Radio Internet FuhYooFm

Sabtu, Disember 11, 2010

BAHAYA MENANTI DI SKUDAI KANAN

.
Saya terlihat sebatang pokok mati di Jalan Barli 1, Taman Skudai Kanan, Bandar Baru Uda. Keadaannya memang amat merbahaya kerana ia boleh tumbang pada bila-bila masa.

Saya telah menghubungi Jabatan Landskap MBJB minta segera ditebang segera pokok tersebut.

Tindakan segera boleh mengelakkan berulang kemalangan seorang penunggang motosikal dihempap tunggul pokok tumbang di Kuala Lumpur pada 28 November lalu.

Sabtu, Disember 04, 2010

LAWATAN JAWATANKUASA MASJID SANDAKAN SABAH

.
Seperti dijanjikan, seramai 16 orang pelawat terdiri Jawatankuasa Masjid Daerah Sandakan Sabah telah menjejakkan kaki ke Masjid BBU pada jam 8 pagi pagi tadi. Mereka yang datang dengan menaiki teksi telah bermalam di Hotel Selesa Johor Bahru dengan niat semata-mata untuk mempelajari perjalanan masjid kami.

Sepanjang menjadi tetamu, beberapa penerangan telah diberikan terutama dalam urusan pentadbiran dan juga perjalanan Yayasan Masjid serta Pusat Kesihatan dan Dialisis.

Tetamu dari jauh ini juga telah dibawa ke Dewan Jubli Perak untuk bertemu dengan Kelab Warga Emas yang sedang menjalankan kegiatan silaturahmi dan seterusnya bersama-sama menikmati jamuan tengahari.

Sebelum berpisah, tetamu dari Sabah ini telah menyampaikan cenderamata kepada Pengerusi Kelab Warga Emas Masjid BBU.



MENGHADIRI MAJLIS PERKAHWINAN

.
Walaupun agak sebok pada hari ini dengan beberapa kegiatan di Masjid Jamek BBU, bersama isteri dapat juga menghadiri jemputan majlis perkahwinan. Malangnya, ketika hendak sampai di rumah Dato' Mohd Naim Nasir, mantan Datuk Bandar MBJB, saya terpaksa berpatah balik kerana jemputannya begitu ramai hingga terlalu jauh untuk berjalan kaki.

Begitupun, di beberapa majlis yang lain tidak dihampakan.


JAMUAN MESRA SILATURRAHIM

.
Kelab Warga Emas Masjid Bandar Baru Uda pagi tadi telah mengadakan satu lagi kegiatan silaturrahmi di Dewan Jubli Perak BBU. Kali ini kegiatan hanya dipenuhi dengan ucapan dan menguji minda dengan soalan pengetahuan am yang mudah. Beberapa cenderamata diberikan kepada mereka yang bernasib baik dan seperti sebelum ini terdapat hadiah menarik iaitu melancong ke luar negara kepada mereka yang berjaya menjawab soalan dengan tepat.

Selain itu, majlis ini juga mengadakan penyampaian hakmilik tanah kekal kepada mereka yang membuat permohonan untuk memindanya dari hakmilik pajakan.




SEKARANG HANYA SEKALI LAFAZ NIKAH BAGI PENGANTIN DI BANDAR BARU UDA

.

Saya dijemput oleh Hj Alimat Paiman untuk menghadiri majlis pernikahan anak perempuannya di Jalan Jagong 3, BBU selepas solat Isyak. Sebelum Jurunikah hadir, telah diadakan majlis menerima hantaran sepertimana adat yang telah berjalan sejak begitu lama.

Hj Alimat telah meminta saya menjadi wakilnya dalam majlis ini. Rombongan pengantin lelaki yang berasal dari Parit Sulong, Batu Pahat telah membawa wang hantaran yang berupa sekeping cek HSBC bernilai RM12,000 dan sebentuk cincin, gelang dan subang bernilai RM4,000. Selain itu dihantar juga barangan berupa hadiah iringan.

Selepas penyampaian wang dan barangan hantaran, Ustaz Abu Bakar Watak yang menjadi jurunikah telah hadir untuk menikahkan pasangan berkenaan. Satu pembaharuan yang dilakukan oleh Ustaz Abu Bakar ialah beliau telah menyediakan teks untuk dibaca oleh pengantin lelaki ketika upacara akad iaitu "Saya terima nikah ............................ dengan maskahwinnya RM22.50 tunai/hutang".

Apa yang dilakukan oleh jurunikah ini amat memudahkan dan menjadikan pengantin lelaki hanya menyebut sekali sahaja. Ini amat berbeza dengan apa yang dilakukan sebelum ini. Pernah terjadi pengantin lelaki tidak dapat menyebut dengan betul yang mungkin tersasul dan sebagainya sehingga menyebabkan jurunikah berhenti untuk berehat bagi menenangkan pengantin. Begitu juga pernah diceritakan pengantin terpaksa dimandikan kerana bagi menghilangkan darah gemuruh dan sebagainya.

Apa yang dilakukan oleh Ustaz Abu Bakar Watak yang baru dilantik sebagai jurunikah bagi kawasan Bandar Baru Uda adalah sesuatu yang sangat baik dan sangat positif. Mudah-mudahan ia akan dapat diikuti oleh jurunikah yang lain.




MESYUARAT PENUH MBJB BULAN NOVEMBER 2010

.

Pada setiap akhir bulan, setiap Kerajaan Tempatan akan mengadakan mesyuarat bulanannya yang dipanggil Mesyuarat Penuh yang sepatutnya dihadiri oleh semua Ahli Majlis. Mesyuarat ini adalah untuk meluluskan semua keputusan mesyuarat Jawatankuasa yang diadakan sepanjang bulan berkenaan.

Begitulah yang berlaku pada Isnin, 29 Disember lalu, Majlis Bandaraya Johor Bahru telah mengadakan mesyuaratnya. Pada kali ini hanya seorang sahaja Ahli Majlis yang berucap dalam ucapan penangguhan iaitu Encik Ng Puay Wah. Ahli Majlis bagi Zon Taman Sentosa. Beliau telah membangkitkan beberapa masalah khususnya yang berkaitan dengan permasalahan setempat di zon jagaannya.

Pada kebiasaannya, pada setiap kali mesyuarat seperti ini, sekurang-kurangnya dua orang Ahli Majlis akan berucap. Saya sendiri sejak dilantik pada Mei 2009 dan sehingga kini telah 4 kali berucap yang menjadikan saya adalah Ahli Majlis MBJB yang terbanyak berucap.

Banyak isu yang telah saya bangkitkan dan yang terbaru pada mesyuarat bulan lalu, saya telah mencadangkan supaya akaun bagi hasil pendapatan haram seperti dari premis perjudian, menjual minuman keras dan sebagainya hendaklah diasingkan.

Beberapa perkara lain yang sering saya bangkitkan adalah kegagalan Majlis bertindak kepada pemilik bangunan yang membuat ubahan tanpa mendapat kebenaran yang didapati berleluasa seperti di premis perniagaan.

Tempoh bertugas Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Tempatan di Negeri Johor akan berakhir pada 31.12.2010. Ini bermakna perlantikan baru akan dilakukan pada awal Januari hadapan.


Jumaat, Disember 03, 2010

PROGRAM PENGIMARAHAN MASJID BBU AKHIR TAHUN 2010

.
Di bulan Disember ini, selain program harian dan mingguan di Masjid Jamek Bandar Baru Uda, beberapa program telah diaturkan sebagaimana berikut:-
  • Sabtu 4 Disember:  Menerima lawatan dari Jawatankuasa Masjid Sandakan Sabah.
  • Sabtu 4 Disember:  Perjumpaan Kelab Warga Emas di Dewan Jubli Perak, BBU
  • Ahad 5 Disember:  Taklimat Penerapan Sunnah Dalam Kehidupan Seharian di Dewan Kuliah
  • Selasa 7 Disember:  Kuliah subuh oleh Dr Jamnul Azhar Mulkhan, pendakwah bebas dari Kuala Lumpur
  • 14-15 Disember:  Kem Smart Remaja, Online Dengan Allah di Dewan Kuliah
Orang ramai khususnya kariah Bandar Baru Uda dipersilakan mengikuti program berkenaan.