KUALA LUMPUR 11 Nov. – Kaum Melayu merupakan kumpulan terbesar dalam senarai penduduk negara ini yang pendapatannya di bawah RM1,000 sebulan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S. K. Devamany berkata, berdasarkan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (HIS) yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun lalu, sebanyak 301,000 isi rumah kaum Melayu memperoleh pendapatan di bawah RM1,000 sebulan.
‘‘Sebanyak 495,500 isi rumah yang mempunyai pendapatan di bawah RM1,000 sebulan secara keseluruhannya.
‘‘Pecahan itu merangkumi 50,900 isi rumah kaum Cina, India (29,000), Kadazan (29,300), Orang Asli (7,500) dan lain-lain (78,800),” katanya semasa menjawab soalan Dr. Micheal Jeyakumar Devraj (PKR- Sungai Siput) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, bagi kumpulan berpendapatan antara RM1,001 hingga RM2,000 pula, keseluruhan bilangan isi rumah ialah 1,695,900 isi rumah dengan 976,500 daripadanya adalah Melayu, 338,300 (Cina), 125,300 (India), 38,800 (Kadazan), 9,800 (Orang Asli) dan 207,200 untuk kaum-kaum lain.
Dalam pada itu katanya, sebanyak 1,144,700 isi rumah memperoleh pendapatan antara RM2,001 hingga RM3,000.
‘‘Seramai 614,700 daripada mereka adalah orang Melayu, 300,800 (Cina), 121,500 (India), 15,300 (Kadazan), 2,500 (Orang Asli) manakala 89,900 isi rumah daripada kaum-kaum lain.
‘‘Bagi pendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000 terdapat sebanyak 743,000 isi rumah dengan 380,500 daripadanya adalah Melayu, 234,700 (Cina), 73,300 (India), 8,900 (Kadazan), 1,000 (Orang Asli) dan 44,600 kaum lain.
Katanya, seramai 497,800 isi rumah memperoleh pendapatan antara RM4,001 hingga RM5,000 pula dengan 254,700 daripadanya adalah Melayu, 166,600 (Cina), 44,800 (India), 6,900 (Kadazan), 200 (Orang Asli) dan 24,600 kaum lain.
‘‘Bagi pendapatan antara RM5,001 hingga RM10,000, ia membabitkan seramai 914,200 isi rumah.
‘‘Daripada jumlah itu, 419,200 adalah Melayu, 368,400 (Cina), 76,800 (India), 13,400 (Kadazan) dan 36,500 lain-lain kaum.
‘‘Sebanyak 235,300 isi rumah memperoleh pendapatan antara RM10,001 hingga RM20,000 dengan 85,700 adalah Melayu, 118,700 (Cina), 23,400 (India), 800 (Kadazan) dan 6,700 kaum lain,” jelasnya.
Sementara itu, terdapat 49,500 isi rumah yang memperoleh pendapatan melebihi RM20,000 sebulan dengan 16,500 adalah Melayu, 27,900 (Cina), 3,600 (India) dan 1,500 dari kumpulan etnik lain.
==================================================
Saya sengaja memaparkan laporan di atas kerana pagi ini saya begitu marah apabila diberitahu Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak meluluskan permohonan bantuan kepada Puan Rogayah binti Abbas beralamat di 33 Jalan Padi 4, Bandar Baru Uda, Johor Bahru.
Puan Rogayah adalah seorang ibu tunggal yang mempunyai pendapatan RM300 hasil dari pencen suaminya yang telah meninggal dunia. Beliau mendiami rumah pusaka suaminya bersama seorang anak istimewa bernama Mohd Najib bin Zakaria @ Musa, 31 tahun. Anak ini lumpuh dan terlantar di pembaringan sejak dari kecil akibat demam panas.
Saya diberitahu, Puan Rogayah mengeluarkan perbelanjaan yang banyak terutama lampin pakai buang dan susu sedangkan beliau tidak dapat mengerjakan pekerjaan lain disebabkan keadaan kesihatan (61 tahun) serta terpaksa menjaga Mohd Najib.
Mengikut Puan Rogayah, alasan yang diberi oleh Pegawai JKM ialah keadaan rumahnya yang sempurna dengan mempunyai pelbagai perabut.
Soalnya ialah segala perabut, peralatan dan rumah yang didiami adalah dari tinggalan suaminya ketika bertugas sebagai pemandu. Setelah suaminya meninggal, tidak ada sebarang perabut atau peralatan baru yang dibeli. Manakah cukup dengan pendapatan RM300 sebulan?.
Tahun lalu, saya telah berusaha mendapatkan bantuan dari Majlis Agama Islam Johor dan alhamdullillah permohonannya telah diluluskan.
Malangnya, bantuan dari MAIJ telah diberhentikan pada bulan November ini dan Puan Rogayah perlu membuat permohonan sekali lagi. Urusan ini memang berlaku setiap tahun. Kalaulah ini peraturan MAIJ, ia benar-benar membebankan dan menyusahkan orang yang memang susah dan perlukan bantuan. Tidakkah lebih prektikal kepada pegawai MAIJ untuk terus membuat siasatan dan lawatan pada setiap tahun. Sekurang-kurangnya dapat juga mereka menjenguk dan melaporkan keadaan sebenar orang yang diberi bantuan.
Apakah setelah pemohon dengan bersusah payah pergi ke Jabatan untuk mengambil borang, mengisinya, mendapatkan sokongan Ketua Kampong dan sebagainya lantas mengembalikan semula ke pejabat. Bila pula nak lulus? Terpaksa lagi menunggu laporan dan lawatan pegawai. Belum lagi menunggu mesyuarat dan pelbagai birokrasi untuk mendapatkan bantuan.
Wahai pegawai-pegawai JKM dan MAIJ, kasihanilah mereka sebagaimana kita mengasihani ibu bapa dan anak-anak kita. Takdir tuhan menjadikan Puan Rogayah dan Mohd Najib begitu. Bagaimana sekiranya nasib itu menimpa pada diri kita? Cukupkah RM300 untuk menampung segala-galanya dalam persekitaran hidup di Bandaraya Johor Bahru yang terkenal dengan kos hidup yang tinggi!.
Fikirkanlah dan tinggalkanlah segala persangka negetif dan birokrasi tuan-tuan semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan