Radio Internet FuhYooFm

Sabtu, Mei 17, 2008

KEPERLUAN LAMAN WEB UNTUK PBKF



Mesyuarat pertama Persatuan Bekas Kakitangan Felda (PBKF) telah diadakan pada 15 Mei 2008 bertempat di pejabat persatuan. Sebagai AJK yang baru terpilih tentunya aku rasa teruja kerana mandat yang telah diberi oleh ahli-ahli perwakilan dalam mesyuarat agung yang baru lalu tentunya mempunyai tanggungjawab besar yang sangat diharapkan oleh ahli-ahli terutama dari mereka yang pernah menjadi ahli Kesatuan Sekerja Felda.

Banyak perkara yang telah diperbincangkan dalam mesyuarat ini yang aku fikir sekiranya ia dapat dilaksanakan, pastinya ia akan memberi menfaat yang besar kepada ahli persatuan. Tidaklah elok segala apa yang telah dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat, dipaparkan di dalam blog ini. Cuma ada beberapa perkara yang pernah dibawa oleh ahli di dalam mesyuarat agung, patut dipaparkan di sini kerana ia berkaitan dengan perkara yang agak asas untuk memperkukuhkan persatuan.

Perkara asas yang dimaksudkan adalah mengenai jumlah ahli PBKF pada masa kini (27.3.2008) adalah seramai 2905 orang sedangkan ahli yang telah meninggalkan perkhidmatan dengan Felda dianggarkan melebihi 8000 orang. Persoalan yang timbul ialah mengapa jumlah keahlian tidak mencapai 50 peratus sedangkan persatuan telah wujud sejak tahun 1991 (17 tahun).

Aku tidak begitu pasti apakah yang menyebabkan berlakunya keadaan ini. Mengikut penerangan yang diberi, telah banyak usaha dilakukan termasuk memberi penerangan kepada mereka yang akan bersara atau meninggalkan perkhidmatan.

Mungkin banyak sebab yang boleh diberi tetapi aku berkeyakinan bahawa satu pendekatan yang lebih mesra dan menjiwai bekas kakitangan ini, mungkin boleh memberi kesan yang lebih positif.

Selain dari itu, mereka mungkin telah jauh terpisah atas faktor bermastautin di tempat baru dan tidak dapat dihubungi atau dikesan.

Di dalam era teknologi maklumat yang berkembang dengan begitu pesat sekarang ini, PBKF harus mengambil peluang ini dengan menyediakan laman web yang akan memberi jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor telahpun mengumumkan projek mempertingkatkan jalur lebar itu yang akan meningkatkan keberkesanan pelaksanaan pelbagai perkhidmatan kepada rakyat, industri dan kerajaan. Mengapa pengumuman ini tidak kita gunakan untuk menjadi wadah bagi ahli-ahli berkomunikasi dengan PBKF dan sesama sendiri.

Untuk itu, PBKF hendaklah melancarkan laman web seberapa segera kerana ia akan menjadi satu detik bersejarah dalam bidang pengetahuan dan IT. Harapan yang lebih tinggi adalah agar ahli-ahli tidak terus jumud dan ketinggalan dalam dunia IT ini.

Kita percaya laman web ini akan memberi ruang kepada ahli-ahlinya untuk berinteraksi dan membuat jaringan di kalangan mereka dan bertukar-tukar fikiran, maklumat, pertanyaan perdagangan dan sebagainya.

Pastinya laman web ini akan membekalkan maklumat kepada ahli-ahli dan orang ramai khususnya mengenai perjalanan persatuan selain diharap ia dapat merapatkan lagi hubungan antara persatuan dan komunitinya.

Melalui laman web ini juga, ia boleh menjadikan ia sebagai batu loncatan untuk memberi pendedahan kepada bekas kakitangan dan ahli-ahli dalam mempelajari kemahiran menggunakan komputer dan internet. Ia juga diharapkan dapat memberi peluang kepada mereka yang telah bersara ini untuk menggunakan sumber IT dalam mengisi ruang masa yang kosong seharian.

Percayalah bahawa laman web yang akan diwujudkan ini akan menjadikan teknologi alam maya ini sebagai wadah perjuangan terbaru PBKF dengan peningkatan jumlah keahlian. Seterusnya, mengikuti perkembangan teknologi ini PBKF akan mempunyai daya saing dalam berpersatuan serta dapat ditingkatkan dari masa ke semasa.

Wahai rakan-rakan bekas kakitangan Felda, janganlah gentar menghadapi cabaran IT walaupun kita tahu sebahagian besar dari kakitangan Felda berpuluh tahun mendambakan diri di pelusuk hutan dan kampung. Kinilah masanya kita menunjukkan kepada dunia bahawa kecemerlangan Felda juga sumbangan dari kita yang pernah tertinggal dalam bidang ini.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Syabas kerana menyedari brita dan penyebaran maklumat melalui internet adalah penting kerana ianya lebih cepat dan berkesan. Namun laman web ini hendaklah sentiasa dikemaskini supaya ia menimbulkan minat untuk dilayari dan menjadi relevan kepada ahli-ahli persatuan.

inumsams berkata...

Sementara tunggu nak buat web BKF sendiri maklumat-maklumat yg menarik bolihlah disalurkan melalui blog ini. Pastinya ramai anak-anak pesara Felda yang menyusur blog. Harap mereka dapat sampaikan maklumat mengenai aktiviti-aktiviti persatuan kepada ibu-bapa mereka.