Radio Internet FuhYooFm

Selasa, Mei 27, 2008

PINDAAN PERLEMBAGAAN MAJLIS KEBUDAYAAN NEGERI JOHOR








Satu usul yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Majlis Kebudayaan Negeri Johor dalam Mesyurat Agung MKNJ Ke 18 yang diadakan pada 25.5.2008 di Hotel Pelangi, Segamat adalah untuk meminda perlembagaan. Diantara usul yang dipinda adalah dalam Undang-undang 11.11. yang dipinda kepada:

"Jika timbul perkara yang berkehendakkan keputusan segera Jawatankuasa dan Mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan maka Setiausaha boleh mendapatkan keputusan secara rundingan dengan Pegawai-pegawai kanan Majlis iaitu: yang Dipertua, Naib-naib Yang Dipertua, Penolong Setiausaha dan Bendahari. Apa-apa keputusan yang diperolehi hendaklah dibentangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa yang kemudiannya untuk dicatatkan sebagai keputusan Jawatankuasa".

Sebagai perwakilan dari Majlis Kebudayaan Daerah Johor Bahru, saya telah membuat cadangan untuk menolak usul tersebut kerana memberi kuasa yang terlalu besar kepada Pegawai-pegawai Kanan. Saya telah mencadangkan supaya segala keputusan hendaklah dibuat oleh Jawatankuasa samada melalui mesyuarat atau keputusan yang boleh didapatkan melalui surat jawapan segera. Adalah tidak sukar untuk melakukan perkara ini kerana di alaf siber, segala surat menyurat dan perhubungan dapat dilakukan dalam masa yang singkat samada melalui telefon, fax, email dan sebagainya.

Malangnya cadangan ini tidak langsung mendapat sokongan sebaliknya cadangan dari Persatuan Penulis Johor untuk meminda kuasa Setiausaha kepada Yang Dipertua telah diterima oleh perwakilan.

Keputusan telah dibuat oleh perwakilan dan kesan dari pindaan ini sekiranya diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan ialah apa sahaja boleh dilakukan oleh Pegawai-pegawai Kanan walaupun MKNJ hanya mengadakan mesyuarat hanya sekali dalam setahun.

Sekiranya begitu apakah fungsi Ahli-ahli Jawatankuasa yang terdiri dari mereka yang sangat dikenali oleh masyarakat termasuk Ahli-ahli Yang Berhormat untuk menentukan hala tuju dan memertabatkan budaya oleh MKNJ?.

LAWATAN PEGAWAI JAKIM KE MASJID BBU

Sejak akhir-akhir ini pegawai-pegawai dari Jaatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melawat Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Johor Bahru. Bermula dengan tiga orang pegawai pada bulan April, pengambaran selama tiga hari pada minggu pertama Mei dan semalan seorang pegawai lagi datang untuk mendapatkan beberapa maklumat.

Perbincangan dengan pegawai-pegawai berkenaan, mereka menyatakan bahawa masjid ini agak istimewa kerana beberapa kegiatan yang dijalankan dan tidak terdapat di masjid yang lain terutama penubuhan Yayasan Masjid, Pusat Dialisis dan juga sistem pengurusan yang tersusun.

Difahamkan bahawa JAKIM akan menyiarkan rancangan tentang kegiatan masjid ini melalui saluran RTM1 pada hari Selasa minggu pertama awal bulan Julai 2008. Siaran rancangan adalah pada jam 6.30 petang.

Mereka juga menyatakan bahawa berkemungkinan YB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan membuat tinjauan dan lawatan ke masjid ini.

Sabtu, Mei 24, 2008

PERJUMPAAN DATO' SHAHRIR DENGAN KETUA UMNO BBU




Malam ini Dato' Shahrir Samad ingin mengadakan perjumpaan dengan Ketua-Ketua UMNO Cawangan dalam kawasan Bandar Baru Uda. Sebagai Ketua UMNO Bahagian dan juga Ahli Parlimen Johor Bahru, mungkin ada beberapa perkara yang ingin disampaikan terutama isu semasa yang berkaitan dengan politik tanah air.

Cawangan-cawangan yang terlibat adalah:-
1. Bandar Baru Uda
2. Skudai Kanan
3. Rumah Pangsa Skudai Kanan
4. Uda Jagong
5. Uda Mahsuri
6. Uda Malinja
7. Uda Malinja 1
8. Flat Ledang
9. Uda Angsana
10. Kg. Muafakat (Jln Tun A Razak)

Ini adalah pertemuan pertama (khusus untuk pemimpin UMNO BBU) yang diadakan sejak kawasan Bandar Baru Uda dimasukkan dalam kawasan Parlimen Johor Bahru dalam persempadanan semula pada tahun 2004. Sungguh begitu, ini tidak bermakna Dato' Shahrir telah mengabaikan tanggungjawabnya kepada penduduk di kawasan ini. Sebaliknya beliau telah menjalankan tugas jauh lebih cemerlang berbanding dengan pemimpin-pemimpin terdahulu.

Banyak kenyataan yang boleh menjadi bukti bagaimana Dato' Shahrir membantu penduduk di kawasan ini dan pastinya ia tidak dapat dinafikan oleh sesiapapun terutama parti-parti pembangkang. Buktinya:-

1. Kejayaan mendapat menukar hakmilik tanah dari pajakan 99 tahun kepada bebas. Permohonan awal melalui mantan Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Parlimen (Tan Sri Dato' Mohamad Rahmat) langsung tidak dipedulikan walaupun pernah dibawa dalam mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian dan Perwakilan Bahagian.

2. Mendapatkan sumber kewangan sebanyak RM400,000 melalui Yayasan Lee untuk memulakan operasi Pusat Dialisis Dan Kesihatan Masjid Jamek Bandar Baru Uda.

3. Bersetuju menjadi Pengerusi Pusat Dialisis dan kesihatan Masjid Jamek Bandar Baru Uda dan menjadikan badan ini adalah satu-satunya pusat dialisis yang beroperasi di kawasan masjid serta ditaja oleh kariah sendiri.

4. Mengusahakan kejayaan Masjid Jamek BBU mendapat dua petak tanah kepunyaan Uda Holding termasuk bangunan Dewan Jubli Perak (Dewan Serbaguna) dan tanah untuk tujuan komersial.

5. Membawa Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar Johor ke BBU dan mendapatkan peruntukan pembaikan masjid dan pembinaan menara.

6. Memberi peruntukan kepada sekolah-sekolah dan badan-badan yang ada di kawasan BBU termasuk pembinaan beberapa dewan sekolah.

7. Memberi peruntukan khas setiap tahun sebanyak RM5,000 khusus untuk tujuan pendidikan untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

8. Pembinaan bangunan untuk tujuan kebajikan komuniti di Flat Ledang dan Flat Skudai Kanan.

9. Banyak lagi yang tidak dapat dinyatakan disini.

Kesungguhannya membantu penduduk BBU dapat diterjemahkan melalui keputusan pengundian dalam Pilihanraya UMUM ke 12 yang baru lalu. Pada ketika ramai calon BN mendapat undi merudum, Dato' Shahrir terus mengekalkan kecemerlangan di Bandar Baru Uda:-

a) Di Pusat Mengundi Sekolah Keb Kompleks Uda, Dato' Shahrir mendapat 79.08 peratus walaupun terdapat 24.8 peratus pengundi bukan Melayu.

b) Di Pusat Mengundi Sekolah Keb Uda 2, Dato' Shahrir mendapat 84.6 peratus dengan pengundi bukan Melayu sebanyak 15.3 peratus.

c) Di Pusat Mengundi Sekolah Men Bandar Baru Uda, Dato' Shahrir mendapat 80.10 peratus dengan pengundi bukan Melayu sebanyak 9.9 peratus.

Ini menjadikan beliau meraih 81.26 peratus dari keseluruhan pengundi di Bandar Baru Uda. Sekiranya diambil kira aliran pengundi bukan Melayu yang memberi sokongan kepada BN sekitar 5-10 peratus, ini memberi petunjuk kepada sokongan yang besar kepada Dato' Shahrir. Berbanding dengan undi yang diterima pada tahun 2004, ia juga menunjukkan peningkatan walaupun dalam suasana penurunan sokongan di tempat lain. Sokongan yang agak kurang pada pilihanraya tahun 2004 adalah disebabkan oleh kurang keberkesanan Ahli Parlimen terdahulu dan ini telah dapat dipulihkan kembali sepanjang hampir lima tahun Dato' Shahrir menjadi wakil.

Kelantangan dan ketegasan beliau dalam memperjuang dan memperkatakan sesuatu isu juga mendapat sokongan dan keberkesanan kepada pengundi dan penduduk.

Selain dari itu, beliau juga mendapat sokongan dari bekas ADUN Tanjung Puteri, Haji Ali Mohamad serta juga dengan bantuan Haji Mohd Said Ibrahim selaku Ahli Majlis MBJB.

EMAKKU TERSAYANG









Hari Ibu beberapa hari lalu, aku menjengah ibu yang aku panggil emak. Aku menciumnya di pipi kiri dan kanan. Keadaan emak akhir-akhir ini agak uzur. Seperti kebanyakan kaum wanita yang telah lanjut umur, emak juga mengidap penyakit lutut. Pergerakannnya agak terbatas. Abang Asmuni pernah membawanya ke Kuala Lumpur dan berjumpa dengan doktor, bagaimanapun keadaannya tidak berubah.

Minggu lalu dia demam. Biasanya kalau aku nak balik ke Johor Bahru, pastinya dia akan melambai tangan di muka pintu. Tapi pada kali ini dia tak dapat melakukannya. Kasihan juga aku padanya. Isteriku terlalu sayangkan emak sebagaimana dia sayang pada arwah bapakku. Selalu dia menalipon emak bertanyakan kabar. Aku bawakan ikan yang segar dan beberapa hari sebelumnya aku bawa Laksa Pinang kegemarannya. Kecewa juga kerana dia hanya menjamah sedikit, itupun kerana paksaan dari isteriku.

Sejak kematian bapak beberapa tahun dulu, emak memang banyak berubah dari segi sikap dan perlakuan. Dulu, dia memang agak ‘kemering’ (sikap yang berlawanan dengan lemah lembut) bahkan kepada bapak sekalipun. Perlakuannya mungkin berpunca dari alam sekeliling dimana dia adalah anak tunggal seibu sebapa. Kakaknya dari berlainan ibu telah berumahtangga lebih awal. Begitu juga dengan sepupunya yang menjadi abang angkat. Dia adalah anak yang sangat dimanjakan dari datuk aku yang sangat terkenal pada zamannya. Pak Reban adalah nama yang sangat digeruni terutama persekitaran Benut pada tahun 30an, 40an dan 50an. Pak Reban yang aku memanggilnya ‘yai (datuk) adalah seorang pendekar dengan ilmu kebatinan. Aku masih mengingati wajahnya walaupun dia meninggal pada tahun 1956 ketika aku berumur enam tahun. Sebagai anak pendikar, emak aku juga boleh bersilat. Beliau pernah mengakui sendiri padaku setelah aku bertanya kepadanya kerana ada seorang peneroka Felda Ulu Tebrau memberitahuku mengenai perkara ini.

Aku tahu, dulu emak memang mempunyai sikap pilih kasih dalam menyayangi anak-anak. Isteriku pun tahu, aku adalah diantara yang kurang disayangi. Aku tak tahu samada perkara ini disedari oleh adik beradik yang lain ataupun tidak. Aku tak ambil peduli mengenai perkara ini dan ia tidak menjadi masalah yang besar bagiku. Seingatanku, aku tak pernah walau sekali untuk menyakiti hati emak maupun bapak. Tak tahulah kalau perlakuanku yang aku tak sedar mungkin telah menyakitkan hati kedua-duanya.

Apa yang aku catatkan disini adalah untuk ingatan dan pengajaran kepada anak cucuku supaya mereka sentiasa berlaku baik kepada ibu bapa walau apa perlakuan dan sangkaan kepada ibu bapa masing-masing.

Sepanjang umurku, aku berusaha berlaku yang terbaik untuk emak dan bapak. Dulu (1969-1970), ketika aku bekerja sebagai peon (pelayan pejabat) di Johor Bahru dengan gaji lapanpuluh empat ringgit sebulan, aku dapat memberi emak tigapuluh ringgit pada setiap bulan. Pernah juga (walau hanya sekali dua) aku memberi duit pada abang yang ketika itu masih di kolej. Cuma seingatanku, setiap pemberian adalah kepada emak dan tidak kepada bapak kerana bagiku bapak mempunyai penghasilan dari kebun. Pemberianku kepada emak ini mungkinlah tidak berterusan pada setiap bulan terutama pada tahun-tahun 70an dan 80an kerana pada masa itu aku mempunyai banyak komitmen terutama kepada keluarga sendiri dan juga masyarakat (memimpin Pergerakan Belia dan Pemuda UMNO peringkat Daerah dan Bahagian) sedangkan pekerjaanku hanyalah sebagai seorang Kerani.

Pada tahun 1971, ketika aku bergaji dua ratus ringgit, aku pernah meminjam wang koperasi sebanyak satu ribu ringgit dan memberi pada bapak untuknya balik melawat saudara mara di Tanah Jawa, Indonesia. Sekali lagi aku membawa emak dan bapak ke sana pada tahun 1996, ketika itu aku telah berhenti kerja Felda dan menjalankan perniagaan dan mempunyai pendapatan yang agak baik juga. Waktu itulah bapak dapat berjumpa kedua adik-adiknya yang masih ada, setelah 25 tahun tidak bersua.

Ketika aku menjawat jawatan Pembantu Khas Exco dan juga sebagai Pesuruhjaya Sumpah, waktu itu memang menjadi kemestian aku memberi wang kepada emak dan cukuplah untuk keperluan dirinya. Dan sekarang, aku memang tidak dapat membantunya kerana maklum saja aku dah menjadi pesara sepenuh masa. Alhamdullillah, aku tahu emak mempunyai pendapatan agak lumayan pada ketika ini, maklum saja harga sawit sedang melambung. Aku telah sepakat dengan abang supaya segala pendapatan dari kebun sawit kami berdua seluas lapan ekar telah kami serahkan kepada emak.

Cuma pada ketika ini kesihatan yang menjadi gangguan kepadanya. Aku tahu, emak masih berharap untuk dapat berjalan-jalan ke rumah anak-anak. Aku berdoa semoga termakbul doa kami agar emak dapat sembuh dan pulih seperti dahulu.

Kasihan juga kepada adik bungsuku yang terpaksa menjaga emak. Isterinya juga tidaklah begitu sihat. Masalahnya ialah emak tak mahu mengikut anak-anak yang lain. Maklum sajalah, rumah yang didiami sekarang adalah rumah peninggalan ‘yai (datuk). Aku dan isteri memang bersedia untuk menjaganya tapi aku pasti dia tak akan ‘kerasan’ (ia adalah bahasa Jawa bermaksud betah atau tahan). Aku tahu sangat mengenai perkara ini kerana emak mewarisi ‘Nyai Rahmah (ibu kepada emak). Dulu, ‘Nyai Rahmah pernah ku bawa ke rumahku di Felda Ulu Tebrau dalam tahun 70an. Hanya beberapa minggu sahaja dia bersama denganku dan sentiasa mendesak untuk menghantarnya balik ke kampong.

Abang juga mempunyai keinginan untuk menjaga emak kerana dia sudah membawanya beberapa kali ke Kuala Lumpur. Pasti dia perasan mengenai emak yang tidak ‘kerasan’ untuk duduk lama dengannya. Kalaulah emak yang lebih sayang kepadanya berbanding dengan aku, itupun emak tidak ‘kerasan’, apatah lagi untuknya duduk di rumahku di Johor Bahru. Apatah lagi dengan sikap anak-anakku yang agak kurang elok perlakuan dari pandangan matanya.

Aku sangat memahami mengenai hal ini. Hanya aku tidak dapat meyakinkan emak bahawa aku juga boleh menjaganya dengan baik. Cagaranku adalah isteriku yang sangat menyayanginya. Isteriku dapat melupakan peristiwa yang pernah melukakannya, kerana itupun salah satu dari ciri-ciri dan sifat isteriku.

Bagaimana harus kita melupakan ibu yang pernah bersusah payah mengandung dan melahirkan serta mengasuh dengan penuh kasih sayang?. Sehingga kini, aku tidak akan dapat melupakan satu peristiwa bagaimana pada satu pagi ketika aku berumur sekitar empat tahun, emak menggendung aku sambil berlari-lari menuju ke rumah ‘yai. Ketika itu aku jatuh ‘terpeleset’ (bahawa Jawa yang bermakna tergelincir kerana licin) waktu berlari dari perigi (setelah mandi) ke rumah. Di antara perigi dan rumah diletakkan batu-batu sebagai pemijak (dalam bahasa Jawa dinamakan ‘bancek’). Dahiku terkena hujung penjuru batu ‘bancek’ yang menyebabkannya berdarah dengan banyak. Kening kiriku luka dan parutnya tetap ada hingga kini. Inilah parut yang membuktikan kasihnya ibu kepada anak.

Pastinya banyak perkara yang berkaitan dengan emak dapat aku paparkan di sini. Insyaallah pada ketika yang lain.

ISTERI MELANCONG KE KELANTAN DAN TRENGGANU

Malam tadi isteriku bersama 40 orang rakan-rakan dari BBU melancong ke Kelantan dan Trengganu. Aku rasa dah lama dia tak kesana. Bayaran yang dikenakan untuk setiap orang adalah RM140 termasuk pengangkutan (bas) dan penginapan untuk satu malam.

Isteriku ni memang suka berjalan-jalan dan melancong. Negara yang pernah dilawat adalah England, France, Holland, Swizland, Germany, Turkey, Mesir, China, Hong Kong, India, Korea, Viatnam, Thailand dan Indonesia. Banyak pekan dan bandar di Indonesia yang dia pergi seperti Medan, Dumai, Pekan Baru, Bukit Tinggi, Padang, Jambi, Palembang, Tanjung Balai, Selat Panjang, Batam, Tanjung Pinang, seluruh Pulau Jawa meliputi Jakarta, Banten, Puncak, Bogor, Bandung, Semarang, Demak, Kudus, Pati, Cerebon, Jepara, Malang dan Surabaya. Menunaikan Haji di Mekah pernah sekali dan umarah akhir ramadhan juga pernah dilakukan.

Di negara sendiri, banyak tempat juga yang dia dah pergi termasuk Sabah dan Sarawak. Berhajat sangat dia nak ke Pulau Bali. Aku sengaja tak menggalakkan kerana bagiku yang pernah pergi ke sana, Bali hanya sesuai untuk pelancong bukan Islam sahaja.

Hari ini aku terpaksa menjadi suri rumah. Yang susah ni kerana terpaksa menjaga Safikah. Banyak program lain yang kena buat hari ini dan esok termasuk kerja-kerja di masjid, mesyuarat sekolah agama, perjumpaan dengan Dato' Shahrir Samad. Esok pagi mesti berada di Segamat untuk mesyuarat agung Majlis Kebudayaan Negeri Johor kerana aku telah terpilih sebagai wakil MKD Johor Bahru. Nampaknya kena bincang dengan anak-anak untuk tolong jaga Safikah.

Apapun biarlah Mon (panggilan untuk isteriku) gembira dalam perjalanan ini.

SAH.. PULAU BATU PUTIH MILIK SINGAPURA






Kecewa, memang sangat mengecewakan. Keputusan mengenai Pulau Batu Putih (7.7 batu nautika dari Johor dan 25 batu nautika dari Singapura) oleh ICJ memang telah ada dalam jangkaanku kerana dari awal lagi aku telah menjangka tentang surat jawapan dari Pemangku Setiausaha Kerajaan Johor bertarikh 21 September 1953 yang menyebut Johor tidak menuntut hak milik ke atas Pedra Branca (Pulau Batu Putih) akan menjadi kenyataan penting. Selain dari itu, salah seorang AJK Masjid Jamek BBU (Hj Ali Zaiton) yang mengikuti perbicaraan di The Hague pernah menyatakan padaku bahawa ada beberapa hujah Singapura yang sangat meyakinkan dan sukar untuk dibalas.

Begitupun, pada hari Jumaat (hari keputusan penghakiman), bersama-sama dengan 400 orang jemaah di Masjid BBU, kami masih lagi bersolat hajat memohon kehadrat Allah s.w.t. untuk keberhasilan perbicaraan. Inilah diantara ikhtiar yang dapat kami lakukan.

Keputusannya telahpun diketahui. Iktibar kepada kita yang masih hidup ini adalah segala perlakuan kita samada kita perihatin atau sebaliknya, akan menjadi kesan yang besar kepada generasi akan datang. BERINGATLAH.

Dibawah ini adalah paparan dari Utusan Malaysia Online:-

Batu Putih hak Singapura - ICJ juga putuskan Middle Rocks kepunyaan Malaysia
Daripada NORAINI ABD. RAZAK

THE HAGUE, Belanda 23 Mei – Pertikaian mengenai status Pulau Batu Putih yang berlarutan selama 28 tahun akhirnya diputuskan hari ini oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini dengan menyerahkan kedaulatan pulau tersebut kepada Singapura.

Dalam penghakiman kira-kira sejam 45 minit itu, ICJ turut memutuskan bahawa Middle Rocks yang terletak kira-kira 0.5 batu nautika di selatan Pulau Batu Putih menjadi milik Malaysia manakala status satu lagi bentuk maritim iaitu South Ledge akan menjadi milik negara di perairan mana pulau itu terletak.

Pemangku Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh ketika membaca keputusan kes tuntutan bertindih itu berkata, status mengenai kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih diputuskan oleh majoriti 12-4 hakim, manakala majoriti 15-1 hakim pula bersetuju berhubung kedudukan Middle Rocks dan South Ledge.

Penyerahan kedaulatan Pulau Batu Putih yang dari sudut sejarahnya adalah milik Kesultanan Johor diputuskan oleh ICJ berdasarkan kepada surat balasan pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1953 yang menyebut Johor tidak menuntut hak milik ke atas Pedra Branca, iaitu nama dalam bahasa Portugis bagi Pulau Batu Putih.

“Jawapan balas itu adalah berkaitan dengan pulau tersebut secara keseluruhannya dan bukan semata-mata rumah api.

“Apabila surat itu dibaca dalam konteks permintaan oleh Singapura mengenai maklumat status Pulau Batu Putih, adalah menjadi bukti bahawa surat berkenaan menyentuh isu kedaulatan pulau tersebut.

“Oleh itu mahkamah menyimpulkan bahawa surat jawapan itu jelas menunjukkan bahawa mulai tahun 1953, Johor maklum ia tidak lagi mempunyai kedaulatan ke atas Pedra Branca/Pulau Batu Putih,” kata Shawkat yang mempengerusikan persidangan ICJ bagi memutuskan tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge.

Beliau bersidang bersama 15 orang hakim lain.

Tuntutan ke atas Pulau Batu Putih bermula pada 14 Februari 1980 apabila Singapura mengemukakan nota bantahan kepada Malaysia menuntut pulau itu sebagai sebahagian daripada wilayah berdaulatnya.

Tuntutan Singapura ke atas Middle Rocks dan South Ledge pula hanya timbul pada 6 Februari 1993 ketika berlangsungnya perbincangan dua hala di antara kedua-dua negara berhubung pertikaian Pulau Batu Putih.

Keputusan mahkamah itu adalah muktamad dan tiada mekanisme rayuan bagi keputusan ICJ yang merupakan badan perundangan tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Malaysia dan Singapura melalui satu perjanjian yang dimeterai di Putrajaya pada 6 Februari 2003 bersetuju untuk merujuk pertikaian sempadan berhubung Pulau Batu Putih kepada ICJ.

Perjanjian yang ditandatangani pada 9 Februari 2003 dan berkuat kuasa pada 9 Mei tahun sama itu antara lain berbunyi, “Melalui Perjanjian Khas, kedua-dua pihak memohon kepada ICJ untuk menentukan kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge milik Malaysia atau Singapura. Kedua-dua negara akan menerima keputusan mahkamah sebagai muktamad dan mengikat kedua-dua pihak.”

Selepas menghantar memorial (hujah bertulis), kedua-dua negara memulakan hujah lisan pada 6 hingga 23 November lalu.

Memetik penghakiman kes tersebut secara lebih terperinci, Shawkat berkata, fakta kes menunjukkan bahawa sebaik sahaja menerima surat balasan dari Johor, Setiausaha Koloni Singapura telah menghantar satu memorandum dalaman kepada Peguam Negara yang menyebut bahawa beliau berpendapat “berdasarkan kekuatan surat jawapan itu, kita boleh menuntut Pedra Branca.”

Selain surat dari Johor pada 1953, mahkamah turut berpandukan kepada fakta kes berhubung tindak tanduk United Kingdom dan Singapura di Pulau Batu Putih yang menurut ICJ tidak terbatas kepada penyelenggara rumah api semata-mata.

Shawkat berkata, mahkamah berpendapat bahawa tindakan-tindakan Singapura termasuk menyiasat kemalangan marin di perairan pulau tersebut, kawalan mereka terhadap siri lawatan, pemasangan peralatan komunikasi kapal dan pelan penambakan lautnya jelas menunjukkan wujud a titre de souverain (tindak tanduk yang menunjukkan ia mempunyai kedaulatan) terutama selepas tahun 1953.

Malaysia, katanya, tidak menunjukkan tindak balas dalam bentuk apa sekali pun terhadap kegiatan-kegiatan Singapura malah pihak berkuasa Johor gagal melakukan sebarang tindakan ke atas Pulau Batu Putih bermula dari Jun 1850.

Lebih daripada itu, jelas beliau, keputusan mahkamah memihak kepada Singapura didorong oleh fakta republik itu bertindak mengeluarkan kebenaran kepada pegawai-pegawai dari Malaysia yang datang ke pulau berkenaan pada tahun 1978 bagi menjalankan kajian perairan di sekeliling Pulau Batu Putih.

Tuntutan

“Tindak tanduk itu dilihat menunjukkan wujudnya kedaulatan dan memberi sokongan yang amat penting kepada tuntutan Singapura terhadap kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih,” kata Shawkat.

Shawkat yang mengetuai kumpulan 16 hakim termasuk dua hakim ad hoc yang masing-masing dilantik oleh Malaysia dan Singapura turut menarik perhatian mahkamah mengenai kegagalan Malaysia membantah pengibaran panji-panji British dan Singapura di Rumah Api Horsburgh di pulau itu yang turut memberi kesan kepada kes tuntutan bertindih itu.

Selain itu, enam peta yang dikeluarkan oleh Malaysia antara tahun 1962 dan 1975 yang dipertikaikan oleh Singapura kerana tertera perkataan ‘Lighthouse, P. Batu Puteh, (Horsburgh) (SINGAPORE) atau (SINGAPURA)' di Pulau Batu Putih turut menjadi rujukan ICJ yang disifatkan oleh barisan hakim sebagai mengesahkan bahawa Malaysia menganggap pulau itu adalah di bawah kedaulatan republik berkenaan.

“Mahkamah membuat kesimpulan berdasarkan titre de souverain Singapura, selain tindak-tanduk Malaysia termasuk kegagalannya untuk bertindak balas terhadap tindakan-tindakan republik itu, bahawa pada 1980 kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih telah diserahkan kepada Singapura,” katanya.

Mengenai Middle Rocks, Shawkat berkata, bentuk maritim itu mempunyai status undang-undang yang sama dengan Pulau Batu Putih dari sudut sejarahnya iaitu kedaulatannya adalah di bawah kesultanan Johor.

Katanya, mengambil kira fakta tersebut, penyerahan Pulau Batu Putih kepada Singapura yang didorong oleh surat pada 1953 dan kegagalan Malaysia bertindak balas terhadap tindak tanduk republik itu tidak memberi kesan kepada Middle Rocks.

Oleh itu, jelas Shawkat, hak milik asal Middle Rocks kekal kepada Malaysia yang mewarisi kesultanan Johor, kecuali terbukti sebaliknya di mana mahkamah mendapati Singapura tidak mengemukakan sebarang bukti yang bertentangan.

Dalam keputusan mengenai hak milik South Ledge pula, kata Shawkat, mahkamah berpendapat bentuk maritim itu berada di perairan bertindih antara Pulau Batu Putih yang kini menjadi milik Singapura dan Middle Rocks yang kekal bersama Malaysia.

“Mahkamah hanya diminta untuk memutuskan kedaulatan ketiga-tiga bentuk maritim itu secara berasingan dan pada masa yang sama mahkamah tidak diberi kuasa untuk menetapkan garis persempadanan wilayah perairan Malaysia dan Singapura.

“Dalam hal ini, mahkamah merumuskan kedaulatan South Ledge adalah milik negara yang perairannya terletak bentuk maritim itu,” kata beliau.

Delegasi Malaysia ke ICJ hari ini diketuai oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Ejen Malaysia dan Duta Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad; Ejen Bersama, Datuk Noor Farida Ariffin; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd. Isa; dan Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Kerajaan Negeri Johor.

Barisan peguam antarabangsa yang mewakili Malaysia pula terdiri daripada Sir Elihu Lauterpacht, James Crawford, Nicolaas Jan Schrijver, Marcelo G. Kohen, dan Penelope Nevill. Lauterpacht bagaimanapun tidak hadir hari ini.

Singapura pula diwakili antara lain oleh Timbalan Perdana Menteri, S. Jayakumar; Ketua Hakim, Chan Sek Keong; Duta Kembara, Tommy Koh; dan Duta Anil Kumar Nayar.

– Utusan

KEUNIKAN MASJID JAMEK BANDAR BARU UDA

Keunikan Masjid Jamek BBU
Oleh Khadijah Ibrahim (Utusan Malaysia Online 18.5.2008)

Beberapa orang pesakit menjalani rawatan di Pusat Dialisis Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU 18 Mei - Peranan masjid bukan hanya tempat untuk beribadat, malah ia boleh diperluaskan demi kebaikan orang ramai termasuk menjadi pusat rawatan.

Mungkin ada yang percaya, namun jika berkunjung ke Masjid Jamek Bandar Baru Uda, di sini anda boleh melihat sebuah pusat kesihatan iaitu Pusat Hemodialisis dan Kesihatan (PHK) diwujudkan di situ.

PHK tersebut dibina atas rasa tanggungjawab ahli jawatankuasa masjid berkenaan dan sikap prihatin masyarakat setempat terhadap pesakit buah pinggang.

Pusat yang memiliki 11 mesin dialisis yang setiap satu berharga RM42,000 itu telah dirasmi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 Mei 2004.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan pusat itu, Abdullah Idrus berkata, pusat tersebut merupakan satu-satunya pusat hemodialisis yang dibina oleh ahli jawatankuasa masjid bagi membantu para pesakit buah pinggang di negeri ini.

Menurutnya, pusat tersebut beruntung kerana sering mendapat tajaan daripada orang perseorangan dan syarikat untuk menampung kos operasi kira-kira RM40,000 sebulan.

Pihaknya yang sentiasa membantu pesakit berpendapatan rendah amat mengalu-alukan para penderma yang ingin berbakti, katanya.

Abdullah memberitahu, pada masa ini terdapat seramai 56 pesakit yang sering mendapatkan rawatan di pusat berkenaan.

"Sebenarnya pusat ini terbuka kepada sesiapa sahaja yang menghadapi masalah buah pinggang.

"Mungkin orang sering salah sangka sebab ia terletak di kawasan masjid dan hanya untuk pesakit beragama Islam sahaja. Sebenarnya sesiapa yang ingin menggunakan mesin di sini dialu-alukan," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan pesakit yang datang merupakan penduduk yang tinggal berhampiran Bandar Baru Uda.

Bagi yang ingin menggunakan perkhidmatan pusat tersebut, pesakit hanya perlu mengisi borang dan mampu membiayai rawatan sendiri.

Katanya, pesakit hanya dikenakan bayaran RM110 bagi setiap rawatan dan ada juga antara pesakit yang mendapat tajaan RM50 daripada kerajaan.

"Setiap hari terdapat hampir 60 pesakit yang datang mencuci darah. Paling awal mereka datang pukul 6 pagi sebab pusat mula beroperasi pukul 7 pagi hingga 9 malam.

"Terdapat dua jururawat terlatih dan enam pembantu jururawat yang mengawasi para pesakit sepanjang sesi rawatan itu. Dalam seminggu tiga kali pesakit akan datang untuk menjalani proses rawatan berkenaan," katanya.

Selain pusat hemodialisis, pihaknya juga mengadakan pelbagai program kesihatan khususnya untuk golongan warga emas.

Beliau berkata, sebahagian besar program itu berbentuk pendidikan mengenai penjagaan kesihatan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai operasi pusat berkenaan boleh menghubungi jawatankuasa PHK di 07-2388166.