Radio Internet FuhYooFm

Jumaat, Mac 06, 2009

SAMBUTAN MAULIDUL RASUL SAW BANDAR BARU UDA 1430H/2009M

.
Syeikh Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri
Pensyarah Jabatan Arab & Tamadun Islam UKM
(penceramah pada program kemuncak)

Setiap tahun ketibaan 12 Rabiul Awal yang merupakan hari keputeraan Nabi Muhammad S.A.W., jutaan manusia Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraannya.

Begitulah juga yang akan berlaku pada tahun ini. Tentunya, Masjid Jamek Bandar Baru Uda juga tidak akan ketinggalan untuk mengadakannya. Bersesuaian dengan hari-hari cuti, beberapa program telahpun dirancang sebagaimana berikut:-

07.03.2009 (Sabtu):
- Kuliah subuh oleh Ustaz Faizal Chik
- Bengkel pemantapan solat khusus muslimat bermula 8.00 pagi
- Bengkel pemantapan solat khusus kanak-kanak bermula 8.00 pagi

08.03.2009 (Ahad):
- Kuliah subuh oleh Ustaz Ismail Mustari
- Ceramah motivasi warga emas oleh Ustaz Faizal Chik bermula 8.30 pagi
- Pertandingan mewarna untuk kanak-kanak bermula 8.30 pagi
- Kuiz sirah maulidul rasul khusus muslimat bermula 5.30 petang

09.03.2009 (Isnin):
- Kuliah subuh oleh Ustaz Md Isa Deraman
- Perarakan pelajar sekolah rendah dan menengah bermula 7.30 pagi
- Ceramah motivasi, kuiz, tayangan filem dan penyampaian hadiah untuk pelajar sekolah
- Ceramah maulid oleh Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri bermula 9.00 malam

10.03.2009 (Selasa):
- Khatam Al-Quran, tajwid dan fasahah bermula 7.45 malam

Untuk program perarakan, semua peserta yang terlibat terdiri dari pelajar sekolah rendah dan menengah akan berkumpul seawal jam 7.00 pagi bertempat di Dewan Jubli Perak (berhadapan Sekolah Agama BBU). Selesai perarakan, penggerak Persatuan JIM Johor akan mengendalikan ceramah motivasi, kuiz, tayangan filem dan penyampaian hadiah.

Jamuan untuk ceramah pada 09.03.3009 akan diedarkan selepas solat Maghrib.

Diharapkan setiap individu yang bersama menganjur dan menjayakan majlis ini akan mendapat segala kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah Sbanahu Wataala.

Selasa, Mac 03, 2009

MASJID BANDAR BARU UDA DISEBUT DALAM PERBAHASAN PARLIMEN

.
Dato' Dr. Mashitah binti Ibrahim

Dato' Dr. Mashitah binti Ibrahim, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri menyebut nama Masjid Jamek Bandar Baru Uda sebagai Masjid Hadhari dalam Persidangan Parlimen bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Parlimen Ke 12 (2009) yang sedang berlangsung dari 16 Februari 2009 hingga 19 Mac 2009.

Perkara ini berlaku pada hari semalam (2 Mac 2009) apabila beliau menjawab soalan dari Puan Hajah Zuraidah Kamaruddin, Ahli Parlimen Ampang dari PKR tentang peranan masjid sebagai pusat ekonomi.

Di bawah adalah sebahagian dari catatan penyata rasmi persidangan tersebut:-

Puan Hajah Zuraidah Kamaruddin (Ampang) minta Perdana Menteri menyatakan adakah kerajaan telah atau akan mengadakan suatu perancangan bagi menjadikan masjid bukan sahaja tempat ibadah tetapi juga sebagai pusat ekonomi seperti mesujudkan pusat perniagaan di sekeliling masjid.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Dato' Dr. Mashitah binti Ibrahim):
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Ampang di atas soalan yang dikemukakan. Untuk makluman Dewan yang mulia, kerajaan telah mengadakan perancangan untuk menjadikan masjid bukan sahaja tempat ibadah tetapi juga sebagai pusat ekonomi. Ini merupakan salah satu cara untuk menjadikan masjid sebagai tempat pelbagai fungsi. Walau bagaimanapun dalam usaha menjadikan masjid sebagai pusat ekonomi ia boleh dilaksanakan selagi tidak mengganggu fungsi asasi masjid sebagai tempat ibadah. Dalam usaha ke arah mencapai matlamat tersebut kerajaan sedang melaksanakan program Masjid Hadhari yang mana sebilangan masjid-masjid yang beroperasi telah dinobatkan sebagai Masjid Hadhari oleh Jabatan Agama Islam negeri di seluruh Malaysia. Antara Masjid Hadhari yang boleh dijadikan panduan ataupun contoh ialah Masjid Bandar Baru Uda, Johor Baharu. Masjid ini telah mewujudkan Yayasan Masjid untuk mengimarahkan masjid. Antara aktiviti dan prasarana yang telah disediakan ialah menubuhkan rangkaian kedai runcit, perkhidmatan kitar semula, pusat dialisis, sekolah agama, katering, bahkan mewujudkan sukarelawan untuk menjalankan aktiviti sosial yang lain kepada anak kariahnya. JAKIM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri sedang memberi penjelasan kepada ahli jawatankuasa masjid di seluruh negara tentang program Masjid Hadhari ini. Kejayaan program ini berkait rapat dengan kesungguhan kerajaan negeri melaksanakannya. Selain daripada itu, JAKIM dengan kerjasama MAMPU sedang menyiapkan Indeks Penarafan Masjid. Dengan indeks ini boleh menjadi kayu ukur dalam menilai prestasi masjid serta melengkapkan standard Masjid Hadhari. Terima kasih.

Ahad, Mac 01, 2009

MALAM PENGHARGAAN SEKOLAH AGAMA BANDAR BARU UDA

Satu majlis penghargaan kepada guru-guru dan ahli jawatankuasan Badan Kebajikan Sekolah Agama Bandar Baru Uda di atas segala sumbangan mereka kepada sekolah pada setahun yang lalu, telah diadakan pada 21 Februari 2009 mulai jam 8.00 malam bertempat di Danga Cruise, Danga Bay, Johor Bahru.

Majlis anjuran bersama antara pihak sekolah dan badan kebajikan ini juga diharapkan akan dapat memberi motivasi kepada guru-guru agar lebih gigih untuk memajukan sekolah dan anak didik.

Selain itu, ia juga diharapkan dapat mengeratkan hubungan diantara guru-guru dan ahli jawatankuasa Badan Kebajikan.

Untuk pertama kalinya, majlis ini telah diadakan di atas kapal Danga Cruise 8 yang menelusuri Selat Tebrau dari Jeti Danga Bay menghala ke Tambak Johor dan berpatah balik.

Pelayaran selama dua jam amat memadai dengan bayaran yang dikenakan oleh pengurusan iaitu RM50.00 untuk setiap peserta termasuk makan malam secara buffet.

Setelah menikmati jamuan, majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Sdr Ramli Jusoh, Ahli Jawatankuasa Badan Kebajikan dan diikuti oleh ucapan Pengerusi Sambutan.

Sdr Haji A Razak Mohamad, Pengerusi Badan dalam ucapan alu-aluannya mengucapkan terima kasih atas kesungguhan guru-guru yang bertugas dengan penuh dedikasi untuk mendidik pelajar. Begitu juga dengan guru besar yang telah berpindah iaitu Ustazah Hajah Rusilah Omar dan segala kecemerlangan yang ditunjukkannya akan dapat diwarisi oleh guru besar yang mengambilalih iaitu Ustaz Masrin Soib.

Guru Besar dan guru-guru yang diraikan juga telah diminta menyampaikan ucapan dan majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah serta cenderamata.

Juruacara pada malam tersebut, Puan Muhawa telah dapat menghidupkan suasana majlis dengan penuh kemeriahan kerana kepetahan dan soalan teka-teki.

Majlis berakhir pada jam 10 malam.

Ucapan alu-aluan pengerusi sambutan

Tetamu yang hadir, dari kiri Hj Abdullah Shaaban,
Ramli Jusuh dan Hj A Razak Mohamad

Hj A Razak Mohamad, Pengerusi Badan Kebajikan
menyampaikan ucapan

Guru Besar, Ustaz Masrin Soib sedang berucap

Ustazah Hjh Rusilah Omar menyampaikan ucapan
mewakili guru-guru yang berpindah

Nasyid dari Majlis Guru-Guru

Ahli Jawatankuasa Badan Kebajikan bergambar ramai

Saya, isteri dan Ainul Safika
turut mengabadikan gambar kenang-kenangan

GAMBARKU DAHULU, KINI DAN GAMBAR PEWARISKU

.
Perhatikan gambar-gambar di bawah:-

Gambar ini diambil pada ketika umurku 21 tahun, belum berumahtangga tapi sedang bertunang dengan isteriku sekarang. Berambut agak panjang dan tidak bermisai (belum tumbuh lagi).

Ini anak lelaki tunggalku, Irwan Lutfi. Berumur 25 tahun. Ada perbezaan ke dengan gambar di atas?. Tentu ada.

Ini gambarku ketika ini. Umurku hampir 57 tahun. Tentu banyak perbezaan antara dahulu dan sekarang.

HUBUNGAN HJ MD ALI ZAITON DENGAN MASJID JAMEK BANDAR BARU UDA

.
Hj Ali Zaiton (kanan) bersama penggerak MJBBU,
Hj Hussin Ismail (tengah) dan Hj Suliman Sujak (kiri)


Maghrib hari Jumaat baru lalu, saya dan isteri dijemput ke rumah Hj Md Ali Zaitun di Jalan Padi Huma, Bandar Baru Uda. Beliau membuat majlis kesyukuran kerana genap 20 tahun syarikat guamannya beroperasi.

Jiran-jiran dan kenalan rapatnya datang untuk bersama bersolat Maghrib, Isyak, bacaan yassin serta bertahlil.

Saya telah diminta melaungkan azan dan iqamah. Haji Munadi Muhajir pula mengimamkan solat serta mengetuai bacaan yassin dan bertahlil.

Solat berjemaah di pejabat baru Yayasan Masjid
(dahulu pejabat YPJ Palm International Sdn Bhd)

Selesai majlis kami dihidangkan nasi beryani ayam dan kambing. Setiap empat orang akan makan bersama dalam satu dulang dengan membentuk lingkaran dan makan sesuap demi sesuap menggunakan tangan dengan tertib sambil mengobrol (bahasa Jawa: berbual-bual).

Sebelum meninggalkan majlis, kami diberi cenderamata berupa kitab yassin dan kompas kiblat.

Bagi saya, Hj Ali Zaiton tidak akan mudah untuk dilupakan kerana beliau adalah pengasas kepada permohonan tukar hakmilik tanah dari pajakan kepada kekal di BBU. Dalam kelompok pertama seramai 18 orang pemilik tanah di BBU telah membuat permohonan kepada kerajaan, malangnya permohonannya gagal.

Bertitiktolak dari situlah, saya bersama-sama dengan Hj Ali membuat rayuan dengan sokongan cawangan-cawangan UMNO dan ADUN Kempas, begitupun masih tidak berhasil.

Akhirnya, dengan landasan Masjid BBU sebagai komuniti yang sangat dipercayai, pada 26 Disember 2004 semua ketua-ketua masyarakat kami taklimatkan tentang perlunya permohonan penukaran hak milik tanah. Dan setelah semuanya bersetuju, kami menunggu kedatangan YB Dato Shahrir Samad, Ahli Parlimen Johor Bahru.

Tepat jam 10 pagi bertepatan dengan berlakunya gegaran gempa bumi di dasar Lautan Hindi dan Kepulauan Andaman berukuran 8.9 sekala Richter yang menghasilkan Tsunami yang mengorbankan ratusan ribu nyawa, kami dengan penuh keyakinan menjelaskan kepada Dato Shahrir yang akhirnya menempa kejayaan.

Inilah diantara peristiwa yang tidak sepatutnya dilupakan oleh masyarakat BBU disamping banyak sumbangan pemikiran, tenaga dan kewangan yang diberi kepada Masjid BBU.

Beliau yang masih lagi memegang jawatan Pengerusi Biro Ekonomi Masjid BBU juga telah memberi kebenaran untuk Yayasan Masjid menggunakan premis kepunyaannya di Jalan Padi Emas sebagai pejabat.

Hj Ali Zaiton (kiri sekali) ketika mesyuarat bersama antara Yayasan Masjid
dan Jawatankuasa Tadbir MJBBU


Premis ini dahulunya adalah pejabat YPJ Palm International Sdn Bhd dimana Hj Ali melalui Rancak Gemilang Sdn Bhd mempunyai 70% saham. Ramai yang tidak mengetahui 5% (RM2.5 juta) dari Rancak Gemilang SB adalah dipunyai oleh Yayasan Masjid Jamek BBU.

Kegiatan syarikat adalah memperoses bio-diesel dan kilang kepunyaannya di Tanjung Langsat akan mula beroperasi pada bulan Mei 2009.

Mudah-mudahan Allah swt memberi kejayaan berlipat ganda kepada Hj Ali Zaiton dan insayallah kariah BBU akan menerima lampiasnya.



HARI JADI ISTERIKU

.
Hari ini, 01 Mac adalah hari jadi isteriku. Satu-satunya isteri yang kunikahi sejak 02 Ogos 1973, bermakna hampir 36 tahun kami melayari hidup dengan pelbagai suka duka.

Lapan tahun kami menunggu kelahiran Suria Irwany, anak pertama. Beberapa tahun kemudian lahirlah pula Irwan Lufi dan Amalaina Irwani. Bukan mudah melahirkan ketiga-tiga mereka kerana terpaksa melalui pembedahan. Begitu juga tidak mudah untuk mendidik mereka, hanya Allah sahaja yang mengetahui dan kepadaNya juga kami berserah supaya mereka menjadi anak yang soleh dan solehah.

Bukanlah saya tidak mahu lebih dari itu tetapi hanya dengan anak yang soleh dan solehah saja yang akan dapat mententeramkan jiwa ibu bapanya.

Begitupun saya masih bersyukur kerana ingatan mereka kepada kami. Pagi ini, isteriku mendapat ucapan selamat hari lahir dari anak-anaknya dan ada yang memberi hadiah.

Apa pula hadiah dariku?. Tidaklah perlu saya catatkan di sini kerana selama ini isteriku akan tahu hadiah yang akan dapat dariku. Memang dia sudah menjangka dan itulah hadiah kasih sayang yang sangat tinggi nilainya.

Mudah-mudahan kerukunan ini akan terus berkekalan.


MALASNYA HENDAK MENGEMASKINI BLOG

.
Lama benar rasanya saya tidak mengemaskini blog ini, rasanya genap dua minggu. Memang banyak perkara hendak diluahkan di sini. Banyak kekangan dan diantaranya ialah kesakitan lutut kiri ini memberi banyak kesan untuk saya terus berfikir tentang apakah kesudahannya.

Saya menjadi malas untuk mengadap komputer sebaliknya lebih banyak di hadapan tv. Atau mungkin saya tidak berminat untuk melayari laman-laman web pada ketika ini banyak berhujah tentang politik semasa tanah air. Boring dan fedup dengan suasana pertelagahan dan karenah ahli-ahli politik serta penyokong fanatik.

Dalam keadaan ekonomi gawat sekarang, sepatutnya pemimpin parti-parti politik sepatutnya menggembeling tenaga dan fikiran untuk mencari jalan bagaimana mengatasinya.

Tidak terkecuali juga suasana pemilihan dalam UMNO yang akan berlangsung pada akhir Mac ini juga mengesankan walaupun ia tidaklah seteruk atau sehebat pada pemilihan sebelum ini.

Jadi, adalah lebih baik saya menonton siaran tv walaupun kegemaran saya tidak sama dengan keluarga yang ada di rumah. Saya hanya menonton saluran Astro 101, 103, 501, 502, 555, 556, 811, 812, 813 dan 814. Mudahnya ialah saya hanya meminati siaran berita, sukan dan ilmuan. Sesekali akan melihat juga 104, 105, 106 dan 119 terutama dalam pembelajaran alquran.

Ramai juga rakan-rakan yang bertanya mengapa saya tidak update blog. Terima kasih kepada mereka yang perihatin kepada blog saya walaupun saya begitu keciwa kerana blog ini tidak dibaca oleh keluarga sendiri (melainkan keluarga abang di Kuala Lumpur).

Mungkin keluarga saya belum terbuka hati untuk membacanya, tetapi saya percaya satu hari nanti mereka dapat membaca isi hati ini dan sejarah pengalaman hidupku. Insyaallah.