Radio Internet FuhYooFm

Sabtu, September 25, 2010

UPACARA MERENJIS PENGANTIN BERSANDING

.
Tarian mengiringi persandingan pengantin

Tengahari tadi saya menghadiri majlis perkahwinan anak lelaki Datuk Nasir Safar, bekas pegawai khas YAB Perdana Menteri Malaysia. Saya bersama isteri ke majlis yang diadakan di kediamannya, Taman Sri Pulai Perdana, Skudai. Tetamu yang hadir termasuk wakil-wakil rakyat dan pemimpin kerajaan seperti Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan. Tidak ketinggalan juga pemimpin dari parti komponan Barisan Nasional seperti MCA dan MIC.

Saya telah diberi penghormatan untuk turut sama merenjis semasa pengantin sedang bersanding. Saya tidak menolak penghormatan tersebut tetapi menukarkannya dengan membaca doa selamat dan diaminkan oleh kedua-dua mempelai. Mudah-mudahan jodoh dan perkahwinan mereka berkekalan hingga akhir hayat.

MENJAMAH NASI GUDEG DI JOGJAKARTA

.
Dua minggu sebelum Ramadan lalu, saya bersama 21 orang rakan bekas kakitangan Felda dan rakan dari Johor Bahru telah membuat lawatan ke beberapa tempat sejarah di Jawa Tengah dan Jawa Timur.

Penerbangan kami dari Kuala Lumpur terus ke Yogyakarta atau Jogjakarta dan lebih mudah disebut Jogja. Setibanya di kota yang dipenuhi pelajar berbanding kota-kota lain di Indonesia, kami terus dibawa oleh pemandu pelancong untuk makan tengahari. Katanya, makanan istimewa di Jogja adalah Gudeg yang diperbuat dari nangka muda dan dimasak dengan santan. Kami diberitahu tentang makanan ini amat lazat sehingga kami sangat teringin untuk merasainya.

Diantara perkara lain yang diberitau adalah Gudeg ini dimasak dalam tempoh yang amat lama sehingga berwarna coklat. Difahamkan daun jati adalah diantara bahan yang dimasak bersekali dengan nangka muda. Lebih menarik selera kami apabila dimaklumkan ia akan dimakan bersama nasi putih, ayam kampung, telur, tahu, tempe dan sambil goreng.

Bagaimanapun, apabila kami mula menjamahnya, kami mula berpandangan sesama sendiri dan ramai yang tidak dapat menghabiskannya. Selama seminggu di beberapa kota sekitar Jawa Timur dan Jawa Tengah, itulah sekali kami merasainya dan tidak ada siapa pun di dalam rombongan kami yang meminta untuk menikmatinya lagi!.

MBJB MENURUNKAN GANTUNGAN LAMA DAN YANG TIDAK MENDAPAT KEBENARAN

.
Petugas Majlis Bandaraya sedang menurunkan gantungan termasuk
satunya yang mempunyai tanda nama "JAKEL" dengan keadaan
koyak rabak dan "berserabai"

Beberapa hari lalu saya telah melaporkan di dalam laman facebook saya atas kerja menurunkan banner dan segala gantungan usang dan tidak mendapat kebenaran di Bandar Baru Uda (http://www.facebook.com/profile.php?id=749224830#!/photo.php?pid=4826920&fbid=435617569830&id=749224830) - Hari ni ramai kakitangan (penguatkuasa) MBJB diketuai sendiri Puan Hjh Aishah Kapi (Setiausaha Majlis) menurunkan kain pemidang (banner) luput tempoh dan tidak mendapat kebenaran di sekitar Bandar Baru Uda. Diharapkan untuk masa hadapan tidaklah hanya bertindak apabila saya berkata "Apakah perlu saya sendiri yang menurunkan banner tersebut" pada mesyuarat pada hari semalam.

Mungkin ucapan saya sedikit keterlaluan tetapi apakah mungkin poster, banner dan sebagainya seperti di dalam gambar yang tertera bulan Januari 2010 masih tergantung sehingga hari ini.

Kesan dari kerja-kerja tersebut yang diketuai sendiri oleh Puan Hjh Aishah Kapi, Timbalan Setiausaha MBJB telah mendapat reaksi positif dari penduduk. Mereka menyatakan bahawa keadaan persekitaran nampak bersih tanpa gantungan yang telah berbulan-bulan tidak diturunkan.

Begitupun, keadaan ceria ini tidak bertahan lama apabila pada hari semalam telah kedapatan poster "along" bergantungan di tiang, pokok dan papan tanda jalan.

Kelihatan Puan Hjh Aishah Kapi memantau
kerja menurunkan gantungan


MARHABAN KELUARGA

.
Tahun ini bermulanya episod baru apabila keluarga isteri saya mengadakan program marhaban. Ia dapat mengumpulkan sanak saudara di Johor Bahru untuk berhari raya ke rumah dengan diketuai oleh Haji Shafie Hashim. Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Kamaludin (Kamal) adalah suami kepada bekas Setiausaha Kerajaan Johor, Datin Paduka Norsiah Haron.

Turut sama dalam rombongan marhaban ini adalah Hajah Hendon Ahmad. Beliau adalah emak saudara isteri saya atau adik kepada ayahnya. Kami memanggilnya Mak Ucu kerana kedudukannya sebagai adik bungsu.

Program ini telah dapat diadakan pada beberapa malam yang lalu dengan melawati dari rumah ke rumah sanak saudara. Ia tidak menitikberatkan makanan yang disajikan, sebaliknya yang lebih penting adalah untuk mengukuhkan ukhuwah selain memperkenalkan golongan yang lebih muda supaya dapat mengenali hubungan kekeluargaan mereka.


Jumaat, September 17, 2010

AINUL SHAFIKAH KE SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI

.
Inilah gambar terbaru Ainul Shafikah yang saya ambil pada Hari Raya tahun ini. Kini dia telah berumur 6 tahun dan insyaallah akan memulakan persekolahan tahun satu di Sekolah Kebangsaan Bandar Uda 2, Johor Bahru (klik) pada tahun hadapan.

Untuk pra-sekolah, Ainul Shafikah telah dimasukkan ke Tadika Iman Bandar Baru Uda sejak berumur 4 tahun.

Sekolah Kebangsaan Bandar 2 adalah sekolah yang telah diberi pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Ainul bersama ibu kandungnya, Siti Fatimah Ibrahim
(entah ke mana ia menghilang diri)

Inilah nenek dan juga mama yang menjaganya
sejak dari bayi

MARHABAN SEMPENA HARI RAYA AIDIL FITRI

.
Seperti tahun lalu, Kumpulan Yassiin Al-Ikhlas, Jalan Jagong, Bandar Baru Uda mengadakan program marhaban ke rumah-rumah ahli bersempena Hari Raya Aidil Fitri.

Bagi memulakan program ini, rumah saya telah dipilih sebagai pembuka tirai dengan membaca Yassiin dan bertahlil. Selepas dari ini, pada setiap malam, rombongan ini akan singgah ke 6 hingga 7 buah rumah dan dijangka selesai pada minggu hadapan.

Alhamdullillah, kejayaan mengadakan marhaban yang diikuti sama oleh anak atau cucu ahli telah dapat meningkat ukhuwah dan silaturrahim bukan saja kepada ahli malahan kepada kaum keluarga mereka.

Rabu, September 15, 2010

DOA ZIARAH HARI RAYA AIDIL FITRI

.

Ya Allah Ya Tuhan Kami,
dengan keberkatan bulan Syawal yang mulia ini, turunkanlah rahmat dan keberkatan kepada kami semua, ampunilah kami semua, masukkanlah kami semua ke dalam Syurga-Mu dan jauhkanlah kami daripada seksaan api neraka-Mu.


Ya Allah Ya Tuhan Kami,
kurniakanlah kesihatan, keselamatan, kesejahteraan, kebahagiaan, ketenangan dan kegembiraan kepada kami semua, perbaikilah hubungan antara kami dan mesrakanlah antara hati-hati kami dan tunjukkanlah kepada kami jalan-jalan yang membawa kebajikan di dunia ini dan lepaskanlah kami daripada kegelapan dosa dan jauhkanlah kami daripada segala kekejian sama ada zahir ataupun yang tersembunyi daripadanya.


Ya Allah,
Engkaulah yang maha terpuji, Engkaulah yang maha pemurah dan yang maha kaya, kurniakanlah keberkatan kepada rezeki yang Engkau kurniakan kepada kami semua khususnya rezeki yang Engkau Kurniakan kepada tuan rumah ini (sebutkan nama tuan rumah) seisi keluarga, dengan rahmat-Mu, Ya Karim, Ya Arhamarrahimin


Ya Allah Ya Tuhan Kami,
jadikanlah usaha ziarah hari raya ini sebagai usaha yang diberkati dan dirahmati, segala amal perbuatan baik kami diterima dan jadikanlah kami semua hamba-hamba-Mu yang sentiasa bersyukur atas ni’mat kurniaan-Mu.

Ya Allah Ya Tuhan Kami,
jadikanlah pertemuan kami ini pertemuan yang dirahmati, dan perpisahan kami selepasnya nanti, perpisahan yang sentiasa terpelihara. Permudahkanlah urusan kami dan sempurnakanlah semua pekerjaan kami dengan segala kebaikan, dengan rahmat-Mu, Ya Arhamar Rahimin.