Radio Internet FuhYooFm

Isnin, November 10, 2008

DIANTARA PERBEZAAN PEMIMPIN PEMUDA UMNO DAHULU DAN KINI


Duduk dihadapan dari kiri, Mohamad Kasbi (Penolong Bendahari), Ismail Kamaruddin (Naib Ketua), Abd Wahab Muslim (Ketua) dan Mohd Sunawan Hj Md Som (Penolong Setiausaha).
Berdiri di belakang dari kiri, Ahmad Hj Burak (AJK), Abd Wahab Ahmad (AJK), Selamat Othman (AJK), Fadzil Hj Abdullah (AJK), Abd Rahim Abd Rahman (AJK) dan Baharuddin Bahri (AJK).

Melihat gambar di atas, apakah yang anda dapat lihat dan memberi penjelasan tentang mereka yang beruniform putih ini?

Ya.. mereka adalah pimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pulai, Johor. Gambar ini diambil pada tahun 1982 sebelum Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia diterajui oleh Anwar Ibrahim. Ketua Pemuda UMNO pada ketika itu adalah Dato Haji Suhaimi bin Haji Kamaruddin. Arahan yang diberi kepada barisan pimpinan pemuda UMNO adalah supaya sentiasa memakai songkok hitam, seluar dan bush jaket warna putih, itulah pakaian rasmi. Ia tidak banyak perbezaan dengan uniform MCA yang masih diguna hingga kini melainkan songkok yang membezakannya.

Sebagai Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Dato Haji Suhaimi mahukan semua ahli-ahli pemuda UMNO mesti juga menyertai gerakan atau persatuan belia terutamanya Gerakan Belia 4B. Persatuan belia yang paling mantap dan berpengaruh pada ketika itu adalah Belia 4B selain MAYC yang dipimpin oleh Dato Sanusi Junid.

Hampir kesemua AJK Pemuda UMNO Bahagian Pulai adalah juga pemimpin-pemimpin persatuan belia terutama Belia 4B seperti Abd Wahab Muslim yang menjadi Pengerusi 4B Daerah Johor Bahru dan saya menjadi setiausahanya.

Pada ketika itu para pemimpin tidak kira dari sayap pemuda, wanita mahupun dari cawangan-cawangan menitik beratkan bagaimana harus mendukung belia-belia sebagai pewaris pejuang untuk membela bangsa, agama dan negara. Ditangan belialah akan terserlah kejayaan dan keyakinan masyarakat. Jangan kita lupa bahwa belia merupakan aset bangsa yang sangat berharga.

Apakah pemimpin-pemimpin pemuda UMNO di semua peringkat pada ketika ini melihat kenyataan sebenar yang dilakukan oleh pimpinan pemuda pada masa dahulu?. Apa yang berlaku adalah sebaliknya kerana mereka melihat organisasi UMNO sebagai satu butiran permata yang perlu dimiliki dan seterusnya mendapatkan keuntungan darinya.

Dalam era globalisasi yang mempunyai pengaruh besar terhadap perkembangan para belia, pemimpin muda UMNO haruslah mendekatkan diri dengan golongan ini terutama memberi kepercayaan bahawa sesungguhnya UMNOlah yang memberi perhatian dan memperjuangkan segala kehendak dan kemahuan anak-anak muda.

Untuk itu, carilah usaha untuki para belia menjalankan kegiatan yang berfaedah. Kegiatan-kegiatan belia hendaklah didorong dan dibantu serta diberi kemudahan secara total seperti bantuan moral, kewangan, khidmat nasihat dan sebagainya.

Inilah diantara perkara yang pernah kami lakukan dahulu dan ia sudah sebati dalam jiwa raga kami sehingga kini.

Ingatlah bahawa terdapat ayat Quran yang menegaskan bahawa janganlah meninggalkan dibelakangmu generasi yang lemah. Ia menunjukkan bahawa tanggung jawab pembinaan generasi muda adalah merupakan tanggung jawab pemimpin hari ini.

Wahai pemimpin-pemimpin muda, janganlah anda menghancurkan harapan generasi anda dan masa akan datang. Libatkanlah diri dan dekati mereka supaya anda memahami perasaan dan kemahuannya.

Ahad, November 09, 2008

SUASANA POLITIK UMNO JOHOR BAHRU SELEPAS PEMILIHAN BAHAGIAN


Cikgu Borahan Kassim


Pak Daud dan Syed Yasin (bawah)




Selepas menghadiri majlis pelancaran perniagaan di Kg Melayu, saya ke Pejabat Khidmat Wakil Rakyat kerana menguruskan surat-surat sokongan untuk beberapa orang penduduk di Bandar Baru Uda.

