Radio Internet FuhYooFm

Khamis, April 05, 2007

SILATURRAHMI DI JAMBI, INDONESIA





SILATURRAHMI DI JAMBI, INDONESIA


Rabu, 24 Januari 2007, bersama 10 orang rakan-rakan mewakili Gerakan Belia 4B Negeri Johor, kami membuat lawatan ke Jambi, Sumatra Tengah, Indonesia dalam misi bertemu rakan-rakan perniagaan di sana.

Rombongan di ketuai oleh Hj Omar Rupie dan rakan-rakan lain, Abdullah & isteri, Hjh Rosnah Jalil, Hjh Salmah Sainal, Taib, Azhar, Hj Ramli (Kluang) dan dua rakan dari Batu Pahat.

Kami menaiki feri dari Terminal Stulang Laut menuju ke Batam pada jam 1.00 tengahari. Dalam perjalanan melintasi Selat Tebrau, dapat dilihat selat yang dahulu agak luas telah menjadi sempit apabila tambakan laut telah dilakukan oleh pemrintah Singapura di kiri dan kanan selat. Feri terpaksa melaluinya dengan perlahan dan melaju apabila melepasi kawasan tambakan. Persoalan ynag mungkin mendapat jawapan sendiri adalah pasir dari negara mana yang menambah luas daratan Singapura. Mungkin negara-negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia yang baik hati.

Sesampai di Terminal Batam Centre, kami disambut oleh Pak Dadang (Dadang DJ Suwarno) pemandu pelancong dan terus dibawa bertemu dengan Ketua Jabatan Pemerintah yang menjaga hal ehwal perindustrian di Sumatra. Kami dibawa melihat contoh hasil-hasil keluaran setiap Propensi di Sumatra. Agak menarik juga kerana dapat melihat barangan terutama perusahaan kraftangan.

Kami dibawa ke restoran masakan Sunda dengan pelbagai menu yang boleh menepati cita rasa kami. Kos yang dikenakan juga berpatutan dianggarkan RM10 seorang.

Seterusnya kami dibawa ke airport (bandara dalam bahasa Indonesia) untuk menaiki Riau Air. Malang berlaku di sini, video kamera yang ku bawa terjatuh dan tidak dapat digunakan.

Dah lama aku tak naik Fokker, kali ni dalam pesawat F50 aku teringat semasa mula menaiki pesawat F27 dari Senai ke Kuala Lumpur dalam tahun 70an dulu. Ketika itu semasa pesawat berlepas, gegarannya seperti seluruh bangunan seperti nak runtuh.

Alhamdullillah, dalam hujan renyai, kami sampai di Jambi dan terus check in di Ratu Hotel Resort (Bilik 307 bersama Azhar).

Legimin (panggilannya Aldi), cucu kepada Sukemi (adik ayahku) datang ke bilik bersama isteri dan 2 anaknya. Aldi membawa ke rumah kakaknya (nama tak ingat) yang berkahwin dengan Samoen (bapanya bernama Djayus bin Wongsowadin berkahwin dengan Sudjinah). Kedua suami isteri ini sebenarnya adik beradik saudara anjing.

Mereka gembira menerima kedatanganku dan memanggilku Pak De (Pak Cik). Bercerita panjang kami mengenai keluarga masing-masing. Aku dapat bercakap melalui talipon dengan Sudjinah yang ketika itu berada di Kalongan, Winong, Jawa Tengah, di rumah anaknya bernama Subari (Bari). Salah seorang anak Sudjinah bernama Sujai (Ja’ii) tak dapat ku temui kerana sekarang sedang berkursus di Jakarta. Beliau bekerja di PLN (Perushaan Letrik, seperti TNB) Jambi.

Anak-anak Sudjinah mahukannya berada di Kalongan kerana untuk mempersiapkan diri menunaikan fardu Haji pada tahun 2007/2008. Mereka tidak mahu Sujinah berada di Jambi kerana dikhuatiri beliau akan terus berjualan di pasar. Jadi, dengan berada di rumah Bari (anak dari suami yang lain), Sujinah akan lebih konsentrasi dan aman untuk menunaikan ibadah.

Malam itu baru ku tahu, dua orang pak cik ku meninggal dunia di Jambi iaitu Sukeimi dan Palil. Dua adik beradik lagi meninggal di Malaysia iaitu bapaku Hj Md Som (Hj Tohir) dan Lasjan (Maskon). Sementara yang lain meninggal di Jawa iaitu Mbok Daseh, Sarbin (Asbin), Yunus, Suneimi dan Mbok Sarpi (Mbok Pi). Kesemua sembilan orang adik beradik ini dari Haji Abdul Rahman dengan dua orang isteri yang berganti (kakak dan adik) iaitu Pawitah Haji Hassan, meninggal dunia dan diganti oleh Sariseh Haji Hassan. Aku pernah berjumpa dengan Mbok Pi dan Pak Asbin. Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat ke atas roh-roh mereka semua. Aku juga pernah berjumpa dengan bapa dan ibu mertua Pak Asbin.

Aku dijamu makan malam dengan beranika lauk pauk yang ku rasa dibeli dari luar kerana masakan minang memang makanan kegemaranku, apatah lagi dengan hidangan berpapan-papan petai di depanku. Selepas minum kopi kao (Jambi terkenal dengan keluaran kopi), aku dihantar balik ke hotel. Kawan-kawan pula sedia menunggu dan seterusnya kami berkeliling melihat keindahan malam di Kota Jambi.

Setelah makan jagung bakar dan durian, kami terus pulang ke hotel dan tidur lena dek kepenatan berjalan seharian.

Seperti hari-hari biasa, pasti aku akan terbangun pada jam 5.20 pagi (waktu Malaysia). Di subuh yang syahdu, kedengaran azan subuh berkumandang dari beberapa arah. Solatku menghala ke tingkap yang terbuka dengan samar-samar rimbunan belukar dan pokok-pokok lebih merasa khusuk apabila mengadap dan berbicara dengan Allah yang esa. Keagungan Allah telah menemukan aku dengan saudara-saudaraku di Jambi.

Tak ku sedar, Azhar memerhatikan solatku dan memuji bacaan surah yang ku baca. Lantas, mahu beliau bermakmum denganku pada waktu yang lain.

Kami bersarapan di hotel. Seperti yang ku duga, menu nasi dan mee goring seperti sudah pasti di setiap hotel di Indonesia (aku sudah biasa dengan keadaan ini). Rasanya juga sudah ku duga (memang bukan taste ku), tapi aku tetap mengambilnya juga (sepinggan). Anak Jawa, walau ke mana perginya tetap mencari nasi untuk sarapan pagi. Roti, telur dan pelbagai lagi tidak ku sentuh. Mungkin esok atau lusa aku akan cuba tukar selera.

Aku mengenakan baju lengan panjang biru berseluar hitam (pakaian pejabat) kerana nak bertemu bapak ketua badan yang menguruskan perdagangan di Jambi. Terkejut kami kerana yang menunggu kesemuanya berbaju batik. Kalau di Malaysia, dulu ada arahan untuk guna baju batik pada hari sabtu, tapi di sini, arahan menggunakan baju batik pada setiap masa. Aku rasa arahan ini adalah untuk pegawai dan kakitangan di Jambi sahaja kerana corak batik yang digunakan adalah berlainan dengan motif batik Jawa. Corak batiknya mempunyai motif pokok kangkung dan tidak corak batik Jawa seperti yang biasa kita lihat.

Taklimat yang diberi sangat memberangsangkan kerana apa sahaja yang ditanya pasti ketua jabatan akan menjawabnya dan sekiranya tidak ada, bersusah payah mereka menghubungi dan mencari ketua jabatan yang berkenaan untuk hadir. Apa yang mengelirukan adalah di waktu yang sama secara berbisik, mereka meminta kita berwaspada dengan penipuan yang mungkin berlaku apabila kita melabur dan membuat usahasama di sana.

Seperti kebiasaan yang berlaku di Indonesia, jamuannya adalah dalam kotak yang diisi dengan dua keping kueh dan air miniral (akua). Elok juga kalau kita gunakan cara ini di Malaysia kerana mengelakkan pembaziran dan kos yang lebih murah.

Selepas itu, seharian kami berkeliling kota Jambi melawat tempat tarikan pelancong seperti tempat pembuatan batik dan makanan ringan (empek-empek). Tempat-tempat lawatan tidaklah begitu menarik. Aku cuma tertarik pada satu perkampungan lama di pinggir Sungai Batang Hari (tak teringat nama kampong tersebut). Rumah-rumahnya berbentuk limas, bertiang (mungkin selalu banjir atau mengelak dari serangan binatang liar) dan mempunyai cirri kecinaan yang membawa lambang naga di bumbungnya. Pastinya kampong ini mempunyai sejarah yang tersendiri. Siapa sebenar yang membuka kampong ini dan dari mana asal usul mereka. Sayang sekali, Pak Amin yang menjadi pemandu pelancong di Jambi tidak dapat memberi gambaran yang jelas mengenai perkara ini.

Sungai Batang Hari yang merentasi kota Jambi mempunyai sejarah dan potensi besar sebagai sumber pembangunan. Sungai ini adalah yang terpanjang di Sumatera. Di sini juga terdapat tasek ladam yang terbentuk dari aliran sungai yang terputus. Di tasek ini terdapat sumber pendapatan dan makanan penduduk iaitu dari beberapa jenis ikan seperti ikan patin.

Kami dapat merasakan keenakkan ikan patin sewaktu makan tengahari di sebuah restoran terletak di tebing tasik ladam ini (Tak juga diberitahu apa nama tasik ini). Selepas makan, Pak Dadang menghiburkan kami dengan nyanyian karaoke beberapa lagi Melayu Deli (nyanyian asal Victor Hutabarat). Rosnah Jalil (Kak Ros) tumpang nyanyi lagu Semalam Di Malaysia. Pak Haji Sunawan juga nyanyi lagu Kasih Sekejap (suaranya taklah sesedap Kak Ros, apatah lagi Pak Dadang). Pak Dadang beritau kami, dulu semasa kuliah di Bandung, beliau menjadi penyanyi sebuah kumpulan band. Bapanya memberi katadua samada mahu meneruskan kuliah atau menjadi penyanyi dan beliau mengambil keputusan meneruskan pelajaran. Tapi masih belum terlambat kalau nak popular seperti penyanyi-penyanyi Indonesia yang ada sekarang (aku tak mengingati nama-nama band tersebut, tapi mengaguminya).

Sebelum kembali ke hotel, sempat juga kami membeli kain batik dan empek-empek (makanan ringan). Aku memang dah lama buat keputusan tidak akan membeli pakaian samada kain bahan atau yang sudah siap untuk isteri. Aku masih teringat suatu peristiwa (zaman muda) pernah ku belikan kain bahan dari Thailand yang ku fakir cantik (warna hijau), setelah beberapa tahun aku terjumpa kain yang sama dalam almari (tidak berusik). Dia tau dan faham kenapa aku tak membeli lagi untuknya. Tapi kali ini, aku teruja untuk membelinya bila Kak Ros, Dang dan isteri Dolah membelinya. Aku lebih teruja lagi bila Dang dan Kak Ros kata aku mesti belikan untuk Anis (isteriku) sehelai kerana kainnya cantik. Mereka memilihkan untukku. Ku bayar 250,000 rupiah (RM100) dan berharap isteriku dapat menerima ole-ole dari Jambi.

Makanan ringan juga ku beli seperti kurma dan jem nenas yang dibalut dengan tepung yang digoreng. Dodol durian juga ku beli. Tidak ketinggalan juga belacan (terasi) yang sudah siap dibakar (aku memang suka sambal belacan dan pernah aku membeli belacan dari Sabah).

Setelah solat Jamak zuhur dan asar di hotel, aku tertidur kerana keletihan.

Malamnya, tiada aturcara yang disediakan. Selepas solat jamak maghrib isyak dan makan malam, kami ke pusat karaoke di sebuah bangunan menghadap Sungai Batang Hari. Kami mengambil sebuah bilik besar dengan bayaran 850,000 rupiah (RM350). Kami menyanyi dan antara kami juga bermain kad race (kosong sahaja). Jam 12 waktu Indonesia, kami pulang ke hotel dan terus tidur.

Seperti subuh sebelumnya, pagi Jumaat syahdu ini aku menjadi imam dan membawa Surah Sajadah dan Suratul Insan. Aku berdoa semoga aku akan dapat bertemu dengan saudara-saudaraku yang lain pada pagi tersebut.

Rakan-rakan terutama Kak Ros nak mengikutku pergi ke kampong berjumpa dengan saudara-saudaraku. Aku terpaksa menolak kerana aku perlu privacy, aku tak pernah bertemu mereka dan tak tau cara kehidupannya. Begitupun, Azhar aku bawa bersama kerana aku perlu rakan yang sama-sama memahami dan sekurang-kurangnya dapat dia mengambil gambar untuk aku.

Selepas sarapan pagi, Mas Aldi mengambil aku dan Azhar, terus dibawa ke rumahnya. Di sana, Samoen, isteri dan anak-anaknya sedia menunggu. Begitu juga dengan isteri Aldi. Rumah Aldi nampak selesa (katanya dibeli dari abangnya, Suja’i). Di hadapan rumahnya nampak dua buah rumah agak usang yang diduduki oleh adik dan ibunya. Aku sempat diperkenalkan kepada salah seorang adiknya yang kebetulan ada di situ.

Perjalanan kami menaiki van kepunyaan Aldi cukup menggembirakan walaupun van tidak berhawa dingin. Aldi singgah di sebuah kedai dan membeli rambutan, air miniral dan makanan ringan untuk cicipan semasa perjalanan.

Di perjalanan, Sameon tidak berhenti-henti bercerita mengenai keluarga di Jambi. Jalan yang dilalui agak lurus melintasi perkebunan kelapa sawit, getah dan juga belukar. Aku sempat melihat seekor kancil melintas jalan. Setelah hampir dua jam, aku ditunjukkan pekan Tembisi. Selepas melintasinya, ternampak sungai Batang Hari yang kelihatan masih luas. Berhampiran dengannya, aku ditunjukkan sebuah perkuburan dan disitulah terletak kubur Pak Sukaimi. Aku membacakan fatihah kepada allahyarham semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para solihin.

Aku hampir pasti akan sampai di perkampungan sepupu-sepupuku. Benar, aku terus dibawa ke sebuah rumah berhampiran sebuah masjid. Samoen menyatakan bahawa masjid yang ada di Desa Bukit Paku ini adalah atas daya usaha Pak Sukaimi. Aku begitu percaya kerana rumah anak-anaknya berdekatan dengan masjid ini.

Aku terus ke rumah Supadi, sepupuku dan diperkenalkan kepadanya. Aku tanyakan samada mengenali Haji Md Som atau Haji Tohir? Dia cuma mendengar nama sahaja. Dan bila aku mengatakan bahawa aku adalah anaknya, dia begitu gembira. Aku sampaikan salam ibu dan keluarga yang lain serta juga dari Hussin (Kusaini anak Pak Asbin) yang mengirim salam melalui sms.

Satu persatu sepupuku datang menemuiku. Salbiah, Minanto, Matori dan Mat Karim bersalaman denganku. Gembira sekali mereka dan berceritalah kami mengenai keluarga masing-masing. Diantara mereka, Matori yang mempunyai ingatan tentang sejarah asal usul keluarga. Pada masa yang sama Azhar mengambil gambar dan berjenaka mengatakan sepesis keluarga aku kecil dan pendek tapi kenapa aku nampak lebih besar? Aku mengatakan darah (gen) Yai Reban (kelahiran Botok) lebih kuat, sebab itulah aku nampak lebih besar dari mereka semua.

Matori menceritakan bahawa asal usul kami yang diingati bermula dari SALMAH KONTE KENCON WULANG, mempunyai anak SOTO, mempunyai anak KELAMBU / KELING (MBAH LAMBU), mempunyai anak HAJI KASSAN MUJAROT (ZAKARIA), mempunyai anak HAJI ABDUL RAHMAN mempunyai anak HAJI MD SOM, SUKEIMI, DASEH, LASJAN/MASKON, PALIL, YUNUS, RASBIN/ASBIN, SUNEMI DAN SARPI.

Aku cuba memaparkan nama anak-anak dari mereka:-

HAJI MD SOM/HAJI TAHIR dan isterinya SARMI BINTI REBAN: Siti Juwariah, Mohd Asmuni, Mohd Sunawan, Ahmadon, Siti Junaidah, Siti Juliha, Siti Junainah, Siti Junaini (meninggal dunia) dan Mohd Abdul Bashir.

DASIH dan suami SADALI: Amat (5 orang anak Amat berada di Sumatera termasuk seorang di Bukit Paku, Jambi), Aman (Ali dan Umi Kusniyati), Darwati, Bari, Siswati, Umi Sriwahyuni, Ali dan Kusniyati.

SUNEMI: Soberin di Pauh, Jambi.

SARPI: Juwaldi, Kosrin dan Bianto (semua di Winong, Pati).

LASJAN/MASKON: Fatimah dan Marmi

SUKAIMI: Sujinah, Salbiah, Supadi, Minanto, Matori, Mat Karim, Kuminah (berada di Sungai Pulai, Jambi), Siti Lamseh (meninggal dunia), Jamari (meninggal dunia) dan Ajib (meninggal dunia).

PALIL: Lambari (di Terusan, Jambi), Rasmi (di Kalbungan, Jambi), Misroton dan Sumijah (di Dusun, Jambi).

SARBIN/ASBIN: Jamjuri, Kosni, Kusaini (Husin)....

YUNUS: Seorang perempuan di Winong (lupa namanya – aku pernah ke rumahnya dahulu).

Diceritakan juga bahawa Bapak Haji Abdul Rahman meninggal dunia pada waktu pagi Jumaat Wageh disebabkan oleh tertelan duri ikan bandang.

Masih banyak yang hendak diceritakan, namun tidak dapat diteruskan kerana azan muazin dari masjid berkumandang menandatkan masuknya waktu solat Jumaat. Kami ke masjid berdekatan yang dibina oleh Pak Sukaimi. Jemaah dianggarkan seramai 60 orang, bilalnya Mat Karim dan imamnya Minanto.

Selepas solat, kami dijamu makan tengahari dengan nasi berlaukkan sambal petai bercampur sardin serta rebusan pucuk ubi serta berpapan-papan petai. Masakan sambal petai agak pedas dan sedap seperti masakan orang Malaysia. Aku makan bertambah, begitu juga dengan Azhar.

Mereka semua minta aku pergi ke rumah dan harapan mereka tidak ku hampakan. Aku dapat berziarah ke rumah masing-masing yang secara kebetulannya berdekatan dan tidak terlalu jauh. Walaupun aku dapat menziarah dalam masa 5, 10 atau 15 minit, aku merasa puas kerana dapat bersilaturahmi dengan keluarga masing-masing. Kami juga dapat bergambar sebagai kenang-kenangan.

Lebih kurang jam 5 petang waktu Malaysia, kami meninggalkan Desa Bukit Paku dengan kenangan manis. Entah bila dan kapan lagi dapat kami bertemu semula. Aku percaya, suatu hari nanti sekiranya diizinkan Allah, aku akan sampai lagi ke tempat ini kerana bercadang nak membawa isteri dan anak-anak ku ke tempat ini.

Dalam perjalanan balik ke Kota Jambi, aku tertidur. Sebelum sampai ke hotel, sempat juga kami makan durian walaupun agak mahal berbanding di Malaysia iaitu RM5 sebiji (seekor sebutan orang Jambi).

Sesampai di hotel, wang 200,000 rupiah yang ku beri pada Aldi telah ditolaknya. Aku percaya beliau mempunyai keikhlasan untuk menolongku mencari dan menemui saudara-saudaraku. Beliau juga sanggup mengambil cuti dari majikannya (bekerja sebagai pemandu lori tangki membawa minyak petrol). Jasanya tetap ku kenang.

Malam terakhir kami di Jambi juga seperti malam sebelumnya. Aturcara yang disediakan oleh Pak Amin dan Pak Dadang adalah makan malam di restoran yang mempunyai kemudahan menyanyi karaoke. Menyanyi lagi kami sehingga suara menjadi serak dan pulang ke hotel lebih awal kerana persiapan untuk kembali ke tanah air pada pagi esok.

Pagi ini aku menjadi mat salleh kerana bersarapan telor goring dan kentang serta juz oren. Kami berbual panjang sementara menunggu kendaraan membawa ke airport. Kak Rosnah banyak bertanya tentang pertemuanku dengan saudara-saudaraku. Walaupun banyak perkara yang ku beritahu tapi dalam hati kecil masih ada satu perkara yang bermain-main. Apa dia? Sebelum pergi ke Jambi, isteri ku telah berpesan malahan diulangi melalui sms untuk membelikannya emping belinjau. Aku tak dapat mencarinya, mudah-mudahan dengan empek-empek dan kain batik yang kubelikan dapat memuaskan hatinya.

Dalam perjalanan ke airport, Pak Dadang membawa kami singgah di sebuah kedai menjual empek-empek. Kami tidak membeli lagi kerana merasakan barang yang dijual sama dengan yang telah dibeli tempohhari. Kami hanya minum apokat dan durian belanda. Malang bagi yang meminum durian belanda kerana terdapat cebisan pelastik dalam minuman. Mudah-mudahan tidak menjadi sebarang kemudaratan.

Kami menaiki penerbangan Mandala ke Batam dan terus di bawa ke Hotel Royal. Di sini kami disambut oleh rakan-rakan business gathering seramai 30 orang. Kami makan tengahari bersama dan bertukar-tukar pandangan mengenai perniagaan yang diceburi. Kak Rosnah sangat berminat dengan projek membuat dan menjahit pakaian. Mudah-mudahan pertemuan dan hubungan kami mendapat kejayaan.

Perjalanan seterusnya adalah ke Terminal Batam Centre. Kami akan bertolak pada jam 5.30 petang waktu Malaysia. Waktu terluang selama hampir dua jam untuk membeli belah dan sebagainya. Aku mengambil peluang mencari cyber café. Malangnya tidak dapat ditemui. Lantas aku mencari kedai menjual cd dan vcd. Puas juga ku belek-belek, tapi tidak ada yang berkenan di hati.

Akhirnya terus ku cari penghilang dahaga sambil memerhati suasana di Batam Centre. Aku meminta segelas es teler. Aku belum menjumpai minuman ini di Malaysia. Mungkin ada sebab tidak mungkin ribuan rakyat Indonesia di Malaysia yang tidak cuba menjualnya. Rasanya memang cukup enak hasil campuran dari susu dan buah-buahan seperti nangka dan sebagainya.

Aku teringat dengan pelbagai makanan dan minuman yang tidak terdapat di Malaysia. Selain es teler, ada minuman yang diberi nama es kopyor (es bermakna ais air batu) iaitu dari sejenis kelapa yang isinya hancur. Saya pernah terjumpa kelapa jenis ini semasa kanak-kanak di kampong dahulu. Begitu juga dengan es apokat iaitu dari buah avocado bercampur coklat (mungkin dari perkataan avo dank at).

Fikiranku melayang-layang jauh. Sambil melihat berbagai ragam rakyat Indonesia yang ku lihat di sekelilingku, aku terfikir alangkah bersyukurnya diriku ketika ini kerana bapaku telah mengambil satu langkah dan keputusan yang bijak apabila beliau sanggup merentas Laut Cina Selatan untuk berhijrah ke Malaysia (Malaya ketika itu). Entahlah... siapalah aku kalau tidak itu semua. Takdir dan kehendak Allah Subhanahuwataalla yang menentukan segalanya.

Aku terkejut apabila Pak Dadang mencariku disebabkan semua teman-teman yang lain sudah berada di dalam feri. Ku lihat jam di tangan dan menunjukkan pukul lima petang. Setelah mengucapkan terima kasih kepada Pak Dadang atas segala pelayanan yang diberi, aku terus menuju dan memasuki feri.

Di dalam feri, fikiranku masih melayang jauh, sejauh perjalanan bapaku dulu menaiki kapal laut dari pelabuhan Tanjung Mas, Semarang ke Singapura... hingga aku terlena di dalam feri Indomas.

Jam enam setengah petang kami sampai di Terminal Feri Zon Bebas Cukai Stulang Laut yang sedang dalam renovation (aku diberitahu Datuk K mempunyai saham terbesar di Terminal ini). Sebelum menaiki kereta untuk pulang ke rumah, Kak Rosnah memberitahu bahawa Majlis Kebudayaan Negeri Johor akan membuat lawatan budaya ke Jambi pada bulan April dan meminta sesiapa yang hendak mengikuti rombongan supaya menghubunginya lebih awal. Dalam benakku berkata, inilah lagi peluang untukku bertemu sekali lagi saudara maraku.

Aku melangkah menaiki tangga rumahku dengan disambut penuh gembira oleh isteri dan cucuku Syafikah. Apakah harapan mereka berdua seperti juga harapan sebahagian besar orang Melayu apabila aku membuka beg galas yang ku bawa?

Peristiwa tahun 70an berlaku lagi... kata isteriku warna yang tak cantik. Kekecewaanku, ku balas juga dengan ku tunjukkan gambar-gambar dalam kamera digital yang menunjukkan kegembiraan perjumpaan dan silaturrahmi antara saudara sedarah sedaging yang telah terpisah. Perpisahan disebabkan mencari kebahagiaan yang tidak terfikirkan bahawa mereka akan dipisahkan oleh kuasa penjajah Belanda dan Inggeris.

Insyaallah, umur panjang kita akan bertemu kembali.

Waullahhualam.




Tiada ulasan: