik Negara yang berlandaskan raja berperlembagaan, pemerintahan berlandaskan demokrasi serta keadaulatan rakyat;
5. Menjunjung kedaulatan undang-undang sebagai landasan keadilan, pentadbiran dan pertahanan demi kesejahteraan bangsa dan Negara;
6. Memperjuangkan prinsip kesaksamaan pengagihan, penyertaan dan pemilikan kekayaan ekonomi Negara berlandaskan peruntukan undang-undang;
7. Memastikan kewujudan satu system pendidikan kebangsaan untuk membentuk kewarganegaraan yang taat setia sepenuhnya kepada bangsa dan Negara;
8. Menegaskan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang bergungsi sebagai saluran komunikasi untuk menyatupadukan seluruh rakyat dan sebagai wahana keilmuan untuk memrtabatkan peradaban Malaysia;
9. Membina kebudayaan dan kesenian kebangsaan berteraskan unsure-unsur keperibumian dan penyelsuaian unsure-unsur kebudayaan lain.

Rukun Perjuangan Melayu ini adalah piagam perjuangan dari pegangan berterusan lagi kekal abadi untuk seluruh umat Melayu.