Radio Internet FuhYooFm

Isnin, September 13, 2010

PENIPUAN PENIAGA SANTAN KELAPA

.

Suasana di Pasar Kip Mart Tampoi

"Hari Raya pun nak menipu juga". Itulah bisik hati hari ini apabila bertemu seorang peniaga santan kelapa di Pasar Kip Mart Tampoi.

Cerita bermula apabila isteri saya hendak membeli santan kelapa. Penjual memberitahu harga bagi sekilo santan adalah RM6.00. Isteri saya bertanya "Santan kelapa ni campur air kan?". Dengan selamba peniaga yang berumur awal 20an mengaku perbuatannya.

Saya pergi ke gerai menjual barang yang sama berdekatan dengannya. Alhamdullillah, walaupun harga yang ditawarkan sama malahan apabila membeli agak lebih, harganya dapat dikurangkan lagi.

Mengikut isteri saya, biasanya pekedai akan meletakkan air di dalam bekas dan seterusnya mencurahkan santan yang baru diperah. Bagaimanapun, ia dapat dikesan apabila santan yang telah dibungkus di dalam plastik akan timbul di bahagian sebelah atas atau permukaan sementara air akan tertinggal di sebelah bawah.


Rabu, September 08, 2010

MENUNAIKAN SOLAT DI MASJID BBU PADA BULAN RAMADAN



.

Sheikh Mohd Idris AlMashrafi ketika mengimamkan solat
di Masjid Jamek Bandar Baru Uda


Alhamdullillah, solat Tarawih bagi tahun ini baru saja berakhir sebentar tadi. Sepanjang bulan Ramadan ini, saya dapat menunaikan solat sunat ini di beberapa surau dan masjid samada di kampung, taman perumahan, hotel bahkan di kediaman rasmi Menteri Besar Johor.

Begitupun, Masjid Bandar Baru Uda pastinya meninggalkan banyak kenangan pada setiap tahun. Tahun ini, imam-imam tarawih yang bertugas begitu mantap dari segi bacaan, hafalan dan alunan suaranya. Kebanyakan mereka dalam peringkat umur yang masih muda (di bawah 30 tahun). Mereka adalah Abd Hakim Mohd Noor dan Mohd Abd Rahman dari Patani, Thailand. Selain itu Eliyeen Mohd Salleh dari Johor Bahru dan Hambali Abd Rahman. Kesemua imam-imam ini mempunyai hafazan yang baik. Imam tetap masjid ini seperti Hj Munadi Muhajir dan Hassan Majid serta Hambali akan mengimamkan solat Isyak dan Witir.

Pada tahun ini juga, Masjid BBU dapat membawa seorang imam dari Mekah iaitu Sheikh Mohd Idris AlMashrafi yang mengimamkan solat Maghrib, Isyak, Tarawih dan Witir. Walaupun hanya sehari kedatangannya iaitu pada 29.8.2010, kesyahduannya ketika membaca doa semasa solat Witir telah menitiskan air mata para jamaah khususnya kaum wanita.

Kehadiran jemaah juga tidak menghampakan kerana dianggarkan tidak kurang dari 1,500 yang hadir pada setiap malam tidak termasuk pada minggu pertama dan juga ketika kehadiran imam jemputan dari Mekah yang dijangkakan mencecah 3,000 orang.

Pada sepuluh malam terakhir, imam-imam ini juga akan mengepalai solat sunat Tahjud, Taubat, Hajat, Tasbih dan lain-lain yang bermula pada jam 3 pagi. Solat secara berjemaah ini akan berakhir pada jam 4.30 pagi dengan seterusnya para jemaah akan dijamu dengan hidangan sahur.

Tidak ketinggalan, masjid ini juga menyediakan hidangan berbuka puasa yang sebelumnya mereka akan bertahlil terlebih dahulu sebagai memenuhi hajat kariah.

Bagi kedua-dua jamuan berbuka puasa dan bersahur, dianggarkan tidak kurang dari 300 orang akan turut sama pada setiap masa.

Majlis khatam Al-quran Helwa
dengan tazkirah oleh Mufti Negeri Johor

Pembaca mewakili kumpulan tadarus di majlis khatam Al-quran

Bergambar bersama Ustaz Hambali dan Elliyeen

Di tengah adalah Ustaz Abd Hakim dari Pattani

Beginilah suasana ketika berbuka puasa pada setiap hari

Hj Abd Rahman dan Syed Yahya,
gandingan tukang masak yang menyediakan bubur lambuk,
nasi baryani dan hidangan sahur



Selasa, September 07, 2010

INI KHAT APA?

.
Lihatlah papan tanda sebuah Jabatan Kerajaan yang diantaranya bertanggungjawab memberi kontrak kerja untuk membina dan memasang papan tanda.

Alangkah malunya dengan kerja-kerja seperti ini!.

Saya telah mengutarakan perkara ini di mesyuarat Majlis Bandaraya Johor Bahru tentang tulisan Jawi yang tidak mengikut jenis khat sebenar. Lebih malang apabila tulisan seperti ini tidak dapat dibaca dan difahami.

BANTUAN KEPADA FAKIR MISKIN, ORANG ASLI DAN MADRASAH TAHFIZ

.
Dalam bulan Ramadan Al-Mubaroq ini, saya dapat mengikuti program memberi bantuan kepada fakir miskin, orang asli dan madrasah tahfiz yang dianjurkan oleh Yayasan Warisan Johor.

Diantara tempat yang dikunjungi adalah di Kg Melayu Majidee, Rumah Orang Tua Denai Kempas, Perkampongan Orang Asli Bakar Batu dan Simpang Arang.

Selain itu, kami juga dapat memberi bantuan kepada Madrasah Tahfiz di Kota Tinggi.




MENUBUHKAN UMNO CAWANGAN BANDAR BARU UDA

.

Gambar di atas adalah sejarah yang tidak akan dilupakan. Ia berlaku pada tahun 1983 apabila saya telah dilantik sebagai Ketua Penaja UMNO Cawangan Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

Cawangan ini adalah terletak di Bahagian Pulai yang diketuai oleh Allahyarham Tan Sri Dato' Mohammad bin Rahmat.

Setelah menaja cawangan ini, saya telah menyerahkan jawatan Ketua Cawangan kepada Allahyarham Haji Mohd Yusof bin A Majid yang merupakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pulai selain pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian. Saya pula bertanggungjawab menubuhkan Pergerakan Pemuda dan seterusnya menjadi Ketua Pemuda Cawangan.

Pada ketika ini, Cawangan ini berada di Bahagian Johor Bahru dan sedang dipimpin oleh Haji Abu Bakar bin Ibrahim sementara saya menjadi Ketua di Cawangan Uda Jagong.

Alhamdullillah, dengan perkembangan semasa dan pertambahan penduduk, sebanyak 10 cawangan UMNO telah ditubuhkan di Bandar Baru Uda.

Insyaallah, beberapa cawangan lagi akan ditubuhkan berdasarkan keperluan seperti di kawasan Padi Ria, Padi Huma dan beberapa kawasan apartment lagi.

Hj Abu Bakar bin Ibrahim,
Ketua UMNO Cawangan Bandar Baru Uda

IMAM KE TIGA MASJID BBU MELANJUTKAN PELAJARAN

.
Ustaz Faizal disamping isteri dan anak.
Di sebelahnya adalah Hj Hussein Ismail, Bendahari MJBBU

Ustaz Faizal bin Chik, Imam ke 3 Masjid Jamek Bandar Baru Uda ketika ini sedang melanjutkan pengajian di Kolej Universiti Insaniah, Alor Star, Kedah. Difahamkan isterinya juga turut sama mengikut jejak suaminya di tempat yang sama.

Beliau yang telah mempunyai seorang cahaya mata ditawarkan bertugas di masjid ini yang sebelumnya bertugas sebagai Imam di Masjid Taman Desa Jaya, Johor Bahru.

Kariah Masjid BBU sentiasa tertunggu-tunggu setiap cuti semester kerana beliau akan kembali bertugas. Kelunakan suara dan kefasihannya menyampaikan kuliah menjadikan beliau sangat disenangi di masjid ini.

NAK DAPAT IKAN SEGAR DI JOHOR BAHRU

.
Di Johor Bahru terdapat beberapa tempat untuk mendapatkan bekalan ikan segar. Diantaranya adalah di Pantai Setulang Laut berdekatan dengan pusat membelibelah The Zone.

Setiap hari, seawal jam 7 pagi terdapat beberapa orang peribumi dari suku kaum Seletar akan membawa hasil tangkapan ikan, ketam, udang dan sebagainya untuk dipasarkan kepada orang ramai.

Biasanya jual beli tidak begitu lama sehingga sekitar jam 10 pagi. Harga yang ditawarkan juga berpatutan.

Istimewanya ialah ikan yang dijual tidak terkena air batu!.