Radio Internet FuhYooFm

Khamis, Julai 30, 2009

JANGAN SESIAKAN MALAM JUMAAT

.
Bagi orang Islam, terlalu banyak keistimewaan hari Jumaat. Diantaranya dikatakan ia adalah Hari Raya bagi umat Islam, neraka tidak menggeleggak, pelupusan dosa dan segala roh berkumpul. Ada beratus-ratus lagi keistimewaan pada hari tersebut.

Begitulah juga pada malamnya. Sebab itulah ramai yang tidak mensesiakan malam tersebut. Diantaranya ialah ramai yang mengadakan bacaan Yassiin dan tahlil.

Kumpulan Yassiin Al-Ikhlas Jalan Jagong, Bandar Baru Uda, Johor Bahru adalah kumpulan yang kini saya menjadi ketuanya. Saya baru beberapa bulan mengambilalih jawatan ini kerana ketua sebelumnya iaitu Ustaz Haji Kasbi Ismail telah meninggal dunia.

Kumpulan yang telah ditubuhkan sejak tahun 1982 ini telah bergerak dengan begitu baik dan menjadi wadah kepada penduduk di Jalan Jagong untuk berkumpul pada setiap malam Jumaat.

Ahli-ahli kumpulan ini telah berkurangan dari tahun ke tahun disebabkan ahli yang semakin tua, uzur dan meninggal dunia. Begitupun, ia tidak melemahkan semangat dan keazaman ahli-ahli untuk terus bergerak demi menyempurnakan hajat tuan rumah untuk terus beramal disamping merapatkah ukhuwah.

Pada ketika Allahyarham Ustaz Haji Kasbi menjadi ketua, beliau sering memberi tazkirah selepas solat Isyak. Sejak dari peninggalannya, saya memenuhinya dengan memaklumkan kepada ahli-ahli tentang segala kegiatan yang berlaku di sekitar Bandar Baru Uda atau berita lain yang perlu diketahui.

Bagaimanapun, mulai minggu ini saya telah mengisi kekosongan tazkirah ini dengan membaca hadis-hadis yang telah dibukukan oleh Jabatan Agama Johor. Untuk kali pertama ini saya telah membaca hadis dan tafsirannya yang berkaitan dengan kemuliaan membaca Alquran.

Mudah-mudahan apa yang kami lakukan ini akan berterusan dan mendapat keberkatan dari Allah subhanahu wataala.

Tiada ulasan: