Radio Internet FuhYooFm

Khamis, Ogos 13, 2009

CISARUA: TEMPAT PERISTIREHATAN WARGA ARAB

.
Ketika kami melalui jalan raya dari Bandung ke Jakarta, selepas melalui perbukitan Puncak, di sebuah pekan kecil, kelihatan pemandangan seolah-olah berada di Tanah Arab. Kalau tidak kerana bendera Sang Saka Merah Putih bergantungan, tentunya kita terlupa bahawa pekan tersebut berada di Indonesia.

Pekan yang saya maksudkan adalah Kampung Sampay atau kawasan Warung Kaleng di Cisarua. Di kawasan ini terdapat banyak villa dan bunglow yang dikhususkan untuk sewaan para tetamu terutama pelancong dari negara Arab.

Mengikut rutin tahunan, bulan Jun hingga Ogos adalah bulan yang paling ramai warga dari timur tengah ini berada di sini. Hairannya ialah mereka yang hadir di sini adalah merupakan pelancong lelaki dan tidak ada wanita ataupun kanak-kanak.

Pada tahun-tahun 1990an saya pernah mendengar tentang warga Arab yang sering ke Jakarta dengan tujuan untuk melancong di samping mencari teman wanita untuk ditiduri dengan cara yang dikatakan tidak menyalahi syariat iaitu menikahi secara nikah kontrak.

Di Cisarua, lelaki warga Arab akan berada di sini dalam tempoh yang agak lama, sekurang-kurangnya seminggu bahkan mungkin berbulan-bulan. Mereka akan ditemani oleh isteri yang dinikahi sambil berhibur.

Untuk itu tidak hairan apabila banyak perniagaan yang mengarah kepada citarasa orang Arab seperti mengadakan restoran dan kafe yang menyediakan sisha iaitu sejenis alat dan jenis tembakaunya yang boleh dihisap seperti menghisap rokok.

Soalnya ialah mengapa mereka ramai berada di kawasan Cisarua ini?. Ia mungkin disebabkan cuaca yang agak sejuk dan berdekatan dengan Kota Jakarta. Tempat ini memang sangat terkenal dengan panggilan 'Jabal' yang bermakna 'bukit' daam bahasa Arab.

Para pelancong Arab yang ke Jabal mudah untuk mendapatkan isteri kontrak kerana ramai pengantara atau 'calo' yang akan berurusan dan mempertemukan bakal-bakal isteri seperti di airport. Ia terdiri dari pemandu teksi yang halal dan haram. Begitu juga dengan peng'ojek' atau pemandu motosikal yang boleh membawa penumpang.

Mereka inilah yang mengetahui dimana calon isteri, wali dan jurunikah boleh didapati. Tidaklah dipastikan samada wali dan jurunikah ini mereka yang bertauliah atau sebaliknya. Untuk mencari tidak menjadi masalah kerana 'calo' inilah saksinya.

Mengapa begitu mudah pak-pak Arab ini mencari isteri?. Ia adalah kerana wang. Lelaki Arab sanggup membayar 4 juta hingga 6 juta rupiah sebagai mas kahwin. Wang ini tidak semuanya masuk ke saku isteri, bahkan sebahagiannya yang mungkin lebih dari separuh akan diambil oleh 'calo' kerana perkhidmatan yang telah diberikan.

Inilah yang menjadikan Cisarua terkenal sebagai kawasan peristirehatan warga Arab. Memanglah tepat ia dikatakan tempat istirehat bahkan juga sebagai tempat isteri yang tidak sehat.

Waullallahualam.


Isnin, Ogos 10, 2009

MENJADI TETAMU DI KOTA BANDUNG




Penerbangan Air Asia yang kami naiki dari Singapura ke Bandung selama hampir sejam setengah tidak menghadapi sebarang masalah. Ketibaan kami ditunggu oleh Pak Haji Radin Mulyadi dan Pak Bambang. Kedua-duanya memang sudah biasa menguruskan perjalanan kami di Indonesia terutama di Tanah Jawa.


Saya mula mengenali Pak Haji Radin Mulyadi yang senang saya panggil Pak Mul sejak dari tahun 1980an ketika mengikuti rombongan Kementerian Penerangan Malaysia berkunjung ke Solo dalam program K3P bersama Kelompencapir. Ketika itu Pak Mul ditugaskan menguruskan rombongan kami kerana beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan Menteri Penerangan Indonesia, Allahyarham Pak Ali Murtopo.


Perkenalan tersebut telah membawa hubungan rapat saya dengannya sehingga ke hari ini. Saya sangat berpusahati dengan pelayanannya. Sebab itulah saya sentiasa menggunakan perkhidmatannya terutama segala jadual perjalanan boleh berubah mengikut selera ahli-ahli kumpulan.


Di Bandung kami ditempatkan di Hotel Naval, Jalan Sukajadi. Hotel ini berdekatan dengan pusat membelibelah seperti Paris Van Java, Sogo, Carrefour dan lain-lain.


Pada hari pertama di sini, selepas makan malam kami dibawa membelibelah di Stock Centre yang menjual pakaian kualiti eksport di Jalan Soekarno-Hatta. Saya membeli dua pasang baju lengan pendek, beberapa pasang sarung kaki dan sepasang topi. Harganya memang amat berpatutan dan lebih rendah berbanding di Malaysia.


Pada hari kedua, kami bertolak ke Gunung Tangkuban Perahu pada jam 7.00 pagi waktu Indonesia. Kami diberitahu, jalan akan sesak ke laluan tersebut disebabkan ramai pengunjung pada hari minggu. Di sinilah dikatakan wujudnya cerita lagenda Sang Kuriang. Walau apapun ceritanya, apa yang saya lihat adalah kepulan asap dari kawah gunung berapi yang kami lihat dari tebingnya dan dikatakan ia masih lagi aktif.


Perjalanan ke pusat pelancongan ini tidaklah menyeronokkan kerana jalannya yang rosak teruk, berlubang-lubang di sana sini tanpa sebarang pembaikan sedangkan untuk memasuki kawasan tersebut terpaksa membeli tiket. Begitu juga dengan kenderaan yang kami gunakan. Saya tidak faham mengapa pihak pemerintah tidak memperbaikinya sedangkan ia adalah pusat pelancong yang mendatangkan sumber kewangan kepada pemerintah selain ramai rakyat bawahan yang berjualan di sini.


Di sini kami banyak mengambil gambar dan tentunya bergambar ramai tanda kenang-kenangan lawatan kami ke tempat lagenda Sang Kuriang.


Selepas lawatan tersebut kami singgah di beberapa pusat membelibelah sehingga lewat malam.


Terima kasih kepada Pak Mul dan Pak Bambang yang menyediakan kenderaan serta melayan kami sehingga kami keletihan.



Sabtu, Ogos 08, 2009

PENERBANGAN TERUS SINGAPURA KE BANDUNG


Ini adalah pengalaman pertama saya menaiki penerbangan Air Asia dari Singapura. Saya memang merancang menggunakan penerbangan ini terus ke Bandung. Saya memilih ke Bandung kerana perjalanan balik nanti adalah dari Jakarta ke Senai dengan Air Asia. Ini bermakna kami tidak perlu berulangalik dari Jakarta-Bandung-Jakarta sebagaimana biasa. Bukan sahaja ia membazir waktu kerana perjalan yang macet (sesak) malahan ia membosankan kerana Jakarta terkenal dengan kesesakan lalulintasnya.

Saya sudah acap kali menggunakan lapangan terbang ini terutama pada lewat tahun 1990an. Ketika itu, saya pernah ke Jakarta dua kali dalam tempuh seminggu. Bukannnya ada urusan perniagaan, sebaliknya menemani rakan-rakan yang katanya ingin beristirehat. Maklum sahaja rakan-rakan saya sedang berurusan dengan pemajuan tanah beribu ekar di Masai. Entahlah, saya sendiri bukan seorang ahli perniagaan tetapi apa yang saya lihat ia adalah cirri-ciri perniagaan yang tidak sehat.

Pada dua tahun yang lalu, saya juga menggunakan airport ini untuk ke Jakarta bersama dengan rombongan Kelab Warga Emas. Pada pemerhatian saya, suasana kali ini agak lengang. Saya tidak pasti adakah kerana keadaan ekonomi yang masih merudum di sini. Atau kerana masalah wabak penyakit HINI yang sedang melanda dunia ketika ini?.

Kemungkinan penyakit HINI memang ada. Hari ini saja, di seluruh dunia telah mencatitkan kematian yang begitu ramai. Di Malaysia sahaja ketika ini sudah mencapai 18 orang.

Untuk keselematan rombongan kami, beberapa langkah keselamatan dan prosedur telah diberitahu seperti menggunakan penutup hidung dan mulut yang kami bekalkan. Bagaimanapun, ramai yang tidak menggunakannya, mungkin kurang selesa.

Begitupun, kami meneruskan perjalanan apabila pesawat Air Asia berlepas tepat pada jam 4.00 petang, setelah tergendala hampir 45 minit.

PENGALAMAN PERTAMA MELINTASI K.I.K. TANJUNG PUTERI

.

Hari ini Sabtu 08.08.2009, saya bersama 26 orang dari Kelab Warga Emas, Masjid Jamek Bandar Baru Uda akan ke Bandung, Indonesia untuk tujuan lawatan sambil membeli belah.


Kami berkumpul di Masjid BBU dan bertolak ke Singapura dengan menggunakan bas persiaran. Tepat jam 9.30 pagi kami bergerak untuk ke Lapangan Terbang Changi, Singapura. Program asal kami akan menggunakan laluan Link Kedua namun terpaksa membatalkannya kerana mengikut pemandu bas, keadaan lalulintas agak baik kerana kebanyakan rakyat Singapura mula bergerak keluar ke Malaysia atau destinasi lain disebabkan Negara tersebut akan menyambut cuti Hari Kebangsaannya pada hari esok.


Melalui Kompleks Imigresen & Kastam (KIK) Tanjung Puteri adalah pengalaman baru bagi sebahagian besar kami. Setelah beberapa minit berurusan dengan Imigresen dan Kastam, kami berurusan pula dengan KIK atau CIQ Singapura di Woodlands.


Sebagai rakyat Malaysia, tentulah saya merasa bangga kerana KIK Tanjung Puteri lebih cantik, bersih dan selesa. Mungkin disebabkan KIK yang baru dibena tentulah jauh berbeza dengan di Woodlands.


Ketika mula beroperasi, ramai warga Malaysia terutama di Johor Bahru yang merungut tentang perjalanan yang agak jauh untuk mendapatkan bas atau teksi. Sekarang sudah tidak kedengaran lagi. Memanglah sesuatu yang baru tentulah banyak rungutan sehingga Dato’ Shahrir Samad terpaksa membuat lawatan.


Alhamdullillah, kenyataannya adalah tidak kedengaran lagi rungutan. Bahkan ramai yang berpuashati. Cuma terdapat kakitangan Imigresen yang mungkin baru diambil bekerja atau bertugas agak kelamkabut dan dan bertanya dengan seniornya apabila sekumpulan rombongan kami yang menggunakan pas berkelumpuk. Urusannya agak lewat sedikit. Bagaimanapun, ia masih boleh dimaafkan, maklumlah orang baru.


Selasa, Ogos 04, 2009

MOHD JAAFAR AWANG MENJAWAT DATUK BANDAR MBJB KE-6

JANGAN LUPA ENCIK!

Jam 7.15 pagi tadi saya keluar dari rumah untuk ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Saya menjangka dalam setengah jam saya akan sampai ke destinasi. Memang pun benar jangkaanku kerana sekiranya lambat sedikit pastinya untuk sampai ke sana dalam jarak 6 kilometer mungkin mengambil masa satu jam. Begitulah keadaan lalulintas di Johor Bahru ketika ini. Tetapi mungkin ia akan berubah dalam setahun ini apabila beberapa pembinaan jalan sedang dibina oleh IRDA akan siap.

Rutin saya setiap 6 bulan adalah untuk membuat pemeriksaan kesihatan oleh doktor Kardiologi. Sesampainya di kaunter pendaftaran, ingatan pertama kepada saya adalah supaya saya membawa 'Kad Pesara'. Ingatan ini telah beberapa kali diberitahu tetapi pada kali ini saya masih terlupa. Isteriku menyimpan kad ini kerana dia juga boleh menggunakannya selain beliau yakin ia lebih selamat dibawah kawalannya.

Ketika pemeriksaan, Dr Azman doktor bertanya kepada saya samada saya telah memakan ubat sebelum menemuinya. Dengan selamba saya menjawab 'belum'. Dan sekali lagi saya diberi teguran "Jangan lupa, encik mesti makan ubat dulu sebelum berjumpa dengannya". Patutlah Dr Azman mengambil tekanan darah saya beberapa kali kerana tekanan darah saya adalah 155/88!. Patutlah kepala rasa macam agak berat sedikit.

Bagaimanapun, saya rasa sedikit lega apabila doktor memberitahun kolestrol saya adalah 5 dan gula juga 5. Alhamdullillah dan mesti berwaspada kerana kedua-duanya berada dalam situasi border. Begitupun, ubat untuk kolestrol jangan diabaikan.


Ketika mengambil ubat, kakitangan farmasi bertanya "ada bawa kad biru?". Saya menggeleng kepala kerana terlupa membawanya. Saya sedar kad ini perlu dibawa kerana ada diantara ubat yang diberi adalah dibawah kawalan.

Sekali lagi teguran diberi "Lain kali encik jangan lupa bawa ye!".


Saya melihat jam tangan, 9.15 pagi semuanya selesai. Setelah 15 minit saya sampai di rumah dan isteri terkejut "Cepatnya balik?".

Untuk pemeriksaan akan datang pada 23.2.2010, isteriku sepatutnya memberi ingatan pada tiga perkara penting iaitu makan ubat dulu, bawa salinan kad pesara dan kad biru.

Juga tidak kurang pentingnya ialah untuk ambil darah dua minggu sebelumnya iaitu pada 9.2.2010 dan kenalah puasa sebelum darah diambil.

Sabtu, Ogos 01, 2009

MJBBU DI SEMINAR PENGURUSAN MASJID PERINGKAT ASEAN

.

Lebih 30 kertas kerja yang membincangkan tentang pengurusan masjid yang telah dibentangkan dalam Seminar Pengurusan Masjid Peringkat ASEAN di Universiti Utara Malaysia (UUM) dari 23 hingga 25 Julai 2009.


Bertemakan 'Menggunggulkan Wawasan dan Sejarah', seminar telah diadakan bersempena Sambutan Jubli Perak UUM ini turut mengenengahkan tema penjanaan dan pengurusan kewangan, pengurusan latihan dan pentadbiran masjid, pengimarahan dan aktiviti, ICT dan dakwah di samping aspek keselamatan masjid.


Kertas kerja dibentangkan antaranya bertajuk 'Pengurusan Latihan dan Pentadbiran Masjid' oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato' Haji Wan Mohamad Dato' Sheikh Abdul Aziz, 'Dakwah' oleh Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Mohd Nakhaei Ahmad, ICT oleh Abdul Rahim Md Noor dari Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), 'Penjanaan dan Pengurusan Kewangan' oleh Prof Madya Dr Abdullah Ghani serta 'Pengimarahan dan Aktiviti' oleh Dr Ahmad Bashir Aziz dari UUM.


Pada program ini juga, peserta turut berkongsi pengalaman bersama Ustaz Suhaimi Mustar dan Hussein Ismail yang telah menceritakan tentang pengurusan Masjid As-Syakirin Singapura, Masjid Jamek dan Masjid Jamek Bandar Baru Uda yang menjadi antara masjid ternama di rantau ini.


Berkonsepkan perbincangan meja bulat, seminar anjuran Pusat Islam UUM dengan kerjasama JAKIM ini bertujuan mengumpul idea-idea mengenai peranan dan kepentingan masjid kepada pembangunan ummah dan memberi kefahaman kepada pegawai-pegawai masjid mengenai sistem pengurusan masjid yang mantap dalam usaha mengimarahkan masjid.


Program ini juga dapat membantu pengurusan yang sistematik bagi mengembalikan kegemilangan dan kemakmuran institusi masjid di negara ASEAN.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Dato' Jamil Khir Baharom telah merasmikan dan menyampaikan ucap utama bertajuk 'Menggunggulkan Wawasan dan Sejarah Dalam Pengurusan Masjid' di seminar tersebut.


Alhamdulillah, seminar yang telah disertai oleh pegawai-pegawai masjid, pentadbir agama, para akademik dan pelajar, telah menghasilkan perbincangan yang dijadikan sebagai resolusi yang akan diserahkan kepada Ketua Pengarah JAKIM.