Radio Internet FuhYooFm

Selasa, Julai 15, 2008

HAJI SHARIFF KAHAR MENINGGAL DUNIA





Gambar ini dipotret pada 15 Jun 2008 semasa lawatan YB Datuk Ahmad Zahid Hamidi ke Masjid Jamek Bandar Baru Uda.

Seorang lagi sahabat meninggal dunia pada minggu ini. Allahyarham adalah Haji Shariff bin Kahar, meninggal dunia disebabkan masalah pernafasan. Saya mengenalinya sejak tahun 1970an. Ketika itu beliau bergiat dalam Gerakan Belia 4B dan Pemuda UMNO Cawangan Tampoi dan seangkatan dengan Abdul Wahab Muslim, Fadhil Abdullah, Allahyarham Imam Mahbob dan lain-lain.

Mungkin saya adalah rakan terakhir yang menemuinya kerana saya berbual panjang dengannya pada malam itu setelah selesai majlis yassin tahlil dan solat berjemaah di Jalan Jagong. Beliau meninggal pada waktu subuh dan difahamkan masih belum sempat menunaikan solat subuh.

Walaupun beliau telah menghampiri umur 70 tahun, keperibadiannya sepatutnya boleh diambil sebagai contoh terbaik. Beliau mempunyai disiplin yang tinggi seperti tidak pernah memakai selipar sewaktu keluar dari rumah, sentiasa berpakaian baju kebangsaan bersamping atau bergamis apabila bersolat dan di majlis-majlis keagamaan. menepati waktu apabila berjanji, sentiasa menderma ke tabung surau atau masjid walaupun mungkin jumlahnya kecil serta mempunyai sifat perihatin dalam pelbagai hal.

Satu sifat semulajadi Allahyarham yang ramai mengetahui adalah beliau adalah sangat sensetif dan dengan sebab itu ramai rakan-rakan yang sangat berhati-hati apabila bertutur atau bergurau dengannya. Sifat ini baik kerana kita sebagai manusia sepatutnya menjaga tutur kata kita supaya tidak disalahtafsir oleh orang lain.

Bukti Allahyarham diterima oleh masyarakat dan rakan-rakan adalah begitu ramai mereka yang datang melawat jenazah dan semasa disembahyangkan adalah dianggarkan seramai tidak kurang dari 500 orang yang hadir. Dan diantara perkataan yang diungkapkan oleh Imam Hassan yang turut sama menguruskan jenazahnya ialah bagaimana keadaan jenazah yang begitu baik, rapi dan wajahnya yang dalam keadaan ceria.

Semoga Allah mencucuri rohnya, Alfatihah.

Tiada ulasan: