Radio Internet FuhYooFm

Khamis, Disember 28, 2006

SERONOK BERSAMA IBU

Jumaat 22 Disember 2006, perjalananku ke utara terpaksa ku lakukan juga walaupun halangan banjir berlaku di Johor dan Melaka. Lebihkurang pukul 6.30 petang aku bertolak dengan isteri, Amalina (anak) dan Syafikah (cucu) melalui Pontian kerana mengambil ibu yang akan ke rumah abang di Kuala Lumpur.

Dalam perjalanan begitu seronok kerana bukan senang nak berjalan bersama ibu kandung, kalau dengan isteri dan anak-anak memang menjadi perkara biasa. Bukan mudah untuk selalu bersama, maklum saja dengan tugas seharian sedangkan ibu (emak - panggilan dari aku lahir) tidak mahu duduk bersamaku di Johor Bahru walaupun ayah (bapak - panggilan dari aku lahir) sudah tiada lagi. Emak memang lebih selesa di kampung bersama adik bungsu (Mohd Abdul Bashir), menantu dan cucu.

Aku juga rasa teringin emak dapat bersama-sama di Johor Bahru. Sebenarnya tidak ada masalah untuknya bersama kerana isteriku pun sentiasa ada di rumah sepenuh masa. Paling tidakpun, dapat juga aku membawanya ke hospital untuk rawatan sakit kakinya. Aku pernah beberapa kali mempelawanya, tapi jawapannya memang telah ku duga..

Dulu, semasa arwah bapak masih ada, emak juga susah nak bersamaku walau dua atau tiga hari. Berlainan dengan arwah ibu kepada emak yang ku panggil nyai (Nyai Rahmah), aku masih teringat dalam tahun 1974, berbulan sanggup duduk dengan aku di rumah kakitangan Felda Ulu Tebrau. Waktu itu aku belum ada anak. Memang seronok kalau kita dapat bermanja dengan orang-orang yang kita kasihi. Tapi ini semua tinggal kenangan.

Lebih kurang pukul sebelas malam sampai rumah abang di Taman Sri Serdang (hebat rumahnya sebab rumah teres setingkat dah jadi dua tingkat - hebat sebab pelan ubahan rumah dapat kelulusan dari Majlis PBT). Sesampai saja dapat jamuan ayam goreng (biasanya kalau abang balik kampung, emak juga akan simpankan ayam goreng untuk abang).

Dua orang adik lelaki (Ahmadon dan Mohd Bashir) juga sampai dengan isteri dan anak-anak. Malam itu dapat juga kami berbual walau tidak terlalu panjang kerana mungkin letih dan mengantuk. Atau mungkin nak bersiap-siap untuk terus ke utara pada paginya kerana ada utusan yang lebih penting..

Jumaat, Disember 15, 2006

CATATANKU DAN DUNIAKU


Umurku mula melewati 54 tahun, bermakna umur persaraan telah begitu hampir. Begitu pantas masa berlalu, begitu banyak pengalaman dan liku-liku hidup yang telah ku lalui. Namun, tidak ada sebarang catatan pun yang telah ku lakukan sepanjang hidup ini melainkan catatan yang dibuat oleh malaikat Raqkib dan Atid yang sentiasa mencatitkan segala apa yang kita lakukan di dunia ini sama ada kebaikan atau keburukan.

Ilham inilah yang telah diberi kepadaku supaya dapat aku memaparkan di dalam blog ini segala apa saja yang sekarang ini masih dalam ingatan. Kita tidak dapat menolak takdir dan ketentuan Allah. Apakah yang dapat kita lakukan apabila kita hilang ingatan dan nyanyuk (pikun). Yang pasti tidak dapat kita elakkan ialah apabila malaikat Izrail menghampiri kita.

Apa yang dapat dipaparkan di sini, akan menjadi kenang-kenangan dan nostalgia kepada anak cucu dan keturunanku serta sesiapa saja yang sudi berkongsi pengalaman.

Semoga Allah SWT akan memberi hidayah dan petunjuk kepada usaha yang akan dilakukan.