Radio Internet FuhYooFm

Ahad, April 27, 2008

CABARAN KEPADA JAYUS PAWIRO






Ucapan Haji Jayos Pawiro dalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Ke Sembilan pada 26 April 2008 telah memperlihatkan kesungguhan beliau untuk menjadikan Persatuan Bekas Kakitangan Felda (PBKF) sebagai wadah yang dapat memberi menfaat kepada ahli-ahli sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan Persatuan. Ia sedar ramai diantara bekas kakitangan yang dianggap sebagai warga emas dan terdapat yang telah berumur melebihi 80 tahun. Banyak perkara yang perlu diberi perhatian terhadap golongan ini. Sumbangan mereka semasa membangunkan Felda dengan meredah hutan, paya, sungai, berhadapan dengan pelbagai bahaya seperti binatang liar dan buas, kesukaran dan kesulitan hidup tanpa air bersih dan letrik sehingga Felda berjaya ke tahap sekarang, tidak harus dipandang remeh. Bekas kakitangan yang telah menghabiskan sebahagian besar hidupnya untuk mnembangunkan kehidupan peneroka yang terdiri dari masyarakat kurang berada, sepatutnya diberi pengiktirafan dan penghargaan sebagaimana yang diterima oleh masyarakat peneroka dan keluarga mereka. Pengurusan Felda dan Kerajaan seharusnya memberi penghargaan dengan menganggap bekas kakitangan sebagai warga Felda sebagaimana juga peneroka dan keluarga mereka.

Dalam ucapan mengalu-alukan kehadiran Dato' Mohd Bakke Salleh, Pengarah Urusan Kumpulan Felda Holdings Berhad, Haji Jayos menyatakan bahawa Persatuan percaya bahawa beliau telah dapat memberi perkhidmatan terbaik dan berjaya. Sehubungan dengan itu beliau amat mengharapkan agar Dato' Mohd Bakke dapat memberi perhatian pula kepada bekas kakitangan Felda yang telah banyak menyumbangkan khidmat bakti dan ini hendaklah dihargai mengikut yang sepatutnya. Pastinya beliau akan mengambilkira segala sumbangan yang telah diberikan. Dan sekiranya ini diambilkira tentu Kumpulan Felda Holdings Berhad boleh memberi sumbangan dalam bentuk kewangan tahunan yang akan dapat membiayai perbelanjaan kebajikan dan kesihatan ahli. Ahli-ahli bukan sahaja terdiri dari mereka yang berpencen malahan juga dari kakitangan yang mengambil pilihan secara mencarum kepada KWSP.

Dalam ucapan perasmian, Dato' Mohd Bakke Salleh mengucapkan tahniah atas kejayaan PBKF memantafkan organisasinya. Beliau memahami pengorbanan yang dilakukan oleh bekas
kakitangan Felda bahkan oleh anak, isteri dan keluarga sehingga kejayaan Felda dalam membangunkan tanah dan peneroka. Komitmen PBKF menjaga dan membantu ahli selama 17 tahun telah dapat menarik ahli seramai 2800 orang, sepatutnya diberi pujian dan telah menjalankan berbagai kegiatan yang memberi menfaat kepada ahli.

Dato' Mohd Bakke menyatakan bahawa Kumpulan Felda Berhad bersedia dan ingin membantu PBKF memantapkan organisasinya sehingga ia boleh menarik lebih ramai ahli dan memberi pulangan setimpal terutama di dalam bidang kebajikan dan kesihatan. Oleh itu, beliau menyatakan bahawa PBKF boleh meneruskan kegiatan mengambil kerja-kerja kontrak dan sekiranya ia mempunyai rekod kerja yang baik dan harga yang kompatetif, beliau bersedia memberi keutamaan dalam pemberian kerja. Beliau juga akan menyampaikan hasrat PBKF mengenai pengiktirafan bekas kakitangan sebagaimana yang diterima oleh peneroka dan keluarganya kepada pengurusan tertinggi Felda dan juga kepada YAB Timbalan Perdana Menteri selaku menteri yang bertanggungjawab.

Sebelum mengakhiri ucapan perasmian, beliau berjanji untuk memberi sumbangan tahunan sebanyak RM150,000 dengan syarat PBKF mengemukakan permohonan rasmi dan memberi peluang kepada bekas kakitangan syarikat di bawah Kumpulan Felda Berhad untuk menjadi ahli PBKF.

Setelah upacara perasmian dan jamuan, mesyuarat diteruskan dengan pembentangan minit mesyuarat agung yang lalu, penyata tahunan, penyata kewangan dan pindaan undang-undang tubuh persatuan. Perjalanan mesyuarat berjalan dengan lancar walaupun terdapat sedikit perbalahan. Ini semua menunjukkan demokrasi diamalkan dalam persatuan. Ahli-ahli berhak bersuara kerana itulah hak mereka dan kena pada tempatnya. Cuma perkara yang kurang wajar adalah seorang ahli jawatankuasa PBKF mempersoalkan beberapa perkara tentang perjalanan dan pentadbiran. Ini sepatutnya tidak berlaku walaupun perkara yang dibangkitkan adalah satu masalah penting tentang penolakan permohonan menjadi ahli. Dalam perkara ini beliau sendiri tidak sepatutnya membangkitkannya. Yang seeloknya adalah segala maklumat diberi kepada ahli lain yang hadir dan mereka ini boleh membangkitkannya. Ini adalah lebih wajar dan manis.

Beberapa ahli lain yang hadir termasuk beberapa orang yang pernah memegang jawatan dalam PBKF, telah menimbulkan beberapa isu penting termasuk kewangan, keahlian dan hubungan dengan ahli-ahli.

Dalam agenda pemilihan, ahli-ahli telah membuat keputusan dengan cara undian mengangkat tangan sebagaimana berikut:-

Yang Dipertua - Haji Jayos Pawiro
Naib Yang Dipertua I - Dato' Haji Khamis Md Som
Naib Yang Dipertua II - Dato' Raja Sharifuddin
Setiausaha Kehormat - Khairuddin Hassan
Bendahari Kehormat - Haji Shamsuddin Mohd Hassan
Ahli Jawatankuasa - Haji Zainal Abidin Abu Bakar
- Datin Nursiah Sulaiman
- Haji Abdul Latif Othman
- Indera Putera Ismail
- Mohd Sunawan Hj Md Som
- Haji Mohamad Hj Abd Rahman
- Haji Muhi Abdul Wahab
Pemeriksa Kira-Kira - Arif Jayos
- Karim Ujang

Tiada ulasan: