Radio Internet FuhYooFm

Jumaat, Mac 13, 2009

BERLAWAN DENGAN TOK MAT UNTUK JAWATAN KETUA PEMUDA BAHAGIAN

.
Sdr Abd Wahab Muslim memberi ucapan.
Saya berada antara Tok Mat dan Baharom Ghani

Gambar di atas yang dirakam pada tahun 1984 mempunyai sejarah sendiri yang tidak dapat saya lupakan.

Majlis anjuran UMNO Bahagian Pulai yang diadakan di Balai Raya Tampoi yang dihadiri oleh Ketua dan Setiausaha Pemuda Cawangan serta Ketua-Ketua Cawangan dalam Bahagian Pulai adalah untuk mendengar ucapan Dato' Mohamad Rahmat, Ahli Parlimen Pulai yang juga Ketua UMNO Bahagian.

Majlis dimulakan dengan ucapan Sdr Abd Wahab Muslim yang menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pulai.

Kesungguhan Tok Mat menyokong Baharom Ghani untuk
jawatan Ketua Pemuda Bahagian tidak memberi kesan
besar kepada perwakilan cawangan

Memang menjadi kelaziman Dato' Mohamad Rahmat atau Tok Mat yang akan pulang sekali sekala ke kawasan pilihanrayanya dan berjumpa dengan pemimpin cawangan dan bahagian.

Tetapi pada hari tersebut, ucapannya agak berbeza dengan kelazimannya dan saya sendiri tidak menduga apabila tiba-tiba saja saya telah diajukan soalan samada saya hendak meneruskan niat untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Bahagian.

Soalan yang didengar oleh semua yang hadir sangat memeranjatkan tetapi saya dapat mengawal perasaan dan emosi. Dengan tenang saya menjawab bahawa saya tidak akan menghampakan hasrat cawangan-cawangan pemuda yang telah mencalunkan saya untuk jawatan tersebut.

Jawapan saya memang amat mengecewakan Tok Mat kerana semua mengetahui bahawa beliau mahukan setiausahanya iaitu Baharom Ghani untuk memegang jawatan tersebut.

Saya bersama Baharom Ghani

Ekoran dari majlis tersebut, kempen-kempen yang dijalankan semakin hebat kerana pertandingan adalah satu lawan satu.

Walaupun saya tidak mempunyai jawatan penting dalam kerajaan atau kerjaya yang baik, namun hubungan saya dengan cawangan adalah amat erat disebabkan jawatan saya sebagai Penolong Setiausaha Pemuda Bahagian disamping memegang pelbagai jawatan dalam badan-badan NGO seperti menjadi Setiausaha Gerakan Belia 4B Malaysia Daerah Johor Bahru.

Bersama dengan Abd Wahab Muslim dalam majlis Gerakan Belia 4B

Pergerakan Pemuda dibawah pimpinan Abd Wahab Muslim juga mempunyai kesepaduan dan sokongan kuat kerana banyak kegiatan dan pembelaan yang dilakukan khususnya pada kepentingan ahli-ahli pemuda.

Lawatan Pemuda UMNO Bhg Pulai ke Perhubungan UMNO Kelantan

Dengan sebab itu saya tidak mempunyai masalah yang besar dalam pemilihan jawatan tersebut dan akhirnya saya telah berjaya bahkan semua AJK yang terpilih adalah dari team saya.

Pada pemilihan berikutnya iaitu pada tahun 1987, sekali lagi kekuatan saya diuji apabila seorang lagi calun yang dikatakan telah ditaja oleh Tok Mat iaitu Hadi @ Aji bin Daris, seorang peguam dari kalangan anak tempatan, telah dicalunkan untuk jawatan yang sama.

Saya bersama Hadi @ Aji Daris

Beberapa perundingan sebelumnya telah saya lakukan bersama-sama rakan-rakan yang lain agar calun ini (Hadi) tidak bertanding. Saya telah menjanjikan kepadanya jawatan Setiausaha Pemuda (Penolong) dan seterusnya akan menyokong beliau untuk jawatan Ketua Pemuda untuk pemilihan yang akan datang.

Apabila beliau menolak pelawaan, keputusan pertandingan juga memberi kemenangan kepada team saya dan tidak kepada team yang mendapat sokongan Tok Mat.

Begitupun, Hadi berjaya juga dalam cita-citanya apabila Tok Mat membawanya dalam kepimpinan Bahagian dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Whip Ahlimajlis Bandaraya Johor Bahru.

Tetapi apakah akhir kesudahannya Hadi dalam kerjaya politiknya? Sementara itu, Baharom Ghani yang sangat setia kepada Tok Mat mendapat kejayaan sehingga menjadi ADUN, Ketua UMNO Bahagian dan mendapat anugerah gelaran Datuk.

Mesrakah hubungan saya dengan Tok Mat?

Dan bagaimana pula dengan kerjaya saya dalam bidang politik?. Ikutilah kisah selanjutnya dalam blog ini yang akan saya nukilkan dari masa ke semasa.

Tiada ulasan: