Radio Internet FuhYooFm

Ahad, Ogos 23, 2009

SOLAT TARAWIH DI MASJID BANDAR BARU UDA

.
Beginilah ramainya jemaah BBU menunaikan
solat Tarawih pada 8 rakaat pertama
lelaki dewasa dan kanak-kanak


Antara amalan yang pasti di tunggu-tunggu dalam bulan Ramadhan adalah solat sunat Tarawih. Di Masjid Bandar Baru Uda, seperti di surau dan masjid tanah air kita, kehadiran jemaah pada malam pertama amat membanggakan. Untuk jemaah lelaki, wanita dan kanak-kanak dianggarkan kehadiran adalah seramai 3,000 orang. Untuk membuat perkiraan di masjid ini amat mudah kerana setiap saf memuatkan 100 orang dan seramai 4,200 orang boleh memenuhi ruang solat berhawa dingin (42 saf).

Seperti tahun-tahun lalu, sebelum memulakan solat Tarawih, Imam Haji Munadi Muhajir (Ketua Imam) akan memperingatkan beberapa perkara penting terutama keharusan menunaikan solat sebanyak 20 rakaat serta ketertiban anak-anak yang turut sama bersolat.

Inilah yang berbaki ketika selesai solat Witir

Italic
Di masjid ini telahpun mempunyai tiga orang imam tetap. Bagaimanapun, untuk mengimamkan solat Tarawih, dua orang imam tahfiz diberi tanggungjawab. Mereka adalah Imam Talahah dari Klang, Selangor yang pernah berkhidmat pada tahun lalu dan Imam Illiyiin dari Jalan Tarom, Johor Bahru.

Saya bersama Hj Abdullah Saaban, Hj Sapawi Johari, Zaharin Saniman dan Mahadir Ibrahim melakukan rutin tahunan menjaga kanak-kanak untuk tertib semasa menunaikan solat. Inilah diantara cabaran kami selama ini kerana sebahagian besar ibubapa yang membawa anak-anak akan membiarkannya berada di belakang saf.

Persoalan kanak-kanak belum baligh berada di belakang saf dan tidak ramai ibubapa yang berani membawa anaknya berada dalam saf yang sama dengannya. Ini merupakan satu fenomena yang hampir sebati dengan penduduk Muslim di Malaysia.

Persoalan inilah yang menyukarkan kami Ahli Jawatankuasa Masjid untuk mentertibkan ratusan kanak-kanak dalam ruang solat yang besar. Boleh dibayangkan bagaimana kanak-kanak ini bermain dan berlari-lari di ruang masjid luas dan tidak bertiang!. Bising dan mengganggu jemaah yang menunaikan solat.

Akhirnya, penyelesaiannya ialah semua kanak-kanak tersebut diletakkan di dalam saf yang sama dengan orang dewasa terutama ibubapa mereka. Keputusan yang mungkin tidak menyenangkan sesetengah para jemaah ini terpaksa diambil memandangkan keperluan dan juga terdapat jemaah dewasa yang lebih gemar berada di saf belakang.

Alhamdullillah, walaupun begitu ramai jamaah yang menunaikan solat sunat Tarawih di masjid ini, suasananya begitu tenang, terkawal dan syahdu terutama dengan bacaan Imam yang menjadikan makmum lebih kyusuk.

Begitupun, bagi mereka yang khuatir solatnya terbatal disebabkan bersebelahan dalam saf kanak-kanak belum baligh, sila baca permasalahan ini yang dikeluarkan oleh pejabat Mufti Negara Brunei Darussalam.

Mengakhiri program solat sunat Tarawih di Masjid Bandar Baru Uda adalah tadarus Al-Quran. Seramai 15 kumpulan jemaah lelaki dan 8 kumpulan jemaah wanita bertadarus yang melibatkan hampir 150 orang.

Tadarus di Masjid Jamek Bandar Baru Uda

Selepas bertadarus, Biro Kebajikan Masjid telah menyediakan jamuan moreh.


Tiada ulasan: