Radio Internet FuhYooFm

Selasa, Januari 12, 2010

KIOSK KARIAH, MESIN ATM DAN PAMIRAN SENI KHAT DI MASJID BBU

.
Gambar di atas adalah mesyuarat Jawatankuasa Masjid Bandar Baru Uda beberapa hari lalu. Mesyuarat bersama badan-badan dibawah naungan masjid membincangkan majlis perasmian Kiosk Kariah yang akan diadakan selepas solat Jumaat 15 haribulan minggu ini.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Dato' Shahrir Samad telah bersetuju untuk merasmikannya. Selain merasmikan Kiosk Kariah yang diusahakan oleh Koperasi Masjid BBU, Dato' Shahrir akan dibawa melawat Kiosk Mesin ATM Bank Islam yang ditempatkan bersebelahan Kiosk Kariah.

Penempatan kedua-dua kiosk ini adalah sebagai usaha memberi kemudahan kepada masyarakat di Bandar Baru Uda mendapatkan perkhidmatan dan keperluan disamping mengimarahkan masjid.

Jawatankuasa Masjid BBU juga telah menghubungi Yayasan Restu Malaysia yang bertanggungjawab mengeluarkan Al-Quran mushaf Malaysia untuk mengadakan pamiran seni khat serta pamiran kesenian Islam.

Yayasan Restu telah bersetuju untuk mengadakan pamiran pada hari perasmian dan menyambung sehari lagi pada keesokannya.

Bagi mereka yang ingin mendalami kesenian seni khat, Yayasan Restu akan mengadakan bengkel untuk kanak-kanak pada hari Sabtu pagi dan bagi golongan remaja serta dewasa akan diadakan pada sebelah petangnnya.

Yayasan Restu akan membawa penulis-penulis khat tanah air serta 4 orang dari Acheh Indonesia akan mempamirkan kepakarannya untuk sama dipertontonkan kepada pengunjung.
.

PERTAMA KALI KE PASAR KARAT JOHOR BAHRU

.
Saya tidak pernah ke Pasar Karat di Jalan Segget Johor Bahru. Sebentar tadi saya sempat ke sana bersama Hj Md Raf Murad. Tujuannya hanya untuk menjengah sahaja.

Sampai di tapak pasar pada jam 12 malam, beberapa gerai sudah mula mengemas dan ada juga yang telah ditutup. Tidak mengapa kerana kami tidak bercadang untuk membeli.

Setelah 8 bulan menjadi Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru, inilah kali pertama saya ke sana. Kagum juga saya melihat peniaga yang lebih separuh darinya anak-anak muda. Eloklah kerana ia boleh digunakan sebab asas untuk mulakan perniagaan walaupun dengan barangan yang mungkin kurang berkualiti.

Bagi mereka yang ingin memulakan perniagaan kecil-kecilan dan tidak mempunyai tempat, eloklah datang ke pasar karat ini. Bayarannya murah, hanya dengan RM5 untuk setiap malam tentulah tidak membebankan.

Beberapa hari lagi saya akan datang lagi dengan membawa isteri dan Fikah, insyaallah.

.

Ahad, Januari 10, 2010

CERITA PAGI INI

.
Seperti biasa, pada jam 5 pagi saya akan dikejutkan dari tidur oleh jam penggera telefon bimbitku. Perkara pertama yang akan dicari adalah kacamata.

Terkejut benar pagi ini kerana kacamata saya terpeliut. Bingkainya tidak boleh digunakan lagi. Puncanya, saya tertidur tanpa membuka kacamata ketika melihat siaran langsung perlawanan akhir tennis antara Nadal dan Nikolay Davydenko di Terbuka Qatar.

Setelah mandi dan solat Subuh, saya minta isteri yang ku panggil 'Mon' mencarikan kacamata lama yang masih boleh digunakan. Lama juga dia mencari. Akhirnya dapat juga kacamata yang agak ketinggalan zaman dan masih boleh digunakan.


Saya minta Shafikah ambil gambar. Kira ok juga, yang penting boleh diguna.

Pagi ini sepatutnya saya ke Dataran Bandaraya Johor Bahru untuk program gotong royong perdana anjuran Majlis Bandaraya. Saya tidak dapat mengikutinya kerana masalah lambat mendapatkan kacamata selain isteriku pula hendak menggunakan kereta untuk melawat guru agamanya yang terlantar sakit di Kundang Ulu, Muar.

Eloklah pagi ini saya di rumah saja sambil update blog dan membaca berita-berita di internet.

Ini adalah gambar isteriku 'Mon'. Nama sebenarnya Maimunah, sebab itu saya memanggilnya Mon. Panggilan ini saya mula gunakan pada tahun awal 90an apabila arwah ibu mertuaku meninggal dunia. Saya ingin mengikuti arwah bapa mertuaku yang memanggil isterinya dengan panggilan yang sama. Ibu mertuaku bernama Mariam dengan nama timangan Maimon.

Pagi ini mukanya nampak tembam sebagaimana mukaku juga. Mungkin ini memberi makna kami cukup makan dan tidak mempunyai masalah.

Kenapa pula Shafikah menangis?. Kami memanggil sikecil ini 'Pikah'. Dia adalah anak sulung kepada anak angkatku, Irwan Helmy. Memandangkan Helmy bermasalah untuk menjaga Pikah, kami telah mengambil dan mengasuhnya sejak dari bayi.

Kami amat sayang kepada Pikah. Begitu juga dengan Pikah yang akan berumur 6 tahun pada bulan April ini, sangat menyayangi kami berdua. Dimana saja kami berjalan samada di dalam atau luar negara, pasti Pikah akan turut sama. Baginya tidak ada orang lain yang boleh disayangi melainkan kami berdua.

Pikah memanggilku 'ayah' dan isteriku pula dipanggil 'mama'. Sekarang saya terkeliru, Pikah ini cucuku atau anakku. Kami sering tergamam apabila orang bertanya hubungan Pikah dengan kami.

Dia menangis sebab saya ingin mempotret isteriku. Baginya saya hanya mengambil perhatian kepada Mon sahaja. Benarlah apa yang dikata oleh sebahagian dari masyarakat kita bahawa sayangkan cucu melebihi dari menyangi anak sendiri.

Mudah-mudahan isteriku dan Pikah akan selamat dalam perjalanan pergi balik ke Kundang Ulu, Muar.

MELAWAT HJ SUBARI DI HOSPITAL

.
Kariah Masjid Jamek Bandar Baru Uda pasti mengenali Hj Subari Manan. Personal ini banyak menghabiskan masanya di masjid. Umurnya yang sudah menjangkau 84 tahun tidak menghalangnya untuk terus berbakti.

Rutinnya hariannya mudah. Solat Subuhnya di Surau Al-Falah Jalan Jagong 4 kerana berdekatan dengan rumahnya, boleh dengan berjalan kaki. Ketika itu isteri kecintaannya pula ke Masjid BBU menaiki kereta berseorangan. Tujuannya agar ia dapat mengikuti program budaya al-Quran dan terus bertadarus serta solat sunat.

Apabila isterinya balik masjid, Hj Subari akan menggunakan kereta pula untuk terus ke masjid. Pagi di masjid, beliau akan memberi arahan kepada beberapa orang pekerja untuk kerja-kerja pembersihan. Seterusnya Hj Subari akan mengajar anak-anak kariah BBU membaca al-Quran.

Kerja lain yang mesti dilakukan adalah penyeliaan pekerja katering. Tugas ini tidaklah selalu. Yang pasti 3 hari pada setiap minggu, pasukan katering akan menyediakan juadah untuk jamuan pada malam Jumaat dan sarapan pagi pada hari-hari Sabtu, Ahad dan hari kelepasan.

Untuk katering, tugas yang lebih berat adalah sekiranya ada tempahan masakan untuk majlis perkahwinan dan sebagainya.

Tugas ke pasar juga menjadi rutinnya. Biasanya dia akan meminta pembantunya memandu kereta selain membantu menguruskan pembelian dan pengangkutan bahan-bahan yang dibeli.

Selepas Zohor Hj Subari akan balik ke rumah untuk berehat dan datang semula pada waktu Asar dan Maghrib.

Semua kerja yang dilakukan olehnya adalah secara sukarela. Di Masjid BBU, Hj Subari menganggotai Jawatankuasa Tadbir dan memegang potfolio Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan.

Petang semalam, saya bersama beberapa orang jemaah masjid melawatnya di Hospital Puteri. Kedua-dua kakinya bengkak. Anak lelakinya, Azam yang ada ketika itu memberitahu kaki ayahnya berair dan hampir sampai ke paru-paru yang menyebabkannya sesak nafas.

Ketika kami sampai, Hj Subari beria-ia memberitahu tentang perihal penyakitnya. Dari percakapannya, kami dapati dia gembira dengan kedatangan sahabat-sahabatnya.

Mudah-mudahan Allah memberi kesihatan sebagaimana sebelumnya agar dapat ia meneruskan kebajikan yang sentiasa dilakukan di Masjid Bandar Baru Uda.
.

Sabtu, Januari 09, 2010

TINGGALLAH KENANGAN TOK MAT DI PULAI

.
Malam tadi saya sempat mengikuti majlis membaca Yassin dan tahlil untuk arwah Tan Sri Dato' Mohamad bin Haji Rahmat di Masjid Al-Mizan, Kempas Baru, Johor Bahru. Bersama Haji Mohd Said Ibrahim, Haji Nasaruddin Mohd Yunus dan Azmi Tuganal, kami sempat bersama dari solat Maghrib berjemaah sehinggalah menikmati jamuan yang dihidangkan.

Dianggarkan 500 orang hadir walaupun penganjur menjangka seribu yang akan mengikuti majlis berkenaan. Begitupun, ia tidaklah begitu menghampakan kerana mereka yang hadir tentunya ingin bersama mendoakan supaya roh allahyarham bersemadi di alam mereka yang beriman dan mendapat keampunan Allah swt.

Pada pagi Jumaat awal tahun baru 2010, saya mendapat beberapa sms tentang pemergian kekal allahyarham. Saya terus mensedekah al-Fatehah. Ketika itu saya di Kota Kinabalu bersama isteri dan rakan-rakan dari Persatuan Bekas Kakitangan Felda dalam lawatan ke Sabah. Sehari sebelumnya, saya sempat bertemu YB Nurjazlan, anak sulung allahyarham di Airport Senai. Sempat juga saya bertanya khabar dengannya dan terlihat riak wajahnya begitu ceria. Takdir Allah tidak siapa mengetahui, bapa kesayangannya akan meninggalkan dunia penuh pancaroba selama-lamanya.

Di Parlimen Pulai, siapa yang tidak mengenali allahyarham?. Kalau adapun mungkin anak-anak kecil atau mereka yang tidak mengambil peduli tentang alam sekeliling. Tidak kira siapapun penduduk di Pulai, allahyarham yang lebih mudah dipanggil Tok Mat akan sentiasa diingati.

Kemasyhoran Tok Mat bukan setakat di Pulai bahkan di seluruh negara kita. Allahyarham telah mencipta nama dan mempunyai sejarahnya tersendiri. Banyak yang boleh diceritakan samada yang baik atau sebaliknya.

Bagi saya yang mempunyai lakaran sejarah antara kami berdua juga mempunyai kesah menarik untuk diimbau. Kalaupun saya menceritakan di blog ini, anggaplah ia sebagai satu kenangan yang manis walaupun ada ketikanya ia begitu pahit bagiku.


Saya katakan 'antara kami' kerana Tok Mat pernah menjadi ketua dan saya naibnya. Pada tahun 1984, saya menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian dan beliau menjadi Ketua Bahagian. Saya tahu beliau tidak selesa ketika itu kerana saya terpilih sedang Baharom Ghani, Setiausaha Sulit yang menjadi ayam tambatannya kecundang dalam pemilihan. Begitu juga pada tahun 1986 apabila sekali lagi saya menewaskan calon tajaannya, Hadi Daris. Saya penah mencatatkannya dalam blog ini (baca).


Sebelum saya menjadi Ketua Pemuda, angin ketidakserasian telah bermula sejak dari Ketua-Ketua Pemuda sebelumnya iaitu Haji Abd Wahab Muslim dan allahyarham Ismail Kamaluddin. Puncanya, Tok Mat tidak seiring dengan Dato' Musa Hitam (sekarang Tun) yang memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. Pemuda UMNO Bahagian Pulai pula memberi sokongan kuat kepadanya.

Banyak peristiwa yang berlaku dalam tempoh kami bertiga menjadi Ketua Pemuda. Diantaranya, Abd Wahab sepatutnya menjadi ADUN Tambatan telah tertolak namanya di saat akhir dan digantikan oleh allahyarham Mahmood Daud. Usaha Tok Mat ketika itu berhasil mengketengahkan Mahmood walaupun bekas ADUN ini baru saja dibawa menjadi Setiausaha Bahagian. Tok Mat tahu sekiranya Abd Wahab berjaya menjadi ADUN, mungkin pengaruhnya akan merosot.

Pengaruh Tun Musa Hitam di Pulai meningkat apabila Setiausaha Politiknya, Ismail Kamaluddin yang juga anak saudara Tun Dr Ismail Abd Rahman mengambilalih jawatan dari Abd Wahab yang cukur umur 40 tahun. Malangnya, Ismail tidak lama memegang jawatan kerana kembali ke alam baqa' kerana menderita kanser kerongkong.

Tempatnya dipangku oleh Selamat Othman dari Pekan Nanas Pontian. Pada ketika ini kegiatan Pemuda UMNO Pulai mula mendatar apabila Selamat lebih berminat mencari jalan selamat dan lebih menumpukan pengaruh ke Bahagian Pontian. Sikapnya tidak menghairankan kerana Selamat bersama UMNO Cawangannya, Kampong Sawah akan berpindah ke Bahagian Pontian.

Pada tahun 1984, apabila berlaku kekosongan jawatan Ketua Pemuda disebabkan Selamat Othman berpindah ke Pontian, saya berjaya memegang tampok jawatan tersebut. Bagi saya, kejayaan menewaskan Baharom Ghani (sekarang Datuk) memberi impak besar kepada pengaruh Tok Mat terutama dari golongan muda.


Ahli-ahli Pemuda UMNO Pulai lebih bersemangat memberi sokongan padu kepada Tun Musa Hitam. Ketika krisis memuncak Musa/Mahathir pada tahun 1986, Tok Mat sanggup membawa perwakilan pemuda yang sedang bermesyuarat di Sekolah Agama Dato' Omar Yusof ke Airport Senai untuk menyampaikan tepak sirih untuk dibawa oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ke London bagi diserahkan kepada Tun Musa.

Hebat. Itulah kehebatan Tok Mat berperanan seolah-oleh memberi sokongan kuat kepada Tun Musa untuk kembali ke tanah air dan memegang semula jawatan Timbalan Perdana Menteri. Kami tertipu kerana tidak berapa hari selepas itu, dia menyembah taat setia kepada Dr Mahathir dan Ghafar Baba.

Ketika pemilihan Majlis Kerja Tertinggi pada 24 April 1987 yang melibatkan pertembungan Team A dan B, saya dan rakan-rakan di Bahagian Pulai berpehak kepada Team B. Tok Mat kalah dalam pemilihan MKT, bagaimanapun bintangnya menyinar kerana Dr Mahathir yang disokongnya menang sebagai Presiden UMNO.

Apabila UMNO diharamkan pada tahun 1988, saya tidak turut sama menjadi ahli UMNO (Baru) dan terus bersama-sama dengan Tun Musa mendokong untuk menghidupkan semula UMNO yang lama melalui Semangat 46. Disinilah saya terpisah untuk sementara waktu di dalam perjuangan UMNO yang baru sehingga kami memasuki semula beramai-ramai melalui Resolusi Melayu Johor (RMJ).


Tok Mat bijak menggunakan kesempatan walaupun terpaksa bersusah payah menubuhkan UMNO (Baru) di Bahagian Pulai. Dia mencari kekuatan baru dengan beberapa orang rakan baru dari pemimpin parti pembankang seperti Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM). Diantaranya adalah Osman Sapian (Datuk). Beliau yang pernah menjadi Ketua Pemuda PSRM Johor adalah rakan sekolah saya di Sekolah Dato' Penggawa Barat Pontian.

Datuk Osman yang pernah bertanya dengan saya apakah UMNO boleh memberinya jawatan sekiranya ia menjadi ahli UMNO telah membantu Tok Mat dengan menjadi Setiausaha Pajar atau Persatuan Anak Jawa Johor. Tok Mat yang menjadi Pengerusinya telah menggunakan kekuatan Pajar untuk menghidupkan UMNO Baru.

Sekali lagi Tok Mat bijak menggunakan Datuk Osman sebagai pelampongnnya. Datuk Osman juga tidak rugi kerana telah 3 penggal menjadi ADUN Kempas sehingga kini. Soalnya apakah YB Datuk Osman akan terus kekal berada di Pulai kerana sekarang beliau tidak mempunyai sebarang jawatan penting dalam UMNO Bahagian Pulai.

Saya tidak terkejut dengan kejatuhan Datuk Osman sekiranya Tok Mat masih ada. Mengapa? Tok Mat akan mempastikan pewarisnya terus berkuasa di Pulai.

Pada satu ketika, saya bersama beberapa orang lain seperti Abu Bakar Ibrahim, Zainal Jamil, Mohd Said Ibrahim, Datuk Abd Kadir Annuar dan lain-lain dikatakan boleh menyukarkan keinginannya untuk terus menguasai UMNO Pulai. Impiannya tercapai apabila kami terpaksa berpindah ke Johor Bahru pada tahun 2004 akibat persempadanan semula kawasan pilihanraya.

Saya, Abu Bakar dan Zainal adalah bekas Ketua Pemuda Bahagian dan dikatakan kami bertiga sebagai pemimpin pemuda yang tidak sehaluan dengan Tok Mat yang menjadi Ketua Bahagian.


Kehilangan kami yang telah berpindah termasuk Zainal Jamil yang masih berada di Pulai tetapi telah terkeluar dari kepimpinan pewaris Tok Mat, YB Datuk Nur Jazlan kerana menyokong Datuk Osman Sapian, telah memberi harapan baru kepada Ramli Bohani dan Tengku Haron Putra Aminurrashid Hamid Jumat yang masing-masing berjawatan Timbalan dan Naib Ketua UMNO Bahagian Pulai.


Saya telah berada di luar gelanggang Pulai. Tidak banyak yang diketahui mengenai kekuatan pemimpin di sana apatah lagi dengan kemasukan cawangan-cawangan baru dari Bahagian Gelang Patah. Begitupun saya meramalkan dengan ketiadaan Tok Mat yang telah sinonim dengan Pulai, corak kepimpinan dan alunan suara rakyat Pulai akan lebih terbuka.


Apakah Datuk Nur Jazlan telah bersedia menempuh gelombang mendatang?. Pasti jawapannya adalah 'ya' kerana Tok Mat telah memberi peluang mendewasakannya dengan jawatan Ketua Bahagian dan Ahli Parlimen. Kemampuannya juga telah diuji pada pemilihan hebat yang berlaku pada tahun lalu sehingga tertewasnya Datuk Osman Sapian, Zainal Jamil, Abdullah Yusof dan lain-lain.

Datuk Jazlan mesti mencari kekuatan baru dan tidak harus bergantong kepada aura Tok Mat kerana pemimpin bawahannya dan mereka yang ada di sana mempunyai keistimewaan tersendiri seperti hubungan keakraban Datuk Osman dengan Perdana Menteri, Ramli Bohani dengan Menteri Besar Johor dan Zainal Jamil dengan Tan Sri Mohd Ali Rustam. Begitu juga dengan Abdullah Yusof yang pernah menjadi Exco Pemuda UMNO Malaysia dan juga sentuhan tangan berbisa Tengku Haron Putra.

Tok Mat telahpun meninggalkan kita semua. Allahyarham telah berjuang dalam UMNO selama 47 tahun sejak tahun 1963 dan mengabdikan diri sebagai pemimpin di Pulai sejak dari tahun 1969.

Walau apapun persepsi yang dikaitkan antara saya dan Tok Mat, saya pasti mengingati pelbagai kenangan yang masih segar dalam ingatan. Diantaranya adalah nasehat yang pernah diberi padaku "... kalau tidak dengar nasehat, setelah habis Ketua Pemuda, kau akan bawak teksi".

Realitinya, saya masih belumpun mempunyai lesen atau permit teksi, malahan naik teksi pun boleh dibilang dengan jari.

Akhir Sebuah Impian


Khamis, Januari 07, 2010

PROTES PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH DI JOHOR BAHRU

.

Petang semalam, selepas menunaikan solat Asar di Masjid Jamek Kampong Melayu Majidee, seramai 500 orang telah mengadakan tunjuk perasaan kerana kejayaan akhbar Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah.

Mereka adalah dari pertubuhan-pertubuhan sukarela dari Parlimen Johor Bahru seperti Jemaah Qura' Johor Bahru, Seni Silat Gerak Singkir, Badan Kebajikan Islam Kg Melayu Majidi, Persatuan Anak-Anak Melayu Bersatu, Persatuan Penduduk Jalan Merdeka, Pertubuhan Al-Ehsan Malaysia, Pekida Kg Melayu dan lain-lain.

Gabungan NGO ini memulakan protes dengan bacaan doa dan bacaan ikrar.

Pihak Polis telah mengadakan kawalan dan setelah hampir setengah jam mereka bersurai.

Jumaat, Januari 01, 2010

BERSAMA PERSATUAN PESARA FELDA KE SABAH

.
Saya ke Sabah bersama Persatuan Pesara Felda (PBKF) untuk lawatan bersama 33 orang bekas-bekas kakitangan Felda. Kami seramai 11 orang menaiki penerbangan dari Senai sementara lainnya dari Kuala Lumpur.

Rombongan yang diketuai oleh Datin Nursiah Sulaiman, Ahli Jawatankuasa PBKF berlepas pada hari Khamis 31 Disember dan bertemu di Kota Kinabalu. Di sini kami bermalam dan bertolak ke Tawau pada hari keesokkannya.

Di Kota Kinabalu, kami dapat melihat bagaimana meriahnya penduduk meraikan kemunculan tahun baru 2010. Ramai warga bandaraya dan dari sekitaran termasuk dari negara tetangga seperti Brunei yang turut sama membanjiri segenap tempat.

Datin Nursiah sebagai ketua rombongan tentunya mempunyai tugas rumit mengaturkan pelbagai program terutamanya untuk berjumpa dengan rakan-rakan yang masih bertugas. Taklimat diberikan lebih awal agar setiap peserta rombongan dapat mengikuti lawatan dengan teratur dan tepat pada waktunya.