Radio Internet FuhYooFm

Sabtu, Oktober 04, 2008

TETAMU HARI RAYA: RAKAN SEKOLAH AMALINA


Ketika keluarga kami datang bersilih ganti, tetiba empat orang rakan Amalina ketika bersekolah di Sekolah Arab An-Nur Pontian datang ke rumah. Kedatangannya memang tidak diduga dan Amalina pun tidak memberitahu mengenainya.

Saya diberitahu bahawa dua darinya sudah bekerja dan dua yang lain masih menuntut di Universiti tempatan. Seorang darinya pernah menuntut di Universiti Al-Azhar.

Niatku dulu pun memang mengharapkan dua orang anakku iaitu Irwan Lutfi dan Amalina dapat meneruskan pelajaran di bidang agama. Entah apa nasibnya, kedua-dua mereka gagal menepati cita-citaku yang juga keinginan dari arwah ayahku yang mengharapkan anak atau cucunya berjaya di bidang ini.

Rasanya rakan-rakan Amalina ini ingin berbual lama dengannya tatapi tidak kesampaian kerana Amalina terpaksa membawa mereka ke statsyen bas, maklum saja Amalina bekerja untuk syif malam.

Ketibaan mereka menunjukkan Amalina ni baik orangnya, mana mungkin rakan-rakan lama sanggup mencarinya kembali. Begitulah mungkinnya.

TETAMU HARI RAYA: HJH NASIBAH (CIK ATIP) MANSOR DAN KELUARGA








Tetamu berikutnya yang datang ke rumah adalah Hjh Nasibah atau kami memanggilnya Cik Atip beserta dengan suaminya, Haji Ali Dawam, anak-anak, menantu dan cucu. Yang tidak dapat bersama ialah Surya Haryati.

Cik Atip merupakan kakak sebelum lahirnya isteriku, bermakna dia adalah anak ke tujuh. Ketika ini keluarga Cik Atip mengambilalih rumah pusaka dari ibubapa mertuaku. Semua adik beradik bersetuju rumah tersebut dijual kepadanya dengan harga yang amat berpatutan dan hasiljualannya telah diserah kepada waris-waris yang berhak mengikut kiraan faraid.

Haji Ali Dawam adalah seorang yang kuat membuat kerja-kerja kebajikan dan masyarakat. Walaupun mempunyai masalah kesihatan, namun beliau masih berupaya membuatnya demi masyarakat, bangsa dan agamanya. Beliau juga pernah aktif dalam bidang politik seperti pernah menjadi Ketua UMNO Cawangan, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian dan juga pernah menjadi Ahli Majlis Perbandaran Johor Bahru.

Dalam keluarga Haji Mansor, hanya diriku dan Haji Ali Dawam sahaja yang bergiat cergas dalam kerja kebajikan dan parti siasah. Dengan sebab itu, isteri-isteri kami berdua juga terpaksa diasuh dan mengikuti jejak kami. Cik Atip pernah menjadi Ketua Pergerakan Wanita UMNO Cawangan Merdeka sementara isteriku ketika ini adalah Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Cawangan Uda Jagong, bahagian Johor Bahru.

TETAMU HARI RAYA: HJH ZAINAB (MAK NAB) MANSOR DAN KELUARGA






Hajah Zainab yang kami memanggilnya Mak Nab datang bersama anaknya yang bernama Hasnul Hadi serta beberapa orang cucu datang selepas waktu zuhur. Haji Salim yang mudah dipanggil Wak Lim iaitu suami Mak Nab tak dapat datang kerana uzur. Dikatakan beliau dihinggap demam sejak hampir sebulan yang lalu. Badannya begitu susut hingga tak sampai pun 50 kg. Dia dah berulang-alik ke klinik dan hospital namun kesihatan masih tidak kambuh.

Masalah besar untuk berintraksi dengan Wak Lim ni bukan mudah. Hanya Mak Nab saja yang boleh memahami, itupun masih ada halangan kerana ia adalah seorang isteri yang sangat taat kepada suami. Kdua-dua anaknya, Hasnul Hadi dan kakaknya, Hidayah, seorang doktor pergigian juga amat memahami tingkah dan perilaku ayah kecintaan mereka.

Wak Lim, dari keturunan para alim dari Jawa juga mewarisi ayahnya. Seorang yang kuat beramal dan mempunyai beberapa keistimewaan yang diantaranya, pada satu ketika dahulu dengan izin Allah swt boleh menawar penyakit. Begitu juga dengan seni kerja tangan seperti mengukir kalimah dan ayat-ayat suci alquran dari tembaga dan sebagainya.

Mudah-mudahan Allah swt menyembuhkan segala penyakit dan memberi kesihatan kepadanya.

Mak Nab memberitahu bahawa beberapa hari lagi beliau dan Wak Lim akan ke Putrajaya kerana membantu Hidayah untuk berpindah ke rumah baru. Biasanya meraka akan berada di sana dalam tempoh yang agak lama juga kerana suami Hidayah, Dr Nasir bertugas dengan WHO di Kampuchea.

Pada hari semalam, kami dapat berjumpa Dr Nasir dan Hidayah yang ketika ini berhari raya di Kelantan.

TETAMU HARI RAYA: HAJI JAAFAR MANSOR DAN KELUARGA



Tetamu berikut yang datang ke rumah ialah Abang Par (Jaafar), isteri dan anak-anaknya iaitu Mahfuzah dan Mahfuz.

Abang Par adalah anak kedua dalam urutan keluarga Haji Mansor selepas Mak Nab (Hajjah Zainab). Beliau adalah pesara Jabatan Percetakan Negara sebagaimana juga allahyarham bapa mertuaku, Haji Mansor yang bekerja di jabatan yang sama. Beliau mempunyai empat orang anak. Mahfuzah bekerja di Kuala Lumpur sementara Mahfuz di Johor Bahru. Entah bila lagi kedua-duanya nak berumahtangga. Rasanya tertunggu juga nak melihat anak-anak Abang Par di peterakna (pelamin).

Entahlah.... Hanya mereka sahaja yang tau.

TETAMU HARI RAYA: CHE NAH (MAZNAH) MANSOR DAN KELUARGA




Tetamu kedua yang datang adalah Che Nah, suaminya (Haji Ishak Yahya) dan keluarga.

Che Nah, nama yang didaftar di dalam kad pengenalan adalah Maimunah. Dalam urutan keluarga Haji Mansor, beliau adalah anak ke sembilan tetapi bagaimana namanya sama dengan nama isteriku yang juga Maimunah?.

Cerita yang diperdengarkan oleh isteriku tentang dua beradik yang mempunyai nama yang sama adalah atas kekhilafan ayahnya. Diperkatakan bahawa ayah mertuaku ingin memberi nama MAZNAH, entah bagaimana dia telah memberi nama MAIMUNAH, sedang nama ini telah diguna untuk kakaknya iaitu isteriku. Ayah mertuaku pula memanggil isterinya sebagai MAIMUN sedang nama sebenarnya adalah MARIAM. Mungkin dia terlupa bahawa nama Maimunah ini telah diberi kepada isteriku sedangkan nama panggilannya adalah ANIS. Setelah mendaftar nama, ayah mertuaku tidak pula membuat semakan. Agaknya terus sahaja disimpan Surat Beranak tersebut.

Tentulah ada pelbagai peristiwa lain yang berlaku sepanjang kedua adik beradik yang mempunyai dua nama yang sama ini menjalani hidup sehingga kini. Diantara peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah apabila Posmen menghantar surat, pastinya kedua-dua mereka berebut dan diantaranya adalah suratku sendiri ketika masih bercinta dahulu, suratku telah dibuka oleh Che Nah. Peristiwa itu menyebabkan surat-surat yang ku hantar tidak lagi mengguna nama MAIMUNAH tetapi ANIS bagi mengelakkan berulangnya pertitiwa tersebut.

TETAMU HARI RAYA: TAAM MANSOR DAN KELUARGA



Tetamu pertama yang sampai ke rumah pada hari ini adalah Taam Mansor bersama isteri dan anak-anak seramai 4 orang. Beliau adalah adik lelaki isteriku iaitu yang ke sepuluh dalam urutan adik beradik, sedang isteriku adalah yang ke lapan.

Ketika ini beliau bertugas dengan syarikat pengangkutan di Seremban dan keluarganya pula menetap di Pulau Pinang.

Bersama dengan Taam adalah Faridah Mansor yang kami memanggilnya Abang Dah. Dalam urutan keluarga, Abang Dah adalah yang ke empat. Suaminya Abang Hassan tidak dapat datang kerana menunggu rakannya yang akan datang ke rumah.

HARI INI GENAP UMURKU 56 TAHUN



Hampir dua bulan saya tidak kemaskini blog ini. Yang pasti saya cuba gunakan sepenuhnya keberkahan bulan Ramadan dengan mendekatkan diri ke hadrat Allah swt. Begitu juga saya dapat membawa isteri sentiasa mendekatkan diri kepadaNya.

Alhamdullillah, cabaran bulan Ramadan dapat dilalui dengan tenang dan gembira tetapi apakah pasti pada Ramadan akan datang dapat bertemu sekali lagi?. Semuanya dalam ketentuan Allah swt dan sebagai hambaNya yang masih dikurniakan keingininan dan nafsu, tentu mengharapkan pertemuan dengan Ramadan seklali lagi.

Hari ini keinginan kuatku untuk mengisi blog ini adalah kerana sejarah hari ini tidak akan berulang lagi. Seperti yang berlaku pada hari semalam, ia tidak akan berulang pada hari ini, esok dan seterusnya.

Setiap bulan Oktober pada hari yang keempat adalah sejarah bagiku kerana ia adalah hari ulang tahun kelahiranku. Pada waktu subuh Sabtu (Wageh) 1952, seorang bayi telah dilahirkan atas percantuman kasih sayang Ma'asom dan Sarmi. Itulah saya yang diberi nama Sunawan oleh datukku Yai Reban dan ditambah Mohamad oleh ayahku, telah membesar dan mendewasa sehingga kini telah genap 56 tahun.

Pagi ini ibu dapat kuhubungi melalui telefon dan memberitahu mengenai hari jadiku. Walaupun dapat dalam tempoh yang pendek kerana masih ada tetamu di kampung, ibu mengharapkan saya dapat meneruskan kehidupan dengan lebih sempurna dan bahagia. Dia juga menyatakan bahawa hari ini mengikut perkiraan dan kalender Jawa adalah hari Sabtu Keliwon sedangkan hari kelahiranku adalah Sabtu Wageh.

Selain kuih-mueh yang sediaada, isteriku menyediakan juadah sampingan seperti mee sup, mee kuning goreng dan lontong. Hampir tengahari juadah telah tersedia dan isteriku memberitahu bahawa semua adik beradik dan anak-anak saudaranya akan datang berhari raya pada hari ini.

Gembira rasanya dapat menyambut hari jadi dalam suasana hari raya. Persoalannya ialah berapa lama lagi umurku akan berada di dunia fana ini? Ingin menjejak umur Nabi Muhammad saw, bermakna ada tujuh tahun lagi untuk hidup. Atau ingin mengikut umur ayah sehingga 90 tahun?. Apakah baki-baki umur yang ada ini dapat ku isi dengan pelbagai amal dan bakti yang boleh membantu kita di akhirat nanti?.