Radio Internet FuhYooFm

Sabtu, November 22, 2008

TELUSKAH UMNO JOHOR BAHRU MEMILIH AHLI-AHLI MAJLIS BANDARAYA JOHOR BAHRU?



Cadangan Ahli Majlis MBJB dari UMNO Johor Bahru, gambar dari atas Hjh Salamah Saffar, Dato' Yahya Jaafar, Azman Hj Dawam, Azura Affandi (pemerhati), Khalid Mohamad dan Mohd Sunawan Hj Md Som




















UMNO Johor Bahru telah diberi peruntukan untuk mengemukakan lima calun untuk dilantik sebagai Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru bagi tempoh 2009-2010.

Dato’ Shahrir Samad selaku Ketua UMNO Bahagian telah mencadangkan supaya Sdr. Khalid Mohamad (Ketua Pemuda) dan Puan Hjh. Salamah Saffar (Ketua Wanita) sementara tiga yang lain dipilih dari kalangan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian yang ingin menawarkan diri.

Pemilihan Hjh Salamah Saffar disebabkan keperluan mengemukakan seorang calun wanita sebagaimana yang dikehendaki oleh pentadbiran Negeri Johor. Sementara itu, Khalid Mohamad baru menjawat Ahli Majlis pada bulan April 2008 menggantikan YB Hj Adam Sumiru yang terpilih sebagai ADUN Tanjung Puteri.

Semasa mengemukakan kedua-dua nama tersebut, Dato’ Shahrir tidakpun menyebut mengenai keperluan dari segi jawatan yang disandang. Ini dapat dilihat apabila beliau tidak mencadangkan nama Ketua Puteri, Azura Affendi sedangkan beliau juga layak. Apakah disebabkan Azura yang baru menjawat Pegawai Khas JPM (jawatan kontrak) dan ditempatkan di pejabat Felda menyebabkan beliau terpinggir.

Sebelum ini UMNO Johor Bahru pernah mengemukakan nama Hj Aziz Hashim yang berkhidmat dengan Perbadanan Johor dan beliau telah diterima sebagai Ahli Majlis selama sepenggal. Datuk Shahrir tidak menyebut mengenai perkara ini dan yang pasti ialah beliau tidak menyatakan bahawa jawatan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita sebagai faktor cadangannya.

Perkara ini penting untuk diperjelaskan kerana ia akan menjadi satu presiden atau contoh ikutan yang akan digunakan pada masa akan datang. Pastinya ia akan dituntut oleh ahli-ahli pergerakan sayap parti UMNO di Johor Bahru setiap kali mengemukakan calon.

Bagi tiga calon yang lain, sembilan orang Ahli Jawatankuasa telah menawarkan diri termasuk Dato’ Yahya Jaafar yang berada di luar Negara tetapi telah mengemukakan surat persetujuannnya melalui Sdr Hamid Halidek. Malang bagi Hj Mohd Said Ibrahim, Ahli Majlis bagi Zon Bandar Baru Uda yang tidak dapat menawarkan diri kerana kalah dalam pemilihan Jawatankuasa di mesyuarat perwakilan yang baru lalu.

Mesyuarat bersetuju supaya pemilihan dibuat secara undian sulit dan membenarkan Pengerusi iaitu Dato’ Shahrir berkecuali di dalam pengundian dan kiraan undi akan dibuat olehnya. Seramai 27 orang telah mengundi termasuk Datuk Haji Ali Mohamad (Timbalan Ketua) dan 3 AJK yang dilantik oleh Ketua terdiri Naib-naib Ketua Pemuda, Puteri dan Wanita.

Semasa mengumumkan keputusan pengundian, Dato’ Shahrir menjelaskan bahawa 3 nama teratas akan dikemukakan iaitu Mohd Sunawan Hj Md Som, Azman Hj Dawam dan Dato’ Yahya Jaafar. Nama-nama lain mengikut urutan jumlah undi yang diterima akan disenaraikan sebagai calon Ahli Majlis sekiranya terdapat penolakan ke atas tiga nama yang dicadangkan. Ini bermakna Syed Yassin Ali, Hj Jalil Long, Hj Abu Talib Alias, Hj Md Raf Murad, Hj Hashim Ahmad dan Hj Abu Bakar Ibrahim masih mempunyai peluang untuk menjawatnya.

Pengumuman Pengerusi mesyuarat tentang peluang enam nama yang lain ini telah menguji sejauh mana keakraban dan kesetiakawanan di antara rakan-rakan dalam Jawatankuasa UMNO Bahagian. Ini disebabkan pengumuman dan keputusan ini boleh menyebabkan mereka yang terlalu berminat untuk jawatan ini akan berusaha mencari jalan penyingkiran walau dalam apa cara sekalipun. Pelbagai fitnah boleh berlaku sekiranya iman di hujung kuku atau tidak percaya kepada qada’ qadar ketentuan dari Allah swt.

Adakah ini berlaku di Bahagian Johor Bahru? Mudah-mudahan Allah melindunginya. Begitupun, adalah menjadi satu peringatan kepada semua pihak yang berminat untuk menjawat pelbagai jawatan samada Ahli Majlis, ADUN, Ahli Parlimen, Pelawat Hospital, Pegawai-Pegawai Khas Penerangan/Kemas dan sebagainya, bahkan untuk mendapatkan sebutir pingat kebesaran seperti PPN/PIS, mereka hendaklah sentiasa bersih atau kelihatan bersih dari semua aspek.

Sebagai Pengerusi mesyuarat dan Ketua UMNO Bahagian, Dato’ Shahrir telah berulang kali mengingatkan semua lapisan pemimpin supaya tidak mengambil kesempatan dan mempunyai kepentingan peribadi dalam organisasi yang dicerburinya.

Di akhir mesyuarat, majlis sebulat suarat mencadangkan Azura Affandi (Ketua Puteri) sebagai pemerhati Ahli Majlis menggantikan Haji Ali Senawi yang tidak memenangi Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian.

Di bawah adalah berita dari Berita Harian Online pada Sabtu, 22 November 2008 / 24 Zulkaedah 1429

Johor: Ketua Whip MBJB lepas jawatan

Oleh Johan Afandi
johan@bharian.com.my

Hashim hanya dapat empat undi dalam pemilihan ahli majlis minggu lalu

JOHOR BAHRU: Ketua Whip Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Hashim Ahmad, yang tidak sampai setahun memegang jawatan berkenaan, terpaksa melepaskannya selepas tidak terpilih semula untuk menjawat jawatan Ahli Majlis MBJB selepas kalah dalam undian pada peringkat Umno bahagian Johor Bahru.

Difahamkan, Hashim yang terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa Umno bahagian Johor Bahru dalam mesyuarat pemilihan lalu, hanya mendapat empat undi dalam pemilihan untuk jawatan Ahli Majlis MBJB yang diadakan minggu lalu.

Turut tidak dipilih semula adalah Ahli Majlis MBJB Zon Uda, Mohd Said Ibrahim, yang kalah dalam pemilihan AJK Umno bahagian dalam Mesyuarat Umno bahagian berkenaan, bulan lalu.

Sumber berkata, Ketua Umno bahagian Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad menetapkan Ketua Pemuda Umno bahagian, Khalid Mohamad dan Ketua Wanita Umno bahagian, Salmah Safar saja yang terpilih secara automatik untuk memegang jawatan sebagai Ahli Majlis, manakala yang lainnya perlu dipilih secara undian.

"Salmah akan meneruskan tugas sebagai Ahli Majlis Zon Taman Suria, manakala Khalid pula Ahli Majlis Zon Larkin," katanya.

Umno bahagian Johor Bahru diperuntukkan lima kerusi Ahli Majlis iaitu Zon Larkin, Kampung Melayu, Taman Suria serta Bandar Baru Uda dan secara tradisinya, Ahli Majlis yang mempunyai jawatan paling senior pada peringkat bahagian berkenaan akan dipilih sebagai Ketua Whip MBJB.

Sebelum Hashim, jawatan Ketua Whip MBJB disandang Naib Ketua bahagian Johor Bahru, Adam Sumiru yang kemudian melepaskannya selepas terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Puteri.

Selain Umno Johor Bahru, Umno Pulai mempunyai tiga tempat sebagai Ahli Majlis diikuti Pasir Gudang (dua) dan Tebrau (satu)

Sumber itu berkata, tiga AJK Umno Johor Bahru dipilih untuk menjawat jawatan Ahli Majlis MBJB dan mereka ialah Azman Dawam, Sunawan Mat Som serta Datuk Yahya Jaafar.

"Kemungkinan untuk Umno Johor Bahru mengekalkan jawatan Ketua Whip MBJB pada tahun depan dilihat sukar kerana Ahli Majlis Zon Tampoi dari Umno Pulai, Ramlee Bohani dilihat lebih senior kerana memenangi jawatan Timbalan Ketua Umno bahagian," katanya.

Beliau berkata, kontrak Ahli Majlis MBJB akan tamat akhir tahun ini, dan pelantikan baru akan dibuat selewat-lewatnya Mac depan selepas mendapat izin daripada Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

"Ramlee lebih berkebolehan dan berketrampilan untuk memegang jawatan Ketua Whip kerana pengalamannya yang luas sebagai Setiausaha Kerja Umno Johor selain sudah empat tahun menjadi Ahli Majlis MBJB.

"Bagaimanapun, Timbalan Ketua Umno bahagian Pasir Gudang, Datuk Ibrahim Ghaffar juga adalah Ahli Majlis dan kemungkinan, beliau terpilih sebagai Ketua Whip MBJB baru tahun depan, juga tidak boleh diketepikan," katanya.

Dari kiri, Syed Yassin Ali (nama sedia menunggu sekiranya berlaku penolakan atas nama yang dikemukakan), Hj Mohd Said Ibrahim (Ahli Majlis yang tewas dalam pemilihan AJK Bahagian) dan Hj Hashim Ahmad (Ketua Whip yang tidak terpilih sebagai Ahli Majlis)



3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sebagai pembaca blog yang konsisten, saya berminat untuk memberikan komen mengenai isu ini. Sdra sebagai AJK UMNO Bahagian JB yang telah terpilih sebagai Ahli Majlis MBJB yang baru tidak seharusnya mempertikaikan keputusan yang di buat. Keputusan yg dibuat telah dibuat secara konsesus. Sdra boleh buat kritikan atau ulasan tetapi perlu diatas platform yang jelas tidak dibuat secara terbuka.

Sebagai penulis blog seperti sdra, kritikan dan ulasan yang sdra ketengahkan didalam blog ini secara terus atau 'head-on' telah menjejaskankredibiliti dan imej parti yang sdra sendiri perjuangkan.

Dari penelitian saya sebagai blogger, pandangan dan ulasan sdra mengenai isu pemilihan Ahli Majlis ini tidak sesuai dikeluarkan didalam blog peribadi atau blog keluarga sdra kerana impaknya nanti akan mengaibkan sdra dan ahli keluarga.

JIka benar sdra mempunyai pandangan yang lain atau ulasan maupun juga kritikan mengenai sebarang isu, adalah lebih baik ianya mempunyai bloh sendiri seperti chedet.blogspot.com atau suarajohor.com Jika sesungguhnya sdra berminat didalam penulisan dan ingin menjadi blogger yang konsisten, sdra boleh memohon kepada blog di atas untuk menjadi penulis tetap.

Tindakan sdra ini dilihat seperti seperti senjata makan tuan. Perkara seperti ini perlu dihindarkan. Jangan libatkan blog ahli keluarga sebagai blog politik. Akibatnya akan lebih buruk .... Terima kasih

Tanpa Nama berkata...

Suarajohor.com boleh dilayari di www.suarajohor.com

Tanpa Nama berkata...

The intelligible answer