Radio Internet FuhYooFm

Isnin, April 14, 2008

MENJENGAH SAUDARAMARA DI JAWA





Petang ini aku bersama isteri dan Syafikah akan ke rumah abang di Taman Sri Serdang dengan menaiki kereta Haji Mohd Said Ibrahim. Tujuan adalah untuk menginap dan seterusnya meminta abang menghantar ke Terminal LCCT Sepang bagi penerbangan ke Surabaya. Aku mengambil penerbangan AirAsia kerana kos pergi dan balik cuma RM210 seorang. Cuma setelah dua hari, kos untuk syafikah yang belum mencapai umur empat tahun menjadi RM398. Haji Mohd Said dan isterinya akan mengikut sama dalam penerbangan ini.

Kami bersetuju untuk perjalanan santai. Maksudnya tidak mempunyai jadual tetap dan boleh berubah mengikut kesesuaian. Yang tetap adalah penerbangan pergi dan balik sahaja. Begitupun kami bersetuju untuk bermalam di Surabaya pada malam pertama dan keesokannya akan ke Desa Pekalongan, Kecematan Winong, Kabupaten Pati, Jawa Tengah. Di desa inilah asal usul keturunan sebelah bapak sementara ya'i/datuk (bapa kepada emak) juga dari desa bersebelahan iaitu Desa Botok. Pastinya rumah pertama yang akan aku lawati adalah rumah Allahyarham Pak Asbin kerana rumah tersebut masih diduduki isteri Pak Asbin. Aku harap juga Kusin (anak Pak Asbin) yang aku panggil Hussin akan menunggu di sana. Beliau pernah kubawa ke rumah dan bekerja di Johor Bahru dan bekerja dengan Haji Mohd Said dalam kerja-kerja landskap.

Kuasa Allah telah menentukan anak-anak Haji Abdul Rahman Bin Zakaria yang kesemuanya dilahirkan di Desa Pekalongan telah berpisah-pisah samada terus menetap di sana, ke Jambi, Sumatra atau ke Johor. Pasti mereka mempunyai sejarah tersendiri dan yang aku tahu bapak diminta datang ke Malaya untuk membawa balik abangnya yang bernama Maskon. Difahamkan Pak Maskon sudah bertunang di Jawa. Sebaliknya, bapak yang pergi menjemput langsung tidak teringat untuk balik ke Jawa. Begitulah tarikan Malaya yang kaya dengan hasil seperti kopi, cengkih dan sebagainya yang menjadi daya penarik kepada pemuda pemudi dari Tanah Jawa ke sini.

Aku tidak tahu mengapa aku mempunyai perasaan mendalam yang ada kaitan dengan hubungan darah keluarga. Pada tahun 1973, ketika aku bekerja sebagai kerani Felda dengan gaji 235 ringgit sanggup meminjam wang koperasi sebanyak satu ribu ringgit dan memberi kepada bapak. Tujuannya adalah supaya bapak dapat balik dan melawat saudara mara di Tanah Jawa. Paspot bapak No. A0513996 ada dalam simpananku. Bapak balik ke Jawa pada 7.9.1972 sebagaimana cap getah dan tandatangan Abu Tojib, Kepala Desa Pekalongan. Lama juga bapak berada di sana dan balik pada 2.10.1972. Pada ketika itu aku sudahpun bertunang dengan isteriku yang satu ini.

Di antara ole-ole yang dibawa balik dan masih menjadi ingatan sehingga kini adalah bagaimana bapak menyeludup seekor burung merpati dengan cara menyembunyikannya di dalam kocek seluar. Tidak sampai seminggu merpati ini dalam sangkar di Kg Puteri Menangis, akhirnya menemui ajal.

Sejak dari tarikh itu hanya kabar dan berita dari Tanah Jawa yang dibawa melalui beberapa kenalan bapak yang balik atau datang dari sana. Aku tau bapak mempunyai perasaan untuk balik lagi tetapi apa daya kerana adik-adikku semuanya masih bersekolah melainkan aku seorang yang bekerja dan kakak sulung sebagai suri rumah dan mengikut suami di Bandar Tenggara.

Di Indonesia, aku pernah beberapa kali ke Medan untuk lawatan berkelumpuk samada bersama isteri atau dengan kawan-kawan tetapi tidak pernah ke Pulau Jawa. Pada 23 Mei 1993 aku ke Jogjakarta untuk seminar yang dianjurkan oleh Pertubuhan Boroh Antarabangsa (ILO). Selama hampir satu minggu aku berseminar dan menginap di Hotel Sahid Jaya. Pada hari terakhir seminar, aku mengambil peluang untuk bertemu keluarga bapak di Pati dengan menyewa sebuah kereta siap dengan pemandu (supir). Setelah puas bertanya di sana sini, akhirnya aku sampai di rumah Pak Asbin. Kebanyakan rumah-rumah berkeadaan gelap dan benarlah sangkaanku kerana semua keluarga Pak Asbin sudah di kamar tidur. Setelah aku memperkenalkan diri dan menyampaikan salam dari bapak dan keluarga, ku lihat mereka semua terkejut sebagaimana juga aku terkejut melihat suasana dalam rumah. Suasana yang tak pernah ku lihat sebelumnya, sebuah rumah beratap genting, berlantaikan tanah keras, kerusi ambin (kerusi panjang mungkin buatan sendiri) dan dindingnya aku tak pasti dari kayu jenis apa cuma yang pasti dindingnya tidak rapat. Kejutan ini sebenarnya menjadi kegembiraan kepada mereka dan juga diriku. Kalau tadinya rumah sunyi sepi, semakin larut malam semakin ramai keluarga yang datang. Aku tak pasti siapa yang memanggil. Tetiba seorang ibu tua memelukku dan mengalirkan air mata. Beliau adalah Mbok Pi iaitu adik bungsu bapak. Air matanya sentiasa mengalir dan aku tau beliau sangat rindukan bapak kerana dari cerita yang aku dengar, bapaklah yang menjaga mereka walaupun bukan adik beradik seibu. Semasa kecil bapak telah kematian ibu (Pawitah Binti Haji Hassan) dan ya'i Haji Abdul Rahman telah mengambil adik kandung Mbok Pawitah sebagai isterinya (salin tikar). Inilah cinta sejati Ya'i Haji Abdul Rahman apabila kehilangan isteri dicurahkan pula kepada adiknya.

Kenanganku dihidangkan nasi panas berlaukkan dua biji telur rebus, kicap dan beberapa cucuk sate yang aku fikir tentu dibeli dari penjual yang ada di Pekalongan. Aku tak ingat samada aku makan bertambah atau tidak tatapi yang pasti aku cuba memberi keyakinan kepada mereka bahawa aku sangat menghormati jamuan makan malam yang dihidangkan.

Perbualan kami sungguh rancak dengan menggunakan bahawa Indonesia. Mereka semua berbahasa Jawa dan aku sengaja tak mahu menggunakannya kerana diantara budaya Jawa adalah seseorang itu dianggap kurang ajar sekiranya tidak menggunakan bahasa lebih halus kepada orang yang lebih tua atau tetamu yang baru dikenali. Masih terngiang-ngiang ditelingaku yang mengatakan aku ni dah tak pandai menggunakan bahasa Jawa. Mereka menjangkakan aku tak faham apa yang diperkatakan.

Lebih kurang jam 12 tengah malam aku terpaksa meminta izin untuk kembali ke Jogjakarta. Aku faham seakan mereka tidak mengizinkan aku pulang tetapi aku meyakinkan mereka bahawa aku akan membawa bapak, emak dan keluarga yang lain untuk melawat keluarga di Jawa sekiranya diizinkan oleh Allah Swt. Mbok Pi merayu untuk ikut ke Malaysia. Pak Asbin dan yang lain-lain terpaksa memujuknya. Di dalam kereta (mobil) aku terlena dengan seribu kenangan indah. Jam tujuh pagi aku meninggalkan Jogjakarta dengan pesawat menuju Lapangterbang Soekarno Hatta untuk berlepas ke Kuala Lumpur.

Berakhirkah pertemuan pertama dengan keluarga bapak di Tanah Jawa ini?

Tiada ulasan: