Radio Internet FuhYooFm

Jumaat, Mac 13, 2009

ANAKKU, IRWAN HELMY

.
Mengapa saya mempunyai seorang anak lelaki bernama Irwan Helmy Maula Mohd Sunawan dan tidak Irwan Helmy Bin Mohd Sunawan?.

Dia adalah anak angkat yang didaftarkan pada 09 Ogos 1992 di Jabatan Pendaftaran Negara, Johor Bahru.

Kisahnya bermula apabila kami tidak mendapat cahaya mata setelah mendirikan rumahtangga pada bulan Ogos 1973. Lima tahun merupakan masa yang agak lama dan amat merunsingkan kerana ketiadaan anak yang boleh menyebabkan hidup kami kurang bersinar dan sepi.

Setelah setahun mendirikan rumahtangga, kami berpindah dari Johor Bahru ke Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram. Hidup kami berdua memang bahagia. Malangnya, lama kelamaan kesepian kami mula terasa apabila tiada cahaya mata untuk kami timang dan bermanja.

Kesepian ini begitu ketara disebabkan cuti mingguan kami berdua tidak sama, cuti isteri pada hari Ahad sementara saya pada hari Jumaat. Tempat bertugas isteri pula agak jauh iaitu di Johor Bahru dan untuk pergi dan balik kerja bermula dari subuh hingga maghrib. Begitulah setiap hari.

Bagaimanapun, kegembiraan mula terasa apabila seorang anggota Polis (Encik Harun) yang bertugas di Pondok Polis Felda Ulu Tebrau memberitahu tentang seseorang (sepasang suami isteri) telah menawarkan untuk menyerahkan anak yang sedang dikandungkan kepada mereka yang berhajatkan anak.

Setelah berbincang dengan isteriku, kami terus bersetuju lantas berjumpa dengan pasangan berkenaan yang menduduki sebuah rumah penempatan setinggan di Kampong Pengkalan Rinting, Tampoi.

Pasangan suami isteri ini ialah Mohd Tahir bin Sair (Kad Pengenalan 550309015697 / 4810058) yang berasal dari Kg Serom 6 Baroh, Muar dan Raja Habibah Binti Raja Sulong (Kad Pengenalan 530923015816 / 4686544) yang berasal dan telah bernikah di Kampong Koris, Batu Pahat pada 17 Oktober 1975.

Kami diberitahu, pasangan ini sudah mempunyai dua orang anak perempuan yang masih kecil. Anak kedua bernama Haslinda yang dilahirkan pada 04 November 1979 dan tidak mempunyai kemampuan untuk menanggung seorang anak yang bakal dilahirkan.

Pada awal Disember 1978, kami diberitahu pasangan tersebut telah melahirkan seorang anak lelaki.

Saya bersama isteri dan kakak ipar, Naemah Mansor (Mak Nong) terus menemui pasangan berkenaan dan mengambil bayi yang telah dilahirkan 3 hari sebelumnya. Saya dimaklumkan keluarga pasangan ini yang berada di Batu Pahat tidak membenarkan bayi ini diserahkan kepada kami.

Hari pertama Irwan Helmy dalam keluarga kami

Bagaimanapun, olehkerana mereka telah membuat perjanjian untuk menyerahkan bayi yang bakal dilahirkan dan mungkin kepercayaannya kepada kami, maka bayi ini kami bawa balik ke Larkin dan seterusnya ke Felda Ulu Tebrau.

Sepanjang dua minggu pertama, bayi yang diberi nama Irwan Helmy kami menjaganya dengan penuh kasih sayang dan meminta salah seorang adik perempuan saya untuk mengasuhnya. Ini disebabkan isteri saya bekerja di Syarikat Plessey, Jalan Tebrau, Johor Bahru.

Malang menimpa Helmy apabila pada dua minggu terakhir, bayi ini diserang muntah dan cirit birit.

Gambar selepas keluar dari wad HSA dan dibawa balik
ke Kg Puteri Menangis, Benut untuk majlis doa selamat

Olehkerana Helmy perlu dibawa ke klinik dan masih belum mempunyai surat beranak, saya terpaksa menemui Encik Harun, anggota Polis untuk membantu mendaftarkannya.


Semasa membuat pendaftaran di Balai Polis Ulu Tiram, saya telah membuat akuan bahawa saya dan isteri adalah ibu bapa sebenar kepada Helmy.


Setelah mendapat surat beranak, saya ke rumah sepupu di Taman Sri Pandan dan terus ke Klinik Peoples Dispensary, Jalan Ibrahim, Johor Bahru. Doktor yang membuat pemeriksaan telah mengarahkan bayi ini dibuat pemeriksaan lanjut di Hospital Sultanah Aminah dan seterusnya dimasukkan ke wad untuk beberapa hari.


Kami terus membesarkan Helmy dengan penuh kasih sayang. Hampir 5 tahun, adik-adik perempuan saya bergilir bersama membantu seharian sehinggalah pada akhirnya isteri saya melahirkan Suria Irwany pada bulan Mei 1981.


Benarlah petua orang-orang tua kita supaya mengambil anak angkat sebagai usaha untuk mendapatkan anak sendiri.

Irwan Helmy bahgia bersama kami disamping adiknya, Suria Irwany

Pada tahun 1990, pada ketika Helmy berumur 11 tahun dan mempunyai dua orang lagi adik selain Suria Irwany iaitu Irwan Lutfi dan Amalina Irwani, saya telah pergi ke Mekah untuk menunaikan fardhu haji.

Ketika menjadi murid Sekolah Agama Bandar Baru Uda

Seminggu sebelum kembali ke tanah air, satu peristiwa yang ada kaitannya dengan Helmy telah saya alami di tanah suci Mekah. Peristiwanya ialah saya telah disedarkan dari kesilapan saya mem'bin'kan kepada nama saya.

Helmy bersama adik-adiknya, Suria, Lutfi dan Amalina

Seperti biasa, pada setiap kali selepas solat maghrib, saya akan pergi ke satu sudut di Masjidil Haram (berhampiran kaabah dan selari dengan hajatatul Aswad) untuk mendengar ceramah dan kuliah dalam Bahasa Melayu/Indonesia dari seorang ulamak yang bernama Mohammad Abdul Kadir Mandili.


Kebanyakan jemaah haji yang pernah ke Masjidil Haram memang amat mengenali beliau yang telah lebih 30 tahun menjadi guru agama di sini. Beliau berasal dari Alor Star, Kedah telah 50 tahun menetap di Mekah dan mengikut jejak arwah bapanya yang pernah menjadi guru di tempat yang sama.

Beliau adalah satu-satunya guru yang mengajar menggunakan Bahasa Melayu/Indonesia dan diberi kebenaran oleh pemerintah Arab Saudi untuk menyampaikan ajarannya.

Diantara perkara yang disampaikan oleh guru ini ialah mengenai kesalahan mem'bin'kan anak angkat.

Olehkerana ilmu yang diajar adalah berkaitan secara lansung kepada diri saya iaitu kesalahan memberi nama Helmy dengan bin kepada saya dan membuat pengakuan sebagai anak kandung, maka saya telah tersedar dari satu kesalahan besar.

Saya insaf atas kesalahan ini dan setelah solat isya', lantas saya melakukan tawaf dan solat sunat serta mohon ampun kepada Allah Swt di hadapan kaabah. Saya berjanji untuk menemukan kepada kedua ibu bapanya dan membuat pertukaran nama dalam sijil kelahiran.

Permohonan saya termakbul apabila diberitahu bahawa pada masa yang sama kedua ibu bapa Helmy tergerak hati dan datang ke rumah saya di Bandar Baru Uda untuk menemui Helmy. Dua hari mereka mencarinya sehingga akhirnya berjumpa.

Janji kepada Allah Swt saya tunaikan dengan membuat pendaftaran semula. Memang agak sukar untuk melakukannya kerana terpaksa mengemukakan pelbagai dokumen termasuk menemui saksi-saksi untuk mengesahkan kelahirannya seperti mencari bidan yang menyambut kelahiran.

Akhirnya, setelah hampir dua tahun menunggu, surat kelahiran dikeluarkan dengan nama sebenar iaitu Irwan Helmy Bin Mohd Tahir sebagaimana sijil kelahiran No. J092434 bertarikh 27 Jun 1992.

Seterusnya adalah pendaftaran anak angkat dan saya mendapat nasihat dari beberapa orang guru agama supaya perkataan 'Bin' itu ditukar kepada 'Maula' yang bermakna anak angkat.

Pendaftarannya telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Negara sebagaimana sijil C033492 bertarikh 09 Ogos 1992.

Saya catatkan di bawah ini beberapa maksud ayat-ayat Alquran dan hadis yang berkaitan dengan kesalahan membinkan anak angkat atau melarang sistem tabanny:-

Allah tiada menjadikan bagi seseorang dua hati dalam rongganya. Dan Dia tidak menjadikan isteri-isteri kamu yang kamu zhirar itu sebagai ibu-ibu kamu, dan Dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu menjadi anakmu. Itu hanyalah perkataanmu dengan meulutmu saja. Dan Allah menyatakan kebenaran dan Dia menunjukkan jalan (yang benar) -(Al-Ahzab 33:4).

Saat bahagia

Panggillah mereka (anak-anak angkat) menurut (nama) bapaknya, hal itu lebih adil pada sisi Allah. Kalau kamu tiada mengetahui bapaknya, mereka menjadi saudara kamu dalam agama dan maula (pengabdi) kamu. Dan tiada dosa atasmu apa yang kamu khilaf padanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang - (Al-Ahzab 33:5).

Barang siapa yang menisbatkan anak kepada orang tua yang bukan bapaknya padahal ia tahu bahawa ia adalah bukan bapaknya, maka syurga haram baginya - (Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ibnu Majah).

Setelah dewasa, Irwan Helmy bertemu jodoh dengan Siti Fatimah Binti Ibrahim (Kad Pengenalan 850219146356) dan telah dikurniakan 3 orang anak (seorang perempuan dan dua lelaki). Malangnya, perkahwinan mereka tidak dapat bertahan dan masing-masing membawa haluan, Siti Fatimah ke Kuala Lumpur mengikut bapanya sedang ibunya yang telah bercerai dan berkahwin baru berada di Johor Bahru. Helmy masih berada di Johor Bahru.

Ainul Shafikah bersama datuk atau ayah dan mama?

Anak-anaknya pula, yang sulung, Ainul Shafikah bersama saya. Anak kedua, Dinny Izuddin bersama dengan anak kedua saya iaitu Suria Irwany dan yang ketiga bernama Mohd Firdaus diserahkan kepada sepasang suami isteri di Taman Larkin Perdana, Johor Bahru.

Tanggungjawab Suria mendidik Dinny Izuddin

Saya yakin cerita yang dipaparkan ini akan memberi gambaran sebenar dan hubungan darah serta kaitan kekeluargaan yang tidak sepatutnya dipisah-pisahkan.


Tiada ulasan: