Radio Internet FuhYooFm

Rabu, November 11, 2009

FLOATING MARKET BAKAL NOSTALGIA

.
Hari Ahad, hari ketiga di Bangkok, dapat juga kami melihat Floating Market atau Pasar Terapung. Isteriku beria-ia benar hendak melihatnya. Katanya lawatan ini tidak bermakna tanpa melawat pasar tersebut.

Saya membeli pakej lawatan iaitu RM110 untuk melawat Pasar Terapung, Taman Buaya dan Ros Garden. Untuk Shafikah yang berumur 5 tahun juga terpaksa membayar harga yang sama.

Kami bertolak dari tempat penginapan, Hotel Wood Land pada jam 6.15 pagi dan mengambil masa 3 jam untuk sampai ke tempat dituju setelah mengambil beberapa pelancong lain.

Sebelum menaiki kenderaan ke sana, apa yang terfikir di hatiku ialah jual beli sayur-sayuran dan segala macam barangansimpang-siur berlaku di sungai. Selain itu, saya juga terfikir ia berlaku di Sungai Chao Phraya atau tali-taliair berdekatan di Kota Bangkok.

Apabila sampai di sana, segala pemikiranku selama ini yang mungkin terlekat semasa belajar matapelajaran Geography di sekolah dahulu, semuanya meleset. Apa yang didapati adalah pasar sungai tersebut terletak begitu jauh dari Kota Bangkok. Barang yang dijual hanyalah makanan dan buah-buahan. Tidak ada yang menjual sayur-sayuran atau barangan dapur. Kalau adapun hanyalah barangan kraf yang dijual sebagai suviner.

Floating Market hanyalah tarikan kepada pelancong sahaja. Ia menjadi kenang-kenangan kepada genarasi kini dan akan datang. Yang ada cuma gambar-gambar ketika pasar ini begitu menjadi nadi kehidupan penduduk disitu suatu masa dahulu.

Begitupun kami dapat membayangkan suasana kesibukan pasar ini dahulu berdasarkan kedudukan bangunan seperti kedai dan rumah-rumah di tepi sungai yang mempunyai tangga untuk turun naik selain setiap rumah mempunyai sampan atau tempat meletak sampan.

Berdasar pemerhatianku, dahulu mungkin tidak ada jalan raya di sini. Kawasan ini adalah kawasan paya kerana tanahnya berair. Dimana-mana boleh dilihat sungai dan taliair. Pokok-pokok kelapa yang ditanam juga terendam air.

Bagiku, Floting Market akan menjadi nostalgia dalam tempoh 20-30 tahun akan datang.












Jumaat, November 06, 2009

SOLAT JUMAAT DI BANGKOK

.
Alhamdullillah, dua minggu lalu saya bersolat Jumaat di Tanjung Pinang, Indonesia dan hari ini dapat pula menunaikannya di Bangkok. Masjidnya bernama Haroon Mosque.

Ketika saya sampai untuk menunaikan solat Tahyatul Masjid, imam sedang menyampaikan tazkirah dengan cara duduk di tangga mimbar. Dua bahasa digunakannya, Thai dan Inggeris berselang seli.

Mengikut imam, masa yang diambil untuk tazkirah adalah selama setengah jam. Diantara yang diperkatakannya adalah disiplin jamaah semasa menunaikan solat Jumaat. Berulangkali dia mengingatkan supaya jamaah tidak berkata-kata semasa khotib berkhutbah termasuk menunjukkan jari telunjuk di mulut yang bermaksud mengarahkan jangan bercakap.

Imam yang memberi tazkirah juga membaca khotbah. Saya tidak pasti bangsa atau asal usul imam ini. Rupanya tidak menyerupai orang Thai atau kelaziman yang berasal dari Asia Timur atau Asia Tenggara, ia seperti peranakan Pakistan, India atau mungkin dari Timur Tengah. Bahasa Thai dan Inggerisnya sangat fasih. Sebutan ayat alquran begitu baik dengan ayat yang agak panjang ketika membaca surah dalam solat.

Ketika berkhotbah, imam hanya menggunakan kertas nota dengan tangan kanannya bergerak-gerak mengikut intonasi suaranya. Itulah keistimewaannya.

Yang menjadi kelainan bagi kami umat Islam di Malaysia ialah apabila imam membaca Alfatehah semasa mengimamkan solat tidak membaca basmallah.

Berbagai bangsa yang berjamaah di masjid ini. Mungkin ramai pelancong atau mungkin mereka yang bertugas atau bekerja di Bangkok. Ini dapat dilihat dari mereka yang hanya berseluar panjang dan yang memakai kain sarong boleh dibilang dengan jari.

Tidak sukar untuk ke masjid ini kerana ia berdekatan dengan bangunan foundation untuk orang Islam disini yang dinamakan Tuan Suwanasasna Chularjmontri Foundation, Anjuman Islam Auditorium serta berdekatan juga dengan General Post Office, Bangkok.

Apapun, menunaikan solat di masjid ini dan juga masjid-masjid lain diluar negara pasti menjadi kenang-kenangan sepanjang hidupku.







MENAIKI KERETAPI KE BANGKOK

.
Kami telahpun membuat keputusan untuk menaiki keretaapi dari Hatyai ke Bangkok. Saya membelanjakan RM355 untuk menaiki kelas pertama.

Di Hatyai, saya menginap di Hotel Montien, tidak begitu jauh dari stesyen keretapi sekitar 10 minit berjalan kaki. Memandangkan jadual keretpi akan bertolak pada jam 6.45 petang waktu Thailand, kami sempat menunaikan solat Magrib jamak Isyak sekali.

Pada jam 8 malam keretapi mula bergerak dan saya mula berkira-kira untuk melelapkan mata. Di bilik A20 di gerabak pertama yang saya tempah rasanya goncangan tidaklah begitu kuat berbanding di gerabak lebih belakang. Ini mustahak kerana isteriku tidak boleh berada di tempat yang bergoyang apatah lagi dalam keadaan celik.

Sebelum tidur, kami makan dulu bekalan nasi bungkus yang kami bawa. Di keretapi ini tidak ada makanan halal melainkan roti bakar.

Saya bersama Shafikah mengambil tempat tidur di tingkat atas dan mula melelapkan mata pada jam 9 malam. Tidurku tidak begitu nyenyak, namun sebelum subuh lain pula jadinya, nyenyak hingga terlepas solat subuh.

Kami terbangun jam 8 pagi apabila pintu diketuk. Roti bakar, Milo panas bersama 2 biji telur yang.dipesan dihantar kebilik. Saya memesan 2 set berharga RM20 memadai untuk sarapan kami bertiga.

Setelah 16 jam perjalanan, keretapi berhenti di stesyen Bangkok. Kami mengambil makan tengahari di stesyen dan terpaksa bersegera mencari masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

Alhamdullillah, setelah puas bertanya akhirnya kami menaiki kenderaan seperti Bajai di Indonesia dan sampai di satu lorong yang terdapat ramai orang Islam di sini. Di situlah terdapatnya mesjid yang dinamakan Masjid Haroon.

Sebelum ke masjid, kami sempat mencari sebuah hotel yang sangat hampir dengan masjid. Hotelnya baik lengkap dengan kolam renang. Sebuah bilik berharga RM150 dan saya mengambilnya kerana tidak mempunyai masa untuk mencari yang lain.












Khamis, November 05, 2009

ISTERIKU DAH KEMARUK URUT THAI

.
Itulah ungkapan isteriku setelah siap berurut malam tadi. Sedap, katanya. Dari rumah lagi isteriku sudah meminta untuk berurut disini. Dulu ketika pertama kali kesini, dia pernah berurut. Sebab itulah dia mencari kerana dapat membezakan dengan urut-urut mbak-mbak dari Indon yang berada di Malaysia. Kebanyakan mereka (mbak-mbak) mungkin hanya pandai sendiri, tidak belajar dari sesiapapun, mungkin semula jadi atau entah apa-apalah. Yang penting mereka memicit dapat duit.

Difahamkan, di Thailand, tukang urut khususnya wanita menerima latihan dan mendapat sijil untuk bekerja mencari pendapatan. Sebab itu cara berurut mereka dengan kemahiran tertentu dapat memberi kepuasan pelanggan.

Bayaran yang dikenakan juga amat berpatutan. Untuk dua jam berurut, pelanggan hanya perlu membayar 240 Bat atau RM25 sahaja. Di Johor Bahru, satu jam berurut dikenakan RM30. Sangat jauh bezanya.

Tidak hairan apabila isteriku meminta kebenaran untuk berurut lagi pagi ini. Hanya satu ingatan yang diberi padaku ialah “Abang tak boleh urut sama, haram!”.

MUDAH MENCARI MAKANAN HALAL DI HATYAI

.
Tidak susah untuk mencari makanan muslim atau makanan halal di Hatyai. Di mana-mana jalan atau lorong mungkin terdapat sebuah dua gerai atau kedai, cuma kita perlu melihat samada tulisan jawi atau kalimat alquran yang dipaparkan. Ini penting kerana mereka bertutur dalam bahasa yang sama, bahasa Thai dan sukar untuk berkomunikasi dalam bahasa lain.

Selain kalimat dan paparan ‘halal’, lihat juga wanitanya. Kebanyakannya wanita di sini bertudung walaupun ramai juga muslimah yang tidak memakainya.

Pelik juga, muslim disini tidak memperaktikkan ungkapan salam “assalamualaikum’, sebaliknya ‘sawadikap’ yang sering diucapkan apabila bertemu. Mereka juga kurang fasih berbahasa Melayu, hanya beberapa ungkapan yang boleh dituturkan. Begitupun, ada juga yang bercakap dengan fasih dengan dialegnya sedikit kepada dialeg Kelantan.

Bagi saya, masakan mereka lebih enak terutama jenis yang kita dapati pada masakan Siam di Negara kita seperti Tomyam dan sebagainya. Ia lebih terasa kerana inilah masakan dan makanan mereka.

Pagi kedua di Hatyai, seawal jam 7 pagi waktu di sini atau 8 pagi di Malaysia, bersama Rahman kami telah sampai ke Jalan Mussalim atau mungkin bermakna Muslim. Untuk sampai disini amat mudah, naik saja teksi Tut-Tut dari mana saja di Hatyai dengan membayar 20 Bat atau sekitar RM2, anda akan dibawa ke tempat yang dituju.

Di jalan ini terdapat sebuah masjid yang diberi nama Masjid Majjamoh. 200 meter dari persimpangannya terdapat Pejabat Pos Hatyai. Di kiri kanan jalan ini adalah penempatan penduduk Islam, memang ramai muslim disini.

Masalah disini ialah gerai di tepi jalan dan di kaki-kakilima. Terpulanglah kepada kita menilainya samada makanannya bersih atau sebaliknya.

Sesuatu yang berlainan disini adalah hubungan antara peniaga, pelanggan dan penduduknya begitu ramah dan mesra. Mereka juga kelihatan santai sehingga ada gerai-gerai yang mempunyai tempat pembaringan.

Mengenai harga jualan mereka, jangan risau kerana ia sedikit murah berbanding di Negara kita.

SAWADIKAP

.
Jam 7.00 saya dah terpacak di Terminal Bas Taman Ungku Tun Aminah setelah dihantar oleh anakku, Lutfi. Saya bersama isteri dan Shafikah tidak sempat menunaikan solat Maghrib sebab telah diberitau bas akan bertolak tepat pada jam 7.15 malam.

Tidak lama kemudian Rahman Abdullah sampai. Dia sempat solat Maghrib di masjid berhampiran. Begitupun saya sudah memberitau isteri untuk niat jamak bersama Isyak nanti.

Bas yang saya naiki, Golden Diamond sampai agak lewat dan bertolak pada jam 8 malam. Di perjalanan, bas berhenti di Yong Peng dan kami sempat menunaikan solat jamak takkhir di sini.

Ketika bas meneruskan perjalanan, saya terus melelapkan mata. Saya tersedar pada jam 5 pagi ketika alarm telefon bimbitku berbunyi. Ketika bas telah berada berhampiran Bukit Kayu Hitam.

Bas berhenti di sempadan dan terpaksa menunggu pintu sempadan dibuka pada jam 6 pagi. Rasanya hampir 20 buah bas ekspres menunggu. Agak lama juga berada di sini. Melepasi pemeriksaan Imigresen Malaysia dan Thailand mengambil masa hampir satu jam.

Ketika ini isteriku mengalami mabuk, pening dan muntah-muntah. Kesian juga padanya. Dia sudah lama tidak terkena masalah ini. Dulu semasa muda memang dia berpenyakit seperti ini, migraine. Puas dia berubat hingga ke pakar neuro di Hospital Kuala Lumpur. Pernah beberapa kali pengsan termasuk ketika memandu kereta. Nasib baik saya ada disebelahnya. Ketika berumur 40 tahun penyakitnya sembuh. Anakku, Suria berpenyakit sama.

Kami sampai di Hatyai pada jam 10 pagi. Sebelum mencari hotel, kami sempat minum pagi di restoran muslim. Tidak susah mencarinya di sini, mudah kerana ada tulisan jawi dan ayat suci alquran.

Isteriku memang meminati masakan Thai dan awal-awal lagi dia dah memesan Nasi Goreng Patayya. Shafikah pula memang sukakan roti canai, dua keping dia memesan dan habis dimakannya bersama gula. Rahman pula memesan bubur nasi, almaklum dia ni berbangsa Cina, tentulah suka bubur nasi.

Calo-calo memang ramai di sini, sama seperti di Indonesia. Payah kita nak berjalan. Ada saja yang menegur dan cuba memujuk untuk menaiki teksi, menunjuk jalan, mencari restoran, mencari hotel dan sebagainya. Semuanya ditolak oleh Rahman.

Bersyukur saya bersama Rahman kerana dia fasih berbahasa Thai dan sudah terbiasa dengan suasana di Hatyai. Dia membawa kami berjalan mencari beberapa hotel dan akhirnya saya berkenan dengan Hotel Montien.

Ada dua pilihan di hotel ini iaitu yang berharga RM45 dan RM35. Kami memilih yang berharga RM35, bukan kerana sahaja ia lebih murah tetapi keadaannya seperti Hotel Sri Malaysia, cuma perbezaan hotel RM35 ini tidak mempunyai peti sejuk. Yang lain semuanya ada seperti meja dan almari hias, gerobok, bath tap, mandi air panas, tv, telefon, air condition dan telefon. Mana nak cari harga ini di Malaysia?.

Tengahari kami berbelanja di Robinson. Di Johor Bahru tidak ada. Dahulu kami biasa berbelanja di Ribinson Singapura. Barangannya agak murah dan isteriku membeli dua pasang kasut. Dia juga membeli beberapa barangan lain termasuk alat persolekan. Katanya harga di sini jauh lebih murah. Rahman terpaksa mengingatkan berulangkali supaya jangan banyak berbelanja di sini, tunggu nanti di Bangkok.

Kami terus ke setesyen keretapi untu membeli tiket perjalanan esok ke Bangkok. Untuk tiket saya, isteri dan Shafikah, saya membelanjakan 3545 Bat atau sekitar RM355 untuk sekali perjalanan.

Seterusnya kami ke restoran untuk makan tengahari serta terus ke Masjid Pakistan untuk solat jamak Zuhur dan Asar.

Kami menelusuri sebatang jalan berhampiran Masjid Pakistan dan disini ramai jualan barangan pasar sayuran dan buah-buahan. Peniaga Islam agak ramai di sini.

Setelah memberi sedikit buah-buahan, minuman dan kueh, kami terus pulang ke hotel untuk berehat.

Ketika inilah saya menyediakan story ini. Entah bila saya dapat memuatkan ke blog kerana di hotel ini tiada kemudahan internet.