Radio Internet FuhYooFm

Sabtu, April 17, 2010

BEGINIKAH NASIB WANITA INDONESIA YANG DIKAHWINI OLEH LELAKI MALAYSIA

.
Saya begitu teringin untuk menceritakan kisah benar yang berlaku kepada seorang wanita Indonesia yang menjadi isteri kedua kepada seorang lelaki Melayu Malaysia di daerah Johor Bahru.

Biarlah saya menyebut wanita ini sebagai 'SI'. Saya baru sekali bertemu dengannya, itupun ketika diperkenalkan oleh isteri selepas kuliah Subuh baru lalu. Orangnya agak cantik dan berumur 24 tahun. Dia telah berkahwin di kampung halamannya (Pulau Jawa) dan mendapat restu dari keluarganya dengan seorang lelaki 30 tahun yang telahpun mempunyai seorang isteri dan anak.

'SI' mengenali latar belakang suaminya dan redha untuk diperisterikan. Memandangkan suaminya bukanlah mempunyai kedudukan kewangan yang baik, dia sanggup menyewa sebuah rumah bersama beberapa orang lain. Dia mengambil sebuah bilik untuknya memadu kasih dengan suami kecintaannya.

Hari-hari awal berumahtangga memanglah semuanya terasa manis dan bahagia. Ia dapat menikmati sebagaimana yang diidaminya walaupun terpaksa berkorban menanggung segala perbelanjaan seperti menyewa rumah, perbelanjaan diri dan harian. Semuanya kerana kecintaannya kepada suami dan mengharapkan kebahagiaan rumah tangga yang dibinanya.

'SI' sedar pendapatannya dalam jualan langsung tidaklah seberapa. Sebagai seorang warga Indonesia, kenalannya tidak begitu ramai dan hanya bergantung kepada rakan-rakan senegara yang berada berdekatan dengannya di samping beberapa orang lain yang mengenalinya.

Masa terus berlalu dan satu insiden yang tidak diduganya berlaku. 'SI' menemui kakak madunya kerana menduga ia akan diterima dengan baik. Malang, sejak pertemuan itu, suaminya mulai kurang menemuinya. Kini, setelah 2 tahun berkahwin dengannya, hampir jarang ia berjumpa walaupun sekali dalam tempuh sebulan!.

Isteri saya mengenalinya di masjid. Jemaah wanita masjid kami pasti mengenalinya walaupun mereka tidak megetahui kecelaruan hidupnya. 'SI' begitu tekun melakukan ibadah walaupun terpaksa berjalan kaki ke masjid begitu jauh. Mungkin ia ingin mengisikan kekosongan atau ingin pasrah kepada Yang Esa bagi menentukan masa depan kehidupannya.

Saya pernah bertanya kepada isteri mengapa ia tidak meminta cerai kerana mempunyai suami yang tidak bertanggungjawab, sebaliknya jawapan yang diberi ialah ia masih sayangkan suaminya.

'SI' masih lagi mengharapkan suaminya walaupun ia redha untuk tidak selalu menemuinya. Ketika ini, ia sanggup melakukan pelbagai kerja seperti menjadi pembantu rumah mengikut hari yang diperlukan atau membantu berjaja di tepi-tepi jalan. Semua pendapatannya hanya cukup untuk menyara hidup hariannya.

Beberapa hari lalu, isteri saya melihat matanya bengkak lantas bertanya apakah dia menangis?.

Jawapannya ringkas "Kak, air mata sudah kering, tidak ada lagi yang menitis".




BENARKAH LAYANAN MESRA DAN PENUHI FANTASI LELAKI MENJADI TARIKAN?

.
Minggu ini, BERNAMA melaporkan bahawa secara purata terdapat seorang rakyat Malaysia mengahwini wanita Indonesia dari Sumatera pada setiap hari dan 80 peratus darinya diambil sebagai isteri kedua (klik sini).

Pejabat Konsulat Jenral Malaysia di Medan mengesahkan dalam tempoh 5 bulan terakhir menunjukkan seramai 30 orang mendaftar perkahwinan. Jumlah ini tidak termasuk mereka yang tidak mendaftar disebabkan gagal mendapat izin untuk berpoligami atau izin berkahwin di luar negara dari Mahkamah Syariah dan Jabatan Agama Islam negeri asal masing-masing.

Tidak dinafikan mungkin lebih ramai yang berkahwin dengan wanita Indonesia dari daerah lain seperti Jawa, Sunda, Kalimantan, Sulawesi, Madura, Minado dan lain-lain. Dan bagaimana pula yang berkahwin di negara sendiri atau mungkin di Selatan Thailand, mungkin jumlahnya jauh lebih ramai.

Bagaimana pula dengan lelaki Malaysia bukan Islam terutama dari kaum Cina dan India?. Saya seringkali terserempak dengan pasangan seperti ini terutama di pasaraya sedang membelibelah.

Sekiranya dijumlahkan, mungkin ia berlipatkali ganda dari fakta sepasang perkahwinan bagi setiap hari.

Persoalan di sini ialah apakah keistimewaan wanita Indonesia sehingga boleh memikat dan menarik perhatian lelaki warga Malaysia untuk berpasangan serta menikahi mereka?.

Mengikut Khairudin Harahap, Pengarah Kajian Sosiologi Indinesia, kebanyakan lelaki Malaysia tertarik dengan layanan yang lebih baik berbanding wanita Malaysia. Dia memberi contoh bagaimana kawannya beristerikan wanita Indonesia disebabkan isterinya tidak kisahkan suaminya (klik sini).

Pengarah Pusat Kokurikulum, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Mohammad Shatar Sabran pula berkata persepsi lelaki Malaysia yang masih bersifat tradisional dan konservatif dalam rumah tangga termasuk inginkan perhatian dan layanan menyebabkan keinginan memperisterikan mereka.

Beliau juga menjelaskan lelaki Malaysia mengharapkan layanan terbaik seperti 25 tahun lampau berbanding wanita Malaysia yang lebih mengutamakan kerjaya dan masa depan (klik sini).

Pada hemat saya, banyak lagi faktor yang menyebabkan keadaan ini. Apa yang perlu dilihat ialah berapa ramaikah lelaki bujang atau duda berbanding dengan yang telah mempunyai isteri. Faktor ini perlu diambilkira kerana ia akan memberi jawapan kepada sebahagian besar persoalan yang ditimbulkan.

Apakah 'nafsu' menjadi penyumbang utama dalam jawapan ini?.

Jumaat, April 16, 2010

SEBALIK BERTEMU RAKAN BEKAS AHLI MAJLIS

.
Seorang bekas Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru yang pernah berkhidmat bersama saya pada tahun 1986 hingga 1989, begitu bersungguh-sungguh hendak berjumpa kerana ingin membincangkan sesuatu perkara. Saya tidak menolak pelawaannya walaupun pada malam pertama puas saya menunggunya.

Malam tadi, dia menunaikan janjinya dan bertemu di Restoran Remaja bersebelah Masjid BBU. Saya memilih tempat ini kerana lebih selesa dan mudah kerana berdekatan masjid, selepas segala urusan di masjid selesai.

Bila bertemu, perkara yang dibawa adalah perkara sama yang sudah saya menduga awal iaitu minta bantuan untuk Majlis tidak mengambil tindakan terhadap Restoran Osman, Jalan Padi Ria.

Jawapan saya kepadanya sama seperti beberapa orang lain sebelum ini yang membawa perkara yang sama iaitu minta kebenaran dahulu dari kerajaan (Pejabat Tanah Daerah) untuk menggunakan tapak kosong bersebelahan premis yang digunakan sekarang. Sekiranya mendapat kelulusan LPS iaitu pendudukan sementara, maka saya tidak ada halangan untuk menyokongnya sekiranya mematuhi syarat membina bangunan tambahan.

Dalam perkara ini saya kena bersikap adil kerana tidak mahu berpilih ketika mengambil tindakan. Majlis Bandaraya pernah merobohkan bangunan tambahan di Restoran Alif, Jalan Padi Emas dan ia seharusnya dilakukan juga kepada premis lain khususnya yang menjalankan perniagaan seperti makanan, bengkel dan sebagainya.

Saya tahu kekecewaan rakan ini kerana saya tidak dapat membantunya. Begitu juga dengan tidak kurang 7 orang sebelum ini yang membawa perkara yang sama. Saya tidak faham mengapa mereka bersungguh-sungguh membawa perkara menghalalkan sesuatu kesalahan. Apakah mereka sanggup bersengkokol dengan pihak yang sanggup melakukan pelanggaran syarat demi keuntungan peribadi?.

Selepas ini, saya tidak tahu siapa lagi yang akan berjumpa dengan saya dalam isu yang sama.

Mudah-mudahan saya terhindar dari perkara subahah. Insyaallah.

GENG MAN TAKA DICEKUP

.
Utusan Online hari ini melaporkan Geng Man Taka, satu kumpulan yang sering melakukan kerja samun pecah rumah telah diberkas polis (baca).

Saya merasa lega kerana sejak akhir-akhir ini banyak berita rumah di Bandar Baru Uda dipecah masuk pencuri menyebabkan kehilangan harta benda. Kegiatan ini bukan sahaja dilakukan di kawasan rumah mewah tetapi di kawasan Jalan Padi dan Jagong yang kebanyakannya rumah kos rendah.

Apakah kumpulan ini yang melakukan kegiatan tersebut, saya tidak pasti. Namun, usaha polis menangkap mereka memberi sedikit kelegaan kepada penduduk BBU.

Penduduk BBU tidak terus leka walaupun rondaan anggota polis bertambah seperti menempatkan anggota baru di kawasan perniagaan Jalan Padi Emas dan Padi Ria selain balai polis bergerak menggunakan van.

Penduduk terutama suri rumah sepatutnya mengunci pintu pagar dan pintu rumah pada siang hari kerana kumpulan penyamun ini pernah melakukannya pada waktu ini.

Selasa, April 13, 2010

WARGA MYANMAR MEMELUK ISLAM



.
Alhamdullillah, Chit Thet Khaing Oo Wai, seorang warga Myanmar telahpun memeluk agama Islam pada hari semalam di Pejabat Agama Daerah Johor Bahru. Nama Islam yang dipilih adalah Mohammed Ali Chit bin Abdullah.

Beliau yang asalnya beragama Budha dan berumur 22 tahun telahpun melafazkan shahadah di hadapan Ustaz Sahid Abdul Hameid pada jam 10.45 pagi.

Ketika ini, beliau bersama 9 orang rakan-rakan senegaranya mendiami sebuah rumah di Bandar Baru Uda untuk menempatkan pekerja dari majikannya, Omni Precision Sdn Bhd, Jalan Tampoi, Johor Bahru.

Saya telah membawanya ke Surau Al-Falah, Bandar Baru Uda untuk berkenal-kenalan dengan jemaah semasa solat Asar. Alhamdullillah beliau telah diterima dengan baik dan diberi ucapan tahniah.

Insyaallah, pada hari Ahad ini, saya akan membawanya untuk mengikuti kelas agama yang dianjurkan oleh Pejabat Agama Daerah Johor Bahru.

Menenangkan fikiran untuk mengucap
dua kalimah shahadah
.
Ustaz Sahid Abdul Hameid
membimbing bacaan shahadah

Malam semalam, saya membawanya makan malam bersama isteri dan Safikah. Kami menenangkan fikirannya kerana katanya dia merasa gementar.



Sabtu, April 10, 2010

BALIK KAMPUNG KERANA MAJLIS PERKAHWINAN

.
Banner majlis perkahwinan di rentang
di pintu gerbang Kg Puteri Menangis

Hari ini, saya balik ke kampung saya di Puteri Menangis, Benut. Tujuannya adalah untuk meraikan majlis perkahwinan rakan sekampung.

Majlis akan diadakan pada hari esok. Olehkerana esok banyak urusan yang perlu dilakukan di Johor Bahru, saya terpaksa datang awal sehari. Yang penting adalah untuk jengah muka dan menghulur salam (ada isi).

Rumah rakan saya ini terletak bertentangan dengan rumah ibu saya. Tentulah tidak manis kalau saya tidak datang. Majlis perkahwinan anak sulungnya dulu pun saya tidak dapat datang. Yang sampai ke rumahnya adalah bingkisan dalam sampul surat sahaja yang saya wakilkan melalui keluarga di kampung.

Biasanya majlis perkahwinan di kampung saya akan dibuat secara besar-besaran. Segala kerja dibuat secara gotong royong. Dalam konsep gotong royong ini memang sangat baik kerana ia tidak melibatkan kos bayaran tenaga kerja,

Signboard di pintu masuk Kg Puteri Menangis

Jemputannya juga ramai. Dimana saja saudara mara dan kenalan yang diingat akan dijemput. Maka tidak hairanlah kalau rakan saya ini menyembelih 3 ekor lembu untuk jamuan. Itu tidak termasuk lagi kambing dan ayam. Pastinya beratus ekor ayam yang dikorbankan.

Saya tidak hairan dengan gaya berbelanja orang-orang kampung saya mengadakan kenduri kendara seperti ini. Sebagai contoh, untuk majlis meraikan anak lelaki yang berkhatan juga boleh menyembelih 2 ekor lembu dan beratus ekor ayam.

Satu perkara lagi yang mesti saya lakukan apabila menghadiri majlis seperti ini adalah menghulur salam bersama sampul surat yang berisi ringgit. Di Johor Bahru, terpulanglah kepada saya berapa ringgit seikhlasnya yang perlu saya hulurkan sebagai sumbangan. Tetapi di kampung, lain pula kerana ia seperti membalas budi atau ingin dibalas hulurannya. Limapuluh ringgit tu perkara biasa malahan boleh mencapai ratusan ringgit.

Semuanya telah menjadi satu budaya yang sepatutnya boleh difikirkan semula.

MENGAPA MAJLIS PERKAHWINAN MESTI DIADAKAN PADA CUTI MINGGU DAN KELEPASAN?

.
Di Johor, kini majlis perkahwinan diadakan pada hari-hari kelepasan seperti Sabtu dan Ahad. Ia lebih rancak pada cuti persekolahan. Sebab yang diberikan adalah sama. Katanya, mudah untuk sanak saudara jauh dekat mengikuti sama dalam majlis berkenaan.

Seingatan saya, dulu tidak begini. Majlis perkahwinan boleh diadakan pada sebarang hari, hanya ia mestilah mengikutkan hitungan hari terbaik dalam perkiraan Jawa. Orang-orang Jawa sangat mengambil berat tentang sebarang majlis yang akan diadakan. Ia akan melihat dan menghitungnya berdasarkan hari dan tarikh lahir seseorang yang menjadi subjek majlis. Bukan semua orang pandai membuat hitungan ini. Hanya beberapa orang sahaja yang menjadi pakar rojok. Biasanya mereka ini adalah anak kelahiran dari Pulau Jawa.

Sekarang, semuanya telah berlalu. Semuanya tidak lagi dilakukan. Sebabnya mudah, tidak ada lagi sesiapapun yang mewarisi kepakaran membuat hitungan hari mengikut kalender Jawa.

Apabila majlis perkahwinan diadakan pada hari-hari kelepasan seperti ini, ia menjadi beban kepada ramai orang terutama yang mempunyai saudara mara dan kenalan. Saya pernah pergi tidak kurang dari 10 buah rumah dalam masa sehari demi memenuhi jemputan. Majlis yang diadakan di sekeliling Johor Bahru tidak banyak masalah, tetapi di luar daerah bagaimana?.

Keadaan seperti ini kekadang sukar untuk menempah dewan bagi diadakan majlis, Begitu juga dengan keperluan lain.

Kita mesti mencari jalan pilihan bagaimana mengadakan majlis perkahwinan tanpa mengadakannya pada hari-hari minggu dan kelepasan.