Saya berjumpa dengan YB Hj Adam Sumiru, ADUN Tanjung Puteri dan membuat sedikit perbincangan dengannya yang ada hubungkait dengan pembangunan khususnya di dalam Parlimen Johor Bahru.

Sebelum beredar pulang, sempat juga saya berbual-bual dengan Hj Daud Md Noor, Cikgu Borahan Kassim dan Syed Yasin Ali terutama mengenai suasana politik selepas pemilihan UMNO bagi semua peringkat di Johor Bahru.

Hj Daud yang sinonim dengan panggilan Pak Daud adalah orang yang begitu lama berkecimpung di dalam politik UMNO Johor Bahru. Beliau pernah memegang pelbagai jawatan termasuk Setiausaha UMNO Bahagian dan sekarang ini adalah Pengerusi Tetap UMNO Bahagian. Beliau juga membantu kerja-kerja pentadbiran di pejabat UMNO dan juga pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat.

Sebagai orang yang begitu lama dalam UMNO Johor Bahru, ketika ini beliau merasakan satu suasana yang berlainan apabila wujudnya pemilihan di semua peringkat. Beliau melihat ada tanda-tanda individu yang memainkan peranan yang boleh memporakperandakan kerukunan dan suasana aman dalam Bahagian Johor Bahru.

Saya berserta dengan rakan-rakan yang ada juga bersetuju dengan apa yang disuarakan oleh Pak Daud. Kami juga sekata supaya suasana seperti ini mesti dikekang. Pemimpin UMNO di Johor Bahru harus melihat bahaya seperti ini boleh menyebabkan pemimpin boleh berpecahbelah.

Kita percaya Dato' Shahrir sebagai Ketua Bahagian dan Ahli Parlimen tentu sedang berusaha untuk mencari pengganti beliau. Dan keyakinan kami lebih menguat apabila pemimpin pelapis ini mesti mewarisi keupayaan dan ketrampilan yang setanding dengannya. Ini adalah kerana Johor Bahru merupakan satu-satunya kawasan Parlimen yang mempunyai pengundi Melayu tidak pun sampai 51% tetapi dapat dikuasai oleh Ahli Parlimen Melayu.

Datuk Shahrir sendiri masih menerima sokongan 30% dari pengundi bukan Melayu pada pilihanraya yang baru lalu. Sikap pengundi bukan Melayu memang agak berbeza pada kali ini dan tidak ada sesiapapun Ahli Parlimen Barisan Nasional yang menerima undi melebihi 20% malahan ada yang tidak sampai 5%.

Masalah inilah yang mendorong kami cuba mencari jalan bagaimana usaha yang perlu dilakukan untuk menyekat pengaruh mereka yang boleh memecahbelahkan perpaduan ahli-ahli UMNO dan masyarakat di Johor Bahru.

Kita tidak sepatutnya memandang ringan dengan kesan yang berlaku dari pertandingan umpamanya Ketua Wanita. Mengapa ia boleh berlaku dan bagaimana Ahli-Ahli Jawatankuasa dalam Pergerakan Wanita telah berpecah-pecah. Begitu juga dengan pemilihan Ketua Pergerakan Pemuda. Mengapa terjadi perbalahan dalam mesyuarat perwakilan sehingga ke satu peringkat, pengawal keselamatan tempat persidangan memberi amaran untuk menghentikan persidangan?. Di peringkat UMNO Bahagian pula, pertandingan Naib Ketua menyebabkan wujudnya kelompok yang memberi sokongan sehingga timbul ketidakpercayaan di antara rakan-rakan dalam cawangan.

Tanpa mengambil kira protes mesyuarat perwakilan Pergerakan Pemuda yang telahpun samapai ke Perhubungan UMNO Negeri, memang semuanya telah berlalu. Apa yang harus kita fikirkan ialah kesan dari pemilihan tersebut dan bagaimana pula dengan individu yang masih mempunyai nafsu serakah tanpa mengambilkira perpecahan yang boleh mengancam kekuasaan UMNO serta orang Melayu di parlimen Johor Bahru.

Saya hanya mengharapkan Dato' Shahrir melihat suasana ini dengan menerima pandangan dari banyak pihak dan tidak melihat dari sudut luaran serta dari orang tertentu sahaja.

Sabtu, November 08, 2008

PELANCARAN PERNIAGAAN STESYEN MINYAK EXXON MOBIL









Pagi tadi Syed Yasin Ali minta ku membaca doa selamat untuk majlis pelancaran perniagaan sebuah stesyen minyak di Kampong Melayu, Johor Bahru.

Agak terkejut juga kerana selama ini saya tidak mengetahui bahawa Esso dan Mobil telah bergabung di bawah satu bumbung Exxon Mobil.

Ramai yang hadir dalam pelancaran ini. Pemiliknya seorang wanita Melayu yang begitu gigih mengadakan beberapa program untuk menarik kehadiran masyarakat sekeliling termasuk mengadakan kempen derma darah.

Kelihatan juga ahli-ahli Kelab Mahkota Bikers memeriahkan majlis. Difahamkan Kelab ini berperanan sebagai penyokong dan penggerak bagi aktiviti sosial, komuniti dan acara-acara berprofil tinggi.



Jumaat, November 07, 2008

MAJLIS PERTUNANGAN SURIA IRWANY


















Sabtu, 01 Oktober 2008 adalah hari dan tarikh yang ditentukan sendiri oleh anakku, Suria Irwany untuk melangsungkan pertungangan dengan Mohd Arip Ariffin yang berasal dari Kuala Krau, Pahang.

Demi kebahagiaannya, Suria telah memilih insan ini dan sebagai ayah, saya hanya mengharapkan juduhnya akan sampai. Satu tahun memanglah satu jarak masa yang lama untuknya bernikah kerana dalam tempuh ini pelbagai perkara boleh berlaku.

Ku mohon ke hadrat Allah swt semoga untuk kali ini, pertunangannya akan sampai kepada pernikahan dan seterusnya kekal sehingga ke akhir hayat, amin ya robbal alamin.

HARI TERBUKA BERSAMA KARIAH
















Antara tetamu yang hadir
















Persembahan kanak-kanak Tadika Hidayah














Persembahan kumpulan marhaban dari Kelab Warga Emas
(No. 4 dari kiri adalah penyanyi langgam tahun 60an-80an, M Ismail)















Salah seorang penerima Sijil Hak Milik Tanah Kekal dari kaum Tionghua


Hari Terbuka Bersama Kariah Sempena Hari Raya Idilfitri 1429H/2008M Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Johor Bahru telah diadakan pada Sabtu 25 Oktober 2008 bertempat di perkarangan Masjid Jamek BBU.

Tetamu yang hadir adalah Tuan Haji Mohd Ali Salleh, Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Dalam Negeri danHal Ehwal Pengguna. Turut hadir adalah YB Tuan Haji Adam bin Sumiru, ADUN Tanjung Puteri.

Haji Mohd Ali yang mewakili YB Datuk Shahrir Samad mengucapkan tahniah atas kejayaan Masjid BBU mengadakan program yang boleh mengeratkan hubungan antara penduduk. Beliau berharap Masjid BBU sebagai pusat komuniti bukan saha sebagai tempat beribadah tetapi akan terus menjadi pusat kegiatan masayarakat dan tempat rujukan untuk pelbagai perkara yang mencakupi kehidupan masyarakat setempat.

Selain dari pelbagai hidangan yang didisediakan, aturcara majlis telah dipenuhi dengan bacaan marhaban, nasyid dari kanak-kanak Tadika Hidayah dan juga kuiz untuk orang ramai.

Telah diadakan juga penyerahan Hak Milik Tanah Kekal yang diusahakan melalui pentadbiran masjid iaitu permohonan pertukaran dari Hak Milik Pajakan. Seramai 10 orang yang mewakili penduduk dari bangsa Melayu, Cina dan India telah menerimanya yang disampaikan oleh Tuan Haji Mohd Ali Salleh.

Khamis, November 06, 2008

PENUBUHAN KOPERASI MASJID DI JOHOR















Ketibaan YB Datuk Haji Maulizan Bujang untuk merasmikan seminar




Masjid-masjid di Johor akan melangkah setapak ke hadapan apabila cadangan menubuhkan Koperasi Masjid menjadi kenyataan. Kerajaan Negeri Johor dalam mesyuaratnya pada 22.10.2008 telahpun bersetuju dengan cadangan ini dan berharap ia dapat dilaksanakan segera.

Sehubungan dengan itu, seminar mengenainya telah diadakan pada 6 Oktober 2008 dengan dihadiri oleh penggerak dan pemimpin-pemimpin masjid seluruh Johor bertempat di Pusat Islam Iskandar Johor Bahru.

Seminar dan pelancarannya telah dilakukan oleh YB Datuk Haji Maulizan Bujang, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Pelajaran Dan Pengajian Tinggi Negeri Johor sementara penutupannya dilakukan oleh YB Dato' Haji Zainal Abidin Osman, Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor.

Penubuhan koperasi ini bertujuan untuk melaksanakan aktiviti ekonomi bagi menambah dana yang sedia yang akan digunakan untuk pelbagai kegiatan pengimarahan masjid. Selain itu ia akan melahirkan masyarakat yang prihatin dan berdikari di samping mewujudkan sistem pengurusan kewangan yang sistematik serta cekap.

Saya dan Haji Yahya Mokhtaram (Setiausaha) mewakili Masjid Jamek Bandar Baru Uda telah hadir mengikuti seminar ini.

Selasa, November 04, 2008

CABARAN BULAN SYAWAL

Hari Raya, hari menemukan seisi keluarga

Bulan Syawal telahpun berlalu, begitu cepat. Sepanjang bulan Syawal tahun ini seperti tak ada masa untuk berehat. Manakan tidak, jemputan rumah terbuka di mana-mana saja, tidak lagi mengira waktu dan hari. Semuanya atas nama "rumah terbuka".

Mungkin secara kebetulannya, sambutan raya tahun ini bertepatan dengan "hari raya" orang-orang UMNO yang rancak mengadakan kempen untuk pemilihan pimpinan di peringkat Bahagian dan Pusat.

Saya sendiri terpaksa mengaturkan masa yang sesuai untuk mengadakan makan-makan untuk semua individu yang rasanya perlu datang ke rumah.

Dalam tempoh sebulan Syawal ini rombongan marhaban dari Kumpulan Yassin Al-Ikhlas dimana saya menjadi Timbalan Pengerusi pastinya akan datang ke rumah. Begitu juga dengan Kumpulan Yassin Wanita Bandar Baru Uda juga akan datang ke rumah. Untuk itu saya terpaksa menentukan satu hari yang sesuai dan saya mengambil hari Khamis malam Jumaat untuk mengadakan majlis bacaan Yassin dan Tahlil, memanggil kumpulan marhaban dan seterusnya disambung dengan marhaban kumpulan wanita.

Penutupnya, lebihkurang jam 10 malam saya memanggil rakan-rakan AJK UMNO Bahagian Johor Bahru dan dari cawangan yang berdekatan untuk sama menjamu selera.

Seperti biasa, isteriku juga yang taat dan setia dari dulu lagi yang berhempas pulas menyediakan makanan dan jamuan. Memang ramai yang datang, tapi itu sudah cukup untuk memenuhi keperluan mengadakan "rumah terbuka" disamping rutin yang mesti dilakukan semasa perayaann ini.

Begitu banyaknya "rumah terbuka" dan begitu banyaklah juga yang saya tidak dapat memenuhinya melainkan yang agak wajib seperti jemputan kenduri kahwin dan rakan-rakan UMNO yang difikirkan mempunyai pengaruh yang kuat.

Di Johor Bahru, amaran Jawatankuasa Disiplin UMNO nampaknya ada kekesananya. Contohnya ialah salah seorang pemimpin UMNO yang juga seorang ahli perniagaan yang berjaya biasanya akan membahagi wang hari raya bukan sahaja kepada kanak-kanak malahan kepada semua tetamu yang hadir. Tapi untuk tahun ini tidak seorang pun yang mendapatnya. Ramai juga yang tertanya-tanya kerana biasanya paling tidak pun dapat RM10, sekurang-kurannya lepas juga duit minyak.

Cabaran bulan Syawal ini memang hebat. Untuk berpuasa selama enam hari dalam bulan ini pun bukan mudah. Lebih mudah lagi kita berpuasa 30 hari dalam bulan Ramadan kerana pada bulan itu semua orang berpuasa tapi dalam bulan Syawal lebih banyak cabaran makan dari berpuasa. Sebab itu apabila saya dapat melakukannya walaupun dalam keadaan yang begitu mencabar, pastinya ia merupakan satu kejayaan besar bukan sahaja melawan nafsu bahkan dugaan yang pelbagai kerana ada keinginan yang lain seperti dalam cita-cita untuk kemenangan dalam pemilihan dan sebagainya. Isteriku sendiri hanya dapat berpuasa untuk dua hari sahaja.

Apabila bertemu rakan-rakan di masjid, ramai yang bertanya kemana saya menghilang? Bahkan mereka begitu terasa kerana hampir satu bulan saya tidak update layar elektronik LED kerana layar inilah yang mejadi pemberitahun segala maklumat dan kegiatan masjid sepanjang minggu.

Sepuluh jari saya memohon maaf kepada para jamaah BBU dari hujung rambut ke hujung kaki kerana terpaksa mengabaikan tanggungjawab sukarela yang telah menjadi amalanku untuk mengemaskini layar LED ini. Dan sehingga kini LED ini terus "gelap".

Bulan Syawal sudah menghilang dan pemilihan dalam UMNO Bahagian juga telah berlalu. Jadi, adakah saya ingin melupakan tanggungjawab di masjid yang sangat kucintai?.