Radio Internet FuhYooFm

Isnin, Julai 20, 2009

KARNIVAL SUKAN JPMM DUN TANJUNG PUTERI

.
Petang Ahad, saya ke Kampong Melayu Majidee kerana menyaksikan upacara penutup dan penyampaian hadiah kejohanan sukan JPMM atau Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-Mukim Dewan Undangan Negeri Tanjung Puteri.

Program yang dimulakan pada jam 5 petang dimulakan dengan pemeriksaan barisan pemain bolasepak oleh YB Dato' Shahrir Samad di pertandingan akhir antara pasukan Kg Melayu dan Taman Iskandar.

Selain dari Dato' Shahrir, tetamu yang hadir adalah YB Haji Adam Sumiru, ADUN Tanjung Puteri serta pemimpin peringkat cawangan dan bahagian.

Ketika waktu rehat, tetamu jemputan mengambil kesempatan menunjukkan bakat bermain bola sepak. Mereka diberi peluang menendang bola untuk memasukkan ke gol sementara YB Haji Adam Sumiru menjaga gawang.

Memang melucukan apabila tidak dapat merealisasikan apa yang disorakkan di luar padang. Lihat saja gambar di atas, Wan Zuraimi (Ketua UMNO Cawangan Sri Impian) cuba memasukkan bola ke gawang.

Di akhir pertandingan bola sepak, pasukan Kampong Melayu dinobatkan sebagai juara setelah mengalahkan Taman Iskandar.

Gambar-gambar menunjukkan penyampaian hadiah bagi pertandingan bola sepak, sepak takraw, bola jaring dan bola tampar.

Penonton yang bernasib baik juga menerima hadiah dari cabutan tiket bertuah.





Diucapkan syabas kepada mereka yang berjaya dan juga YB Haji Adam Sumiru serta Jawatankuasa JPMM DUN Tanjung Puteri yang berjaya menganjurkan kejohanan.



Ahad, Julai 19, 2009

KEINDAHAN FELDA RESIDENCE HOT SPRINGS, SUNGKAI

.
Ceria gambar Pak Haji Sunawan ni. Foto yang dipotret oleh Haji Abdullah, Setiausaha Kerja Persatuan Bekas Kakitangan Felda (PBKF) di Felda Residence Hot Springs Resort, Sungkai, Perak memberi gambaran bagaimana saya merasa kegembiraan berada di resort ini.

Anda boleh melihat beberapa keping gambar yang dapat saya paparkan hasil carian saya melalui google, betapa cantik, tenang dan sangat sesuai untuk beristirahat.

Saya tidak mendapat sebarang diskaun apabila saya mempromosikannya. Tulisan ini adalah semata-mata lahir dari kekaguman saya sebagai bekas seorang kakitangan Felda yang tidak pernah merasa kenikmatan semasa bekerja dahulu.

Kedatangan saya bersama keluarga ke resort seluas 6.5 hekter dan dibuka pada tahun 2003, adalah untuk menghadiri mesyuarat PBKF bagi membincangkan pelbagai topik yang berkaitan dengan kebajikan bekas kakitangan Felda terutama yang menjadi ahli persatuan kami.

Untuk sampai ke sini, anda perlu masa hampir satu jam dari Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Utara-Selatan dan keluar di Tol Sungkai, membeluk ke kiri dan langsung melalui perkampungan Felda Sungai Klah.

Datin Nursiah Sulaiman, salah seorang AJK PBKF adalah individu yang bersungguh-sungguh membawa kami ke sini. Selain menguruskan persiapan mesyuarat, beliau membawa kami mengelilingi ke beberapa lokasi menarik yang sepatutnya anda juga nikmati.

Lawatan kami pada waktu tengahari sebelum kami pulang, amat mengujakan. Rasanya mahu menyambung sehari lagi, namun apakan daya, beberapa program lain sedia menunggu di Johor Bahru.

Isteriku dan Safikah tentu tidak melepaskan peluang. Pada hari pertama saya bermesyuarat, kedua-duanya sudah berada di kolam air panas untuk berendam. Kelekaannya berjalan-jalan di sekeliling taman rekreasi ini menyebabkannya tersesat. Nasibnya baik, sekeluarga dalam sebuah kereta telah membawanya pulang ke bilik.

Saya tidak hairan mengapa isteriku tersesat, kawasannya begitu luas dan banyak laluan pejalan kaki, laluan jejambat kayu dan laluan denai yang boleh menyesatkan sekiranya pengunjung tidak berhati-hati dan berwaspada.

Begitupun, kelelahan kita mengharunginya walau dengan pelbagai tujuan seperti mandi manda air panas, perkhemahan, menyusur sungai, merentas hutan, melawat kampung Orang Asli Tesung dan sebagainya, akan hilang apabila anda berada di bilik yang begitu indah dan nyaman.

Pada pagi hari kedua, selepas menikmati sarapan pagi dengan beberapa menu, isteriku tidak melepaskan peluang untuk berurut kaki dan badan.

Isteriku sempat menemuramah gadis muda yang mengurutnya. Katanya, mereka mendapat latihan dari pengurusan Felda di Trolak.

Oleh kerana kesuntukan waktu, saya hanya dapat melihat-lihat di persekitaran dengan menaiki kenderaan yang disediakan dengan sedikit bayaran.

Kami dapat melihat laluan air panas yang dialirkan melalui laluan berbatu yang boleh digunakan sebagai laluan terapi kaki.





Pondok-pondok Jakuzi yang sangat sesuai untuk mereka yang ingin menikmatinya bersendirian tanpa gangguan.


Anda juga boleh merebus telur di sini. Telur tidak perlu dibawa dari luar kerana ia boleh dibeli di pondok berdekatan.


Kami hanya sempat merasa kehangatan air sahaja.

Saya bersama Shamsuddin Hassan hanya sempat mengabadi potret, menunjuk tanda 'best'.

Sebelum kembali ke rumah masing-masing, kami sempat mengambil potret kenang-kenangan.



PROGRAM KECEMERLANGAN UPSR 2009

.
Persatuan Penggerak Tunas Bakti Daerah Johor Bahru merupakan sebuah badan NGO yang bergerak cergas dalam bidang pendidikan khususnya memberi tumpuan kepada kecemerlangan pelajar di dalam Parlimen Johor Bahru.

Persatuan yang berdaftar dengan ROB dianggotai oleh para pendidik dan aktivis UMNO Johor Bahru diberi dokongan yang kuat oleh Ahli Parlimen Johor Bahru seperti memberi dana untuk melangsungkan kegiatan.

Banyak kegiatan sepanjang tahun yang dijalankan. Sebagai contoh, semalam, Persatuan ini telah mengadakan program kecemerlangan sehari suntuk untuk 220 orang pelajar dari 13 sekolah rendah di Parlimen Johor Bahru yang akan mengambil peperiksaan UPSR.

Program yang mendapat sokongan Majlis Bandaraya Johor Bahru ini telah dijalankan di Perpustakaan Sultan Ismail, Jalan Datin Halimah.

Di dalam ucapan alu-aluan, Pengerusi Persatuan, Sdr Azman Haji Dawam yang juga Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru telah menekankan keazaman ahli-ahli jawatankuasa persatuan untuk memberi komitmen bagi meningkatkan kecemerlangan pelajar khusus di Parlimen Johor Bahru.

Di majlis ini, YB Tuan Haji Adam Sumiru, Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Puteri yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru telah memberi ucapan perasmian dan menyampaikan sijil-sijil penyertaan.




Saya telah diberi penghormatan membaca doa selamat ketika memulakan majlis perasmian.

Sabtu, Julai 18, 2009

LAWATAN KAWASAN LARKIN BERSAMA DATO' SHAHRIR

.
Lawatan ke setiap zon Bandaraya Johor Bahru yang diketuai oleh Dato' Shahrir Samad khusus di Parlimen Johor Bahru adalah program yang dijalankan setiap bulan.

Lawatan bersama wakil rakyat Tanjung Puteri dan Stulang beserta semua Ahli Majlis MBJB dari parti-parti komponen BN Johor Bahru adalah rutin yang telah ditetapkan oleh Dato' Shahrir. Beliau sendiri akan mempengerusikan mesyuarat bulanan atau selewat-lewatnya dua bulan sekali. Setiap Ahli Majlis dikehendaki membuat laporan kegiatan dan permasalahan di setiap zon masing-masing.

Untuk lebih efisyen dan fungsi menyeluruh, Haji Mohd Ali Salleh, bekas Setiausaha Politik Dato' Shahrir telah dilantik sebagai Urusetia dalam program ini.

Sehingga kini, 3 kawasan telah dilawati iaitu Taman Century, Taman Pelangi dan Larkin Jaya.

Keberkesanan lawatan yang telah dilakukan amat ketara terutama di Taman Century. Majlis Bandaraya telah mengambil tindakan segera seperti memperbaiki kerosakan jalan, longkang dan sebagainya selain mengarahkan beberapa pemaju perumahan bertindak kepada perkara yang diadukan.

Pada hari Khamis kelmarin, lawatan di Zon Larkin bermula pada jam 2.30 hingga 6.30 petang bertumpu kepada permasalah pembinaan dewan raya di Taman Dato' Onn, mendapan tanah akibat projek terbengkalai, kawasan semak laluan Keretapi Tanah Melayu, taman permainan, sampah, longkang dan mencantas pokok di Kampong Ungku Mohsen.

Dalam lawatan tersebut, pegawai-pegawai dari Majlis Bandaraya Johor Bahru, Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor dan Keretapi Tanah Melayu telah memberi penjelasan mengenai segala perkara yang dibangkitkan.

Pada setiap lawatan seperti ini, mereka yang turut sama dalam lawatan akan memahami segala permasalahan dan pastinya mereka yang terlibat akan mengambil tindakan sewajarnya.

Lebih manis apabila penduduk memberi respon positif dengan menemui sendiri pemimpin yang membuat lawatan dan mengajukan permasalahan lainnya.

Berbincang dengan pemaju untuk pembinaan
Dewan Raya di Taman Dato' Onn

Melihat jalan mendap akibat kolam
di projek pemajuan terbengkalai

Kawasan semak laluan keretapi,
aduan dari penduduk kelihatan babi hutan di sini

Pegawai KTM memberi penjelasan

Percayalah, beberapa hari lagi kawasan semak ini
akan ditebas

Melihat aliran longkang di Kg Ungku Mohsen

Menemui pesakit yang menunggu untuk
urutan dengan tabib Cina

Salam perkenalan dengan tabib Cina
di Kg Ungku Mohsen

Ahad, Julai 05, 2009

NAK MAKAN DURIAN, BALIKLAH KAMPUNG

Sekejap lagi saya nak balik kampung. Emak sudah beberapa kali telefon bertanya bila nak balik kampung. Katanya, durian sudah nak habis. Bukannya tak nak balik, tapi masa tak mengizinkan. Pagi inipun dah beberapa orang nak berjumpa. Rasanya perjumpaan dengan mereka ini kena tinggalkan dulu sebab petang semalam saya dah berjanji dengan emak.

Kalau nak makan durian, kat Johor Bahru ni pun bersepah-sepah, murah, RM10 dah dapat 4 biji. Tapi saya tau dan emak pun tau juga, durian melarah dimana-mana. Yang penting pada pemikiran emak mungkin ialah "anak-anak aku mesti dapat sama menjamahnya". Dan mungkin yang lebih dari itu ialah emak dapat melepaskan kerinduan dengan anaknya. Soalnya, adakah anak rindu dengan emaknya?.

TERJUMPA FOTOPAGE ABANG ASMUNI

.

Pagi ini, sedang saya melayari internet, saya terjumpa FotoPage Abang Asmuni. Dulu mungkin dia pernah beritau mengenai fotopagenya. Seronok juga melihat gambar-gambar dari koleksinya. Elok juga kalau dapat abang masukkan gambar-gambar lama, tentu kita dapat mengimbau dan mengenang cerita dan sejarah lama. Lebih dari itu, saya dapat curi gambar-gambar tu dan simpan dalam folder, atau mungkin dapat saya membuat sedikit cerita mana-mana yang masih ingat.

Kalau saya ada blog, abang ada fotopage. Adik beradik yang lain patut buat juga. Mungkin anak-anak saudara kita minat dalam Facebook, elok juga kan?.

Rabu, Julai 01, 2009

APA SUDAH JADI DENGAN PAKATAN RAKYAT

.
Sudah lama saya tak update blog ini. Hari ini saya tergerak kerana terbaca dua berita yang begitu kontras. Anda baca berita dibawah ini yang saya ambil dari harakahdaily dan berikutnya pula dari mStar. Saya cuba mencari berita kedua dari harakahdaily, masih belum ditemui.

Siapa yang berpecah-belah dan siapa yang memecah-belahkannya?.

Berita dari harakahdaily:

Presiden PAS tempelak BN, cuba pecah-belahkan Pakatan Rakyat

KELANA JAYA, 1 Julai (Hrkh) - Presiden PAS Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang menempelak usaha yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh Umno untuk mewujudkan perpecahan dalam Pakatan Rakyat.

Menurutnya, BN berusaha untuk melaga-lagakan setiap parti dalam Pakatan Rakyat dan perhimpunan malam tadi PAS menempelak tohmahan yang dilemparkan oleh parti pemerintah itu.

"Perhimpunan ini juga menjadi bukti perpaduan dalam Pakatan Rakyat masih kuat dan saya mengucapkan terima kasih kerana kehadiran saudara dan saudari pada malam ini ke dalam satu majlis perhimpunan ini untuk menunjukkan betapa Pakatan Rakyat dapat melakukan satu pembaharuan...perkara ini tiada dalam BN.

"Umno dan BN bergelut dengan pelbagai krisis lebih dari 20 tahun, tidak boleh selesai, termasuk krisis yang berlaku dalam parti kompenannya," katanya dalam ucapan Himpunan Perdana Perpaduan 100,000 Pakatan Rakyat semalam.

Ini katanya, menyebabkan kedudukan Pakatan Rakyat menjadi sebuah parti yang matang dan boleh memimpin negara serta diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah negara dalam pilihanraya yang akan datang.

Ustaz Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata ini menunjukkan bahawa BN sudah menjadi sebuah parti yang uzur, dan tidak mampu lagi untuk memimpin negara.

Menurut beliau, PAS adalah sebuah parti yang menjadikan akidah Islam sebagai pegangan, matlamat dan memperkenalkan cara perpaduan yang yang diajar oleh Islam sedangkan Umno, parti yang telah gagal menunjukkan model perpaduan yang sebenar.

Islam katanya, mengajar perpaduan untuk menegakkan keadilan, menegakkan kesaksamaan dan mengajar perpaduan di kalangan umat Islam berdasarkan hubungan

Berita dari mStar:

Marah kerajaan negeri: DAP keluar Pakatan Rakyat Kedah

KUALA LUMPUR: DAP Kedah memutuskan untuk keluar daripada Pakatan Rakyat hari ini ekoran tindakan kerajaan negeri itu yang didakwa tidak menyelesaikan siri isu yang wujud sejak selepas pilihan raya umum 2008.

Keputusan untuk keluar Pakatan Rakyat Kedah diputuskan oleh DAP sebentar tadi, kata Pengerusi DAP Kedah dan Perlis, Thomas Su ketika dihubungi mStar Online.

"Keluar, kami sudah buat keputusan... ini keputusan mutkamad kami (DAP Kedah)," kata beliau sambil menambah, atas prinsip dan pendirian parti, pihaknya memutuskan tindakan sedemikian.

Kata beliau, keputusan itu telah diambil selepas Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) merobohkan rumah sembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Setar petang tadi.

Sepasukan anggota penguat kuasa MBAS merobohkan rumah sembelihan babi itu pada pukul 3.30 petang tadi.

Mengikut laporan media sebelum ini, premis itu sepatutnya dirobohkan penghujung Mei lalu, tetapi ditangguhkan selama sebulan sehingga semalam.

Ia merupakan antara beberapa isu yang menjadi punca retaknya kerjasama DAP dalam Pakatan Rakyat Kedah.

Satu lagi isu ialah kontroversi mengenai kuota perumahan 50 peratus bagi bumiputera.

Oktober lalu, kerajaan Pakatan Rakyat Kedah meningkatkan kuota tersebut daripada 30 peratus kepada 50 peratus bagi projek perumahan baru di negeri itu.

DAP mempunyai hanya seorang wakil rakyat di Kedah iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Darulaman, Lee Guan Aik.

Su berkata, ia merupakan antara beberapa isu yang tidak menemui penyelesaian walaupun dibangkitkan dan dibawa kepada perhatian kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Rakyat.

Kata beliau, pihaknya akan memanjangkan keputusan itu kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dalam waktu terdekat untuk pengesahan.

"Keputusan ini perlu mendapat pengesahan CEC," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Jawatankuasa Penganjur Pusat DAP, Teresa Kok ketika ditemui di lobi Parlimen memberitahu, beliau menyedari tentang keputusan tersebut sebentar tadi.

"Mereka mengambil keputusan untuk keluar Pakatan Rakyat selepas tidak berpuas hati dengan pendirian kerajaan negeri tidak menyelesaikan masalah-masalah yang timbul... DAP Kedah mendapati banyak masalah masyarakat bukan Melayu tidak diselesaikan," katanya.

Ketika ditanya sama ada DAP akan membincangkan isu itu dalam waktu terdekat, Teresa memberitahu, perkembangan itu akan dibincangkan pada mesyuarat pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat di sini esok.