Radio Internet FuhYooFm

Rabu, November 04, 2009

MASJID JAMEK BANDAR BARU UDA PERNAH BATALKAN RANCANGAN UNTUK MEMBAWA DR ASRI BERCERAMAH

.
Penahanan Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika berceramah di Taman Ukeys oleh JAIS yang ada kaitannya dengan berceramah tanpa tuliah, mengingatkan peristiwa yang berlaku di Masjid Bandar Baru Uda satu ketika lalu.

Pada tahun 2000, ketika Dr Asri masih lagi pensyarah di UIA, Jawatankuasa Masjid BBU telah bersetuju untuk membawanya berceramah dalam program sambutan Maulidul Rasul SAW. Persiapan telahpun disempurnakan dan jawapan dari Dr Asri telahpun diterima.

Malangnya, beliau tidak dibenarkan untuk hadir untuk memberi ceramah sebagaimana arahan lisan yang telah dikeluarkan oleh Sohibussamahah Dato' Haji Noh Gadut, Mufti Kerajaan Negeri Johor ketika itu. Beliau tidak memberi sebarang alasan dan hanya mengingatkan Jawatankuasa Tadbir MJBBU untuk tidak meneruskan hasrat tersebut.

Ketika itu, saya terpaksa menjawab segala pertanyaan dari Jawatankuasa kerana arahan tersebut diberi ketika saya bersamanya di dalam majlis pernikahan anak YB Datuk Samat Aripin di Muar.

Akhirnya MJBBU terpaksa membatalkan kehadiran Dr Asri dan menggantikannya dengan Kadi Daerah Gombak, Selangor.

Apa yang diketahui, Jabatan Agama Johor juga tidak memberi kebenaran kepada Dr Asri untuk berceramah di negeri ini.

JALAN PADI DIHADAPAN UDA LAND TERLALU BECAK

Petang tadi saya mendapat mesej dari Azmi Tuganal, Ketua UMNO Cawangan Uda Ledang mengenai aduan orang ramai yang tidak puas hati tentang keadaan jalan di Jalan Padi berhadapan dengan pejabat Uda Land yang becak.
Saya sedia maklum tentang perkara tersebut. Ia berlaku disebabkan kerja-kerja memasang dan mengganti paip kumbahan yang sentiasa pecah menyebabkan jalan berlubang baru sahaja siap dan masih belum sempat diaspal.
Pada hari minggu lalu, kerja-kerja masih berjalan dan siap pada hari Isnin. Pada hari Selasa, hujan sudah bermula hingga hari ini. Olehkerana ia masih belum diaspal atau ditar, ia telah menyebabkan keadaan jalan begitu becak dan amat kotor sekali.
Saya telah melaporkan perkara ini kepada Tuan Haji Sulaiman Taib, Pengarah Jalan MBJB dan pegawai yang berkenaan iaitu Sdr. Rafi Jasman. Mereka juga sedia maklum dan menyatakan arahan telah dikeluarkan kepada Uda Land kerana kerja-kerja ini dilakukan oleh kontraktor yang dilantik oleh Uda Land.

Selasa, November 03, 2009

MENGEMBARA KE NEGARA GAJAH PUTIH

.
Petang ini saya akan mulakan perjalanan ke negara Gajah Putih, Thailand atau Siam. Bersamaku adalah isteri dan juga cucu yang telah menjadi anakku, Shafikah. Kami akan menaiki bas ekspres dari Johor Bahru ke Hatyai. Perhentian bas Taman Ungku Tun Aminah, Skudai tempat kami menunggu dan dijangka akan bertolak pada jam 7.15 malam.

Kami mempunyai niat bahawa ini adalah satu perjalanan untuk kami mengetahui lebih jauh tentang negara jiran. Satu ketika dahulu saya pernah sampai ke Hatyai, juga bersama isteri dan anak-anak. Ketika itu kami pergi dua keluarga dengan buah kereta. Sebuah kereta lagi adalah Haji Mohd Said Ibrahim.

Saya dan isteri juga pernah berada di Bangkok dan bermalam di sebuah hotel yang disediakan oleh penerbangan Qatar kerana transit untuk ke Kaherah.

Kali ini kami merancang, bukan sahaja ke Bangkok malahan mungkin sampai ke Chiengmai. Semua ini adalah rancangan yang mungkin terlaksana. Bagaimanapun ia masih bergantung pada pelbagai situasi dan keadaan. Perjalanan ini mungkin mengambil masa sehingga 7 hari atau mungkin lebih sedikit.

Saya pernah membuat perjalanan seperti ini mengelilingi Pulau Jawa satu ketika lalu dan kali ini di Thailand pula. Mungkin saya tidak berani melakukannya sendiri tanpa pengiring kami nanti. Beliau adalah Abdul Rahman Abdullah, seorang mualaf sejak 12 tahun lalu dan pernah membesar di Thailand.

Semoga Allah memberi perlindungan dan keberkatan kepada perjalanan ini, insyaallah.

Isnin, November 02, 2009

MENYERAHKAN BANTUAN KEMATIAN KEPADA BALU ALLAHYARHAM HJ REZALI MD DOM

.
Petang semalam saya ke rumah Puan Ruba'ah di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang. Tujuan ke sana adalah untuk menyampaikan sumbangan Persatuan Bekas Kakitangan Felda (PBKF) atas kematian suaminya, Allahyarham Hj Rezali bin Md Dom yang telah meninggal dunia pada bulan September yang lalu.

Allahyarham yang pernah berkhidmat dengan Felda dengan jawatan terakhirnya sebagai Pengurus Rancangan Tanah telah menjadi ahli PBKF dan telah melayakkannya mendapat faedah dan bantuan dari persatuan.

Untuk bantuan kematian, keluarga yang ditinggalkan layak menerima sumbangan sebanyak RM2,000.00.

Presiden beserta seluruh keluarga PBKF ingin menyampaikan takziah dan rasa dukacita kepada balu dan keluarga Allahyarham Hj Rezali atas kematiannya dengan doa rohnya akan ditempatkan bersama roh para solihin.

Ahad, November 01, 2009

HARI KEDUA DI TANJUNG PINANG

.

Selepas sarapan pagi di hotel, kami akan dibawa ke Pulau Penyengat, jaraknya mungkin tidak sampai 2 kilometer dari terminal feri. Kami dibawa menaiki sampan pongpong yang merupakan kenderaan utama berulangalik dari kedua-dua pulau.

Sebelum menaiki sampan, kami sempat bergambar dalam cuaca pagi yang cerah.


Setibanya di jeti Pulau Penyengat, deretan beca menunggu kami. Ketika ini beca di sini tidak menggunakan basikal sebagaimana dahulu, ia menggunakan motosikal jenis lama. Penduduk setempat memanggilnya Bemor atau beca bermotor.


Untuk menaiki beca, dua orang penumpang untuk sebeca dikenakan bayaran 20 ribu rupiah atau sekitar RM6 bagi perjalanan sejam. Tempat-tempat bersejarah yang akan dilawati adalah Makam Engku Puteri Raja Hamidah, Makam Raja Haji Fisabillillah, Makam Raja Jakfar, Makam Raja Abdul Rahman, Istana Kantor dan Balai Adat Indra Perkasa.

Berziarah ke makan Raja Ali Haji akan meninggalkan kenangan manis kerana seperti yang diketahui allahyarham adalah seorang ulamak, sejarawan, pujangga dan juga pencipta dasar tatabahasa Melayu dengan menggunakan buku Pedoman Bahasa. Dilahirkan pada 1808 dan meninggal 1873, beliau sangat dikenali dengan Gurindam Dua Belas, Syair Siti Shianah, Syair Suluh Pegawai, SyiarHukum Nikah dan Syair Sultan Abdul Muluk. Beliau juga sangat terkenal dengan buku Tuhfatul Nafis.


Di pulau yang mempunyai penduduk seramai 2,000 orang dan kebanyakannya bekerja sebagai nelayan mendapat sumber tenaga letrik dari generator yang disediakan oleh pihak swasta PT PLN Persero.


HARI PERTAMA LAWATAN 3 HARI 2 MALAM KE TANJUNG PINANG

.
Pagi Jumaat 23 Oktober lalu, bersama 18 orang lain yang diketuai oleh Haji Abdullah, kami menaiki feri MV Sentosa dari terminal bebas cukai Stulang Johor Bahru dengan tujuan ke Tanjung Pinang Indonesia.

Saya tidak ingat berapa kali kunjungan saya ke sana, mungkin lebih dari 10 kali. Mungkin saya tidak terlalu ghairah untuk ke sana, disebabkan ada pembiaya tentulah tidak saya tolak tawaran makan angin bagi seorang yang telah berstatus pesara sepertiku.

Begitupun, saya lebih mengutamakan amanah yang telah diberi padaku sebagai Ahli Majlis Bandaraya. Dengan sebab itu saya telah menjadualkan berangkat pada sebelah petang kerana paginya ada mesyuarat majlis. Namun mesyuarat tersebut telah dibatalkan dan saya dapat mengikuti ahli rombongan yang lain menaiki feri pada sebelah pagi.

Dalam rombongan ini, 9 orang dari kami adalah bekas pemimpin Gerakan Belia 4B Negeri Johor. Selebihnya adalah keluarga Haji Abdullah yang ingin turut serta.

Selain saya dan Haji Abdullah, mantan orang kuat Belia 4B Johor yang saya maksudkan adalah Syed Hood (bersama isteri), Hj Omar Rupie, Razali, Cikgu Kalamullah, Cikgu Ahmad Tarmizi, Shukri Misbah dan Mokhtar.

Perjalanan ke Tanjung Pinang iaitu bandar terpenting di Pulau Bintan memakan masa dua setengah jam. Perjalanan memang membosankan namun melihat persekitaran Selat Tebrau dapat memberi pengajaran kepada kita bagaimana jiran kita, Singapura telah menggunakan sepenuhnya perairan yang mereka sendiri tahu tujuannnya.

Ketika menghala ke selatan, kelihatan di sebelah kanan adalah kawasan tambak di Changi dan di sebelah kiri pula kawasan tambakan yang lebih luas di Pulau Tekong. Singapura mempunyai lebih 60 buah pulau-pulau kecil dan Pulau Tekong adalah yang terbesar serta terletak lebih hampir dengan Malaysia berbanding tanah daratannya sendiri.

Saya pernah melihat sebuah pulau kecil bersebelahan Pulau Tekong yang sekarang telah hilang apabila dilakukan penambakan. Pulau ini telah dijadikan tempat melatih tentera Singapura.

Diantara kedua-dua tanah tambakan inilah kami melaluinya termasuk kapal-kapal yang perlu diperbaiki di pelabuhan Pasir Gudang maupun Sembawang di Singapura. Keadaan Selat Tebrau yang kami lalui ini seolah-oleh melalui sebuah terusan atau sebatang sungai kerana keadaan selat telah bertambah sempit.


Setibanya di Terminal Feri Sri Bintan Pura Tanjung Pinang, kami disambut oleh pemandu pelancong, Pak Sori dan terus dibawa menaiki bas untuk ke Masjid Raya bagi menunaikan solat Jumaat.
Di Malaysia, dimana saja masjid berada, persoalan keselamatan kasut pasti mengusutkan pemikiran kita. Tetapi di Indonesia ia tidak menjadi masalah utama kerana banyak masjid-masjidnya mempunyai ruang tempat menyimpan kasut yang mempunyai penjaganya.

Di Masjid Raya Tanjung Pinang ini juga begitu dan ini menjadikan kita tenteram menunaikan solat. Terpulanglah kepada kita berapa yang harus kita sedekahkan kerana meletakkan kasut di tempat yang selamat. Satu ribu rupiah yang hampir sama dengan tigapuluh sen wang kita sudah mencukupi sebagai sumbangan. Kalau lebih dari itu pastinya mendapat ganjaran yang lebih besar.

Kelainan pembacaan kutbah di sini ialah khatibnya tidak membaca teks. Jumaat ini khatib menjelaskan kelima-lima rukun Islam dengan begitu fasih dan bersahaja. Memang kami tidak mengantuk mendengar khutbah seperti ini.

Selesai solat dan dalam keadaan hujan renyai, kami dibawa ke retoran makanan Minang. Saya suka masakan Minang tapi saya akan pastikan bahawa menjamahnya mesti di waktu siang terutama di restoran yang lebih kecil. Maklum saja, saya lihat restoran masakan Minang ini sama seperti masakan restoran mamak di negara kita, masakan pagi boleh sampai ke malam hanya dihangatkan saja. Silap gaya boleh sakit perut.

Di Indonesia, restoran disebut Rumah Makan atau rengkasnya RM. Jangan terkejut dengan istilah seperti RM Sederhana, ia bermakna Rumah Makan Sederhana atau Restoran Sederhana.

Selepas makan tengahari, kami dibawa mengelilingi persekitaran bandar Tanjung Pinang. Kami singgah di tepi pantai, ramai penjaja di sini terutama yang berjualan jagong.

Seterusnya kami dibawa ke hotel untuk mendaftar masuk dan malamnya kami makan di restoran hotel tempat kami menginap.

Saya sebilik dengan Hj Omar Rupie, veteran Belia 4B Johor yang mempunyai banyak pengalaman terutama sebagai Setiausaha 4B Negeri yang telah berkhidmat di bawah beberapa orang pengerusi.

Saya tidur mendengkur, tidak pasti samada tidur Hj Omar nyenyak atau tidak.


TAKLIMAT PINDAAN PERLEMBAGAAN DAN PENDAFTARAN PEMILIH

.
Perhimpunan Agung Khas UMNO telahpun meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO pada bulan Oktober yang lalu. Berikutan darinya, UMNO Bahagian Johor Bahru telah mengadakan majlis penerangan pada pagi tadi bertempat di Dewan Raya Jalan Datin Halimah Johor Bahru.

Ketua dan pegawai UMNO Cawangan telah dijemput hadir untuk mendengar dan bersoaljawab setelah penerangan diadakan.

Majlis anjuran Biro Penerangan UMNO Bahagian Johor Bahru dibawah pengerusinya, Hj Abu Talib Alias telah berjaya mengadakan program dengan lancar.

Ketua UMNO Bahagian, YB Datuk Shahrir Samad telah merasmikan majlis tersebut sementara YB Hj Adam Sumiru, Naib Ketua UMNO Bahagian telah memberi penerangan mengenai pindaan tersebut.

Selain majlis penerangan, Hj Abu Talib Alias juga telah meminta UMNO Cawangan menjalankan usaha menambah keahlian selain berusaha mendaftarkan pengundi terutama pengundi baru dari kalangan ahli-ahli UMNO yang masih belum mendaftar.

Mengikut statistik yang diperolehi dari Suruhanjaya Pilihanraya, kedudukan pengundi mengikut kaum sehingga 31 Mac 2009 menunjukkan pengundi Melayu 51.14% (45,881), Cina 43.66% (39,178), India 4.80% (4,309) dan lain-lain 0.47% (410) yang membawa jumlah 80,787 orang. Jumlah tersebut telah menunjukkan pengundi Parlimen Johor Bahru adalah yang teramai di kalangan pengundi di 26 parlimen Negeri Johor.

Dari 45,881 orang pengundi Melayu, 24,437 (53.26%) adalah ahli UMNO yang berdaftar. Begitupun, 4,948 (20.24%) darinya masih belum didaftarkan sebagai pengundi yang mungkin disebabkan atas faktor umur di bawah 21 tahun atau sememangnya masih belum mendaftar.

Di majlis ini, ketua-ketua cawangan telah diberi maklumat mengenai ahli yang masih belum mendaftar sebagai pengundi. Setiap cawangan telah diminta mengambil tindakan dengan menghubungi ahli-ahli yang terlibat agar mereka mendaftar sebagai pemilih.


.