Radio Internet FuhYooFm

Ahad, Mac 01, 2009

MALAM PENGHARGAAN SEKOLAH AGAMA BANDAR BARU UDA

Satu majlis penghargaan kepada guru-guru dan ahli jawatankuasan Badan Kebajikan Sekolah Agama Bandar Baru Uda di atas segala sumbangan mereka kepada sekolah pada setahun yang lalu, telah diadakan pada 21 Februari 2009 mulai jam 8.00 malam bertempat di Danga Cruise, Danga Bay, Johor Bahru.

Majlis anjuran bersama antara pihak sekolah dan badan kebajikan ini juga diharapkan akan dapat memberi motivasi kepada guru-guru agar lebih gigih untuk memajukan sekolah dan anak didik.

Selain itu, ia juga diharapkan dapat mengeratkan hubungan diantara guru-guru dan ahli jawatankuasa Badan Kebajikan.

Untuk pertama kalinya, majlis ini telah diadakan di atas kapal Danga Cruise 8 yang menelusuri Selat Tebrau dari Jeti Danga Bay menghala ke Tambak Johor dan berpatah balik.

Pelayaran selama dua jam amat memadai dengan bayaran yang dikenakan oleh pengurusan iaitu RM50.00 untuk setiap peserta termasuk makan malam secara buffet.

Setelah menikmati jamuan, majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Sdr Ramli Jusoh, Ahli Jawatankuasa Badan Kebajikan dan diikuti oleh ucapan Pengerusi Sambutan.

Sdr Haji A Razak Mohamad, Pengerusi Badan dalam ucapan alu-aluannya mengucapkan terima kasih atas kesungguhan guru-guru yang bertugas dengan penuh dedikasi untuk mendidik pelajar. Begitu juga dengan guru besar yang telah berpindah iaitu Ustazah Hajah Rusilah Omar dan segala kecemerlangan yang ditunjukkannya akan dapat diwarisi oleh guru besar yang mengambilalih iaitu Ustaz Masrin Soib.

Guru Besar dan guru-guru yang diraikan juga telah diminta menyampaikan ucapan dan majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah serta cenderamata.

Juruacara pada malam tersebut, Puan Muhawa telah dapat menghidupkan suasana majlis dengan penuh kemeriahan kerana kepetahan dan soalan teka-teki.

Majlis berakhir pada jam 10 malam.

Ucapan alu-aluan pengerusi sambutan

Tetamu yang hadir, dari kiri Hj Abdullah Shaaban,
Ramli Jusuh dan Hj A Razak Mohamad

Hj A Razak Mohamad, Pengerusi Badan Kebajikan
menyampaikan ucapan

Guru Besar, Ustaz Masrin Soib sedang berucap

Ustazah Hjh Rusilah Omar menyampaikan ucapan
mewakili guru-guru yang berpindah

Nasyid dari Majlis Guru-Guru

Ahli Jawatankuasa Badan Kebajikan bergambar ramai

Saya, isteri dan Ainul Safika
turut mengabadikan gambar kenang-kenangan

GAMBARKU DAHULU, KINI DAN GAMBAR PEWARISKU

.
Perhatikan gambar-gambar di bawah:-

Gambar ini diambil pada ketika umurku 21 tahun, belum berumahtangga tapi sedang bertunang dengan isteriku sekarang. Berambut agak panjang dan tidak bermisai (belum tumbuh lagi).

Ini anak lelaki tunggalku, Irwan Lutfi. Berumur 25 tahun. Ada perbezaan ke dengan gambar di atas?. Tentu ada.

Ini gambarku ketika ini. Umurku hampir 57 tahun. Tentu banyak perbezaan antara dahulu dan sekarang.

HUBUNGAN HJ MD ALI ZAITON DENGAN MASJID JAMEK BANDAR BARU UDA

.
Hj Ali Zaiton (kanan) bersama penggerak MJBBU,
Hj Hussin Ismail (tengah) dan Hj Suliman Sujak (kiri)


Maghrib hari Jumaat baru lalu, saya dan isteri dijemput ke rumah Hj Md Ali Zaitun di Jalan Padi Huma, Bandar Baru Uda. Beliau membuat majlis kesyukuran kerana genap 20 tahun syarikat guamannya beroperasi.

Jiran-jiran dan kenalan rapatnya datang untuk bersama bersolat Maghrib, Isyak, bacaan yassin serta bertahlil.

Saya telah diminta melaungkan azan dan iqamah. Haji Munadi Muhajir pula mengimamkan solat serta mengetuai bacaan yassin dan bertahlil.

Solat berjemaah di pejabat baru Yayasan Masjid
(dahulu pejabat YPJ Palm International Sdn Bhd)

Selesai majlis kami dihidangkan nasi beryani ayam dan kambing. Setiap empat orang akan makan bersama dalam satu dulang dengan membentuk lingkaran dan makan sesuap demi sesuap menggunakan tangan dengan tertib sambil mengobrol (bahasa Jawa: berbual-bual).

Sebelum meninggalkan majlis, kami diberi cenderamata berupa kitab yassin dan kompas kiblat.

Bagi saya, Hj Ali Zaiton tidak akan mudah untuk dilupakan kerana beliau adalah pengasas kepada permohonan tukar hakmilik tanah dari pajakan kepada kekal di BBU. Dalam kelompok pertama seramai 18 orang pemilik tanah di BBU telah membuat permohonan kepada kerajaan, malangnya permohonannya gagal.

Bertitiktolak dari situlah, saya bersama-sama dengan Hj Ali membuat rayuan dengan sokongan cawangan-cawangan UMNO dan ADUN Kempas, begitupun masih tidak berhasil.

Akhirnya, dengan landasan Masjid BBU sebagai komuniti yang sangat dipercayai, pada 26 Disember 2004 semua ketua-ketua masyarakat kami taklimatkan tentang perlunya permohonan penukaran hak milik tanah. Dan setelah semuanya bersetuju, kami menunggu kedatangan YB Dato Shahrir Samad, Ahli Parlimen Johor Bahru.

Tepat jam 10 pagi bertepatan dengan berlakunya gegaran gempa bumi di dasar Lautan Hindi dan Kepulauan Andaman berukuran 8.9 sekala Richter yang menghasilkan Tsunami yang mengorbankan ratusan ribu nyawa, kami dengan penuh keyakinan menjelaskan kepada Dato Shahrir yang akhirnya menempa kejayaan.

Inilah diantara peristiwa yang tidak sepatutnya dilupakan oleh masyarakat BBU disamping banyak sumbangan pemikiran, tenaga dan kewangan yang diberi kepada Masjid BBU.

Beliau yang masih lagi memegang jawatan Pengerusi Biro Ekonomi Masjid BBU juga telah memberi kebenaran untuk Yayasan Masjid menggunakan premis kepunyaannya di Jalan Padi Emas sebagai pejabat.

Hj Ali Zaiton (kiri sekali) ketika mesyuarat bersama antara Yayasan Masjid
dan Jawatankuasa Tadbir MJBBU


Premis ini dahulunya adalah pejabat YPJ Palm International Sdn Bhd dimana Hj Ali melalui Rancak Gemilang Sdn Bhd mempunyai 70% saham. Ramai yang tidak mengetahui 5% (RM2.5 juta) dari Rancak Gemilang SB adalah dipunyai oleh Yayasan Masjid Jamek BBU.

Kegiatan syarikat adalah memperoses bio-diesel dan kilang kepunyaannya di Tanjung Langsat akan mula beroperasi pada bulan Mei 2009.

Mudah-mudahan Allah swt memberi kejayaan berlipat ganda kepada Hj Ali Zaiton dan insayallah kariah BBU akan menerima lampiasnya.



HARI JADI ISTERIKU

.
Hari ini, 01 Mac adalah hari jadi isteriku. Satu-satunya isteri yang kunikahi sejak 02 Ogos 1973, bermakna hampir 36 tahun kami melayari hidup dengan pelbagai suka duka.

Lapan tahun kami menunggu kelahiran Suria Irwany, anak pertama. Beberapa tahun kemudian lahirlah pula Irwan Lufi dan Amalaina Irwani. Bukan mudah melahirkan ketiga-tiga mereka kerana terpaksa melalui pembedahan. Begitu juga tidak mudah untuk mendidik mereka, hanya Allah sahaja yang mengetahui dan kepadaNya juga kami berserah supaya mereka menjadi anak yang soleh dan solehah.

Bukanlah saya tidak mahu lebih dari itu tetapi hanya dengan anak yang soleh dan solehah saja yang akan dapat mententeramkan jiwa ibu bapanya.

Begitupun saya masih bersyukur kerana ingatan mereka kepada kami. Pagi ini, isteriku mendapat ucapan selamat hari lahir dari anak-anaknya dan ada yang memberi hadiah.

Apa pula hadiah dariku?. Tidaklah perlu saya catatkan di sini kerana selama ini isteriku akan tahu hadiah yang akan dapat dariku. Memang dia sudah menjangka dan itulah hadiah kasih sayang yang sangat tinggi nilainya.

Mudah-mudahan kerukunan ini akan terus berkekalan.


MALASNYA HENDAK MENGEMASKINI BLOG

.
Lama benar rasanya saya tidak mengemaskini blog ini, rasanya genap dua minggu. Memang banyak perkara hendak diluahkan di sini. Banyak kekangan dan diantaranya ialah kesakitan lutut kiri ini memberi banyak kesan untuk saya terus berfikir tentang apakah kesudahannya.

Saya menjadi malas untuk mengadap komputer sebaliknya lebih banyak di hadapan tv. Atau mungkin saya tidak berminat untuk melayari laman-laman web pada ketika ini banyak berhujah tentang politik semasa tanah air. Boring dan fedup dengan suasana pertelagahan dan karenah ahli-ahli politik serta penyokong fanatik.

Dalam keadaan ekonomi gawat sekarang, sepatutnya pemimpin parti-parti politik sepatutnya menggembeling tenaga dan fikiran untuk mencari jalan bagaimana mengatasinya.

Tidak terkecuali juga suasana pemilihan dalam UMNO yang akan berlangsung pada akhir Mac ini juga mengesankan walaupun ia tidaklah seteruk atau sehebat pada pemilihan sebelum ini.

Jadi, adalah lebih baik saya menonton siaran tv walaupun kegemaran saya tidak sama dengan keluarga yang ada di rumah. Saya hanya menonton saluran Astro 101, 103, 501, 502, 555, 556, 811, 812, 813 dan 814. Mudahnya ialah saya hanya meminati siaran berita, sukan dan ilmuan. Sesekali akan melihat juga 104, 105, 106 dan 119 terutama dalam pembelajaran alquran.

Ramai juga rakan-rakan yang bertanya mengapa saya tidak update blog. Terima kasih kepada mereka yang perihatin kepada blog saya walaupun saya begitu keciwa kerana blog ini tidak dibaca oleh keluarga sendiri (melainkan keluarga abang di Kuala Lumpur).

Mungkin keluarga saya belum terbuka hati untuk membacanya, tetapi saya percaya satu hari nanti mereka dapat membaca isi hati ini dan sejarah pengalaman hidupku. Insyaallah.

Ahad, Februari 15, 2009

Free Counter

Free Counter

NAK TAU KESIHATAN SAYA?

.
....... bertambah gemuk

Semasa mengikuti Program Komuniti Penduduk Zon Kebun Teh anjuran Majlis Bandaraya Johor Bahru bertempat di Balai Raya Taman Suria pada pagi Sabtu 14.02.2009, saya berkesempatan membuat pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan oleh kakitangan Klinik Kesihatan Majidee, Johor Bahru.

Inilah keputusannya:-

Tekanan Darah: 150/100 mmHg
Berat: 97 kg
Tinggi: 1.69m
Indeks Jisim Badan (IJB): 34
Paras Gula Dalam Darah: 4.9 m mol/L


Tekanan Darah:

Tekanan darah saya menunjukkan tekanan sistolik 150 mmHg dan tekanan diastolik adalah 100 mmHg.

Dari pemeriksaan ini menunjukkan tekanan darah saya tidak normal kerana melebihi 139 mmHg (tekanan darah normal diantara 120 - 139) sementara tekanan diastolik 100, melebihi 89 mmHg (tekanan diastolik normal diantara 80 - 89).

Saya tidak terkejut kerana semasa pemeriksaan kepala saya merasa pening dan telahpun menjangkanya kerana tidak makan ubat darah tinggi sejak dua hari lalu.

Saya sedar mempunyai penyakit darah tinggi dan dengan mengawalnya boleh mencegah kematian disebabkan serangan jantung, strok (angin ahmar), kerosakan buah pinggang dan kebutaan.

Berat, Tinggi dan Indeks Jisim Badan (IJB):

Ketinggian saya adalah 1.69 meter dan berat badan 97 kg. Untuk pengiraan Indeks Jisim Badan (IJB) ialah 97/(1.69 x 1.69) iaitu 34.03.

Berdasar kepada IJB 34.03, ini menunjukkan saya dikategorikan sebagai gemuk kerana melebihi 27.5. IJB 23.0 atau lebih adalah dikatogorikan sebagai pra-obes atau pra-gemuk. Berat badan unggul adalah antara 18.5 hingga 23.

Paras Gula Dalam Darah:

Pemeriksaan menunjukkan paras gula dalam darah adalah 4.9 m mol/L dan semasa pemeriksaan saya telah sarapan pagi 3 jam sebelumnya dengan segelas teh tarik dan 4 keping kuih manis.

Paras gula ini sangat baik kerana sekiranya kita berpuasa hendaklah kurang 6.0 m mol/L atau 2 jam selepas makan hendaklah kurang dari 11.0 m mol/L.

Sebenarnya, gula dalam darah bukanlah sesuatu yang memudaratkan kesihatan kita apabila berada pada paras yang normal kerana kehadiran gula dalam darah adalah 'makanan' utama sel badan kita untuk membekalkan tenaga yang diperlukan. Sedikit peningkatan dan penurunan paras gula adalah normal bagi seseorang yang sihat sepanjang hari.

Bagaimana Mengekalkan Gaya Hidup Sihat:

- Makan Secara Sihat: Kurangkan garam dalam makanan. Sajian yang disyurkan adalah 1/2 pinggan nasi putih, 1/2 cawan sayur tua bersama batangnya yang dimasak, 1/2 biji jambu atau satu hirisan betik/nenas, satu gelas susu dan seketul peha ayam sederhana atau dua ketul daging tanpa lemak berukuran kotak mancis.

- Sentiasa Aktif: Mulakan senaman secara tetap sekurang-kurangnya 30 minit sehari atau 10 minit setiap kali untuk 3 kali sehari dengan aktiviti yang sesuai. Berjalan kaki selama satu jam atau berjalan laju selama 30 minit juga sangat digalakkan.

- Belajar Menangani Tekanan/Stres: Masalah stres akibat emosi boleh ditangani dengan cara bertenang, kenal pasti kenapa marah, dengar penjelasan orang lain, beredar sekiranya tidak dapat mengawal kemarahan, berbincang dengan orang lain, membiasakan diri memaafkan dan menerima kenyataan serta ajaran agama Islam menghendaki kita mengambil wuduk, solat dan membaca al-quran.

Soalnya sekarang ialah bolehkah saya mengurangkan kegemukan dengan mengambil makanan diet, bersenam setiap hari dan menangani stres?.