Radio Internet FuhYooFm

Khamis, April 22, 2010

MEMBANTU CALON BARISAN NASIONAL DI PRK HULU SELANGOR

.
Saya tidak pasti sudah berapa kali saya membantu Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil. Kali ini di Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor yang akan diadakan ada 25 April ini, sekali lagi saya diminta oleh UMNO Bahagian Johor Bahru untuk membantu kemenangan calon BN.

Selasa pagi, bersama beberapa orang AJK UMNO Bahagian, Pergerakan Wanita dan Pemuda, kami ke markas UMNO Johor di Taman Meranti, Bandar Baru Batang Kali, Selangor. YB Adam Sumiru, Naib Ketua UMNO Bahagian menjadi ketua rombongan.

Tugas yang diberi kepada kami adalah untuk menemui pengundi dan merayu kepada mereka untuk mengundi calon BN dari MIC iaitu P. Kamalanathan. Kami bergerak dalam kumpulan kecil bersama petugas dari UMNO Bahagian Pasir Gudang dengan dipandu oleh petugas dari tuan rumah, UMNO Hulu Selangor.

Berdasarkan kepada pengundi Melayu yang kami temui, tidak ada masalah untuk mereka mengundi calon BN. Cuma yang agak sukar adalah pengundi bukan Melayu terutama kaum Cina yang agak sukar. Pengamatan kami adalah seperti mereka sudah membuat keputusan awal untuk tidak mengundi calon BN. Buktinya seperti mereka langsung tidak mau ditemui atau diajak berbual. Begitupun, kami tidak berputus asa dan terus berusaha memujuk mereka.

Suasana agak meriah dengan petugas dari kedua-dua parti bekerja siang dan malam. Yang jelas, pekerja kakitangan kerajaan negeri juga melakukan pelbagai kerja yang boleh dianggapkan sebagai kerja membantu calon parti dari kerajaan negeri, tentulah calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim.

Malam ini tadi, kami dapat bertemu ketua kami, Datuk Seri Utama Hj Shahrir Samad yang datang ke Bilik Gerakan dan seterusnya bersama-sama bekerja membantu kemenangan calon.

Di kawasan bilik gerakan Rumah Johor sukar untuk mencari hotel atau rumah tumpangan. Kami bernasib baik kerana Batang Kali berdekatan dengan Gentinjg Highland. YB Adam mencarikan kami seunit apartment di Awana dan dapatlah kami melepaskan keletihan.

Insyaallah, esok pagi kami akan bertolak balik ke Johor Bahru dan berharap usaha sedikit dari kami ini akan dapat memenangkan calon Barisan Nasional.

Isnin, April 19, 2010

MANA PANGGILAN YANG BETUL: AYAH ATAU ATUK AYAH

.
Bersama kami adalah ketiga-tiga anak kandung kami,
Irwan Lutfi, Suria Irwany dan Amalina Irwany.
Di hadapan adalah Dinny Izuddin dan Ainul Safikah

Petang semalam, kami meraikan hari jadi Safikah ketika genap umurnya 6 tahun. Nama sebenarnya Ainul Safikah, anak kepada Irwan Helmy yang bernikah dengan Siti Fatimah Ibrahim. Irwan Helmy adalah anak angkat kami sejak dari ia lahir.

Ketentuan dariNya, Safikah juga bersama dengan saya sejak ia dilahirkan. Safikah memanggil kami 'ayah' dan 'mama'. Ayahnya pula dipanggil 'papa' dan ibunya sebagai 'ibu'.

Safikah mempunyai seorang adik lelaki, namanya Dinny Izuddin. Anak kami, Suria Irwany pula mengambil Dinny sebagai anak angkatnya. Dinny memanggil Suria dengan panggilan 'mami'.

Jika Safikah memanggil saya sebagai 'ayah', Dinny pula memanggil 'atuk ayah.' Begitu juga dengan Suria yang memanggil saya 'ayah' sebagaimana anak saudaranya, Safikah memanggil panggilan yang sama.

Dalam masyarakat Melayu, panggilan berbelit seperti ini banyak berlaku sejak dari dahulu lagi. Ibu saudara isteri saya yang bernama Ramlah Binti Mansor memanggil ayahnya sebagai 'pak long' kerana ia telah dijaga dan dibela oleh datuknya.

Mengapa keadaan ini berlaku. Banyak faktornya seperti keadaan pasangan yang tidak bersedia untuk menanggung anak dan pelbagai lagi.

Ahad, April 18, 2010

CERAMAH MAULID DI PANGSAPURI JALAN PADI EMAS BBU

.

Ustaz Yosree Ikhsan dari Jabatan Agama Johor
sedang menyampaikan ceramah maulid

Selepas solat Isyak tadi, saya ke majlis sambutan Maulidul Rasul yang dianjurkan oleh penduduk rumah pangsa Jalan Padi Emas berdekatan Bank Islam BBU.

Kawasan ini adalah perumahan rumah kos sederhana rendah RM50 ribu dan RM80 ribu. Kebanyakan penduduknya masih muda dalam lingkungan di bawah 40 tahun. Terdapat 5 blok yang mempunyai 300 unit rumah di sini.

Saya diberitahu, kutipan bayaran pengurusan masih rendah sekitar 30 hingga 35 peratus. Kutipan seperti ini hanya cukup untuk perbelanjaan perlu sahaja dan tidak akan ada lebihan untuk tabungan masa depan.

Begitupun saya gembira kerana penduduk dapat menganjurkan majlis kerana ia menunjukkan ada kesepakatan untuk melaksanakan sesuatu program. Apa yang perlu adalah untuk menggerakkan beberapa kegiatan lain selain menubuhkan badan-badan penting seperti KRT dan sebagainya.

Tahniah kepada mereka yang menggerakkannya seperti Ramli Rasul, Bazlan, Saffri, Nazri, Hj Yusuf dan lain-lain.

Sabtu, April 17, 2010

PARLIMEN JOHOR BAHRU PROAKTIF MEMBINCANGKAN TABUNG PENYELENGGARAAN 1MALAYSIA

.
Datuk Shahrir menerangkan tujuan
diadakan perjumpaan
.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Utama Hj Shahrir Abd Samad mengambil langkah proaktif apabila mengadakan taklimat dan perbincangan mengenai Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 31 Januari yang lalu.

Majlis yang dihadiri oleh Pengerusi dan wakil-wakil dari Badan Pengurusan Bersama (JMB) untuk rumah pangsa kos rendah (RM22,000/25,000/35,000 ribu) dalam Parlimen Johor Bahru bersama ADUN Stulang dan Tanjung Puteri serta Pegawai Pesuruhjaya Bangunan (COB) di Mutiara Hotel Johor Bahru telah membincangkan pelbagai masalah yang berkaitan dengan kutipan dan penyelenggaraan bangunan.

Peranan COB dijelaskan oleh
wakil Datuk Bandar MBJB

Dalam ucapannya, Datuk Shahrir menjelaskan walaupun Kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar masih belum mengeluarkan garis panduan tentangnya, beliau perlu mendapatkan maklumbalas lebih awal kerana pertambahan rumah-rumah pangsa kos rendah telah bertambah dengan pesat akibat keperluan tanah dan kemampuan pembeli rumah.

Di Parlimen Johor Bahru, penempatan yang terlibat adalah di Bayu Puteri, Larkin Perdana, Setulang Laut, Larkin Fasa 2, Serantau Baru, Skudai Kanan Fasa 15A dan 15B, Pangsapuri Ledang BBU serta Kg Muafakat.

Pengerusi-Pengerusi JMB yang ditermui melahirkan rasa gembira kerana Kerajaan telah memperuntukan wang sebanyak RM37.6 juta bagi penyelenggaraan. Mereka berpendapat bantuan kerajaan melalui geran padanan iaitu kerajaan akan mengeluarkan peruntukan yang sama dengan jumlah peruntukan yang dikumpulkan oleh JMB masing-masing.

Kesukaran JMB adalah untuk mendapatkan kerjasama dari pemilik premis yang kurang memberi sokongan untuk membayar yuran pengurusan bulanan. Kebanyakan JMB hanya dapat mengutip sekitar 20 hingga 30 peratus dari pemilik. Pendapatan yang dikutip tidak dapat membayar dan menguruskan segala perbelanjaan. Ini menyebabkan banyak JMB terhutang dengan syarikat yang membuat pengurusan termasuk juga bayaran bil air dan elektrik.

Pertanyaan dari salah seorang Pengerusi JMB

Dalam masalah ini, kesungguhan COB atau Pesuruhjaya Bangunan untuk membantu menyelesaikan masalah berbangkit amat diperlukan. COB yang dijawat oleh Datuk Bandar MBJB perlu bertindak proaktif dengan mengambil tindakan menyita pemilik yang tidak membayar yuran pengurusan. Begitupun, JMB juga hendaklah membuat tindakan lebih awal dengan mengedarkan surat-surat peringatan.

Pada kesimpulannya, majlis yang diadakan dapat memberi gambaran awal kepada semua pihak supaya kutipan yuran bulanan adalah amat penting disamping mengurus serta menjalankan kerja-kerja dengan amanah dan mendapat kepercayaan dari semua pihak.

BEGINIKAH NASIB WANITA INDONESIA YANG DIKAHWINI OLEH LELAKI MALAYSIA

.
Saya begitu teringin untuk menceritakan kisah benar yang berlaku kepada seorang wanita Indonesia yang menjadi isteri kedua kepada seorang lelaki Melayu Malaysia di daerah Johor Bahru.

Biarlah saya menyebut wanita ini sebagai 'SI'. Saya baru sekali bertemu dengannya, itupun ketika diperkenalkan oleh isteri selepas kuliah Subuh baru lalu. Orangnya agak cantik dan berumur 24 tahun. Dia telah berkahwin di kampung halamannya (Pulau Jawa) dan mendapat restu dari keluarganya dengan seorang lelaki 30 tahun yang telahpun mempunyai seorang isteri dan anak.

'SI' mengenali latar belakang suaminya dan redha untuk diperisterikan. Memandangkan suaminya bukanlah mempunyai kedudukan kewangan yang baik, dia sanggup menyewa sebuah rumah bersama beberapa orang lain. Dia mengambil sebuah bilik untuknya memadu kasih dengan suami kecintaannya.

Hari-hari awal berumahtangga memanglah semuanya terasa manis dan bahagia. Ia dapat menikmati sebagaimana yang diidaminya walaupun terpaksa berkorban menanggung segala perbelanjaan seperti menyewa rumah, perbelanjaan diri dan harian. Semuanya kerana kecintaannya kepada suami dan mengharapkan kebahagiaan rumah tangga yang dibinanya.

'SI' sedar pendapatannya dalam jualan langsung tidaklah seberapa. Sebagai seorang warga Indonesia, kenalannya tidak begitu ramai dan hanya bergantung kepada rakan-rakan senegara yang berada berdekatan dengannya di samping beberapa orang lain yang mengenalinya.

Masa terus berlalu dan satu insiden yang tidak diduganya berlaku. 'SI' menemui kakak madunya kerana menduga ia akan diterima dengan baik. Malang, sejak pertemuan itu, suaminya mulai kurang menemuinya. Kini, setelah 2 tahun berkahwin dengannya, hampir jarang ia berjumpa walaupun sekali dalam tempuh sebulan!.

Isteri saya mengenalinya di masjid. Jemaah wanita masjid kami pasti mengenalinya walaupun mereka tidak megetahui kecelaruan hidupnya. 'SI' begitu tekun melakukan ibadah walaupun terpaksa berjalan kaki ke masjid begitu jauh. Mungkin ia ingin mengisikan kekosongan atau ingin pasrah kepada Yang Esa bagi menentukan masa depan kehidupannya.

Saya pernah bertanya kepada isteri mengapa ia tidak meminta cerai kerana mempunyai suami yang tidak bertanggungjawab, sebaliknya jawapan yang diberi ialah ia masih sayangkan suaminya.

'SI' masih lagi mengharapkan suaminya walaupun ia redha untuk tidak selalu menemuinya. Ketika ini, ia sanggup melakukan pelbagai kerja seperti menjadi pembantu rumah mengikut hari yang diperlukan atau membantu berjaja di tepi-tepi jalan. Semua pendapatannya hanya cukup untuk menyara hidup hariannya.

Beberapa hari lalu, isteri saya melihat matanya bengkak lantas bertanya apakah dia menangis?.

Jawapannya ringkas "Kak, air mata sudah kering, tidak ada lagi yang menitis".




BENARKAH LAYANAN MESRA DAN PENUHI FANTASI LELAKI MENJADI TARIKAN?

.
Minggu ini, BERNAMA melaporkan bahawa secara purata terdapat seorang rakyat Malaysia mengahwini wanita Indonesia dari Sumatera pada setiap hari dan 80 peratus darinya diambil sebagai isteri kedua (klik sini).

Pejabat Konsulat Jenral Malaysia di Medan mengesahkan dalam tempoh 5 bulan terakhir menunjukkan seramai 30 orang mendaftar perkahwinan. Jumlah ini tidak termasuk mereka yang tidak mendaftar disebabkan gagal mendapat izin untuk berpoligami atau izin berkahwin di luar negara dari Mahkamah Syariah dan Jabatan Agama Islam negeri asal masing-masing.

