Radio Internet FuhYooFm

Rabu, Mei 27, 2009

SEDIH MELIHAT RUMAH KELAHIRANKU DIROBOHKAN

.
Petang Ahad baru lalu, saya balik ke kampong untuk melihat kerja-kerja meroboh bahagian dapur rumah yang diduduki oleh emak dan keluarga adik bungsuku.

Bahagian rumah yang diroboh ini dahulunya adalah rumah jenis sesebuah kepunyaan datuk (sebelah emak) yang saya panggil 'Yai Reban. Rumah kayu berlantaikan simin ini dahulunya mempunyai sebuah bilik tidur. Segala kayu termasuk tiang, geleggar dan sebagainya adalah dari kayu-kayu yang terdapat di hutan berdekatan.

Bentuk rumah pula tidak banyak perbezaannya dengan rumah di Jawa Tengah. Perbezaannya adalah pada bumbungnnya yang menggunakan atap rumbia dan telah ditukar kepada zink sedangkan di Jawa Tengah menggunakan atap genting berwarna kemerahan.

Banyak nostalgia di rumah ini kerana saya dilahirkan di situ, begitu juga dengan abang dan kakakku.

Ingatanku juga masih segar bagaimana 'Yai Reban meninggal pada tahun 1958, jenazahnya diletak di bahagian serambi rumah yang agak sempit. Ketika itu umurku 6 tahun dan telahpun menjadi murid tahun 1 di Sekolah Seri Senang Hati, Benut.

Ketiadaan 'Yai Reban menyebabkan keluargaku yang sebelumnya mempunyai rumah sendiri bersebelahan dengan rumah ini, berpindah ke rumah datuk untuk bersama-sama menjaga 'Nyai Rahmah (isteri 'Yai Reban).

Sebuah rumah baru jenis kayu bertiang dibina di hadapan rumah asal pada tahun sekitar 1960. Rumah yang dibina secara bergotong-royong oleh orang-orang kampung ini disiapkan oleh Wak Salim iaitu saudara kepada bapaku dari Parit Tengah.

Rumah inilah yang masih kekal sekarang. Adik bungsuku yang mewarisi rumah ini menyatakan bahawa beliau belum berhasrat untuk meruntuhkannya kerana ia mempunyai nilai tinggi dan tersendiri.

Saya berpendapat rumah ini dalam keadaan uzur dan perlu dirobohkan selain kedudukannya yang terlalu rapat dengan jalan yang digunakan oleh orang-orang kampung. Keadaan fizikal emak tyang sukar untuk bergerak juga tidak sesuai dengan keadaan rumah yang ada.

Bagaimanapun, adikku yang menjaga emak mempunyai alasan tersediri dan adik-beradik yang lain tentulah akur dengan keputusan dan pemikirannya.

Sedih juga melihat bangunan yang bersejarah kepada keluargaku terpaksa dirobohkan. Inilah satu hakikat yang mesti diterima seumpama orang yang hidup pastinya akan mati juga.

Tiada ulasan: