Radio Internet FuhYooFm

Ahad, Mei 03, 2009

MESYUARAT TAHUNAN MJBBU BAGI TAHUN BERAKHIR 2008

.
Masjid Jamek Bandar Baru Uda berjaya mengadakan mesyuarat tahunannya pada hari ini yang bermula pada jam 10:30 pagi dan turut dihadiri sama oleh Ahli Parlimen Johor Bahru, Dato' Shahrir Abd Samad.

Dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih kepada kariah saf pimpinan masjid yang telah berjaya menggerakkan masjid sebagai satu badan yang diimpikan oleh masyarakat setempat serta dikenali di seluruh negara.

Dato' Shahrir menjelaskan bahawa kejayaan masjid ini bukanlah kerana bentuk bangunannya kerana sekiranya dibandingkan dengan masjid-masjid lain, masjid BBU tidaklah begitu menarik tetapi pengimarahannya telah berjaya menarik minat masyarakat dan pihak lain sehingga mendapat penganugerahan dari Kerajaan.

Kejayaan masjid ini telah meringankan tugasnya sebagai wakil rakyat dan beliau berharap ia dapat dicontohi oleh badan-badan lain di kawasan jagaannya.

Mesyuarat yang diadakan di Dewan Kuliah telah membentangkan laporan aktiviti, laporan kewangan serta menerima syor dan cadangan untuk memperbaiki pentadbiran masjid.



MESYUARAT AGONG TAHUNAN PUSAT DIALISIS DAN KESIHATAN MASJID JAMEK BANDAR BARU UDA

.

Mesyuarat Agung Tahunan Pusat Dialisis dan Kesihatan Masjid Jamek Bandar Baru Uda Kali Yang Ke 4 telah diadakan di Bilik Mesyuarat MJBBU pada pagi tadi (Ahad 3 Mei) mulai jam 9:30 pagi dan dipengerusikan oleh YB Dato' Shahrir Abd Samad.

Mesyuarat yang berjalan dengan lancar telah menerima dan memperakui Laporan Pengarah dan Penyata Kewangan untuk tahun berakhir 31 Disember 2008.

Mesyuarat juga telah melantik Juruaudit, Ismail Midon & Co sebagai juruaudit bebas yang akan mengaudit penyata kewangan.

Haji Hussein Ismail, Setiausaha PDK telah membentangkan laporan kemajuan dan setelah mengambil kira beberapa perkara termasuk saranan Pengerusi, YB Dato' Shahrir yang inginkan kebajikan kakitangan diutamakan, mesyuarat bersetuju dan menerima laporan tersebut.
.

LAWATAN KARIAH MASJID SULTANAH BAHIYAH, ALOR STAR

.


Sabtu pagi semalam, masjid kami menerima lawatan 40 orang kariah dari Masjid Sultanah Bahiyah, Alor Star, Kedah.


Sebahagian dari mereka hadir seawal sebelum solat subuh dan bersama-sama jemaah MJBBU menunaikan solat, mendengar kuliah subuh yang disampaikan oleh Ustaz Haji Abu Bakar Selamat serta menikmati sarapan pagi yang disajikan oleh unit katering MJBBU.

Seperti biasa, taklimat diberi kepada mereka dan juga dibuka ruang untuk soaljawab.


Setelah membuat lawatan sekitar masjid dan juga menikmati jamuan rengan, rombongan bertolak terus ke Melaka pada jam 10:00 pagi.

Sabtu, Mei 02, 2009

BERITA MELALUI SMS TENTANG KEMATIAN

.
Selepas solat subuh hari ini, saya mendapat sms memberitakan kematian Datuk Haji Ali Mohamad, bekas ADUN kawasan Tanjung Puteri dan masih memegang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru.

Ketika meraikan pelawat dari Masjid Sultanah Bahiyah, Alor Star yang melawat Masjid Jamek Bandar Baru Uda, saya mendapat sms dari seorang isteri tentang suaminya yang sedang nazak di Hospital Sultanah Aminah. Beliau menggesa saya segera menemui suaminya di hospital.

Saya bergegas ke majlis doa selamat seorang rakan di Bandar Baru Uda dan ketika itu saya sempat membalas sms tadi dan akan berusaha ke hospital seberapa segera yang mungkin.

Begitupun, saya bersama Haji Hussein Ismail (Bendahari Masjid Jamek Bandar Baru Uda) terpaksa pula ke Masjid Sultan Abu Bakar untuk bersama solat jenazah Allahyarham Datuk Haji Ali Mohamad.

Dari masjid, saya terus ke Hospital Sultanah Aminah menemui rakan yang dikatakan sedang nazak.

Saya sungguh terkejut kerana rakan yang dikatakan oleh isterinya sedang nazak sebenarnya berada dalam keadaan sedar dan boleh berbual-bual dengan menceritakan kesihatan dirinya.

Pelek juga kerana tidak ada sesiapa pun hatta isterinya sendiri yang menghantar sms berada di sampingnya.

Saya membelek sekali lagi sms tersebut bahkan sebelumnya pun saya telah menghebahkan kepada rakan-rakan yang lain.

Apa akan terjadi kiranya sms ini saya tunjukkan kepada rakan yang sedang saya lawati ini?.

Saya tidak menyalahkan si isteri yang menghantar sms, mungkin beliau tidak berpengalaman berhadapan dengan seseorang yang sedang mengadap sakaratulmaut. Atau mungkin atas keikhlasannya meminta rakan-rakan melawat suaminya yang sedang terlantar di hospital sejak empat hari yang lalu.

Begitupun, ia memberi kesedaran dan keinsafan kepada saya untuk segera memberitahu rakan yang lain supaya menziarahinya apatah lagi apabila rakan yang sedang sakit ini mengalirkan air mata apabila saya dan Haji Hussein meninggalkannya.

Mudah-mudahan beliau akan segera sembuh dan dapat memberi sumbangbakti kepada masyarakat dan di masjid seperti sebelumnya.

Sebentar tadi saya ke Kampong Melayu untuk membaca surah Yassin dan bertahlil bersama keluarga isteri di rumah kakak. Isteri pula tidak dapat bersama kerana demam dan muntah-muntah (saya sempat membelikan ubat demam dan tahan muntah dari farmasi).

Sekali lagi saya menerima sms dan berita yang diterima adalah kematian seorang lagi rakan iaitu Ustaz Haji Salleh Satak di Jalan Tekukur, Larkin. Beliau adalah bekas AJK UMNO Bahagian Johor Bahru dan memegang jawatan Pengerusi Biro Agama, jawatan yang saya ambilalih sekarang.

Mungkin esok tengahari saya dapat menziarahi jenazah, itupun kalau masih berkesempatan kerana pada sebelah pagi saya terpaksa mengikuti mesyuarat agung Pusat Dialisis dan Kesihatan serta mesyuarat tahunan Masjid Jamek Bandar Baru Uda.

Kedua-dua mesyuarat ini sangat penting kerana saya berada dalam saf kepimpinan.

MAULIDUL RASUL PBKF JOHOR UTARA/MELAKA

.
Hari Khamis kelmarin, saya sempat bersama-sama dengan ahli-ahli Persatuan Bekas Kakitangan Felda (PBKF) Kawasan Johor Utara/Melaka dalam majlis maulidul rasul.

Majlis yang bermula pada jam 11:00 pagi bertempat di perkarangan rumah Haji Azman Dahlan, 157 Jalan Muar, Sungai Mati dan dihadiri hampir 70 ahli.

Majlis dipenuhi dengan ucapan oleh penyelaras yang juga AJK PBKF, Haji Indera Putra Ismail dan juga bacaan marhaban serta selawat.

Penceramah agama yang diundang untuk majlis ini ialah Ustaz Haji Othman Abu Hashim, Imam Masjid Sungai Mati, Muar.

Semoga majlis ini mendapat keberkatan Allah swt.








.

TIMBALAN KETUA UMNO BAHAGIAN JOHOR BAHRU MENINGGAL DUNIA

.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Puteri, Datuk Ali Mohamed meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini pada hari ulang tahun kelahirannya ke-68 hari ini.

Menurut isterinya, Datin Rokiah Othman, 56, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 6 pagi tadi selepas dimasukkan ke hospital tersebut sejak 21 April lepas.

“Allahyarham dimasukkan ke HSI pada 21 April lalu kerana terdapat ketumbuhan pada usus besar dan menjalani pembedahan di hospital sama pada 27 April lalu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Allahyarham menjadi lemah selepas pembedahan itu dan kurang selera makan.

Allahyarham, yang juga Timbalan ketua UMNO Bahagian Johor Baharu, meninggalkan seorang balu, empat orang anak dan tujuh cucu.

Jenazah Allahyarham kemudian telah dibawa ke kediamannya di No.17, Jalan Seruling, Taman Perbadanan Islam, di sini.

- Bernama

APAKAH JENIS MANUSIA YANG MAHU MENJADI PEMIMPIN TETAPI MASIH BERAHSIA DAN SUKAR UNTUK DIHUBUNGI

.
Diantara perkara yang saya tidak suka atau benci ialah apabila mendapat panggilan telefon yang tidak memaparkan nombor talian pemanggilnya.

Saya tidak suka bukan kerana saya ingin mengelak untuk menjawab panggilan. Insyaallah, setakat ini saya akan menjawab semua panggilan kiranya ketika itu telefon berada pada saya atau tidak ada perkara lain yang boleh menghalang untuk menjawabnya.

Saya pernah beberapa kali menerima panggilan seperti ini iaitu timbul perkataan 'private number' pada skrin telefon. Saya akan bertanya pada diri sendiri, apakah perlu saya menjawab panggilan ini?.

Saya boleh menolak terus panggilan atau tidak ambil peduli langsung. Tetapi kekadang terfikir juga mungkin ada perkara penting yang akan disampaikan.

Soalnya ialah mengapa sipulan atau sipemanggil ini sangat peribadi atau menyembunyikan identitinya?.

Adakah beliau tidak mahu nombor telefonnya diketahui oleh orang lain?.

Adalah sangat malang bagi manusia seperti ini terutama yang mempunyai jawatan penting yang ada kaitannya dengan orang ramai. Lebih jelek adalah ada diantaranya orang yang bersungguh-sungguh dan bermati-matian pada ketika ingin sokongan dari orang ramai atau mereka yang mempunyai kepentingan dengannya.

Ada diantara manusia seperti ini mempunyai cita-cita tinggi untuk menjadi pemimpin masyarakat tetapi masih berahsia dan menyembunyikan sesuatu. Bukan itu sahaja, sesetengah mereka memilih-milih pemanggil untuk menjawabnya dan ada juga yang terus mematikan telefon pada ketika bukan waktu bekerja.

Pada era teknologi maklumat 'IT' begitu sebati dan maju dengan perkembangan masa, percayakah anda bahawa satu ketika (baru lalu), seorang Ahli Parlimen Malaysia tidak mahu menggunakan telefon bimbit!.

Benar, ini bukan cerita rekaan. Pelek tetapi kenyataannya wakil rakyat ini hanya boleh dihubungi apabila beliau berada di rumah sahaja atau mencari dimana lokasi beliau berada.

Saya tidak faham mengapa mereka tidak mahu menggunakan telefon bimbit atau kalau menggunapun sanggup berahsia tentang nombornya, apatah lagi kalau kita berbicara tentang penggunaan komunikasi perhubungan melalui IT seperti email, blog, laman web dan sebagainya!.

Persoalannya ialah layakkah manusia seperti ini kita lantik untuk menjadi pemimpin kalau hidupnya masih berahsia dan sukar untuk dihubungi.