Radio Internet FuhYooFm

Rabu, April 07, 2010

BERTEMU DENGAN SEORANG YANG INGIN MEMELUK AGAMA ISLAM

.
Baru sekejap tadi, saya dipertemukan dengan sorang Warga Myanmar yang ingin memeluk agama Islam. Saya diperkenalkan oleh Hj Mohd Said Ibrahim kepada anak muda dalam anggaran umur awal 20an bersebelahan pasaraya Mydin BBU.

Mukanya bersih, menjabat tangan saya begitu erat seolah-olah mengharapkan sesuatu dalam dirinya. Saya bertanya namanya. "Mohamad Ali", begitulah yang diberitahu dan saya tidak mahu bertanya nama asalnya.

Dia mengaku bekerja di salah sebuah kilang berdekatan BBU dan ditempatkan di salah sebuah unit rumah pangsa berdekatan Bank Islam BBU bersama-sama rakan lain dari negaranya.

Hj Mohd Said memberitahu pemuda ini telah pergi sendiri ke klinik untuk meminta dikhatankan. Ini menunjukkan kesungguhannya untuk menjadi seorang Muslim. Mungkin apa yang dia tahu ialah apabila ingin menjadi seorang Muslim semestinya bersunat. Itulah yang telah dilakukannya walaupun dia belum mengucap kalimah shahadah.

Tentu ramai yang mengsyaki pemuda ini ingin memperisterikan seorang yang beragama Islam. Tidak, kerana dia mengaku tidak mempunyai seorang pun rakan wanita.

Selama setahun berada di negara ini, "Mohd Ali" mengaku tertarik dengan sikap baik penduduk di sini yang beragama Islam. Saya telah memberi kad nama saya kepadanya dan mengambil beberapa butiran mengenai dirinya.

Insyaallah, hari Selasa minggu hadapan ini, saya telah berjanji untuk membawanya ke Jabatan Agama Johor bagi urusan pengislamannya.

Satu perkara yang diberitahu kepada saya ialah jangan berjumpa dengannya di kawasan perumahan tempatnya berada kerana tidak mahu diketahui oleh rakan-rakan serumahnya.
.

MASALAH TAMAN LARKIN INDAH

.
Saya sempat berjumpa dengan Hj Ibrahim Hamdan, Pengarah Bangunan MBJB dan meminta untuk mengadakan perbincangan mengenai pembangunan Taman Larkin Indah yang mempunyai beberapa masalah.

Hj Ibrahim berjanji untuk membuat semakan terlebih dahulu dan akan memberitahu beberapa hari lagi untuk mengadakan perbincangan.

Mengenai isu yang sama, saya telah mendapat salinan surat dari Penolong Pesuruhjaya Bangunan MBJB yang meminta pemaju berkenaan iaitu Alfa Lagenda Sdn Bhd untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan pertama bagi tujuan penubuhan badan pengurusan bersama (JMB).

Masalah di Taman Larkin Indah ini perlukan perhatian dan tindakan segera memandangkan pemaju kurang memberi layanan kepada pemilik dan pembeli bangunan.
.

KAJIAN KE ATAS KAWASAN STRATEGIK BERKEPENTINGAN TINGGI KAMPONG MELAYU MAJIDEE, JOHOR BAHRU

.
Hari ini saya menghadiri taklimat kajian ke atas kawasan strategik berkempentingan tinggi bagi kawasan Kg Melayu Majidee yang disampaikan oleh Perunding UEP Sdn Bhd di Dewan Mesyuarat MBJB.

Taklimat berama Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Johor telah memfokuskan kajian kemungkinan ke atas 3 perkara utama iaitu pengenalan kajian, profil kawasan kajian dan cadangan pembangunan.

Cadangan pembangunan merangkumi 7 teras utama dalam menjayakan Kampong Pelancongan Majidee yang merangkumi sejarah, aktiviti, produk, kemudahan dan infrastruktur pembangunan komersial, landskap dan agensi pelaksana.

Hasil dari kajian ini telah mencadangkan Kampong Majidee ke arah pembangunan kampong pelancongan yang berdaya maju, teratur dan mampan.

Semasa mengambil bahagian dalam perbincangan, saya telah mencadangkan agar kajian ini dibawa dulu ke pengetahuan ketua-ketua dan pemimpin masyarakat supaya mendapat maklumbalas terutama pimpinan peringkat akar umbi yang lebih memahami hasrat dan permasalahan mereka.
.

Selasa, Mac 23, 2010

MALANG BAGI PEMBELI PREMIS DI TAMAN LARKIN INDAH

Saya telah menerima beberapa aduan dari pembeli di apartment Taman Larkin Indah, Johor Bahru. Terbaru pada tengahari tadi apabila pemilik kedai tidak dapat keluar masuk apabila kontraktor mula menutup laluan masuk tanpa diketahui tujuannya.

Sehubungan dengan itu, mereka telah membuat laporan polis. Penguatkuasa MBJB yang dihubungi telah datang dan membuat arahan agar pemaju membuka semula jalan masuk dan tidak melakukan sebarang kerja tanpa mendapat kebenaran Majlis.
.

Isnin, Mac 22, 2010

MALAM UNTAIAN BUDI SEKOLAH AGAMA BANDAR BARU UDA

.
Badan Kebajikan dan Majlis Guru Sekolah Agama Bandar Baru Uda malam ini mengadakan majlis Malam Untaian Budi Jalinan Kasih bertempat di Restoran JB Catering, Tasek Merdeka Johor Bahru.

Majlis yang dihadiri oleh AJK Badan Kebajikan dan Guru-Guru bersama keluarga masing-masing adalah sebagai majlis keraian keluarga disamping meraikan guru-guru yang telah berpindah serta guru yang baru melaporkan diri.

Kehadiran semua dengan berpakaian warna oren sangat meriah disamping juruacara yang dapat mengendalikan majlis dengan begitu ceria.

Selain penyampaian cenderahati kepada guru yang telah berpindah, banyak hadiah yang disediakan kepada mereka yang bertuah disamping mereka yang berjaya menjawab teka teki.

PUSAT DIALISIS MASJID JAMEK BANDAR BARU UDA

.
The New Straits Times hari ini menyiarkan satu rencana mengenai Pusat Dialisis Dan Kesihatan (PDK) yang diuruskan oleh Masjid Jamek Bandar Baru Uda (Baca di sini).

Pusat ini mula beroperasi mulai 16.5.2004 dengan 2 buah mesin dan merawat 3 orang pesakit. Kini pusat ini beroperasi dengan 16 mesin dan pesakit yang dirawat adalah seramai 61 orang terdiri dari berbagai bangsa dan agama. Seramai 3 orang jururawat terlatih dan 7 orang pembantu yang dibayar gaji sepenuhnya oleh PDK bertanggungjawab mengendalikannya. Kesemua kakitangan ini dibawah seliaan 3 orang doktor yang berkhidmat secara sukarela yang diketuai oleh Dr. Hj Kamaruddin bin Ahmad.

Kaedah merawat melalui rawatan hemodialisis di pusat ini akan dilakukan 3 hingga 4 jam sekali sebanyak 3 kali seminggu.

Pesakit yang menerima rawatan bukan sahaja dari kalangan penduduk Bandar Baru Uda, sebaliknya merentasi ke sekitar daerah Johor Bahru termasuk dari Ulu Tiram, Gelang Patah dan Kulai Jaya.
.

Khamis, Mac 18, 2010

PBKF JOHOR SELATAN MELANCONG KE LANGKAWI

.
Persatuan Bekas Kakitangan Felda (PBKF) bagi Kawawan Johor Selatan telah membawa seramai 40 orang ahli dan keluarganya melancong ke Pulau Langkawi.

Bas mula mengambil penumpang di Kota Tinggi pada hari Ahad, 14 Mac 2010 jam 4.30 pagi. Mereka bekumpul di Masjid Jamek Kota Tinggi dan seterusnya mengambil peserta lain di Ulu Tiram, Johor Bahru, Air Hitam dan Yong Peng.

Rombongan sampai di Jeti Kuala Perlis dan terus menaiki feri ke Kuah, Langkawi.

Sepanjang 3 malam di pulau lagenda, mereka ditempatkan di 2 unit apartment di perkampungan Kastam. 2 hari melawat tempat bersejarah, tumpuan pelancong dan membeli belah memberi kepuasan kepada peserta rombongan.

Pelbagai pengalaman menarik ditimba sepanjang perjalanan. Diantaranya adalah menaiki 'cable car' yang pastinya tidak dapat dilupakan. Tempat-tempat lain adalah Dataran Helang, Gunung Mat Chinchang,Pekan Kuah, Makam Mahsuri, Telaga Air Hangat, Beras Terbakar, Under Water World, Mengelilingi Pulau, Gua Kelawar, SSungai Kilim, Taman Ikan, Galeria Perdana, Kompleks Belibelah dan lain-lain.

Rombongan yang diketuai oleh Puah Fatimah Hamid sampai ke rumah masing-masing pada 17 haribulan dengan membawa pelbagai kenangan manis.


.