Tidak dinafikan mungkin lebih ramai yang berkahwin dengan wanita Indonesia dari daerah lain seperti Jawa, Sunda, Kalimantan, Sulawesi, Madura, Minado dan lain-lain. Dan bagaimana pula yang berkahwin di negara sendiri atau mungkin di Selatan Thailand, mungkin jumlahnya jauh lebih ramai.

Bagaimana pula dengan lelaki Malaysia bukan Islam terutama dari kaum Cina dan India?. Saya seringkali terserempak dengan pasangan seperti ini terutama di pasaraya sedang membelibelah.

Sekiranya dijumlahkan, mungkin ia berlipatkali ganda dari fakta sepasang perkahwinan bagi setiap hari.

Persoalan di sini ialah apakah keistimewaan wanita Indonesia sehingga boleh memikat dan menarik perhatian lelaki warga Malaysia untuk berpasangan serta menikahi mereka?.

Mengikut Khairudin Harahap, Pengarah Kajian Sosiologi Indinesia, kebanyakan lelaki Malaysia tertarik dengan layanan yang lebih baik berbanding wanita Malaysia. Dia memberi contoh bagaimana kawannya beristerikan wanita Indonesia disebabkan isterinya tidak kisahkan suaminya (klik sini).

Pengarah Pusat Kokurikulum, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Mohammad Shatar Sabran pula berkata persepsi lelaki Malaysia yang masih bersifat tradisional dan konservatif dalam rumah tangga termasuk inginkan perhatian dan layanan menyebabkan keinginan memperisterikan mereka.

Beliau juga menjelaskan lelaki Malaysia mengharapkan layanan terbaik seperti 25 tahun lampau berbanding wanita Malaysia yang lebih mengutamakan kerjaya dan masa depan (klik sini).

Pada hemat saya, banyak lagi faktor yang menyebabkan keadaan ini. Apa yang perlu dilihat ialah berapa ramaikah lelaki bujang atau duda berbanding dengan yang telah mempunyai isteri. Faktor ini perlu diambilkira kerana ia akan memberi jawapan kepada sebahagian besar persoalan yang ditimbulkan.

Apakah 'nafsu' menjadi penyumbang utama dalam jawapan ini?.

Jumaat, April 16, 2010

SEBALIK BERTEMU RAKAN BEKAS AHLI MAJLIS

.
Seorang bekas Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru yang pernah berkhidmat bersama saya pada tahun 1986 hingga 1989, begitu bersungguh-sungguh hendak berjumpa kerana ingin membincangkan sesuatu perkara. Saya tidak menolak pelawaannya walaupun pada malam pertama puas saya menunggunya.

Malam tadi, dia menunaikan janjinya dan bertemu di Restoran Remaja bersebelah Masjid BBU. Saya memilih tempat ini kerana lebih selesa dan mudah kerana berdekatan masjid, selepas segala urusan di masjid selesai.

Bila bertemu, perkara yang dibawa adalah perkara sama yang sudah saya menduga awal iaitu minta bantuan untuk Majlis tidak mengambil tindakan terhadap Restoran Osman, Jalan Padi Ria.

Jawapan saya kepadanya sama seperti beberapa orang lain sebelum ini yang membawa perkara yang sama iaitu minta kebenaran dahulu dari kerajaan (Pejabat Tanah Daerah) untuk menggunakan tapak kosong bersebelahan premis yang digunakan sekarang. Sekiranya mendapat kelulusan LPS iaitu pendudukan sementara, maka saya tidak ada halangan untuk menyokongnya sekiranya mematuhi syarat membina bangunan tambahan.

Dalam perkara ini saya kena bersikap adil kerana tidak mahu berpilih ketika mengambil tindakan. Majlis Bandaraya pernah merobohkan bangunan tambahan di Restoran Alif, Jalan Padi Emas dan ia seharusnya dilakukan juga kepada premis lain khususnya yang menjalankan perniagaan seperti makanan, bengkel dan sebagainya.

Saya tahu kekecewaan rakan ini kerana saya tidak dapat membantunya. Begitu juga dengan tidak kurang 7 orang sebelum ini yang membawa perkara yang sama. Saya tidak faham mengapa mereka bersungguh-sungguh membawa perkara menghalalkan sesuatu kesalahan. Apakah mereka sanggup bersengkokol dengan pihak yang sanggup melakukan pelanggaran syarat demi keuntungan peribadi?.

Selepas ini, saya tidak tahu siapa lagi yang akan berjumpa dengan saya dalam isu yang sama.

Mudah-mudahan saya terhindar dari perkara subahah. Insyaallah.