Radio Internet FuhYooFm

Rabu, Disember 09, 2009

MENYUSUN ATUR GERAI HARAM

.
Malam semalam, bersama YB Hj Adam Sumiru, Hj Raihan Baba (Pembantu Khas YB Dato' Shahrir Samad) dan Hj Najib Salleh (Ketua Bhg Penjaja MBJB), kami mengadakan perbincangan di Pejabat Yayasan Masjid MJBBU untuk membantu peniaga gerai tidak berlesen di sekitar Restoran Habs dan Mydeen.

Kebanyakan peniaga yang terikat dengan surat perjanjian terpaksa patuh kepada pemilik Restoran Habs dan Mydeen. Mereka terpaksa membayar sewa bulanan sehingga RM1200 walaupun gerai yang disediakan terletak di laluan awam.

Majlis Bandaraya Johor Bahru telah memberi ingatan kepada peniaga-peniaga ini supaya tidak meneruskan perniagaan disebabkan tidak mempunyai kebenaran dan lesen.

Perbincangan kami telah mengambil beberapa cadangan untuk cuba membantu peniaga berkenaan dengan cara menyusun semula gerai di tempat yang tidak mendatangkan kacauganggu.

Segala cadangan termasuk mempastikan kebersihan kawasan awam, kelancaran lalulintas dan sebagainya akan dimajukan kepada Datuk Bandar.

AHLI PERLIMEN DAP YANG PERNAH GUNA AYAT ALQURAN DALAM CERAMAH MEMPERSOAL KERAJAAN BINA BANYAK MASJID

.


Saya telah membaca Utusan Online mengenai Ahli Parlimen Taiping yang mempersoalkan mengapa kerajaan membina 611 masjid yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM748.26 juta dari tahun 2000 hingga 2008 (baca sini).

Ahli Parlimen yang dimaksudkan adalah Nga Kor Ming adalah juga ADUN Pantai Remis Perak serta Timbalan Bendahari Agung DAP. Beliau meluahkan rasa kekesalan kerana rakyat bukan Islam telah dianaktirikan apabila hanya diberi RM9 juta untuk membina rumah ibadat mereka dari tahun 203 hingga 2008.

Disamping melahirkan rasa kekesalan, Nga Kor Ming memuji kerajaan Pakatan Pembangkang di Perak yang pernah memerintah Perak. Ketika Pakatan Rakyat berkuasa dengan YB Mohamad Nozar Jamaluddin dari Parti Islam PAS menjadi Menteri Besar, dan Nga Kor Meng menjadi Exconya, telah banyak menawarkan tapak-tapak tanah kepada kuil-kuil Hindu, gereja dan tokong.

Beliau yang juga Setiausaha DAP Perak pernah beberapa kali mempersendakan ayat-ayat suci Alquran dengan dengan cuba membacanya dalam ceramah-ceramah anjuran Pakatan Rakyat dan telah dikecam oleh banyak pihak terutama badan NGO (buktinya).

Perlakuan YB bukan Islam ini diberi sanjungan oleh Mursyidul Am PAS, Dato' Hj Nik Aziz Nik Mat sebagaimana suratnya bertarikh 9 April 2009 (baca di Blog Tok Guru).

Lihat pula bagaimana respon penjenguk blog terutama penyokong Pakatan Rakyat dalam isu ini apabila blog Penasehat PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim memaparkan di blognya.

Apabila Nga Kor Ming mempersoalkan ketidakadilan kerajaan dengan memberikan peruntukan yang besar kepada pembinaan masjid maka terserlah kini siapa sebenarnya pemimpin DAP ini.

Lupakah kita kepada firman Allah dari ayat 140 surah An-Nisa':

وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللّهِ يُكَفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلاَ تَقْعُدُواْ مَعَهُمْ حَتَّى يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ إِنَّكُمْ إِذاً مِّثْلُهُمْ إِنَّ اللّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعاً


"Dan Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diengkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki perbicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam neraka jahanam."


Isnin, Disember 07, 2009

ABANG SELAMAT KEMBALI KE TANAH AIR

.

Alhamdullillah, abangku Asmuni dan isterinya telah selamat sampai ke rumah di Taman Sri Serdang pada awal pagi tadi.

Pemergiannya ke tanah suci Mekah untuk menunaikan fardhu haji insyAllah telah disempurnakan. Mudah-mudahan mereka mendapat haji yang mabrur.

Kami dari seluruh keluarganya mendoakan keselamatannya di sana kerana abang juga terpaksa berhati-hati dalam semua perkara. Kami maklum tentang masalah kesihatannya.

Saya cuba menghubunginya pagi tadi, namun tidak berhasil. Pada tengahari tadi, abang menelefonku. Sebelumnya, dia telah dapat bercakap dengan emak di kampung.

Dari perbualan dengannya, beliau menyatakan rasa bersyukur kerana telah dapat menjalani ibadah fardhu walaupun berhadapan dengan masalah batuk.

Saya memberitahunya mungkin saya akan berjumpa dengannya pada 15 haribulan kerana akan mengikuti mesyuarat Jawatankuasa Kebajikan PBKF pada keesokan harinya. Sementara pada 17 haribulan, saya akan membawa rombongan Warga Emas MJBBU ke Campuchea melalui LCCT Sepang.

Abang mengatakan pada ketika itu mungkin ole-ole dari tanah suci telah habis. Jawabku mudah, bukan itu yang dipinta. Hanya pelukan barokah yang kumahu.

.

MEDAN SELERA MAHSURI TERBERSIH DI BANDARAYA JOHOR BAHRU

.
Pagi ini saya bersama penniaga-peniaga di Medan Selera Mahsuri BBU dalam kerja-kerja gotong royong membersih gerai.

Peniaga telah memberhentikan perniagaan pada masa gotong royong. Mereka sanggup berbuat demikian demi kebersihan dan keselesaan pengunjung.

Mengikut Hj Najib Salleh, Ketua Bahagian Penjaja Majlis Bandaraya Johor Bahru, gerai-gerai di sini adalah diantara yang terbersih di dalam kawasan dan jagaan MBJB. Beliau yang turut sama dalam program ini berharap keadaan ini dapat dikekalkan.

Program gotong royong ini juga disertai oleh Southern Waste Management iaitu syarikat yang diberi konsesi pembersihan.

Ketika diberi peluang berucap kepada 32 orang penyewa gerai, saya telah menjelaskan beberapa perkara:-
  • Berikan keutamaan kepada kebersihan dan mutu makanan.
  • Menjelaskan mengenai kadar sewa bulanan yang telah diturunkan kepada RM250.00.
  • Patuh membayar sewa bulanan.
  • Tunggakan boleh dibayar dengan membayar separuh darinya dan bakinya boleh dibayar secara beransur dengan cara membuat permohonan kepada Majlis.
  • Gerai akan disita sekiranya gagal membayar tunggakan.
  • Penyewa gerai hendaklah mengumpul dana dengan cara bayaran bulanan untuk digunakan sebagai pembaikan dan penjagaan kawasan gerai.
  • Tempat pengumpulan sampah akan ditutup dan sebagai ganti setiap gerai hendaklah menyediakan tong sampah beroda mengikut saiz yang ditetapkan.
  • SWM akan mengutip pada setiap malam selepas gerai ditutup (jam 11 malam).
  • Permohonan untuk membaikpulih beberapa kerosakan (tandas, tempat mengambil wuduk, ruang solat, kerusi meja, aspal dll.) telah dimajukan kepada pentadbiran Majlis dan sedang menunggu perlaksanaan.
  • Berharap penyewa gerai supaya sentiasa bermuafakat dan tidak berlaku pergaduhan.
  • Melantik salah seorang penyewa, Ahmad Shoodi sebagai Ahli Jawatankuasa Penduduk Zon Bandar Baru Uda.
Mengakhiri ucapan, saya telah memberi alamat rumah serta nombor telefon bimbit untuk mereka mengadukan sebarang masalah terutama yang berkaitan dengan pentadbiran Majlis Bandaraya.

Selain itu, saya juga menjelaskan bahawa kebiasaannya saya akan berada di pejabat Masjid Jamek BBU dan juga di pejabat Koperasi serta Yayasan Masjid BBU.


.

Sabtu, Disember 05, 2009

LETUPAN DI RESTORAN STULANG CORNER

.
Malam tadi dalam perjalanan balik ke rumah dari Stulang Laut bersama rakan Ahli Majlis MBJB, Azman Dawam, saya singgah sebentar untuk melihat sebuah restoran yang diberi nama Restoran Stulang Corner di Jalan Pandan 1, Stulang Darat yang telah diletupkan oleh individu yang tidak dikenali.

Peristiwa yang berlaku pada jam 2.30 pagi 30 November lalu telah merosakkan sebahagian dinding, bahagian belakang, siling dan rak kaca peragaan makanan.

Dalam cahaya yang tidak begitu terang, saya dapat melihat sebuah restoran yang dijangka mula beroperasi pada hari ini telah rosak agak teruk. Mengikut laporan-laporan akhbar, pemilik restoran berkenaan dekenali sebagai George berumur 40an berkata bahawa dia telah membelanjakan sebanyak RM200,000 untuk kerja-kerja pengubahsuaian.

Pemilik menjangka ia adalah perbuatan khianat. Ada juga yang mengatakan bahawa ia berkaitan dengan persainagan perniagaan. Pihak Polis juga telah menahan beberapa orang saspek berkaitan dengan kejadian berkenaan.

Saya tidak peduli dengan motif kejadian. Apa yang terfikir dari sejak berita dilaporkan di pemikiranku adalah kejadian mungkin berlaku di restoran 24 jam. Memang benar, dan inilah yang sepatutnya pemimpin, pihak berkuasa dan masyarakat berbincang samada restoran 24 jam ini baik atau sebaliknya.

Banyak persoalan yang perlu dihuraikan seperti siapakah yang ramai mengunjunginya, untuk tujuan apa, kebersihan makanan, produktiviti pengunjung, masalah sosial dan pelbagai persoalan lagi.

Sebagai Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru, saya memandang berat soal restoran 24 jam kerana ia telah memberi kesan negetif.

Restoran-restoran seperti ini tidak diberi pemantauan yang bersungguh-sungguh oleh pihak berkuasa. Kelemahan inilah yang menyebabkan banyak yang telah tumbuh seperti cendawan pagi sehingga menyebabkan persaingan yang tidak sehat.

Kebanyakan restoran yang dimonopoli oleh beberapa kerat individu telah memperlekeh undang-undang pihak berkuasa. Salah seorang pengusaha telah membina 11 cawangan dan 9 darinya di Bandaraya Johor Bahru. Semuanya di lokasi strategik di premis penjuru. Ia membina bangunan tambahan tanpa kelulusan dan langsung tidak peduli keselamatan pengguna jalan raya.

Tidakkah mungkin restoran yang diletupkan ini adalah cawangan yang ke 10?. Mereka berani kerana Majlis yang takut untuk bertindak!.

Kejadian di Restoran Stulang Corner seharusnya membuka pemikiran dan tindakan serius Majlis Bandaraya Johor Bahru serta pihak berkuasa tempatan lainnya. Bertindaklah dengan lebih cepat dan efektif, jangan sampai nasi menjadi bubur.





Khamis, Disember 03, 2009

NIAT NAK JADI WARTAWAN, AKHIRNYA JADI BLOGGER

.
Semuanya ketentuan illahi. Semasa muda memang saya bercita-cita untuk menjadi wartawan, bahkan pemberita pun mencukupi. Namun tidak menjadi kenyataan.

Ketika menuntut di Sekolah Menengah Dato' Penggawa Barat Pontian, saya hanya menjadi ahli Persatuan Bahasa Melayu saja tetapi karangan dan nukilan saya pernah dimuatkan di dalam majalah sekolah. Cerpen-cerpen saya diabadikan di majalah. Kesal juga kerana saya tidak menyimpannya. Sekurang-kurangnnya dapat juga saya membelek-belek atau menunjuk kepada anak cucu.

Ketika saya mula bekerja sebagai pelayan pejabat atau peon pada tahun 1969 dengan gaji RM74.00 sebulan, saya sempat belajar secara pos untuk menjadi wartawan. Namun tidak bertahan lama kerana tidak berkemampuan untuk membiayainya.

Cita-cita untuk menjadi wartawan tidak luntur. Pada awal tahun 1980an, saya pernah memohon untuk menjadi pemberita Utusan. Saya membuat permohonan dan mendapat jawapan untuk ditemuduga di Jalan Serampang, Johor Bahru.

Saya tidak pergi untuk ditemuduga. Sebabnya kerana saya tidak begitu selesa dengan Ketua Bironya.

Ketika menjadi Timbalan Presiden Kesatuan Pekerja Felda, saya telah diberi tanggungjawab untuk menerbitkan majalah kesatuan yang diberi nama "JASA". Majalah ini diterbitkan setiap sukutahun untuk bacaan ahli kesatuan.

Saya tidak dapat membuat kerja-kerja penulisan mungkin tidak banyak mempunyai masa terluang kerana saya lebih menumpukan kepada kerja-kerja kemasyarakatan. Namun, dengan adanya kemudahan alam maya ketika ini, cukuplah dengan menulis blog.

Dengan menulis blog dalam dunia saya, pastinya akan memberi kepuasan kepada diri sendiri.

Selasa, Disember 01, 2009

INGATAN AHLI MAJLIS ZON LARKIN KEPADA MBJB: JANGAN BENARKAN LAGI LOJI NAJIS BERDEKATAN RUMAH IBADAT

.
Khalid Mohammad
Ahli Majlis MBJB Zon Larkin

Satu ingatan tegas telah diucapkan oleh Khalid Mohammad, Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru agar tidak berlaku lagi kesilapan membenarkan pembinaan loji najis berdekatan dengan rumah-rumah ibadat. Kenyataannya yang diungkapkan dalam ucapan penangguhan mesyuarat penuh MBJB pada hari semalam mempunyai kaitan dengan pembinaan loji najis di Jalan Merak berdekatan dengan Masjid Tun Hussein Onn Johor Bahru.

Beliau meluahkan bantahan penduduk dan kariah masjid yang terpaksa menanggung keadaan yang tidak selesa serta mengganggu peribadahan mereka.

Khalid sedang berucap dalam
ucapan penangguhan

Khalid yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru menyatakan bahawa sungguhpun Majlis Bandaraya telah bertindak pantas melayani bantahan penduduk namun mereka merasa terkilan kerana loji berkenaan tidak dapat dipindahkan. Penduduk sedar bahawa pelan pembangunannya telah diluluskan pada tahun 2005 serta pembinaan yang dimajukan oleh pemaju Cemerlang Land telahpun disiapkan.

Sebagai Ahli Majlis Zon Larkin, sekali lagi Khalid telah menegur kealpaan penguatkuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru untuk bertindak terhadap pemaju perumahan Mutiara Sri Larkin yang menjalankan kerja-kerja menambak kolam berdekatan dengan Apartment Sri Impian. Beliau kesal kerana kerja menambak telah menyebabkan kekotoran dan kerosakan jalan serta tiada kawalan lalulintas.

Begitu juga dengan kerja tanah bersebelahan Plaza Larkin dan Sekolah Menengah St Joseph yang tidak mendapat kelulusan dari Majlis Bandaraya. Kerja-kerja yang dijalankan termasuk menebang pokok, merobohkan bangunan dan meratakan tanah yang dilakukan dalam tempoh 2 minggu.

Khalid juga menyentoh mengenai pembinaan rumah kos sederhana rendah Puri Langkasuka oleh kontraktor Pioneer Region yang nampak terbengkalai. Projek bersebelahan Flat Larkin dan perumahan Larkin Jaya dikhuatiri menjadi sarang pembiakan biawak, ular, tikus serta persembunyian penagih dadah.

Beliau percaya pentadbiran Majlis akan lebih berkesan dengan kerja bersungguh-sungguh serta menambahkan anggota penguatkuasa. Selain itu, dengan menswastakan kerja penguatkuasaan sebagaimana yang telah diberi kepada Fajar Able dalam menguatkuasakan pengguna tempat letak kereta akan memberi kesan yang amat baik.