Satu majlis penghargaan kepada guru-guru dan ahli jawatankuasan Badan Kebajikan Sekolah Agama Bandar Baru Uda di atas segala sumbangan mereka kepada sekolah pada setahun yang lalu, telah diadakan pada 21 Februari 2009 mulai jam 8.00 malam bertempat di Danga Cruise, Danga Bay, Johor Bahru.
Majlis anjuran bersama antara pihak sekolah dan badan kebajikan ini juga diharapkan akan dapat memberi motivasi kepada guru-guru agar lebih gigih untuk memajukan sekolah dan anak didik.
Selain itu, ia juga diharapkan dapat mengeratkan hubungan diantara guru-guru dan ahli jawatankuasa Badan Kebajikan.
Untuk pertama kalinya, majlis ini telah diadakan di atas kapal Danga Cruise 8 yang menelusuri Selat Tebrau dari Jeti Danga Bay menghala ke Tambak Johor dan berpatah balik.
Pelayaran selama dua jam amat memadai dengan bayaran yang dikenakan oleh pengurusan iaitu RM50.00 untuk setiap peserta termasuk makan malam secara buffet.
Setelah menikmati jamuan, majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Sdr Ramli Jusoh, Ahli Jawatankuasa Badan Kebajikan dan diikuti oleh ucapan Pengerusi Sambutan.
Sdr Haji A Razak Mohamad, Pengerusi Badan dalam ucapan alu-aluannya mengucapkan terima kasih atas kesungguhan guru-guru yang bertugas dengan penuh dedikasi untuk mendidik pelajar. Begitu juga dengan guru besar yang telah berpindah iaitu Ustazah Hajah Rusilah Omar dan segala kecemerlangan yang ditunjukkannya akan dapat diwarisi oleh guru besar yang mengambilalih iaitu Ustaz Masrin Soib.
Guru Besar dan guru-guru yang diraikan juga telah diminta menyampaikan ucapan dan majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah serta cenderamata.
Juruacara pada malam tersebut, Puan Muhawa telah dapat menghidupkan suasana majlis dengan penuh kemeriahan kerana kepetahan dan soalan teka-teki.
Majlis berakhir pada jam 10 malam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan