Radio Internet FuhYooFm

Ahad, Mei 10, 2009

CARA BEKERJA DATO' SHAHRIR SAMAD MENYELESAIKAN MASALAH RAKYAT

.
Dato' Shahrir berhati-hati mendengar aduan
dan serius mengambil tindakan

Lihat bagaimana YB Dato' Shahrir Samad, Ahli Parlimen Johor Bahru menyelesaikan masalah rakyat;

Apabila Dato' Shahrir menerima aduan dari penduduk di Taman Abad (Century Garden), Johor Bahru tentang tindakan Kerajaan Johor mengambil tanah perumahan mereka melalui Akta Pengambilanbalik Tanah atau 'Land Acquisition Act', setelah membincangkan dengan wakil penduduk, beliau bersedia menemui Menteri Besar Johor untuk mendapat penjelasan terutama kepentingan rakyat atas isu berkenaan.

Dalam pertemuan dengan Menteri Besar Johor yang dihadiri sama oleh Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Johor Bahru di Saujana pada minggu lalu, Dato' Shahrir telah menyatakan bahawa tindakan Kerajaan Johor adalah tidak wajar kerana perkara yang dibangkitkan tidak pernah dibawa berunding kepada penduduk atau wakil-wakil penduduk.

Tindakan seperti ini boleh ditafsirkan sebagai tindakan yang tidak adil kerana ia dilihat mengikut kehendak pemaju perumahan yang sedang membangunkan dua blok perumahan mewah mengandungi 592 unit dan terpaksa mengorbankan 20 unit rumah penduduk asal yang mempunyai status pemilikan kekal.

Bagaimana dengan feng shui bangunan ini
berhadapan dengan 20 unit rumah yang dibangunkan
sejak 40 tahun yang lalu?

Bangunan yang sedang dalam pembinaan di Jalan Dato' Sulaiman dan dijangka akan siap pada tahun 2011 ini sangat memerlukan kawasan untuk dijadikan tapak penghijauan dan rekreasi sebagai satu keperluan pembangunan serta menambah nilai aset yang sedang dibangunkan.

Sasaran utama pemaju adalah untuk mencari pembeli dari Singapura kerana ia dapat dilayari dari iklan dalam blog yang berkaitan dengan iklan jualan bangunan.

Apabila perkara ini dibangkitkan, YAB Dato' Abdul Ghani Othman melahirkan rasa terkejut dan tidak bersetuju dengan tindakan mengambil tanah berkenaan.

Apa yang dimuskhilkan ialah mengapa pada 18 Disember 2008, Pejabat Tanah dan Galian Johor boleh mengedarkan surat untuk mengambilalih tanah untuk tujuan rekreasi?.

Dalam perjumpaan tersebut, Menteri Besar telah bersetuju untuk membatalkan projek pembinaan taman rekreasi dan telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan iaitu MBJB untuk mencari akta yang sesuai untuk membatalkannya.

Salah seorang dari 20 keluarga yang terlibat, B Suria Ganeson melahirkan rasa bangga atas usaha yang telah dilakukan oleh Dato' Shahrir Samad dan berharap tindakan membatalkan pengambilanbalik tanah ini akan menjadi kenyataan.

Dato' Shahrir dan Mok Chek Hou (ADUN Stulang)
bersama penduduk berhimpun secara aman
menunjukkan bantahan

Sabtu, Mei 09, 2009

MENONTON PERTANDINGAN AKHIR BINTANG BANDARAYA 2009

.
Malam tadi, saya bersama isteri dan Syafikah menonton pertandingan akhir Bintang Bandaraya 2009 bertempat di Auditorium Pusat Penerangan Pelancongan (JOTIC), Jalan Air Molek, Johor Bahru.

Seramai 10 peserta akhir telah tampil dengan persembahan yang begitu mantap serta amat mempersonakan.

Selain dari YB Dato' Mohd Naim Nasir, Datuk Bandar Johor Bahru, dua orang Ahlimajlis lain yang turut hadir adalah Tuan Haji Abd Rashid Kasman dan Encik Ng Puay Wah.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Datuk Bandar Johor Bahru.

Saya juga telah diminta untuk menyampaikan cenderahati kepada para juri yang mengadili pertandingan.

Ini adalah majlis dan program pertama anjuran Majlis Bandaraya Johor Bahru yang saya hadiri setelah saya mengangkat sumpah sebagai Ahlimajlis.

Kombo Bandaraya Johor Bahru
mengiringi perserta pertandingan akhir


Barisan 10 peserta berjaya memukau
hadirin yang memenuhi Auditorium JOTIC


Zaraudin Rahman, Johan pertandingan
menerima hadiah dari Datuk Bandar


Mohd Zabri Zakaria, Naib Johan pertandingan
menerima hadiah dari Datuk Bandar


Ng Yee Lei, mendapat tempat ketiga
sedang menerima hadiah dari Datuk Bandar


Senarai Peserta Akhir Bintang Bandaraya 2009:

1. MAZLIN BINTI ABU BAKAR (Leen), 29 tahun dari Taman Sri Lambak, Kluang menyampaikan lagu Matahari dari penyanyi asal Agnes Monica.

2. MOHD KHAIRUDDIN BIN JAAFAR (Din PP), 37 tahun dari Kg Pasir Putih, Pasir Gudang menyampaikan lagu Gerhana Cinta Luka dari penyanyi asal kumpulan Iklim.

3. NOR ASNIDA BINTI MOHD AZHAR (Shida), 17 tahun dari Taman Pasir Emas, Pasir Gudang menyampaikan lagu Teringin dari penyanyi asal Shima.

4. ZARUDIN BIN RAHMAN @ DERAMAN (Udin @ Zack), 28 tahun dari Kuala Sedili Besar, Kota Tinggi menyampaikan lagu Dir dari penyanyi asal Rahim Maarof.

5. NUR ULFA BINTI GHAZALI (Ulfa), 17 tahun dari Jalan Pahlawan, Johor Bahru menyampaikan lagu Bertakhta Di Hati dari penyanyi asal Farahdiya.

6. MOHD FAIRUZ BIN MANSOR (Bob), 25 tahun dari Taman Dahlia, Johor Bahru menyampaikan lagu Di Sudut Kamar Hatiku dari penyanyi asal Jamal Abdillah.

7. MARLIAH BINTI HAMID (Ermyshah), 20 tahun dari Taman Sri Pulai Perdana, Skudai menyampaikan lagu Bisikan Hati dari penyanyi asal Siti Nourhaliza.

8. MOHD ZABRI BIN ZAKARIA (Ayie), 31 tahun dari Kg Bendahara, Johor Bahru menyampaikan lagu Sampai Syurga dari penyanyi asal Faizal Tahir.

9. SHAHRIL BIN TOWAHID (Airil), 32 tahun dari Taman Desa Rahmat, Johor Bahru menyampaikan lagu Merisik Khabar dari penyanyi asal Sudirman Hj Arshad.

10. NG YEE LEI, 18 tahun dari Taman Johor Jaya, Johor Bahru menyampaikan lagu Anggapanmu dari penyanyi asal Ziana Zain.

Jumaat, Mei 08, 2009

DEMONSTRASI YANG GAGAL

.
Usaha sekumpulan jemaah yang baru selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Bandar Baru Uda pada hari ini untuk berdemonstrasi tidak kesampaian apabila diminta bersurai oleh pihak Polis yang telah bersedia untuk bertindak dalam sebarang kemungkinan.

Program yang nampak dipelopori oleh parti PAS berdasarkan beberapa orang yang saya kenal berada dalam kelompok tersebut telah dihidu lebih awal oleh pihak Polis.

Ini terbukti apabila pihak berkuasa berkenaan telah menghubungi pengurusan masjid dan meminta supaya dibuat pengumuman sebelum bermula solat Jumaat agar orang ramai tidak berkumpul untuk berdemonstrasi dalam kawasan masjid.

Apabila jemaah melihat ramai anggota Polis berkawal di luar kawasan masjid, mereka bertanggapan terdapat lawatan pembesar negara kerana seminggu sebelumnya terdengar ura-ura Tengku Mahkota Johor akan menunaikan solat Jumaat di masjid ini.

Selesai solat Jumaat, ketika para jemaah keluar dari bangunan masjid, kelihatan beberapa pemuda berkumpul di atas tangga pintu pagar masjid (bersebelahan kemah gerai bergerak Haji Murshid) dan salah seorang darinya mula berucap.

Pada masa sama, jemaah yang berada di masjid dan sebahagian masih melakukan zikir dan solat sunat rasa terganggu. Salah seorang darinya telah memekik dengan laungan yang kuat supaya kumpulan ini tidak melakukan sebarang gangguan dalam kawasan masjid.

Keadaan ini telah menyebabkan pihak Polis bertindak dan kelihatan dua orang dari kumpulan yang berdemonstrasi telah ditahan oleh pihak yang berkuasa. Salah seorang darinya dikatakan bernama Zaaba.

Hasil dari tindakan Polis ini menyebabkan keadaan menjadi reda dan jemaah dapat terus menunaikan ibadah sunat dan keluar dari perkarangan masjid dengan tenang.

Dari pemerhatian didapati apa yang dilakukan oleh kumpulan ini tidak mendapat simpati dan sokongan dari penduduk di Bandar Baru Uda sebagaimana juga yang pernah mereka lakukan sebelum ini.

Kecekapan pihak Polis bertindak seharusnya diberi pujian memandangkan kawasan masjid tidak sepatutnya digunakan untuk kegiatan yang boleh merosakkan perpaduan masyarakat.


Jemaah mula keluar dari masjid setelah selesai solat Jumaat

Beberapa pemuda mula berkumpul bersebelahan kemah gerai bergerah
Haji Murshid dan tidak dipedulikan oleh jemaah

Keadaan kumpulan yang ingin mengadakan demonstrasi
setelah dua orang darinya ditahan oleh pihak Polis

Mereka mungkin sedang berbincang untuk bersurai
atau mengambil tindakan lain

Suasana tenang di perkarangan masjid

SALMAH SAFFAR DILANTIK KETUA WHIP MBJB

.
JOHOR BAHRU 7 Mei - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) melakar sejarah apabila melantik wanita memegang dua jawatan teratas dalam Ahli Majlis MBJB.

Pelantikan Salmah Saffar, 62, selaku Ketua Whip manakala Timbalannya disandang oleh Tan Lian, 53, diumumkan oleh Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Naim Nasir dalam majlis Perlantikan dan Angkat Sumpah Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru, di sini semalam.

Sebanyak tujuh muka baru yang dilantik termasuk Salmah, Sunawan Md. Som, Datuk Yahya Jaafar, Md. Ali Alwee, Leow Kam Choy, Ng Puay Wah, Chin Lee Fong dan Teo Boon Kong.

Ahli yang dilantik semula ialah Datuk Ibrahim Ghafar, Ahmad Daud, Khalid Mohamed, Azman Dawam, Ramlee Bohani, Abdul Rashid Kasman, Chang Mei Kee, Neo Khai Beng, Ang Boon Heng, Wong Kwee Eng, Tan Lian, Yap Chen Heng dah Abdul Md. Yusof.

Kesemua ahli majlis berkenaan mengangkat sumpah bagi tempoh 1 Mei hingga 31 Disember 2010 di hadapan Mohd. Naim.

Dalam pada itu, Salmah yang ditemui selepas majlis berkenaan berkata, pelantikannya merupakan satu penghargaan kepada golongan wanita.

Jawatan tersebut, jelasnya, membuktikan wanita hari ini berkelayakan untuk memegang sebarang jawatan yang ada di dalam sesebuah organisasi.

"Saya bersyukur atas pelantikan tersebut dan berazam untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat khususnya warga bandar raya ini," katanya.

Mohd. Naim pula yakin Salmah dan Tan Lian mampu menjalankan tugas mereka dengan baik dalam mentadbir sekali gus mempamerkan prestasi cemerlang.

"Soal gender bukan lagi perkara pokok yang harus dipertikaikan. Apa yang perlu ialah semua yang dilantik perlu memberikan perkhidmatan terbaik dan memuaskan hati warga bandar raya," katanya.

- Utusan

Khamis, Mei 07, 2009

PANTAI STULANG TEMPAT PASANGAN BERCENGKERAMA

.
Dalam program YB Adam Sumiru, ADUN Tanjung Puteri dan juga Naib Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru bersama Biro Agama UMNO Bahagian Johor Bahru ke Surau Flat Stulang sebentar tadi, Ketua UMNO Cawangan, Sdr Kassim Saring memberitahu tentang pesisir pantai Stulang di Jalan Ibrahim Sultan telah dijadikan tempat pasangan bercengkerama terutama di waktu malam.

Beliau menyatakan bahawa pasangan ini terdedah kepada perlakuan maksiat apabila tiada lampu yang menerangi kawasan pantai. Lampu yang ada hanya di tepi jalan Jalan Ibrahim Sultan dan sinarannya begitu suram.

Dikatakan juga oleh Sdr Kassim bahawa kerap kali lampu yang ada sering padam dan ini membuatkan lebih ramai pasangan yang mengambil kesempatan untuk berada di kawasan tersebut terutama apabila mereka keluar dari kawasan free trade zon.

Penduduk di kawasan Flat Stulang berharap Kerajaan melalui ADUN Stulang (YB Mok Chek Hou) dan Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru Zon Stulang (Puan Tan Lian) segera mengambil tindakan iaitu dengan memasang lampu-lampu yang lebih terang di sepanjang pesisir pantai Stulang sejauh satu kilometer demi menjaga tatasusila dan mencegah kejadian jenayah.

Dalam program hari ini, saya telah membawa Ustaz Hassan Majid Al-Hafiz, Imam Masjid Jamek Bandar Baru Uda untuk mengimamkan solat Maghrib dan Isyak serta mengetuai bacaan Yaasiin dan tahlil.

Turut sama dalam program ini adalah Ustaz Hj Jalal Abd Rahman, penggerak surau dan masjid DUN Stulang dan juga Haji Hairuddin Abd Hamid, Ketua Kampong yang ditugaskan mengawasi kawasan Stulang Laut.

Program yang memberi menfaat terutama untuk melatih kariah dalam pembacaan Yassin yang betul sangat dititik beratkan oleh YB Adam Sumiru dan diharapkan program yang telah berjalan di beberapa surau dalam parlimen Johor Bahru akan dapat diteruskan.




Rabu, Mei 06, 2009

ANGKAT SUMPAH SEBAGAI AHLIMAJLIS MBJB

.
Sebentar tadi saya bersama 20 orang Ahlimajlis Bandaraya Johor Bahru telah menyempurnakan upacara mengangkat sumpah sebagai Ahlimajlis untuk tempoh 1 Mei 2009 hingga 31 Disember 2010 di hadapan Dato' Mohd Naim Nasir, Datuk Bandar MBJB.

21 orang ini adalah yang dipersetujui oleh Kerajaan Negeri Johor dari nama yang dicadangkan oleh parti-parti UMNO, MCA dan Gerakan serta seorang dari wakil persatuan penjaja.

Bagaimanapun wakil dari MIC masih belum dilantik.

Dalam ucapan Datuk Bandar, beliau mengucapkan tahniah diatas perlantikan dan berharap Ahlimajlis yang dilantik ini akan dapat menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan berkhidmat kepada masyarakat berpandu kepada tujuh prinsip iaitu menerima, percaya, komitmen, pencapaian, terbaik, tidak merancang untuk kegagalan serta matlamat.

Datuk Bandar juga berharap Ahlimajlis dapat memahami dan melaksanakan makna dan tafsiran huruf M.B.J.B. iaitu "Mesra Berkhidmat Jujur Berbakti".

Puan Hajjah Salmah Saffar, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Johor Bahru telah dilantik sebagai Ketua Whip sementara Puan Tan Lian, Ketua Wanita MCA Bahagian Johor Bahru dilantik sebagai timbalannya.

Datuk Bandar mengaminkan doa ketika majlis bermula

Saya menandatangani pengakuan menerima jawatan

Sumpah menyimpan rahsia dan ikrar menentang rasuah

Ahlimajlis dari MCA

Ahlimajlis yang baru dilantik bersama
Datuk Bandar dan Setiausaha Majlis

Isnin, Mei 04, 2009

PANGGILAN UNTUK ANGKAT SUMPAH SEBAGAI AHLIMAJLIS MBJB

.


Sebentar tadi saya menerima panggilan dari Puan Saodah, seorang kakitangan Majlis Bandaraya Johor Bahru meminta saya hadir untuk upacara angkat sumpah sebagai Ahlimajlis, Majlis Bandaraya Johor Bahru pada hari Rabu, 6.5.2009 mulai jam 3.00 petang bertempat di Dewan Mesyuarat, Aras 1, Bangunan MBJB.

Sebelum itu saya diminta untuk upacara raptai di tempat yang sama pada jam 1.30 tengahari.

Saya tidak terkejut dengan panggilan ini kerana nama saya telahpun disenaraikan oleh UMNO Bahagian untuk menjawat jawatan tersebut. Apa yang tidak terpikir adalah panggilan angkat sumpah pada bulan ini kerana dikatakan nama atau calon dari Parti MIC masih belum dikemukakan kepada Kerajaan oleh parti berkenaan.

Perkara ini diperjelaskan sendiri oleh YAB Menteri Besar Johor dalam perjumpaan dengan Jawatankuasa UMNO Bahagian Johor Bahru di kediamannya pada minggu lalu. Begitu juga dengan berita yang disampaikan oleh Sdr Azman Hj Dawam, Ahli Majlis MBJB yang akan dilantik sekali lagi pernah menyatakan bahawa berkemungkinan jawatan mereka akan disambung untuk dua bulan lagi iaitu Mei dan Jun 2009.

Jawatan yang sepatutnya telah dikosongkan mulai Januari 2009 yang lalu tidak dapat dipenuhi disebabkan nama-nama yang dicalonkan oleh Parti MCA dan MIC masih belum dikemukakan. Kelewatannya mungkin disebabkan parti masih menunggu pemilihan pegawai-pegawai dalam mesyuarat yang diadakan pada tahun ini.

Pemilihan saya sebagai Ahlimajlis kali ini adalah bagi kali yang kedua kerana sebelum ini saya pernah menjawatnya pada tahun 1996 hingga 1998. Ketika itu saya menganggotai UMNO Bahagian Pulai.

Mungkin pengalaman yang ada dapat saya gunakan bagi memberi perkhidmatan yang lebih berkesan kepada Majlis dan juga penduduk sebagai pembayar cukai di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru khususnya di zon yang akan ditentukan kelak.