Radio Internet FuhYooFm

Jumaat, Mac 13, 2009

KAITAN HAMDAN YAHYA DAN SEMANGAT 46 DENGAN PERTUKARAN SAYA KE SABAH

.
Gambar saya dan Haji Hamdan Yahya semasa menaiki bot
dari Tanjung Leman ke Pulau Sibu

Gambar di atas adalah Haji Hamdan Yahya, ahli politik yang tidak kesampaian cita-cita untuk menjadi wakil rakyat.

Saya mengenalinya pada tahun 1984 apabila bersama dalam Jawatankuasa Perhubungan Pemuda UMNO Negeri Johor. Ketika itu beliau adalah Ketua Pemuda Bahagian Sri Gading dan saya adalah Ketua Pemuda Bahagian Pulai.

Dalam Perbuhungan Pemuda Negeri, beliau dilantik sebagai Penolong Bendahari dan berketuakan Dato' Abd Ghani Othman (Ledang) dan timbalannya adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh), Penolong Setiausaha ialah Tosrin Jarvanthi (Senai).

Apabila UMNO berpecah kepada Team A dan Team B (pertandingan 24.4.1987) dan seterusnya UMNO diharamkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4.2.1988, UMNO dan Pergerakan Pemudanya telah berkubur.

Berikutnya, UMNO (Baru) telah ditubuhkan pada 13.2.1988 dan ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Ketua Pemuda UMNO (Baru), saya dan Haji Hamdan Yahya tidak menyertainya sebaliknya, bersama beberapa orang Ketua Pemuda Bahagian seperti Datuk Khalid Nordin (Johor Bahru), kami menyokong Dato' Musa Hitam (Tun) dan Dato' Shahrir Samad menyokong kumpulan Semangat 46 (bukan Parti Semangat 46 yang ditubuhkan oleh Tengku Razali Hamzah).

Ketika itu, kami pula menubuhkan Pemuda Semangat 46 Johor. Khalid Nordin (Dato' Seri) menjadi Ketua, Haji Hamdan Yahya sebagai Timbalan Ketua dan saya dilantik Setiausaha.

Diantara kami Ketua Pemuda Bahagian di Johor yang menyertai UMNO Baru adalah Ruhanie Ahmad (Ron). Sebelumnya, beliau adalah Setiausaha Akhbar Dato' Musa Hitam (Tun).

Dalam pilihanraya kecil Parlimen Johor Bahru, kami memberi bertungkus lumus dan memberi sokongan penuh kepada Dato' Shahrir Samad sebagai calun bebas menggunakan lambang kunci menentang allahyarham Hj Masod calun Barisan Nasional sehingga mendapat kejayaan besar.

Kejayaan Dato' Shahrir Samad mendorong kesungguhan kami untuk memenangkan calun bebas berlambang ikan di Parlimen Sri Gading iaitu Haji Hamdan Yahya menentang Yasin Kamari dari parti Barisan Nasional.

Dalam pertandingan sengit ini, saya adalah diantara penceramah calun bebas dan sangat popular kerana kelantangan saya menentang UMNO terutama Setiausaha Agungnnya iaitu Dato' Mohamad Rahmat yang secara kebetulannya mempunyai saudara mara di Parit Sonto, Sri Gading. Saya masih ingat ketika saya memberi ceramah di salah sebuah rumah saudara Tok Mat, ramai yang hadir dan ketika itu nama Tok Mat tidaklah begitu baik di hati mereka.

Malangnya, Haji Hamdan Yahya tewas dengan undi yang sangat tipis.

Berikutan kekalahannya dan beberapa minggu selepas itu, saya yang masih berkhidmat dengan Felda telah ditukarkan untuk bertugas di Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah.

Peristiwa ini tidak akan saya lupakan kerana menteri yang bertanggungjawab menukarkan saya adalah Dato' Khalid Yunus yang ketika itu menjawat jawatan Timbalan Menteri Kemajuan Tanah yang bersengkonkol dengan Datuk Fadzil Yunus (Timbalan Pengarah Besar Felda). Mereka berdua dari negeri yang sama iaitu Negeri Sembilan.

Ketika itu semangat perjuangan saya bersama rakan-rakan tetap utuh dan kuat walaupun mendapat arahan bertukar ke seberang laut. Hanya, linangan air mata isteri kecintaan saya sahaja yang melunturkan semangat saya untuk melawan arus pertukaran.

Allah Maha Kaya dan Yang Berkuasa telah menentukan bahawa saya diberi pertolongan dengan hanya ditukarkan ke Felda Tenggaruh Timur, Mersing dan seterusnya beralih ke Felda Bukit Batu.

Segala-galanya bermula dengan usaha kami bersama Sdr Indera Putra Ismail yang menjadi Presiden Kesatuan Pekerja Felda sementara saya adalah Naib Presiden, telah bersemuka dengan Datuk Aladin Hashim (Pengarah Besar Felda) serta mengemukakan rayuan supaya saya tidak ditukarkan.

Alasan yang dikemukakan ialah saya tidak mempunyai sebarang masalah dalam pekerjaan dan ini diakui sendiri oleh Pengarah Besar.

Saya juga berterima kasih kepada Dato' Shahrir Samad yang membawa kes pertukaran ini ke perbahasan sidang parlimen walaupun jawapan yang diberi adalah sama dengan jawapan-jawapan biasa iaitu pertukaran tempat bertugas bagi kakitangan kerajaan adalah sesuatu yang lumrah demi perkhidmatan.

Inilah diantara ingatan dan hubungan saya dengan Haji Hamdan Yahya.


3 ulasan:

riki berkata...

Salam,

Saya anak Hj. Hamdan. Saya pernah dgr ayah saya bercerita tentang ini. tapi tidak terperinci seperti ini.

Terima kasih.

hamdan berkata...

malam ini, jam 10.40 malam bersamaan 7 hari bulan december, anak saya bersama isteri saya telah menunjukkan gambar saya bersama sahabat karib saya yang bernama sunawan. memang benar apa yang dikatakan. sesungguhnya, sunawan adalah pejuang melayu dalam umno asal. beliau telah berkorban untuk memperjuangkan umno lama yang diasaskan pada tahun 1946. dia seorang pemuda yang telah menjadi mangsa korban di atas pengorbanannya memperjuangkan agenda bangsa melayu dalam umno lama. sebenarnya ramai lagi pejuang-pejuang yang bersemangat seperti sunawan yang telah menjadi mangsa tindakan pemimpin umno baru pada masa itu yang mengambil kesempatan mengisi kekosongan jawatan dalam umno baru. saya amat hormat dan tabik di atas keikhlasan perjuangan saudara sunawan yang masih muda pada ketika itu. saya harap semangat 46 akan terus kekal pada pemuda pemuda pada masa kini yang telah dilihat sebagai FUEDAL sifatnya yang kurang menghormati semangat perjuangan melayu sebelum dan selepas merdeka. sesungguhnya, pemuda - pemuda sekarang harus bersyukur dan bijak mengurus kejayaan pejuang-pejuang asal umno dan kejayaan negara sekarang. untuk mengenali bukti-bukti kekeramatan umno, lihatlah siapa sahaja yang melanggar semangat perjuangan asal umno mereka akan dicela. oleh itu, kajilah melayu dalam dirimu rata-rata untuk mengenal bangsa melayumu itu siapa?. maka diharapkan CELAAN kata " aku sudah MELUAT dengan umno " akan terhakis jua, maka bersatulah kita sebelum gugur titisan air mata darah yang tak terhingga di kalangan anak cucu kita mudah mudahan hidup terus melayu di semenanjung tanah melayu demi bangsa, agama dan negara. salam kami sekeluarga kepada saudara sunawan sekeluarga semoga sejahterelah hidupmu dan kami berdoa semoga Allah S.W.T akan sentiasa memberkati hidup anda sekeluarga.

Unknown berkata...

Bapak hamdan adalah orang yg baik . he's definition of the sky but he never to scream that he sky .. Sehat selalu pak . amin