Radio Internet FuhYooFm

Ahad, Mei 10, 2009

KETENTUAN PERPINDAHAN PENDUDUK 8 KAMPUNG AKIBAT PEMBINAAN LEBUHRAYA JB-EDL

.
Dato' Shahrir menjelaskan tujuan perjumpaan

Perpindahan penduduk 8 kampong di Lembangan Sungai Tebrau dan kawasan Bakar Batu hampir menjadi kenyataan apabila perjumpaan diantara ketua-ketua masyarakat kampong berkenaan dengan Dato' Shahrir Samad, Ahli Parlimen Johor Bahru di Hotel Mutiara pada hari ini telah memutus dan menentukan blok serta plot yang akan diduduki.

Turut sama dalam perjumpaan ini adalah Tuan Haji Mohd Noorazam bin Dato' Haji Osman (Timbalan Pengarah Makro dan Penswastaan Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor,) Encik Fadhly Suffian bin Laili (Penolong Setiausaha Cawangan Perumahan Negeri Johor) dan wakil dari Tebrau Teguh Berhad.

Turut hadir, Haji Mohd Noorazam bin Dato' Haji Osman

Seramai 2,932 keluarga dari perkampongan setinggan Desa Melayu, Desa Makmur, Desa Jaya, Kampong Dato' Hajah Hasnah Ahmad, Kampong Tengah, Kampong Belantik, Kampong Tok Siak dan Kampong Bakar Batu perlu ditempatkan semula berikutan pembinaan projek Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Johor Bahru Timur (Johor Bahru Eastern Dispersal Link - JB EDL) bagi mengurangkan kesesakan lalulintas di bandaraya Johor Bahru.

Wakil dari penduduk terlibat perpindahan

Lebuhraya sepanjang 8.1 km yang dibina oleh Malaysian Resources Corp Berhad (MRCB) dengan Tebrau Teguh Berhad (anak syarikat Kumpulan Prasarana Rakyat Negeri Johor) akan menghubungkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Iskandar dengan Lebuhraya Utara-Selatan di Pandan yang dijangka siap pada tahun 2012.

Projek ini telah menyebabkan penduduk setinggan berkenaan perlu dipindahkan dan bantahan awal penduduk melalui Ahli Parlimen Johor Bahru telah menyebabkan Kerajaan Negeri Johor melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri melakukan beberapa tindakan susulan seperti melantik Perunding TAJMA dari Universiti Teknologi Malaysia untuk melakukan bancian serta kajiselidik penduduk terlibat.

Dato' Shahrir bersama Dato' Hamsan Saringat (Pengarah UPEN)

Hasil kajian Perunding TAJMA telah dilapurkan melalui pertemuan serta dialog pada 19 April 2009 bertempat Bilik Gerakan Tun Abdul Razak, Bangunan Sultan Ibrahim. Malangnya kajian tersebut telah ditolak oleh Dato' Shahrir dan perlu dilakukan sekali lagi kerana tidak menepati keperluan seperti jumlah anak penduduk dan penyewa yang berhak untuk dipindahkan serta perlu dibuat penyelidikan.

Perjumpaan UPEN dengan wakil penduduk

Perjumpaan pada hari ini pada dasarnya telah bersetuju penduduk asal yang menduduki tanah berstatus TOL akan ditawarkan rumah jenis pangsa kos sederhana rendah seluas 850 kaki persegi dengan harga RM35,000.00. Unit yang akan ditempatkan adalah dari tingkat 1 hingga tingkat 5.

Dato' Shahrir meminta supaya surat tawaran dari Cawangan Perumahan Johor hendaklah menunjukkan harga yang ditawarkan adalah RM80,000.00 dan Surat Perjanjian Jual-Beli (S&P) juga menunjukkan harga yang sama walaupun harga yang perlu dijelaskan adalah RM35,000.00.

Bagi anak-anak penduduk dan penyewa rumah asal akan ditawarkan unit-unit dari tingkat 6 ke tingkat 12 untuk unit berkeluasan 750 kaki persegi dengan harga RM50,000.00.

Turut sama dalam perjumpaan pada 19 April
adalah Jawatankuasa UMNO Bahagian Johor Bahru

Dato' Shahrir juga memberitahu kesediaan kerajaan untuk memperuntukkan kewangan bagi tujuan penyelenggaraan lif dan juga usaha hendaklah dilakukan untuk memberi peluang kepada pembeli yang tidak mampu untuk mendapatkan pinjaman dan pembiayaan kewangan dengan cara sewabeli.

Ketua-ketua masyarakat juga diberi ingatan supaya tidak menyalahgunakan amanah yang diberi dengan memasukkan nama yang tidak berhak seperti kaum keluarga dan saudara mara kerana ia akan menyebabkan pertelingkahan dan jalan terbaik adalah mempamirkan nama mereka yang berjaya di balai-balai raya.


Tiada ulasan: