Radio Internet FuhYooFm

Isnin, April 21, 2008

PERJALANAN SILATURROHMI






Pagi Selasa 15 April 2008, abang (aku dan adik-adik lain memanggilnya Kang Ni seperti yang diajar oleh emak dan bapakku) dan Kak Nor terpaksa membawa dua kereta untuk membawa kami ke LCCT Sepang. Selain membawa beg untuk pakaian peribadi, aku membawa dua beg lagi yang diisi dengan coklat dan kain ela untuk dihadiahkan kepada saudaramara di Jawa. Di LCCT aku dapati Haji Alimat dan dua rakannya telah sedia menunggu. Dia menaiki pesawat dari Senai dan akan bersama ke Surabaya. Distinasi selanjut mereka adalah ke Pulau Lombok.

Kami berlepas jam 12.40 dan selepas dua jam setengah sampai di Lapangan Terbang Juanda, Surabaya dan dijemput oleh supir yang disediakan oleh Pak Ganang dari PT Perwita Nusaraya. Syarikat ini mempunyai hubungan dagang dengan Haji Mohd Said kerana ia adalah pembekal pekerja asing. Kami terus ke Hotel Bisanta Bidakara di Jalan Tegalsari dan meninggalkan isteri-isteri di situ kerana kami perlu berjumpa dan berurusan dengan keluarga Pak Ganang di Graha Perwita Building, Jalan Raya By Pass Km 31 Krian, Sidoarjo.

Setelah pertemuan dengan keluarga Pak Ganang, kami pulang ke hotel dan mengambil makan malam di Restoran Cianjor, Jalan Palembang. Makanannya enak dengan masakan Jawa Barat. Pastinya kami memesan ikan goreng Gurame kerana aku tak pernah jumpa di Malaysia. Ikan lain yang kami jamah adalah ikan Nila yang dibuat sup dan juga masakan asam manis. Sup asem hanya aku sorang yang menjamahnya. Yang lain tidak terbiasa dengan masakan ini. Sayurnya pula adalah goreng pucuk labu, kailan serta ulam-ulam. Sambalnya memang sedap kerana diletak di dalam lesung kecil. Kami minta tambah sambal kerana tak kecukupan. Minumannya sudah pasti Apokat, air batu camput dan teh manis (Teh O). Semua perbelanjaan makan untuk tujuh orang ini adalah 290 ribu rupiah (RM100). Lumayan kan?.

Sarapan pagi di hotel dan seterusnya kami menggunakan mobil (kereta) jenis Kijang Super yang boleh membawa tujuh penumpang. Kereta ini disewa melalui Pak Akbar (Pengurus di Perwita Nusaraya). Mengikut Pak Akbar, sewa untuk kereta ini adalah 375 ribu dan pemandu perlu dibayar 150 ribu setiap hari. Aku tahu bayaran yang disebut oleh Pak Akbar adalah termasuk komisen untuknya. Kami tahu bagaimana cara nak mengajar Pak Akbar supaya ia tidak akan memperbodohkan kita. Biarkan saja dulu.

Pak Ahmad (Kami memanggilnya Mamat kerana ia masih muda sekitar 28 tahun dan mempunyai seorang anak berumur 5 tahun)Pemandu (supir) kereta Kijang datang menjemput kami di hotel jam 6 pagi (7 pagi waktu Malaysia). Distinasi pagi ini adalah terus ke Pati, Jawa Tengah. Mamat memberitahu perjalanan adalah di antara lima hingga enam jam. Di dalam perjalanan, Hussin menghantar SMS supaya kami ke rumahnya dahulu di Juwono dan tidak terus ke rumah emaknya di Desa Pekalongan.

Perjalanan ke Pati amat santai dan tidak perlu terburu-buru. Pemandangan di kiri kanan amat indah kerana agak berbeza dengan suasana di Malaysia. Sawah padi dan diselangi dengan kolam-kolam ikan Bandeng (aku tak tahu jenis ikan ini tapi sangat popular di Indonesia) dan Lele (Keli), ladang Garam, tebu, kacang tanah, jagung serta pokok Jati di kawasan tanah berbukit adalah pemandangan biasa di sini.

Yang pelik tapi benar adalah di Pulau Jawa ini sangat susah untuk kita berjumpa dengan burung-burung berterbangan sebagaimana yang kita biasa lihat di Malaysia. Kita akan berjumpa burung-burung ini hanya di dalam sangkar saja. Memang menjadi kebiasaan orang di sana membela burung di dalam sangkar. Aku pernah berjumpa beberapa orang yang pergi memikat burung dan mungkin untuk dijual sebagai mata pencarian. Jadi bagaimana burung membiak? Di sawah-sawah padi, jarang kita berjumpa boneka atau apa saja bentuk peralatan menghalau burung. Kicauan burung langsung tidak kedengaran melainkan di rumah yang kita singgah dan mempunyai burung peliharaan.

Penat (capek) dalam perjalanan, kita berhenti. Tak perlu buru-buru (tergesa-gesa). Beberapa tempat kita berhenti rehat. Tak risau sebab supir (pemandu) boleh jadi jurubicara.

Di satu tempat, isteriku ternampak warong tepi jalan jualan air kelapa muda. Kami berhenti dan memesan sebiji untuk setiap orang. Sambil menunggu minuman kami melihat di kaca tv dari cd penyanyi dangdut yang sedang panas dan top, penyanyi dangdut seksi Dewi Persik. Goyangnya memang mengasyikkan kerana pakaiannya yang aku fikir ia berkemban sahaja boleh melorot (boleh jatuh ke bawah) dan nampaklah ia sangat berani dan seksi. Aku diberitahu, Dewi Persik telah diceraikan oleh suaminya yang bernama Syaiful Jamil. Aku difahamkan goyang artis ni dinamakan goyang patah-patah dan ngecor. Bekas suaminya pernah melarang supaya tidak meneruskan aksinya. Yang peliknya artis ini boleh pula membuat persembahan di Insert Investivigasi di Trans Tv, Indonesia.

http://ibukomandan.multiply.com/photos/hi-res/upload/R-scOQoKCE0AAFRJHjA1

Setelah membayar minuman yang berharga RM2 bagi setiap biji dan membuang air kecil di bilik air (WC - bunyinya Wei Sei), kami meneruskan perjalanan dan singgah sebentar di sebuah surau (musolla) daerah Rembang untuk solat jamak zuhur dan asar. Mamat (supir) agak alim orangnya dan bersama kami menunaikan solat.

Setelah beberapa kali bertanyakan arah dan lokasi rumah Hussin di Juwono, akhirnya kami sampai dirumahnya jam dua petang waktu Malaysia.

Mengalir airmataku bertemu dengannya...

Tiada ulasan: