Radio Internet FuhYooFm

Khamis, Ogos 07, 2008

LAZATNYA MASAKAN ORANG MELAYU DI SINI









Kegiatan malam di Bandar Siem Reap seakan malap. Begitupun, masih ramai kelihatan pelancong yang mundar mandir terutama Mat-Mat dan Minah Salleh. Tak tahulah apa yang mereka cari. Mungkin nak berhibur atau mencari minuman yang boleh memanaskan badan. Kelihatan juga sebahagian dari mereka minum-minum di cafe dan kedai senoker.

Bagi kami, makan malam kami telah disediakan oleh isteri Ustaz Musa. Tengahari kami telah menjamu di restorannya dan mala ini sekali lagi kami mahu menjamah di tempat yang sama tetapi memesan jenis masakan yang lain.

Kami sependapat tentang masakan isteri Ustaz Musa memang best, sedap, lazat dan memenuhi citarasa kami. Hajat nak jumpa tukang masak ini tak kesampaian kerana katanya beliau malu, agaknya mungkin rasa rendah diri.

Restoran Ustaz Musa ini yang diberi nama Muslim Family Restaurant hanya dikunjungi oleh pelancong beragama Islam sahaja. Mungkin dalam satu hari hanya terdapat satu atau dua kumpulan sahaja yang singgah di sini. Ini dari kenyataan ia hanya ada beberapa meja makan sahaja. Masakan pula disediakan berdasarkan dari pesanan sahaja.

Apa yang lebih menarik perhatian adalah restoran ini terletak di perkampongan Melayu. Di kiri kanannnya terletak sebuah sekolah agama dan satu-satunya masjid di bandar Siem Reap. Ustaz Musa merupakan imam di masjid ini dan beliau pernah belajar agama di Kuala Lumpur.

Malam pertama di Kampuchea dapat saya rasai dengan suasana tenang dengan anak isteriku tidur dengan lena sementara dapat saya menyediakan lapuran perjalanan untuk seharian hari ini.

Hotel pula menyediakan banyak saluran TV dari berbagai Negara seperti Malaysia (TV1, 2 & 3), Indonesia (Indosiar), India, China, Vietnam, Thailand, Philipina dan sebagainya.

Alangkah indahnya malam ini kerana suasana yang sepi tanpa hiruk pikuk bunyi music dan sebagainya. Esok kami akan ke Angkor Wat. Yang pasti kami tak mahu masuk ke dalam, bukan kerana bayarannnya yang agak mahal tetapi apalah yang nak dilihat dengan rumah sembahyang orang Budha ini?.

MELAWAT KAMPONG BUDAYA















Kami mengambil bilik penginapan hotel berharga RM70.00 untuk satu malam di Thunborey Hotel. Harganya sesuai berdasarkan keadaan bilik dan ramainya pelancong yang berada di bandar ini.

Mengapa begitu ramai pelancong di sini? Ia disebabkan adanya Angkur Wat yang menjadi kebanggaan penganut Budha kerana ia telah terbina sejak lebih 800 tahun yang lalu. Dikatakan oleh pemandu pelancong kami tentang ramainya pelancong dari Korea, China dan Jepun. Warganegara dari ketiga negara ini mempunyai sejarah yang ada kaitan dengan agama Budha yang mereka anuti atau yang mungkin mempunyai titik persamaan seperti agama Shinto yang dianuti oleh rakyat Jepun.

Setelah menunaikan solat jamak Zuhur dan Asar, kami terus dibawa ke Kampong Budaya Kampuchea (Cambodian Cultural Village). Seperti perkampungan seumpama ini yang pernah saya kunjungi seperti di Mini Malaysia, Mini Indonesia dan Kampung Budaya Sarawak, perkampongan ini juga memperlihatkan sejarah pengwujudan kaum peribumi sehingga ke dewasa ini serta dimana tersebarnya penduduk tersebut di seluruh pelusuk negara ini.

Diperlihatkan kepada pelancong dengan sebuah museum yang menunjukkan sejarah manusia di sini sejak dari abad pertama. Disinilah terwujudnya kaum Khmer sejak sebelumnya pembinaan Angkor Wat.

Pelbagai bentuk rumah terdapat di perkampongan ini bermula dengan zaman Ou Doung. Contoh perkampongan yang terdapat di sini adalah perkampongan Cham yang keseluruhan penduduk asalnya adalah beragama Islam. Orang-orang Cham ini berasal dari Champa, Vietnam yang hidup di sepanjang tebing sungai dengan kegiatan nelayan.

Orang-orang Khmer yang menjadi sebahagian besar penduduk di negara ini diperlihatkan perkampongan dan budaya mereka seperti menangkap ikan, pertukangan kayu, batu dan tanah liat.

Perkampongan Cina juga diperlihatkan kerana ia telah berada di sini ribuan tahun sejak dari Dinasti Song. Kebanyakan mereka berniaga dengan penduduk tempatan dari hasil-hasil pertanian tempatan.

Kaum Kola dari Burma telah berpindah sejak dari tahun 1876 dan mereka menetap di kawasan Barat Laut Kampuchea.

Kaum Kroeng pula yang tidak beragama dan tidak begitu ramai, menetap di Timur Laut Kampuchea. Pekerjaan mereka adalah bercucuk tanam dan berburu binatang hutan.

Sebagaimana Kroeng, kaum Phnorng juga merupakan penduduk asli yang menduduki kawasan Timur Laut di Wilayah Mondulkiri. Pekerjaan mereka juga adalah berburu dan bercucuk tanam.

Kaum Surin yang ketika ini ramai berada di perbatasan dan sebahagiannya berada di Wilayah Thailand, mempunyai banyak persamaan dengan budaya kaum Khmer terutama di utara Tasek Tonle Sap. Mereka sangat mahir menjinak dan menggunakan gajah sebagai binatang untuk membantu sebarang pekerjaan berat.

MELIHAT KEGIATAN PENDUDUK DI SUNGAI


























Lawatan pertama kami di bumi Kemboja (sebutan orang Melayu) ini bemula dengan menaiki bot penumpang untuk pelancong memudik sungai hingga ke kuala yang bertemu dengan Tasek Tonle Sap, sebuah tasek yang begitu luas sehingga tidak nampak daratan di seberang sana.

Beberapa kanak-kanak berlenggeng (tidak memakai baju) menghampiri dan menyambut kedatangan kami serta meminta belas ehsan dengan menyebut wang USD1. Begitu besar pengaruh mata wang Amerika walaupun negara ini tidak pernah dijajah oleh negara Uncle Sam. Peranchis saja yang pernah menakluk hampir 100 tahun dan meninggalkan beribu kenangan pahit.

Hanya kami berenam menaiki sebuah bot termasuk Mad Razali. Di kiri kanan sungai ini terdapat banyak rumah-rumah rakit dan rumah atas sampan. Ia terapung di atas air dan di situlah keluarga dari semua bangsa yang ada di Kampuchea ini menjalani kehidupan seharian.

Lebar sungai tidaklah begitu luas sekadar tidak melebihi 200 meter tetapi arus perjalanan air dengan sampan dan bot agak sibuk. Pekerjaan penduduk di sini adalah sebagai nelayan dan pekerjaan yang berkaitan dengan aktiviti pelancongan. Peniaga runcit, sayuran dan sebagainya berulang-alik dengan menggunakan sampan.

Di antara rumah-rumah rakit, terdapat juga sekolah untuk warga Vietnam, gereja dan surau. Ini menunjukkan terdapatnya pelbagai suku bangsa di situ.

Pemandangan memang menarik dan unik kerana tidak terdapat di negara kita. Begitupun bayaran yang dikenakan untuk setiap pelancong yang menaiki bot-bot ini adalah sebanyak RM30.00, bayaran yang dikira berbaloi kerana agak lama juga di sini dengan menikmati pemandangan baru.

MENJEJAK KAKI KE BUMI KAMPUCHEA






Dari udara, kami lihat tanah Kampuchea ini seolah-olah berlaku banjir. Di mana-mana kelihatan air dengan aliran sungai merata-rata berliang liuk seakan ular kena palu. Bumi kelihatan menghijau dan tidak pun kelihatan bukit bukau.

Kapal terbang mendarat dengan lancar pada jam 9.15 pagi. Sebelum turun, songkok yang dibawa tidak ku pakai lagi. Biarlah, untuk perjalanan ini songkok akan ku pakai semasa solat saja. Bukan kerana apa, seorang penumpang berbangsa India tadi menyapaku di LCCT dan disangkanya saya seorang warga Indonesia.

Saya tidak berkecil hati kerana memangpun semua datuk dan nenekku berasal dari sana. Apatah lagi songkok yang diguna memangpun dibeli dari Indonesia. Tentulah bentuk songkok tu menyerupai bentuk songkok yang pernah dipakai oleh Bung Karno (Soekarno – Presiden Indonesia). Kegemaranku pula memakai songkok yang agak tinggi. Semua songkok yang ku guna adalah dari sana kerana harganya begitu murah dan mempunyai kualiti yang jauh lebih baik dari songkok buatan tempatan.

Mendaftar di Imigrasi dan laluan Kastam di sini amat mudah terutama pengisian borang yang digunakan tidak menyulitkan dan tak sampai seminit pun untuk menyiapkannya. Berbanding dengan negara lain, bahkan di negara kita, borang boarding memang sedikit melecehkan.

Di luar telah menunggu Mad Rozali bin Haji Zakaria dari RZ Travel & Tours, seorang warga Melayu Kampuchea yang telah kami hubungi untuk mengaturkan perjalanan di sini. Orangnnya masih muda (30 tahun) dan baru dua bulan melangsungkan perkahwinan.

Kami terus dibawa ke Restoran D Wau di Wat Bo Village, Salakmeruk Commune, untuk minum pagi. Kami memesan teh tarik dan roti canai sebagaimana dalam menu. Hiasan dalaman restoran seolah-olah kita berada di Malaysia. Manakan tidak, restoran ini adalah kepunyaan warganegara kita. Sebab itu menu dan masakannya juga mengikut cita rasa kita orang-orang Malaysia.

Perbelanjaan di Siem Reap agak mahal. Sekeping roti canai berharga 4,000 rial (mata wang Kampuchea) atau RM4. Sebiji kelapa muda pula RM8, mahal kan?.

Di restoran ini saya membeli Wi-Fi Pre-Paid Cards untuk tempoh penggunaan 24 jam dengan harga USD15 (RM48). Kena beli juga untuk kemudahan dalam perjalanan.