Radio Internet FuhYooFm

Jumaat, Mac 13, 2009

MEMANCING BUKAN HOBI SEBENAR

.
Semasa kanak-kanak, saya memang suka memancing ikan di parit, sungai dan perigi. Joran pun hanya dari batang buluh atau batang kayu kecil yang banyak terdapat di kampung. Sebagai anak kampung, memancing memang menjadi kegemaran kami.

Setelah dewasa, satu ketika dulu, saya kerap mengikut rakan-rakan memancing ikan di laut. Mungkin sekitar tahun 70an dan 80an. Peliknya sehingga sekarang, saya tidak pernah mempunyai sebatang joran pun.

Rakan-rakan karib saya seperti Cikgu Wahab Muslim, Cikgu Wahab Ahmad, Sani dan Cikgu Yaakub sering mengajak dan mengikutinya memancing ke laut-laut Selat Melaka dan Laut Cina Selatan. Saya jarang menolak tetapi mengenakan syarat iaitu mereka hendaklah menyediakan segala kelengkapan memancing. Soal perbelanjaan biasanya kita akan membayar secara berkongsi. Paling tidakpun sekurang-kurangnnya seorang RM100, bergantung berapa ramai yang berkongsi menggunakan bot untuk memancing.

Dari kiri membelakangkan kamera adalah Cikgu Wahab Muslim,
Sani Muslim, saya (memakai baju coklat),
Cikgu Wahab Ahmad (di belakang memakai topi)
dan Cikugu Yaakob (kanan) sedang menyiapkan joran,
tentulah satu darinya untuk saya

Pelbagai persiapan perlu dipersiapkan seperti bekal makanan dan minuman, jaket dan sebagainya. Joran dan peralatannya seperti mata kail, batu ladung, perambut dan lain-lain akan disediakan oleh rakan-rakan saya yang memang ahli dalam bidang ini. Untuk umpan biasanya ikan kecil, sotong dan udang akan dibeli di pasar. Tetapi untuk umpan Wat-wat, kami akan membeli dari Nin yang mencarinya di sekitar Kampong Pasir dan Pengkalan Rinting, Tampoi. Harga Wat-wat untuk satu tin rokok ialah RM5.

Untuk keluar memancing di laut kebiasaannya selama satu hari satu malam. Bukan mudah untuk mendapat hasil memancing. Pernah tidak mendapat hasil, kalaupun ada tidak memadai dengan perbelanjaan yang dikeluarkan.

Kami sering memancing di sekitar Selat Melaka berdekatan dengan Pulau Pisang. Masalah yang sering berlaku di sini ialah banyak pukat tunda haram yang beroperasi di kawasan ini. Kalau ada pukat tunda tentu ikan habis dikautnya. Jadi, apa yang tinggal?. Kami akan ke kawasan pulau kerana di tempat ini banyak ikan-ikan karang. Walaupun ikannya agak kecil tetapi ia agak mudah untuk dikail. Masalahnya ialah banyak mata kail akan tersangkut di batu-batu karang. Tetapi di tempat-tempat seperti ini pengail akan terselamat dari ombak besar, tiupan angin kencang dan kapal-kapal dagang.

Kami pernah juga ke Pulau Layang di Laut Cina Selatan. Agak jauh juga (sekitar 30 km/19 batu dari Sedili Kechil) untuk sampai ke pulau kecil yang merupakan batu-batu yang timbul di permukaan laut. Lama juga untuk sampai dan ketika kami mencari labuh yang baik, kami ternampak sekumpulan ikan Lumba-Lumba di kawasan tersebut. Maka apa lagi, baliklah kami semua dan mencari tempat yang lain kerana kebiasaannya ikan akan mengelakkan dari habuan Lumba-Lumba.

Satu peristiwa yang pasti menjadi ingatan dalam peristiwa memancing ini ialah saya pernah mendapat banyak ikan Sembilang di perairan Kukup, Pontian. Ikan-ikan ini saya serahkan kepada jiran sebelah rumah (Faridah) kerana isteri saya tidak pernah masak dan makan ikan ini atau yang sejenis dengannya. Ikan ini menyerupai ikan Keli yang banyak terdapat di Sungai Chat berdekatan kediamannya dan tentulah isteri saya merasa geli kerana terdapat banyak kotoran di sungai tersebut.

Puan Faridah menghantar kepada kami sepinggan ikan Sembilan masak asam pedas. Wow.. alangkah sedapnya, mungkin kerana ikan yang dimasak adalah ikan yang baru dipancing atau mungkin memang masakannya sedap, maka sehingga sekarang kami akan mencari ikan jenis ini.

Seperkara lagi yang menjadi ingatan kepadaku ialah tangkapan ikan di Selat Melaka lebih enak dan sedap berbanding ikan-ikan yang kami dapat dari tempat lain seperti Laut Cina Selatan. Saya tidak pasti mengapa ada perbezaan tetapi kemungkinannya ialah pantai barat Semenanjung dan pantai timur Sumatera adalah kawasan berlumpur yang ditumbuhi hutan bakau.

Diantara pancingan yang pernah kami dapat ialah Pari, Merah, Siakap, Jenahak, Sembilang, Kaci, Tebal Pipi, Tetanda dan lain-lain.

Setelah lama tidak ke laut untuk memancing, pada tahun 2007 saya mengikut seorang rakan memancing di kawasan pantai berdekatan Desaru, malangnya belumpun mendapat sebarang tangkapan memancang, kepala saya pening, mual dan terasa semua isi perut akan terkeluar.

Itulah hari terakhir saya ke laut untuk memancing. Mungkin saya tidak akan dan ye.. tidak akan memancing lagi di laut atas faktor umur, kesihatan bahkan memancing itu bukanlah hobi saya yang sebenar-benarnya.

Tiada ulasan: