Radio Internet FuhYooFm

Sabtu, April 12, 2008

MENYUBURKAN PERSATUAN BELIA




Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa Kerajaan bersetuju menyalurkan terus peruntukan sebanyak RM8 juta kepada kira-kira 4,000 persatuan belia di seluruh negara mulai tahun ini dan tidak lagi melalui Jabatan Belia dan Sukan negeri seperti yang diamalkan sekarang.

Aku rasa langkah ini ini memang amat baik kerana biasanya persatuan-persatuan belia lewat menerima peruntukan dan ia boleh menjejaskan aktiviti persatuan. Perkara ini sudah lama berlaku sejak dari dulu lagi.

Dari pengalamanku, karenah birokrasi dalam menguruskan pengagihan peruntukan kepada persatuan belia ini sepatutnya diperbetulkan lebih awal. Ini adalah diantara penyebab mengapa persatuan-persatuan belia kurang diminati ketika ini.

Aku harap menteri baru ini akan dapat membuat semakan dan kajian mengapa anak-anak muda sekarang kurang berminat dalam persatuan-persatuan sukarela seperti persatuan belia dan sebagainya.

Pada tahun-tahun 70an dan 80an, persatuan belia amat diminati oleh anak-anak muda. Aku sendiri memulakan karier kerja-kerja sukarela ini pada tahun 1972 dengan menubuhkan persatuan belia yang dinamakan Gerakan Belia 4B Malaysia Cawangan Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram. Masa tu umurku 20 tahun dan sejak itu remajaku dicurahkan kepada kerja-kerja sukarela bersama-sama dengan anak-anak muda yang lain.

Ketika itu banyak kegiatan yang dilakukan seperti mengadakan kelas-kelas lakonan, tarian dan musik untuk aktibiti kebudayaan. Bidang sukan adalah aktibiti yang paling diminati seperti bola sepak, sepak takraw, badminton serta permainan dalam dewan. Kelas agama dan bacaan yassin tahlil juga diadakan untuk aktibiti agama. Begitu juga dengan kelas-kelas tuisyen untuk pelajar. Yang paling penting dan mesti dilakukan adalah bidang ekonomi kerana tanpa kedudukan kewangan yang kukuh, pastinya segala kegiatan tidak akan dapat dilaksanakan dengan lancar. Kegiatan ekonomi yang telah dilakukan ialah dengan mengambil kontrak kerja-kerja ladang, bangunan dan mengadakan pasaria.

Walaupun umurku akan mencapai 56 tahun pada Oktober ini, tetapi jiwaku untuk membantu anak muda dalam persatuan belia masih membara namun bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi selagi remaja kita masih leka dan lalai dengan kegiatan lain yang yang tidak berfaedah.

Jawatan terakhirku dalam persatuan belia ialah Pengerusi Tetap Gerakan Belia 4B Malaysia Negeri Johor dan jawatan ini akan terlucut dengan sendirinya apabila Perlembagaan menyatakan bahawa umurku sudah tidak melayakkan lagi memegang jawatan tersebut.

Yang pasti ialah pengalaman dalam persatuan belia inilah yang banyak memberi pengajaran kepada kita akan kepentingan bermasyarakat demi membina bangsa yang berguna kepada agama dan negara.

Tiada ulasan: