Radio Internet FuhYooFm

Ahad, Oktober 11, 2009

HARI TERBUKA BERSAMA KARIAH MASJID JAMEK BANDAR BARU UDA SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI

.
Kemeriahan Hari Terbuka Bersama Kariah Masjid Jamek Bandar Baru Uda amat dirasakan bagi mereka hadir yang diadakan pada hari Ahad 11 Oktober yang lalu.

Majlis yang diadakan di Dataran Babussalam MJBBU seawal jam 9.00 pagi merupakan diantara detik kemeriahan Syawal kariah masjid BBU yang telah menjalani ibadah sepanjang bulan Ramadan dengan mengimarahkan masjid kecintaan mereka.

Kehadiran mereka membuktikan sambutan yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Tadbir Masjid bersama dengan badan-badan dibawah naungannya sangat mengesankan terutama merapakatkan hubungan ukhuwah sesama kariah apatah lagi hubungan bersama pimpinan di semua peringkat.

Kehadiran YB Datuk Shahrir Samad, Ahli Parlimen Johor Bahru dan YB Haji Adam Sumiru, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tanjung Puteri lebih memeriah dan mengembirakan kariah yang hadir.

Kedua-dua wakil rakyat ini banyak memberi sumbangan dalam membantu perkembangan dan kemajuan MJBBU sehingga ia memberi imej yang baik dan dikenali seluruh negara.

Ketika berucap di majlis ini, YB Datuk Shahrir Samad berharap kejayaan organisasi yang ditadbir dengan begitu baik tidak akan menjadikan pemimpinnya begitu selesa terutama dengan puji-pujian yang boleh menyebabkan terleka. Beliau khuatir akan ada anasir-anasir yang boleh merosakkan perpaduan dan kemajuan.

Dengan sebab itu, beliau sangat berharap agar tenaga muda dan pelapis dapat diketengahkan kerana mereka mempunyai banyak masa dan ide baru dalam membangunkan kemajuan masjid. Mereka juga dapat merasai dan menjiwai kariah sezamannya.

Di majlis yang sangat meriah ini, mereka yang hadir dijamu dengan pelbagai hidangan enak seperti ketupat, sate, rendang, laksa, mee rebus, soto, otak-otak, burger, cendul, air tebu dan sebagainya.

Bagi golongan yang kurang bernasib baik seperti pesakit yang menerima rawatan dialisis (Peradia) di masjid BBU, mereka juga dijemput hadir dengan membawa keluarga masing-masing. Pesakit ini telah diberi hadiah bersempena dengan perayaan ini.

Lebih memeriahkan. soalan-soalan kuiz telah diberi kepada para peserta yang hadir dan mereka yang dapat menjawab telah diberi hadiah menarik seperti melancong keluar negara secara percuma.

Sebelum berkumandangnya azan solat Zuhur, majlis telah ditamatkan dan tentunya dengan kenangan manis kepada mereka yang hadir.


PELUANG KEPADA KELAB WARGA EMAS BANDAR BARU UDA MELANCONG KE LUAR NEGARA SECARA PERCUMA

.
Kertas pemberitahuan tawaran kepada
ahli Kelab Warga Emas MJBBU

Hari ini, Sabtu 11 Oktober 2009, Masjid Jamek Bandar Baru Uda akan mengadakan sambutan Hari Raya. Orang ramai terutama ahli kariah adalah dipelawa untuk menyertai sambutan ini yang akan bermula dari jam 9:30 pagi hingga sebelum solat Zohor.

Tetamu utama pada majlis ini adalah Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad dan ADUN Tanjung Puteri, Haji Adam Sumiru.

Selain menikmati pelbagai jamuan yang akan disediakan, para tetamu akan dapat beramah mesra dengan semua yang hadir terutama pemimpin masyarakat setempat termasuk pimpinan masjid serta badan-badan dibawah naungannya.

Di majlis ini, pesakit yang menerima rawatan di Pusat Dialisis akan diberi cendermata. Mereka digalakkan hadir bersama keluarga masing-masing.

Apa yang menarik dalam sambutan ini adalah tawaran hadiah kepada pemenang soalan kuiz yang hanya boleh disertai oleh ahli berdaftar Kelab Warga Emas MJBBU sahaja. Pemenang yang bernasib baik akan dipelawa menyertai lawatan ke luar negara secara percuma.

Kelab Warga Emas dapat membuat tawaran seperti ini adalah hasil dari pendapatan terkumpul yang telah beberapa kali membuat lawatan di dalam dan luar negara.

Tawaran ini adalah julung kali yang pernah dibuat kepada kariah dan ia diharap dapat memberi kesan positif agar lebih ramai penduduk Bandar Baru Uda menyertai badan-badan sukarela di masjid ini yang akhirnya memberi kebaikan kepada semua pihak.

Untuk lawatan akan datang, Kelab merancang untuk membuat lawatan 5 hari 4 malam ke Kambodia pada cuti persekolahan iaitu dari 15 hingga 19 Disember 2009. Mereka yang ingin menyertai lawatan ini boleh menghubungi pejabat MJBBU.

Pilihan ke Kambodia, diantaranya adalah bertujuan untuk melihat kesan-kesan kekejaman rejim Pol Pot yang telah mengorbankan ribuan nyawa termasuk cerdik pandai dan alim ulamak beragama Islam.

TERSALAH RUMAH

.

Beginalah ruang rumah hadiah dari seorang anak kepada bonda tercintanya

Sebelum solat Maghrib petang semalam, tujuan saya adalah ke rumah Hj Othman Samad di Jalan Padi Huma 8, Bandar Baru Uda untuk memenuhi jemputannnya iaitu membaca Yaassin dan membaca Ratib Asma 'Ul Husna.

Mungkin atas kealpaan, saya telah pergi ke rumah Hj Zulkifli di Jalan Padi Huma. Walaupun saya pernah ke rumah Hj Othman, tetapi pada kali ini saya terkeliru apabila melihat ramai rakan-rakan jemaah masjid termasuk Imam Hassan Majid yang sedang menuju ke rumah Hj Zulkifli.
Di majlis ini yang bertujuan untuk memohon keselamatan memasuki rumah baru. Kami diberitahu bahawa Haji Zulkifli telah menghadiahkan rumah berkenaan yang merupakan sebuah banglow mewah kepada bondanya.

Saya tidak dapat meneruskan niat untuk ke rumah Hj Othman kerana pada ketika itu azan sedang dilaungkan dan terpaksalah saya mengikuti program di rumah berkenaan.

Ini semua adalah ketentuan Allah. Semoga Hj Zulkifli menerima kedatangan saya yang tidak diundang selain kemaafan dari Hj Othman Samad.

Sabtu, Oktober 10, 2009

SAMBUTAN HARI RAYA 2009 PKBF JOHOR SELATAN

.
Seperti tahun lalu, tahun ini Persatuan Bekas Kakitangan Felda (PBKF) Kawasan Johor Selatan telah mengadakan majlis Perjumpaan Hari Raya bertempat di perkarangan rumah Haji Haironi Hasbi, Kota Kecil, Kota Tinggi.

Majlis yang bermula pada jam 9:30 pagi telah dihadiri lebih dari 250 orang disebabkan kesemua kerusi yang disediakan di dalam kemah telah dipenuhi.

Walaupun hujan telah turun ketika majlis berlangsung, ia tidak mengurangkan kehadiran malahan ahli-ahli masih berdatangan walaupun majlis hampir berakhir.

Pada tahun ini, tiada pimpinan PBKF yang turut hadir, namun YB Puan Asiah Md Ariff, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Johor Lama telah sudi bersama.

Semasa menyampaikan ucapan alu-aluan, saya telah memberi penerangan tentang usaha-usaha yang telah dilakukan oleh PBKF untuk meningkatkan pencapaian terutama memberi bantuan dan kebajikan seperti bantuan pelajaran, perubatan, bencana alam serta sumbangan kewangan setiap bulan kepada ahli dan pasangan yang terlantar dan tidak berupaya berdikari.

Saya juga telah menjelaskan bahawa PBKF Johor Selatan telah mengadakan Hari Keluarga di Batu Layar Resort serta juga mengadakan tahlil setiap tiga bulan di kawasan Pengerang, Kluang, Ulu Tiram dan Bandar Tenggara.

Kehadiran YB Puan Asiah Md Ariff ke majlis ini telah memberi peluang kepada saya untuk memaklumkan kepadanya bahawa PBKF pernah membuat permohonan tanah pertanian seluas 500 ekar di kawasan Kota Tinggi, malangnnya telah ditolak oleh mesyuarat Kerajaan Negeri Johor.

Saya menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor seharusnya memberi penghargaan kepada bekas-bekas kakitangan Felda kerana semasa berkhidmat, mereka telah memberi perkhidmatan dan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan.

Mereka bekerja bertungkus lumus terutama mempastikan matlamat penubuhan Felda untuk memodenkan peneroka seiring dengan wawasan kerajaan dapat dilaksanakan.

Sewaktu berkhidmat, kakitangan Felda tidak diberi peluang yang biasa ditawarkan kepada kakitangan kerajaan lain seperti tanah perumahan, tanah pertanian, rumah kos rendah dan sebagainya. Ini adalah disebabkan mereka berada di kawasan luar bandar dan tidak diambil perhatian oleh pihak berwajib. Kebanyakan kakitangan Felda dikehendaki mendiami rumah-rumah yang telah disediakan di dalam rancangan dan ini menyebabkan mereka tidak bersedia apabila bersara.


Saya juga telah memberi peringatan kepada rakan-rakan yang sudah bersara dan tidak lagi berkhidmat dengan Felda untuk menyertai PBKF kerana dengan cara ini mereka akan dapat berhubung semula dengan rakan-rakan lainnya selain PBKF boleh memberi bantuan sebagaimana yang tercatit dalam matlamat penubuhannya.

Di dalam ucapan ketika merasmikan majlis ini, YB Asiah telah menyatakan terima kasihnya kepada seluruh masyarakat bekas kakitangan Felda yang telah menghabiskan kebanyakan hidupnya bekerja dengan Felda untuk membentuk masyarakat peneroka sesuai dengan matlamat kerajaan.

Beliau begitu faham dengan kerjasama yang telah diberikan oleh kakitangan Felda kerana kawasan dewan negerinya juga terdapat rancangan tanah Felda sehingga beliau telah diberi amanah oleh Kerajaan Johor untuk memegang potfolio pembangunan luar bandar yang merangkumi Felda.

Berhubung dengan permohonan tanah yang telah ditolak oleh Kerajaan Johor, beliau mencadangkan agar PBKF memberi maklumat lanjut kepadanya dan seterusnya membuat rayuan. Beliau berjanji untuk memberi sokongan atas permohonan tersebut.

Majlis sambutan Hari Raya pada kali ini juga dipenuhi dengan bacaan salawat dan marhaban yang diketuai oleh Ustaz Hj Mohd Rawi bin Othman.

Ketika bacaan selawat dan marhaban, dua orang cucu Hj Haironi Hasbi (tuan rumah) yang dilahirkan pada bulan Syawal ini telah dibawa keluar untuk upacara memotong rambut.

Ia dimulakan dengan Ustaz Haji Syariful Anam dan para tetamu lainnya.

Majlis diteruskan dengan tazkirah oleh Ustaz Haji Syariful Anam, anak peneroka Felda Bukit Aping Barat yang berkelulusan dari Universiti Al-Azhar Mesir di bidang Syariah.

Mengakhiri majlis adalah jamuan yang telah disediakan oleh penganjur dan juga dari sumbangan rakan-rakan bekas kakitangan.


Isnin, Oktober 05, 2009

UMURKU GENAP 57 TAHUN

.

Semalam, 04 Oktober adalah hari jadiku. Umurku genap 57 tahun.

Selepas solat Maghrib, saya sempat bersama-sama dengan ahli-ahli Kumpulan Yassin Al-Ikhlas bermarhaban di salah sebuah rumah ahli kami. Rakan-rakan dalam kumpulan ini mengucap selamat hari jadi dan panjang umur. Cuma apa yang mengejutkan ialah mereka mengatakan saya masih muda!.

Betulkah?. Mungkin kerana mereka lebih tua dariku. Alhamdullillah kalau saya tidak berpenyakit. Malangnya, saya juga terpaksa makan ubat setiap hari. Cuma tiga jenis ubat yang mesti diambil iaitu kolestrol, cair darah dan darah tinggi.

Saya mesti berterima kasih kepada isteriku yang pada setiap hari akan memperingatkan hal makan ubat. Tentulah dia begitu sayang padaku dan tidak mahu kehilangan seorang suami yang telah bersama-sama dengannya sejak 36 tahun yang lalu.

Anak-anakku juga sejak dari pagi subuh telah menaliponku dan mengucap "Selamat Hari Jadi Ayah ..... ".

Mereka datang ke rumah pada sebelah malam dan membawa "Kek Hari Jadi". Saya diminta memotong kek. Bagi saya, memotong kek tidak menjadi masalah cuma jangan minta saya meniup lilin. Seingatanku, tidak pernah saya meniup lilin untuk tujuan-tujuan seperti ini. Kalau meniup lilin untuk memadamkannya sewaktu "black out" itu memang ada.

Saya tidak bertanya kenapa Amalina anak bungsuku tidak turut datang. Dia ada mengucap selamat melalui sms yang dihantar pada siang hari. Tahun lalu, dia ada menghadiahkan kepadaku sebuah jam tangan. Mungkin tahun ini dia tidak dapat menghadiahkan sesuatu kepadaku.

Demi Allah, saya langsung tidak mengharap sesuatu hadiah dari anak-anak maupun isteriku sendiri. Apa yang menjadi harapanku ialah semoga anak-anakku dapat hidup bahagia terutama menjalin kerukunan adik beradik dan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Apatah lagi dengan kedua ibu bapa dan sanak saudara.

Tentunya doaku kepada mereka supaya mereka tidak melupakan tuhan yang menjadikannya dan menjauhi segala larangannya.



.

BETULKAH GAMBAR INI?

.

Lihatlah gambar di atas. Saya terjumpa di Blog Melayu Bersatu (baca di sini).

Saya tidak ambil kesah atau ambil peduli dengan apa yang ditulis dalam blog tersebut.

Saya seperti tidak percaya dengan gambar terpapar. Apakah benar. Sekiranya betul, apakah mungkin seorang yang berperawakan alim, berpakaian seperti orang yang tidak tinggalkan solat lima waktu dan mungkin menjadi pelanggan tetap masjid maupun surau, sanggup membawa gambar simati Teoh Beng Hock yang belum diketahui punca kematiannya.

Wahai saudara seagama dan sebangsaku, apakah kamu tidak menggunakan akal fikiranmu sehingga sanggup melakukan sesuatu yang berkaitan satu tragedi yang tidak sesiapapun yang tahu melainkan Allah Yang Esa, Tuhanmu?.