Radio Internet FuhYooFm

Rabu, Julai 01, 2009

APA SUDAH JADI DENGAN PAKATAN RAKYAT

.
Sudah lama saya tak update blog ini. Hari ini saya tergerak kerana terbaca dua berita yang begitu kontras. Anda baca berita dibawah ini yang saya ambil dari harakahdaily dan berikutnya pula dari mStar. Saya cuba mencari berita kedua dari harakahdaily, masih belum ditemui.

Siapa yang berpecah-belah dan siapa yang memecah-belahkannya?.

Berita dari harakahdaily:

Presiden PAS tempelak BN, cuba pecah-belahkan Pakatan Rakyat

KELANA JAYA, 1 Julai (Hrkh) - Presiden PAS Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang menempelak usaha yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh Umno untuk mewujudkan perpecahan dalam Pakatan Rakyat.

Menurutnya, BN berusaha untuk melaga-lagakan setiap parti dalam Pakatan Rakyat dan perhimpunan malam tadi PAS menempelak tohmahan yang dilemparkan oleh parti pemerintah itu.

"Perhimpunan ini juga menjadi bukti perpaduan dalam Pakatan Rakyat masih kuat dan saya mengucapkan terima kasih kerana kehadiran saudara dan saudari pada malam ini ke dalam satu majlis perhimpunan ini untuk menunjukkan betapa Pakatan Rakyat dapat melakukan satu pembaharuan...perkara ini tiada dalam BN.

"Umno dan BN bergelut dengan pelbagai krisis lebih dari 20 tahun, tidak boleh selesai, termasuk krisis yang berlaku dalam parti kompenannya," katanya dalam ucapan Himpunan Perdana Perpaduan 100,000 Pakatan Rakyat semalam.

Ini katanya, menyebabkan kedudukan Pakatan Rakyat menjadi sebuah parti yang matang dan boleh memimpin negara serta diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah negara dalam pilihanraya yang akan datang.

Ustaz Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata ini menunjukkan bahawa BN sudah menjadi sebuah parti yang uzur, dan tidak mampu lagi untuk memimpin negara.

Menurut beliau, PAS adalah sebuah parti yang menjadikan akidah Islam sebagai pegangan, matlamat dan memperkenalkan cara perpaduan yang yang diajar oleh Islam sedangkan Umno, parti yang telah gagal menunjukkan model perpaduan yang sebenar.

Islam katanya, mengajar perpaduan untuk menegakkan keadilan, menegakkan kesaksamaan dan mengajar perpaduan di kalangan umat Islam berdasarkan hubungan

Berita dari mStar:

Marah kerajaan negeri: DAP keluar Pakatan Rakyat Kedah

KUALA LUMPUR: DAP Kedah memutuskan untuk keluar daripada Pakatan Rakyat hari ini ekoran tindakan kerajaan negeri itu yang didakwa tidak menyelesaikan siri isu yang wujud sejak selepas pilihan raya umum 2008.

Keputusan untuk keluar Pakatan Rakyat Kedah diputuskan oleh DAP sebentar tadi, kata Pengerusi DAP Kedah dan Perlis, Thomas Su ketika dihubungi mStar Online.

"Keluar, kami sudah buat keputusan... ini keputusan mutkamad kami (DAP Kedah)," kata beliau sambil menambah, atas prinsip dan pendirian parti, pihaknya memutuskan tindakan sedemikian.

Kata beliau, keputusan itu telah diambil selepas Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) merobohkan rumah sembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Setar petang tadi.

Sepasukan anggota penguat kuasa MBAS merobohkan rumah sembelihan babi itu pada pukul 3.30 petang tadi.

Mengikut laporan media sebelum ini, premis itu sepatutnya dirobohkan penghujung Mei lalu, tetapi ditangguhkan selama sebulan sehingga semalam.

Ia merupakan antara beberapa isu yang menjadi punca retaknya kerjasama DAP dalam Pakatan Rakyat Kedah.

Satu lagi isu ialah kontroversi mengenai kuota perumahan 50 peratus bagi bumiputera.

Oktober lalu, kerajaan Pakatan Rakyat Kedah meningkatkan kuota tersebut daripada 30 peratus kepada 50 peratus bagi projek perumahan baru di negeri itu.

DAP mempunyai hanya seorang wakil rakyat di Kedah iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Darulaman, Lee Guan Aik.

Su berkata, ia merupakan antara beberapa isu yang tidak menemui penyelesaian walaupun dibangkitkan dan dibawa kepada perhatian kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Rakyat.

Kata beliau, pihaknya akan memanjangkan keputusan itu kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dalam waktu terdekat untuk pengesahan.

"Keputusan ini perlu mendapat pengesahan CEC," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Jawatankuasa Penganjur Pusat DAP, Teresa Kok ketika ditemui di lobi Parlimen memberitahu, beliau menyedari tentang keputusan tersebut sebentar tadi.

"Mereka mengambil keputusan untuk keluar Pakatan Rakyat selepas tidak berpuas hati dengan pendirian kerajaan negeri tidak menyelesaikan masalah-masalah yang timbul... DAP Kedah mendapati banyak masalah masyarakat bukan Melayu tidak diselesaikan," katanya.

Ketika ditanya sama ada DAP akan membincangkan isu itu dalam waktu terdekat, Teresa memberitahu, perkembangan itu akan dibincangkan pada mesyuarat pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat di sini esok.


Tiada ulasan: