Radio Internet FuhYooFm

Isnin, Mei 04, 2009

PANGGILAN UNTUK ANGKAT SUMPAH SEBAGAI AHLIMAJLIS MBJB

.


Sebentar tadi saya menerima panggilan dari Puan Saodah, seorang kakitangan Majlis Bandaraya Johor Bahru meminta saya hadir untuk upacara angkat sumpah sebagai Ahlimajlis, Majlis Bandaraya Johor Bahru pada hari Rabu, 6.5.2009 mulai jam 3.00 petang bertempat di Dewan Mesyuarat, Aras 1, Bangunan MBJB.

Sebelum itu saya diminta untuk upacara raptai di tempat yang sama pada jam 1.30 tengahari.

Saya tidak terkejut dengan panggilan ini kerana nama saya telahpun disenaraikan oleh UMNO Bahagian untuk menjawat jawatan tersebut. Apa yang tidak terpikir adalah panggilan angkat sumpah pada bulan ini kerana dikatakan nama atau calon dari Parti MIC masih belum dikemukakan kepada Kerajaan oleh parti berkenaan.

Perkara ini diperjelaskan sendiri oleh YAB Menteri Besar Johor dalam perjumpaan dengan Jawatankuasa UMNO Bahagian Johor Bahru di kediamannya pada minggu lalu. Begitu juga dengan berita yang disampaikan oleh Sdr Azman Hj Dawam, Ahli Majlis MBJB yang akan dilantik sekali lagi pernah menyatakan bahawa berkemungkinan jawatan mereka akan disambung untuk dua bulan lagi iaitu Mei dan Jun 2009.

Jawatan yang sepatutnya telah dikosongkan mulai Januari 2009 yang lalu tidak dapat dipenuhi disebabkan nama-nama yang dicalonkan oleh Parti MCA dan MIC masih belum dikemukakan. Kelewatannya mungkin disebabkan parti masih menunggu pemilihan pegawai-pegawai dalam mesyuarat yang diadakan pada tahun ini.

Pemilihan saya sebagai Ahlimajlis kali ini adalah bagi kali yang kedua kerana sebelum ini saya pernah menjawatnya pada tahun 1996 hingga 1998. Ketika itu saya menganggotai UMNO Bahagian Pulai.

Mungkin pengalaman yang ada dapat saya gunakan bagi memberi perkhidmatan yang lebih berkesan kepada Majlis dan juga penduduk sebagai pembayar cukai di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru khususnya di zon yang akan ditentukan kelak.


Tiada ulasan: