Radio Internet FuhYooFm

Ahad, Julai 13, 2008

HARAPAN DATO’ SHAHRIR KEPADA AHLI-AHLI PERGERAKAN WANITA UMNO



Selepas beberapa minggu ini, Dato’ Shahrir Samad tidak balik ke Johor Bahru, petang ini dalam majlis perasmian berkelompok persidangan Wanita Cawangan Bahagian Johor Bahru, beliau menjelaskan beberapa harapan kepada ahli-ahli Pergerakan Wanita untuk bergerak sesuai dengan perjuangan Parti.

Perkara utama yang diharapkan adalah kesetiaan kepada perjuangan. Dalam konteks ini, Dato' sangat gembira dengan komitmen yang ditunjukkan oleh ahli-ahli Wanita di semua cawangan dalam Bahagian Johor Bahru. Ia dibuktikan dengan kejayaan calun-calun Barisan Nasional di DUN dan Parlimen Johor Bahru. Walaunpun jumlah majoriti menurun, tetapi ia masih lagi dianggap besar berdasarkan kepada situasi semasa yang menunjukkan penurunan di banyak kawasan.

Kekuatan UMNO di Johor adalah disebabkan hubungan yang rapat antara UMNO dan masyarakat. Walaupun UMNO Johor Bahru terletak di dalam kawasan Bandaraya, cawangan-cawangan UMNO bergerak dengan masyarakat seperti yang berlaku di kawasan perkampongan dan luar bandar. Keadaan ini menjadikan UMNO dapat diterima dan ia menjadi tempat rujukan kepada masyarakat setempat.

Dato' Shahrir juga mengimabu bagaimana pada tahun 1978, ahli-ahli UMNO dan pengundi Johor Bahru menerima beliau sebagai calun Parlimen baru yang dianggap sebagai 'payung terjun'. Pengundi bukan Melayu juga menerima beliau dengan baik.

Berhubung dengan pemilihan UMNO, Dato' Shahrir menjelaskan bahawa sejarah pemilihan di Bahagian Johor Bahru sentiasa berjalan dengan tenang. Beliau pernah bertanding dengan Dato' Hajjah Hasnah Ahmad dan tidak berlaku lobi melobi atau menagih undi dari perwakilan. Segala keputusan diserah kepada perwakilan untuk menentukannya. Semangat ahli Parti begitu jelas dan ikhlas tanpa berlaku sebarang perlakuan yang tidak diingini seperti penyebaran surat layang, fitnah mempfitnah, gosip dan sebagainya.

Beliau mahu keadaan baik selama 30 tahun ini akan terus diikuti kerana ia menunjukkan UMNO Johor Bahru mempunyai intergriti, berani dan menyuarakan perkara sebenar.

Ahli-ahli UMNO yang bergiat cergas juga faham mengenai perjuangan Parti yang tidak memberi keutamaan untuk mencari kemewahan peribadi atau mencari sebarang imbuhan.

Dato' Shahrir juga menjelaskan bahawa dari penelitian beliau, Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Johor Bahru tidak mempunyai sebarang masalah terutama pertelingkahan sesama ahli. Beliau berharap keadaan ini akan terus berkekalan.

TEKA TEKI SIAPA SETIAUSAHA POLITIK DATO’ SHAHRIR SAMAD TERJAWAB




Akhirnya, pada hari ini Dato’ Shahrir Samad, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna telah mengumumkan nama-nama Setiausaha Politik, Setiausaha Sulit dan Setiausaha Akhbarnya di majlis perasmian berkelompok Persidangan Pergerakan Wanita UMNO Cawangan-Cawangan Bahagian Johor Bahru.

Sejak perlantikannya sebagai anggota kabinet, ramai yang tertanya-tanya terutamanya ahli-ahli UMNO dan pengundi di Johor Bahru tentang pendamping beliau terutamanya yang penjawat Setiausaha Politik. Pengumuman jawatan ini memang sangat dinantikan kerana ia berkait rapat dengan kerjaya dan masadepan penjawat ini yang diharapkan akan menjadi aset penting dan pengharapan Negara terutama pengundi dan ahli-ahli di Parlimen Johor Bahru.

Perlantikan orang yang dipercayai ini bukan bermakna Dato’ Shahrir meminggir individu lain terutama yang berjawatan di dalam Parti tetapi ia adalah satu pengharapan yang begitu tinggi sebagaimana pengharapan Allahyarham Tun Hussin Onn ketika melantik beliau sebagai Setiausaha Politik pada tahun 1978. Begitu juga apabila pada tahun 1986, beliau melantik Datuk Khalid Nordin sebagai Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan.

Sebelum ini, Dato’ Shahrir pernah bertanya kepada saya “Siapa pengganti saya?”. Secara sepontan saya telah menyatakan bahawa Dato’ mesti mencari orang yang lebih muda, bergiat cergas dengan badan-badan sukarela dan beliau mestilah bersih dari tohmahan dan pandangan negetif.

Akhirnya, setelah tiga bulan menanti, nama Haji Mohd Ali bin Mohd Salleh, seorang Arkitek berpejabat di Taman Tampoi Utama, Johor Bahru telah dinamakan sebagai Setiausaha Politik (SETPOL).

Beliau menetap di Johor Bahru dan berumur 42 tahun, menjawat jawatan Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru dan beberapa jawatan lain dalam badan-badan sukarela ternasuk Setiausaha Jawatankuasa Tadbir Masjid Jamek Kampong Melayu Majidee. Beliau memang layak memegang jawatan tersebut.

Dato’ Shahrir telah menyediakan sampan dan dayong telah ditangan, terpulang kepada Haji Ali Salleh untuk meredah lautan perjuangan menuju cita-cita.

InsyaAllah, perjuangan mengikut rentak dan trak yang betul, akan sentiasa diberi sokongan dan ambillah iktibar dari sejarah terutama pemimpin Johor yang bukan sahaja berani dan berketrampilan, bahkan mempunyai imej yang bersih dan berlatar belakang agama yang kukuh.

Bekerjalah sebagai satu pasukan dengan rakan-rakan Setiausaha yang lain seperti Norlela Ramly (Setiausaha Sulit) dan Sunarti Kibat (Pegawai Tugas-Tugas Khas & Setiausaha Akhbar) untuk mencapai cita-cita dan wawasan ketua anda.

DR NGEU, PAKAR JANTUNG YANG CEMERLANG

Lama rasanya saya tak menjengah blog ini. Ramai juga yang bertanya mengapa tak update. Memang banyak story yang dimasukkan. Gambar-gambar pun dah banyak. Apa nak buat kerana beberapa masalah yang mengganggu termasuk virus yang tak diundang menyerang computer.

Jejari dan lengan kanan ini pula sentiasa ‘sesemut’ dan kebas-kebas. Memang tidak selesa bila tangan-tangan menjalankan kerja menaip. Begitupun saya tetap redha dengan ketentuan Allah. Ia adalah satu dugaan dan tidak sepatutnya kita mengalah. Dalam minggu ini sahaja, saya terpaksa berulang-alik ke klinik dan hospital. Kemampuan saya hanyalah ke hospital yang disediakan oleh Kerajaan. Kalau hendak ke hospital swasta seperti Hospital Puteri atau Hospital Jalan Abdul Samad, kenalah buat perkiraan. Maklum sahaja, umur pun meningkat, masalah kesihatan pun semakin bertambah. Simpanan yang ada pun semakin menyusut.

Jadi, Hospital Sultanah Aminah adalah tempat yang dituju, Dulupun, semasa saya menjalani rawatan saluran jantung yang tersumbat, di HAS inilah beberapa doktor diketuai oleh Dr. Ngeu telah melakukannya dengan begitu cemerlang. Tiada sesen pun bayaran yang dikenakan mungkin kerana saya adalah seorang pesara kerajaan. Kalau di hospital swasta, mungkin berbelas ribu kos yang akan dikenakan.

Dr. Ngeu memang gigih. Beliau sanggup menalefon saya dan bertanya khabar dan masalah yang saya hadapi. Ini mungkin jarang dilakukan oleh doktor lain terutama yang berkhidmat dengan kerajaan. Hubungan saya dengannnya adalah diantara seorang pesakit dan doktor yang merawat, tidak lebih dari itu.

Kini kerajaan telah kehilangan seorang lagi pakar yang cemerlang dan gigih apabila beliau telah bertugas dengan hospital swasta.

Kementerian Kesihatan patut melihat situasi ini kerana kekhuatiran lebih ramai doktor dan dan pegawai perubatan akan berhijrah samada di dalam atau luar negara untuk mendapat habuan yang setimpal dengan tugas mereka sesuai dengan tawaran yang lebih lumayan.

Selasa, Julai 01, 2008

MENZIARAH SYED MAHADZAR DI HSA


Bagi umat Islam, menziarahi orang sakit adalah sunat dan sangat digalakkan kerana ia boleh mempereratkan hubungan silatul rahim. Amalan ziarah ini pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. kerana ia mendapat ganjaran yang besar, sebagaimana yang pernah disabdakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Barangsiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah Taala, maka terdengarlah suara yang memanggil dan mengatakan bagus dan bagus langkahmu dan ambillah tempat tinggalmu di dalam syurga" (Riwayat: at-Tirmizi)

Petang tadi, saya bersama Haji Md Jati Ali dapat meluangkan masa untuk menziarah seorang ahli Persatuan Bekas Kakitangan Felda yang sedang sakit dan terlantar di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Beliau ialah Syed Mahadzar bin Syed A Rahim @ Syed Sulong.

Kedatangan kami berdua disambut dengan begitu gembira kerana beliau telah berada di Wad Pertama HSA sejak 27 hari yang lalu. Seorang anaknya yang ada disamping memberitahu bapanya memnerima rawatan kanser usus dan kini telah merebak ke paru-paru. Beliau memang telah pasrah kerana doktor telah mengatakan bahawa tiada rawatan yang akan dilakukan selain menggunakan sambungan oxygen.

Masalah yang beliau hadapi ialah untuk mendapatkan kelengkapan dan peralatan termasuk balang-balang oxygen yang berharga RM5,000.00. Pihak hospital hanya berkemampuan untuk mengisi dan menambah gas sahaja.

Saya berjanji untuk membawa kepada pengurusan Persatuan untuk tujuan sumbangan sebagaimana yang dipinta dan diharapkan. Beliau juga berharap rakan-rakan dapat bertemu dengannya.

Sebelum meninggalkannya, saya sempat mencium pipi kiri dan kanan serta berjanji akan memberitahu rakan dan sahabat yang lain.

MARI KITA BUKA MINDA DAN BERLAPANG DADA


Gambar yang menambah popular Dato' Shahrir Samad....

Heboh benar sekarang ini tentang cerita Penasehat PKR, Dato' Seri Anuar Ibrahim meliwat salah seorang pembantunya yang bernama Mohd. Saiful Bukhari Azlan. Dimana-mana saja orang bercerita mengenainya. Kalau dibuat rating, pasti cerita ini mendapat tempat teratas mengatasi cerita Pak Lah yang patut diturunkan.

Hebat juga pemuda bernama Saiful Bukhari ini. Melayari beberapa Blog, sedikit sebanyak kita akan dapat mengenal siapa sebanarnya pemuda ini. Mohd Saiful dikatakan bijak mengambil peluang sejak menuntut di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). Beliau pernah terpilih sebagai Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar, malangnya tidak menamatkan pengajiannya di jurusan kejuruteraan elektrik.

Dari gambar-gambar yang terpapar, beliau nampak kacak dan mempunyai penampilan menarik dan tidak hairan beliau mempunyai tunang yang juga cantik. Gaya penampilan dan rupa paras boleh menyebabkan musibah sekiranya tidak diurus dengan betul.

Adakah laporan polis yang dibuat oleh pemuda ini benar? Ramai orang percaya bahawa Anwar Ibrahim tidak mungkin melakukannya tetapi tidak kurang juga mereka yang mempercayainya. Episod sepuluh tahun lalu dengan pelbagai rahsia yang terbongkar di mahkamah akan berputar kembali. Adakah kesah membawa tilam ke mahkamah akan berulang?

Cuba kita amati laporan polis yang dibuat olehnya pada 28 Jun 2008 pukul 5.45 petang:

“Saya Mohd Saiful Bukhari b Azlan ingin melaporkan bahawa saya telah diliwat oleh majikan saya. Perkara ini berlaku tanpa kerelaan saya. Kejadian terakhir berlaku 26/6/08 di Unit 1151, Kondominium Desa Damansara, Jln Setia Kasih, KL. Oleh itu, tujuan laporan ini dibuat untuk mendapat pembelaan dan keadilan keatas diri saya. Saya juga berasa bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga saya jika perkara ini tersebar luas di khalayak ramai. Majikan saya Dato Seri Anwar Ibrahim - Ketua Umum PKR.”

Laporan ini dibuat dua hari selepas kejadian. Apabila ia menyebut 'kejadian terakhir', ia menunjuk beberapa siri episod yang sama sebelumnya.

Mohd Saiful pasti sudah memikirkan tentang risiko dari laporan tersebut dan persoalan yang timbul ialah mengapa orang yang dituduh lari menyembunyikan diri? Sekiranya ia dikatakan ada pihak yang ingin membunuhnya, mengapa sekarang baru ditimbulkan? Yang sepatutnya khuatir akan ancaman ini adalah Mohd Saiful kerana berhadapan dengan risiko yang lebih besar.

Sebagai manusia yang dicipta oleh Allah Yang Maha Kuasa, kita mesti mengingatkan diri kita bahawa hanya iman dan takwa yang akan menjadi pelindung sewaktu susah dan senang.

“Ketahuilah bahawa wali-wali Allah (yang sebenar) mereka tiada ditimpa rasa takut dan kesusahan hati; mereka itu adalah orang-orang beriman dan bertakwa (kepada Allah), mereka itulah yang memiliki kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat” (Yunus:62).

Maka bersama-samalah kita membuka minda dan berlapang dada dan jangan sekali-kali kita dipengaruhi oleh kata-kata dan penampilan seseorang.

Isnin, Jun 30, 2008

BERJUMPA DENGAN DATO' HJ NOH OMAR



Malam tadi saya dapat bertemu dengan Dato' Hj Noh Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Hotel Hyatt, Johor Bahru.

Perjumpaan dengan beberapa rakan yang lain telah dapat mencanai pemikiran dan pergolakan politik semasa terutama di tanah air. Saya dan rakan-rakan bersetuju supaya pimpinan UMNO di peringkat nasional mesti dikekalkan. Penambahbaikan boleh dilakukan dengan cara yang teratur supaya kerosakan yang ada tidak bertambah parah.

IBU BAPA YANG TIDAK DIPEDULIKAN OLEH ANAK-ANAK



Gambar arwah bapak (kelainannya ialah bapak tidak pernah lupa memakai songkok, kupiah atau serban ketika berada di luar rumah) ketika diminta oleh Pegawai Pendaftaran untuk tidak memakai kupiah dan gambar emak dalam tahun 70an, seiras dengan salah seorang adikku.. Junainah

Hampir sebulan saya tak balik kampung dan berjumpa emak. Memang rasa rindu. Setiap hujung minggu ada sahaja program yang mesti didahulukan. Hari-hari yang lain adalah masalah Syafikah yang mesti ke sekolah.

Petang semalam emak telefon dan bertanya khabar. Minggu lalu, apabila saya dimasukkan ke hospital, saya tidak memberitahunya kerana tidak mahu beliau bersusah payah datang ke Johor Bahru sedangkan dirinya juga begitu uzur. Sebagai seorang ibu, tentulah ia ingen tahu mengenai kesihatanku. Pagi ini, adik yang balik dari kampung membawa kuih yang emak bekalkan. Begitulah kasih sayang emak kepada anaknya. Belum tentu anak dapat memberi kasih sayang yang sama. Kasih dan pengorbanannya tidak ternilai harganya. Kerana keprihatinlah, ia mengambil berat dan mengambil tahu mengenai anaknya.

Emak memang sentiasa memberi nasihat kepada anak-anaknya. Ini didorong oleh keinginannya melihat anaknya mendapat yang terbaik dalam hidup. Sebaliknya, ada diantara anak yang melihat keperihatinannya disalahanggap. Ada yang mengatakan ibu suka membebel sedangkan apa yang dibebelkan adalah untuk masa depan mereka. Malah ada yang mengatakan mengapa mesti mencampuri hal keluarga anak-anak yang bertanggapan mereka telah dewasa dan tahu menjaga dan menguruskan keluarga sendiri.

Memang emak bapak kita tidak sepandai anak-anaknya. Tanpa keduanya yang dengan penuh kasih sayang serta pengharapan yang tinggi, pengorbanannya dari sejak dalam kandungan sehingga kita berjaya, tidak mungkin sama dengan pengorbanan anak-anak kepadanya.

Sebab itu, tidak hairan apabila kita melihat ada diantara warga yang berada di rumah kebajikan untuk orang-orang tua, terdapat mereka yang tidak dipedulikan oleh anak-anak mereka.

Berilah kasih sayang kepada ibu bapa kita dengan apa saja pengorbanan. Kasih suami atau isteri tidak sama dengan mereka berdua. Selagi keduanya masih ada di dunia ini, lawati dan hubungi selalu. Berilah doa dan pelbagai kebajikan yang kita sedekahkan kepadanya sekiranya mereka telah berada di alam barzakh.