Radio Internet FuhYooFm

Sabtu, Mei 02, 2009

BERITA MELALUI SMS TENTANG KEMATIAN

.
Selepas solat subuh hari ini, saya mendapat sms memberitakan kematian Datuk Haji Ali Mohamad, bekas ADUN kawasan Tanjung Puteri dan masih memegang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru.

Ketika meraikan pelawat dari Masjid Sultanah Bahiyah, Alor Star yang melawat Masjid Jamek Bandar Baru Uda, saya mendapat sms dari seorang isteri tentang suaminya yang sedang nazak di Hospital Sultanah Aminah. Beliau menggesa saya segera menemui suaminya di hospital.

Saya bergegas ke majlis doa selamat seorang rakan di Bandar Baru Uda dan ketika itu saya sempat membalas sms tadi dan akan berusaha ke hospital seberapa segera yang mungkin.

Begitupun, saya bersama Haji Hussein Ismail (Bendahari Masjid Jamek Bandar Baru Uda) terpaksa pula ke Masjid Sultan Abu Bakar untuk bersama solat jenazah Allahyarham Datuk Haji Ali Mohamad.

Dari masjid, saya terus ke Hospital Sultanah Aminah menemui rakan yang dikatakan sedang nazak.

Saya sungguh terkejut kerana rakan yang dikatakan oleh isterinya sedang nazak sebenarnya berada dalam keadaan sedar dan boleh berbual-bual dengan menceritakan kesihatan dirinya.

Pelek juga kerana tidak ada sesiapa pun hatta isterinya sendiri yang menghantar sms berada di sampingnya.

Saya membelek sekali lagi sms tersebut bahkan sebelumnya pun saya telah menghebahkan kepada rakan-rakan yang lain.

Apa akan terjadi kiranya sms ini saya tunjukkan kepada rakan yang sedang saya lawati ini?.

Saya tidak menyalahkan si isteri yang menghantar sms, mungkin beliau tidak berpengalaman berhadapan dengan seseorang yang sedang mengadap sakaratulmaut. Atau mungkin atas keikhlasannya meminta rakan-rakan melawat suaminya yang sedang terlantar di hospital sejak empat hari yang lalu.

Begitupun, ia memberi kesedaran dan keinsafan kepada saya untuk segera memberitahu rakan yang lain supaya menziarahinya apatah lagi apabila rakan yang sedang sakit ini mengalirkan air mata apabila saya dan Haji Hussein meninggalkannya.

Mudah-mudahan beliau akan segera sembuh dan dapat memberi sumbangbakti kepada masyarakat dan di masjid seperti sebelumnya.

Sebentar tadi saya ke Kampong Melayu untuk membaca surah Yassin dan bertahlil bersama keluarga isteri di rumah kakak. Isteri pula tidak dapat bersama kerana demam dan muntah-muntah (saya sempat membelikan ubat demam dan tahan muntah dari farmasi).

Sekali lagi saya menerima sms dan berita yang diterima adalah kematian seorang lagi rakan iaitu Ustaz Haji Salleh Satak di Jalan Tekukur, Larkin. Beliau adalah bekas AJK UMNO Bahagian Johor Bahru dan memegang jawatan Pengerusi Biro Agama, jawatan yang saya ambilalih sekarang.

Mungkin esok tengahari saya dapat menziarahi jenazah, itupun kalau masih berkesempatan kerana pada sebelah pagi saya terpaksa mengikuti mesyuarat agung Pusat Dialisis dan Kesihatan serta mesyuarat tahunan Masjid Jamek Bandar Baru Uda.

Kedua-dua mesyuarat ini sangat penting kerana saya berada dalam saf kepimpinan.

Tiada ulasan: