Radio Internet FuhYooFm

Isnin, April 21, 2008

ADIK SEPUPU MENJADI ANAK





Aku dan isteriku memanggilnya Hussin. Nama sebenarnya adalah Husaini. Bapanya bernama Asbin iaitu adik bapak berlainan ibu yang juga adik kepada ibu bapakku (Pawitah Binti Haji Hassan Mujarrot). Maknanya dia adalah sepupu waris. Pada tahun 1997 aku membawanya ke Johor Bahru. Ketika itu mungkin dia berumur 22 tahun. Kelulusannya dari Sekolah Menengah Agama dan pesantren. Dia berkebolehan membaca ayat-ayat Al-Quran dengan berlagu dan mempunyai suara yang baik.

Semasa menetap bersama-samaku di Johor Bahru, dia memanggilku ayah dan isteriku pula sebagai mama sebagaimana panggilan dari anak-anakku. Abang adalah panggilan anak-anakku kepadanya. Aku menganggapnya sebagai anak dan dialah yang mengajar anak-anakku terutama Amalina mengenal dan membaca Al-Quran. Oleh kerana dia tak pernah melakukan kerja-kerja berat di kampongnya, aku menyerahkan kepada Haji Mohd Said untuk bekerja sebagai pekerja landskap. Dapatlah juga pendapatan dari kerja-kerja menyiram, mencantas dan menjaga pokok-pokok bunga. Mungkin itulah pekerjaan yang sesuai baginya untuk seorang santri (panggilan untuk murid dari pesantren atau madrasah). Dua tahun dia bersama keluargaku dan terpaksa juga pulang ke Indonesia.

Setelah pulang, dia melangsungkan perkahwinan dengan Sholihatun. Aku, isteri dan Amalina pergi dalam majlis yang sangat bermakna baginya. Kami menghadiahkannya set pinggan mangkuk yang dibeli di gedong membelibelah Matahari, Semarang. Kami sangat mengingati majlis ini kerana pada masa itulah bapa mertuaku, Haji Mansor bin Ahmad meninggal dunia di Johor Bahru. Isteriku menangis kerana tidak bersama disisinya tapi kami tak terkilan kerana sebelum ke Indonesia, telah pergi berjumpa dengannya dengan membawa beberapa ketul goreng puyoh iaitu makanan yang allahyarham sangat suka. Kami sempat meminta maaf dengannya walaupun ia agak uzur dan boleh pula menghantar kami ke pintu pagar rumah Mak Dah (Faridah Mansor).

Sejak dari itu, kami hanya berutusan melalui telefon dan sms sahaja. Kedatanganku kali disambut dengan besar hati. Aku tahu kerana ia menyediakan makanan untuk makan tengahari dengan lauk pauk termasuk sate kambing. Aku tahu ia sangat terkilan kerana kami makan sedikit sahaja terutama sate kambing. Bukannya kami tak mahu makan banyak, tetapi sate kambing yang disediakan mungkin tidak sama rasanya dengan sate kambing di Malaysia. Maklum sahaja sate langsung dibakar dari daging yang tidak dibubuh sebarang rempah. Pencecahnya adalah kicap bersama bawang dan tomato. Apapun yang penting adalah harapan dan pengorbanannya menyambut kedatangan kami. Hanya kepada Allah swt diserahkan segala pembalasan atas niat baiknya.

Aku sangat terkejut dengan kedai yang dimilikinya. Kedai atau toko diberi nama "Toko Senada" yang diambil dari nama putrinya. Tidak seperti kuduga yang mungkin hanya jualan barangan jajan (makanan ringan seperti gula-gula). Aku menganggarkan barang jualan seperti pakaian, kain baju, peralatan sekolah, alatulis, permainan kanak-kanak dan sebagainya dianggarkan RM30,000. Bagiku ia adalah besar atau lumayan dalam bahasanya untuk jualan keperluan penduduk kampungnya.

Premis yang diduduki sekarang, bahagian hadapan untuk perniagaan dan belakang sebagai tempat kediaman adalah kepunyaannya setelah dibeli dengan cara tunai. Hussin juga mempunyai sebuah kereta untuk kegunaan peribadi dan juga mungkin untuk membeli barangan jualan terutama dari Pati dan Kudus. Tanah kosong bersebelahan rumahnya juga telah ditawarkan kepadanya dengan harga RM30 ribu. Perbincangan dengan bank telah dibuat untuk membiyai pembelian.

Puterinya yang diberi nama Nada Nisrina Labiba kini berumur lapan tahun dan aku dimaklumkan tentang isterinya sedang hamil tiga bulan. Aku berdoa moga beliau akan dikurniakan seorang anak lelaki soleh mewarisinya dan dari darah daging Mbah Haji Abdul Rahman.

Setalah hampir sejam dirumahnya di Desa Kajar, Kecematan Trangkil, Kabupaten Pati, kami dibawa oleh Hussin ke rumah-rumah sepupuku di Desa Pekalongan.

Insyaallah kami akan sampai lagi kerumahnya dan berharap businessnya akan lebih sukses. Dia juga berjanji akan datang ke Johor Bahru sekiranya Amalina melangsungkan pernikahan.

Tiada ulasan: