Isnin, Oktober 06, 2008
BERHARI RAYA DI RUMAH TERBUKA DATUK SHAHRIR SAMAD
Hari Raya Ke 5, sebelah pagi kami berhari raya di rumah jiran-jiran dan seterusnya ke majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Johor Bahru di Dewan Raya Kampung Melayu Majidee.
Ramai tetamu yang hadir, bukan sahaja dari masyarakat Melayu tetapi dari semua kaum. Mereka bersalam-salaman dengan Datuk Shahrir dan ada juga yang menyampaikan beberapa masalah. Seperti biasa, beliau akan melayan semua tetamu yang hadir dan memberi penjelasan serta cuba menyelesaikan masalah yang dikemukakan kepadanya.
Petugas media massa juga sentiasa mengerumuninya untuk mencari sumber berita apatah lagi beliau bukan sahaja sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam perdagangan dalam negeri serta hal ehwal pengguna, bahkan juga sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, pasti banyak berita yang boleh didapatkan darinya. Diantaranya adalah sebagaimana yang terpapar di Utusan Malaysia:-
Sudah terlambat – Shahrir
JOHOR BAHRU 5 Okt. – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Shahrir Abdul Samad merasakan beliau sudah agak terlambat untuk bertanding jawatan lebih tinggi pada pemilihan parti Mac tahun depan memandangkan usianya sudah 59 tahun.
Beliau berkata, justeru beliau tetap dengan pendirian untuk hanya mempertahankan jawatan sedia ada yang dianggap munasabah dengan kedudukannya sekarang.
“Dalam pertandingan kali ini, saya rasa agak terlambat dari segi usia untuk menawarkan diri bagi jawatan yang tinggi.
“Tetapi bagi jawatan lebih bawah daripada jawatan naib presiden dan bagi jawatan ahli MT, saya rasa bolehlah menawarkan diri saya,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Johor Bahru di Dewan Raya Kampung Melayu Majidee di sini hari ini.
Shahrir ditanya pemberita adakah beliau berhasrat untuk menawarkan diri bagi jawatan lebih tinggi pada pemilihan parti Mac tahun depan.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu menjelaskan, beliau boleh menyumbang kepada parti dan kerajaan dalam apa jua jawatan dan tidak merasakan sesuatu jawatan itu menjadi sekatan atau dorongan untuk menyampaikan pandangan.
“Kedudukan saya sebagai Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru pun merupakan sumbangan yang kritikal kerana jawatan itu membuatkan saya lebih rapat dengan akar umbi untuk mengetahui masalah di peringkat bawah,” katanya.
Shahrir menambah, UMNO ketika ini berada di persimpangan iaitu satu keadaan untuk pemimpin dan ahli membuat keputusan yang bijak bagi mengisi jawatan yang kosong seperti Timbalan Presiden dan naib presiden.
“Saya pernah dan sentiasa menyatakan ingin melihat perubahan generasi dalam UMNO,” katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan