Saya tertarik dengan saranan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa kakitangan Felda 'turun ke bawah' melihat permasalahan peneroka (klik di sini).
Sepanjang 26 tahun bekerja dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau Felda dan kebanyakan masa bekerja saya adalah di tanah rancangan, saya menganggap saranan ini adalah sebagai peringatan dan ulangan arahan dari pegawai atasan sahaja. Kakitangan Felda yang sebahagian besarnya berada di merata tanah rancangan, tentulah tidak terkejut dengan saranan ini kerana tugas mereka sepanjang hari adalah bersama dengan masyarakat peneroka.
Kakitangan Felda sangat mengenali masyarakat peneroka di tempat mereka bertugas. Mereka mengenali bukan sahaja peneroka itu sendiri, malahan keluarganya, pekerjaan mereka dan segala-galanya. Ini adalah sebahagian besar tugas mereka sehingga menganggap peneroka itu sendiri sebagai keluarga sendiri.
Terlalu banyak yang hendak dipaparkan. Saya sendiri masih teringat bagaimana seorang peneroka datang merayu untuk mendapatkan beras dan susu anak kerana tidak kecukupan wang. Ini berlaku pada tahun-tahun 1970an, ketika masyarakat peneroka belum memperolihi pendapatan lumayan.
Ketika peneroka memperolehi penghasilan yang baik, lain pula ceritanya. Diantara mereka ada yang berusaha untuk mempelbagaikan kegiatan dengan menceburi perniagaan. Ini juga tugas kakitangan Felda untuk membantu walaupun mereka sendiri tidak pernah berniaga sehingga ramai pula yang sanggup menjadi penjamin pinjaman dari institusi kewangan. Akibatnya ramai yang diisytiharkan bankrap kerana peminjam tidak dapat melunaskan pinjaman.
Inilah diantara contoh yang saya katakan kakitangan Felda tidak terkejut malahan ia merupakan satu ulangan arahan dari pegawai-pegawai atasan Felda, dan sekarang diulang semula oleh Timbalan Perdana Menteri.
Yang sepatutnya diberi perhatian oleh Timbalan Perdana Menteri ialah bagaimana membantu kakitangan Felda yang tidak berpeluang mendapatkan kemudahan selepas bersara seperti ditawarkan tanah dan rumah sebagaimana peluang dan kemudahan untuk generasi anak peneroka Felda.
Nampaknya masyarakat peneroka lebih penting dari kakitangan dan pegawainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan