Khamis, Mei 22, 2008
PASAR BARANGAN HALAL DI BANDAR BARU UDA
Surah An-Nahl, Ayat 114: “Maka makanlah yang halal dan baik dari rezki yang telah diberikan oleh Allah (s.w.t.) kepadamu, dan syukurilah nikmat Allah (s.w.t.) jika kamu menyembah hanya kepadaNya sahaja”.
Firman Allah (s.w.t.) ini memberi ingatan kepada kita sebagai umat manusia muslim yang mesti menyadari akan tuntutan menggunakan produk halal. Namun kesadaran sahaja tidak mencukupi untuk kita menjalankan tuntutan tersebut. Masyarakat Islam pada umumnya masih belum menyadari tentang produk syubhat, samar dan syak serta mungkin haram yang telah atau akan kita gunakan.
Makanan dan produk yang halal menurut syariat khususnya, amat penting bagi memastikan segala ibadah serta doa kita akan diterima oleh Allah (s.w.t). Dalam konteks ini Imam Muslim ada meriwayatkan sebuah hadith iaitu dari Abu Hurairah (r.a) yang berkata bahawa Rasulullah (s.a.w) bersabda:
”Wahai manusia, sesungguhnya Allah itu baik dan Dia tidak akan menerima melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang yang beriman sama seperti yang diperintahkan-Nya ke atas para Rasul”.
Produk halal ini begitu luas yang meliputi segala makanan, minuman, ubat-ubatan, kosmetik, fasion, ekonomi Islam, insuran dan perbankan syari’ah, perdagangan berakhlak dan segala hal yang berkenaan dengan gaya hidup halal.
Umat Islam bukan sekadar dilatih supaya mengambil yang halal dan menjauhkan yang haram, malah perkara yang menjadi syubhat, samar dan syak juga perlu dijauhkan. Sabda Nabi (s.a.w):
"Perkara (makanan) yang halal telah jelas, perkara (makanan) yang haram juga telah jelas. Apa yang ada antara keduanya merupakan perkara yang syubhat (samar) dan tidak diketahui oleh ramai orang. Maka sesiapa yang berwaspada dari perkara yang samar, sesungguhnya dia telah membersihkan agama dan kehormatannya”.
Sebagai penganut dan pengamal agama suci Allah, kita hendaklah memastikan segala produk yang kita gunakan betul-betul halal.
Persoalan yang timbul adalah dimanakan outlet, kedai, supermarket dan sebagainya yang boleh membekalkan segala produk yang telah dipastikan halal.
Sebagai seorang penduduk dan penggerak masyarakat di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, misi halal ini hendaklah menjadi agenda utama kerana ia juga merupakan satu dakwah serta bertujuan:
- Melindungi hak-hak pengguna muslim untuk segala keperluan termasuk makanan yang halal.
- Melindungi produk halal dari fitnah dan isu kesahihan produk halal seperti yang sering dipertikaikan oleh pelbagai pihak.
- Mewujudkan perekonomian dan perniagaan halal dan sesuai dengan tuntunan Al-Qur'an.
- Berusaha segala keupayaan jemaah setempat menjalankan perniagaan dengan potensi yang ada.
- Menyediakan tempat kepada umat Islam bagi mendapatkan bekalan segala produk halal.
- Memberikan peluang kepada pengusaha produk halal kegunaan orang Islam untuk memasarkan produk mereka.
Bandar Baru Uda merupakan satu penempatan majoriti orang Melayu (80%) di tengah Bandaraya Johor Bahru. Hampir 90% dari 6,000 unit rumah telahpun dihuni. Peniaga non-muslim bersaing dengan peniaga muslim dan ia merupakan persaingan yang sengit terutama barangan bekalan makanan, harian dan peruncitan.
Kedapatan peniaga non-muslim yang tidak bertanggungjawab dengan mencampurkan produk halal dengan tidak halal serta lambakan produk yang meragukan.
Bagi mengatasi masalah ini, Masjid Bandar Baru Uda melalui Yayasan Masjid BBU hendaklah mengambil langkah kehadapan dengan mewujudkan sebuah pasar awam atau mungkin pasaraya yang menjual produk makanan halal dan segala bahan gunaan Islam yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal.
Langkah ini adalah bertepatan dengan sejarah Nabi Muhammad (s.a.w.) yang melakukan strategi utama semasa membangunkan masyarakat madani di Madinah iaitu (1) mendirikan Masjid, (2) mengikat persaudaraan antar komuniti muslim, (3) Mengikat perjanjian dengan masyarakat non-muslim, (4) Membangun sistem politik (syura), (5) meletakkan sistem dasar ekonomi, (6) menyediakan peraturan bermasyarakat, dan (7) menjadikan ajaran Islam sebagai sistem nilai dalam masyarakat.
Pada ketika Nabi Muhammad (s.a.w.) memilih untuk membangun masjid sebagai langkah pertama, baginda telah membangun masyarakat madani serta konsep masjid pula bukan hanya sebagai tempat solat, atau tempat berkumpulnya kelompok masyarakat (kabilah) tertentu, tetapi masjid adalah sebagai majlis untuk mengendalikan seluruh masyarakat (Pusat Pengendalian Masyarakat).
Secara konsepnya, masjid juga disebut sebagai Rumah Allah (Baitullah) atau bahkan Rumah Masyarakat (Bait Al Jami`).
Ia juga dapat dilihat dalam sejarah bahwa masjid pada zaman Rasul memiliki berfungsi:
1. Sebagai tempat menjalankan ibadah solat
2. Sebagai tempat musyawarah (seperti Dewan Parlimen)
3. Sebagai tempat pengaduan masyarakat dalam menuntut keadilan
4. Secara tidak langsung sebagai tempat pertemuan ahli-ahli perniagaan.
Yang lebih strategik lagi adalah masjid menjadi pusat pengembangan masyarakat dimana setiap hari masyarakat berjumpa dan mendengar arahan-arahan dari Rasul tentang berbagai hal; prinsip-prinsip beragama, sistem masyarakat baru, juga ayat-ayat Qur'an yang baru diwahyukan. Di dalam masjid pula terjadi interaksi antara pemikiran umah. Azan yang dikumandangkan lima kali sehari sangat efektif bagi memanggil dan mempertemukan masyarakat.
Strategi mengembangkan perniagaan dan urusan duniawi yang diaturkan oleh Nabi Muhammad (s.a.w.) di sekitar masjid Nabawi telah memberi inspirasi kepada Khalifah Ummar Al-Khatab untuk membangunkan segala kemudahan dan fasiliti di sekitar masjid termasuk pasar dan sekolah.
Dalam hubungan ini, cara dan pendekatan Nabi membina dan memanfaatkan institusi 'Masjid' adalah sebagai pusat pertama bagi tujuan membentuk umat Islam dalam serba-serbi urusan ummah, mengasuh, mengasah dan mendidik peribadi umat yang mantap iman, tinggi akhlak dan taat beribadah. Di masjid inilah juga Nabi banyak menerima wahyu dan di sinilah juga Nabi mengajar dan memberikan syarahan tentang ajaran-ajaran Islam.
Malah di zaman Nabi Muhammad (s.a.w.) fungsi dan peranan 'Masjid' diluaskan menjadi tempat baitul-mal, pengadilan atau mahkamah, sebagai lembaga pengajaran dan pendidikan, tempat mendeklamasikan syair atau sajak, tempat membuat pengumuman perkara yang mempunyai kepentingan masyarakat dan sebagainya. Hatta berkaitan urusan perang juga dibicarakan di dalam masjid yang bukan semata-mata dikhususkan tempat sujud, sembahyang fardu, sunat, jenazah dan ber'iktikaf. Inilah antara fungsi dan peranan 'Masjid' di zaman awal Islam.
Dengan hal yang demikian, adalah satu langkah bijak bagi pengurusan Masjid Jamek Bandar Baru Uda membangunkan perniagaan berkonsep produk halal.
Sesungguhnya Allah baik dan tidak mengabulkan (menerima) kecuali yang baik-baik. Allah menyuruh orang mukmin sebagaimana Dia menyuruh kepada Rasul, seperti firmanNya dalam Surah Al-Mukminun: 52 “Hai Rasul-rasul, makanlah dari makanan-makanan yang baik-baik dan kerjakan amalan yang salih”.
Allah juga berfirman dalam Surah Al-Baqarah: 172 “Hai orang-orang yang beriman makanlah di antara rizki yang baik-baik” Kemudian Rasulullah menyebut seorang yang melakukan perjalanan jauh, rambutnya kusut dan wajahnya kotor penuh debu menadahkan tangannya ke langit seraya berseru “Ya Robbi, Ya Robbi, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan dia diberi makan dari yang haram pula. Jika begitu, bagaimana Allah akan mengabulkan doanya? (Riwayat Muslim).
Sebuah hadith telah dikeluarkan oleh al-Tabarani daripada Ibn ’Abbas (r.a), katanya: Ayat ini telah dibaca di sisi Rasulullah (s.a.w): Bermaksud ”Wahai manusia, makanlah kamu daripada yang ada di atas muka bumi yang baik dan halal”.
Kita perlu bersungguh-sungguh memberi kesedaran khususnya kepada umat Islam supaya mereka tidak seharusnya berpuas hati menjadi sebagai pengguna barangan halal sahaja bahkan mereka semestinya menjadi pengusaha dan pengedar barangan halal dan bermutu. Menurut Islam, penggunaan produk halal memberi kesan yang amat besar terhadap amal ibadah yang kita laksanakan. Penggunaan produk yang halal akan mencemari kesucian jiwa dan kebersihan hati kita.
Industri makanan halal bukannya baru dalam negara kita tetapi penyertaan orang Melayu adalah terlau kurang. Agensi-agensi Kerajaan yang ada kaitan dengan orang-orang Melayu untuk membaiki ekonomi mereka setelah mencari peluang supaya mereka dapat menyertai dalam industri makanan halal dan juga barang-barang berkaitan dengannya mesti memberi bantuan dan sokongan. Setelah mengenal satu-satu industri maka agensi tersebut terpaksa membawa beberapa orang Melayu untuk ditunjuk ajar supaya mereka dapat menjalankan urusan perniagaan yang mereka pilih dengan keadaan yang memuaskan.
Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri dan sekiranya ia merujuk kepada Masjid Jamek Bandar Baru Uda, tentulah Kerajaan Negeri Johor melalui Jabatan Agama Johor atau Majlis Agama Islam Negeri Johor untuk memberi bantuan sewajarnya bagi mempastikan keberkesanan dan kejayaan projek yang dirancangkan.
Kewujudan Jabatan-Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri serta Persekutuan adalah untuk memberi tunjuk ajar dan bimbingan supaya niat murni berlandaskan ajaran agama dan rasul ini akan menjadi satu kejayaan terutama dalam perniagaan makanan dan barangan halal.
Masyarkaat sekarang terutama di Bandar Baru Uda mempunyai tingkat intelektual yang baik, dan pastinya pengetahuan dan kesadaran tentang pengambilan dan penggunaan barangan halal tidak perlu dipertikaikan.
Mudah-mudahan ide untuk membangunkan pasar barangan halal anjuran Yayasan Masjid Jamek Bandar Baru Uda akan menjadi kenyataan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan